'Saya lukis dari imaginasi': Kegigihan artis Singapura ini dengan seni lukisan kanvas yang makan masa 1.5 tahun
Yip Yew Chong merancang untuk mengadakan pameran pada separuh kedua tahun ini untuk memaparkan kesemua 27 panel lukisan kanvas terbarunya.
SINGAPURA: Bagi karya terbarunya artis Singapura Yip Yew Chong banyak menghabiskan masanya bersendirian di sebuah studio sejak satu setengah tahun lalu. Namun, ia tidak bermakna para peminatnya dalam kegelapan tentang apa yang beliau lakukan.
Terkenal dengan mural atau lukisan tembok di sekitar Singapura, Encik Yip pada asalnya merancang untuk menghasilkan lukisan kanvas itu berukuran sekitar 50m, panjang sebuah kolam Olimpik, supaya dia dapat memuatkan apa sahaja lokasi yang difikirkannya.
Bagaimanapun, setiap kali dia memberikan sedikit imbasan karyanya di media sosial, ada sahaja peminatnya yang mahu memberikan satu, dua cadangan kepadanya.
"Sebagai contoh (ada yang mahu saya masukkan), Caldecott Hill," katanya. "Saya masukkannya dalam lukisan saya kerana dalam seminggu ada dua orang yang mencadangkan demikian."
Tetapi dia sudah kehabisan ruang. "Selepas beberapa ketika, saya rasa, okay, saya akan tambah empat lagi panel," katanya.
Apabila projeknya, yang kini berukuran 60m, hampir siap, Encik Yip memutuskan untuk mengadakan beberapa sesi lukisan secara langsung bagi menyelesaikan panel lukisan terakhirnya. Pada masa sama, Encik Yip juga memberi perhatian kepada kerja-kerja lain.
Dia menerima tawaran daripada Pusat Masyarakat Tiong Bahru, satu "kebetulan yang baik", kerana kawasan itu dipaparkan dalam panel terakhirnya.
Melukis di khalayak ramai adalah seperti satu "penghujung yang baik, satu penamat", kata Encik Yip, yang kini berusia 54 tahun.
"Apabila anda berlari maraton, anda mahu orang ramai datang (meraikan anda) di garisan penamat, bukan?"
ZAMAN YANG TELAH BERLALU
Peminatnya tidak mengecewakan. Apabila CNA mengunjunginya pada 11 Jan, sekumpulan penonton sedang melihatnya melukis, walaupun itu adalah waktu petang hari bekerja.
Ramai yang meminta untuk bergambar dengan Encik Yip, dan seorang peminat telah menghadiahkannya sebuah buku nota. Beberapa kanak-kanak turut duduk di situ untuk melukis karya seni mereka sendiri, yang kemudian mereka berikan kepadanya.
Seorang pelawat, pengurus projek Tom Quek, 49, berkata seni Encik Yip kadangkala membuatkannya menangis.
"Bahagian yang menyentuh, bagi saya, adalah saya dari generasi (yang) cukup berusia untuk mengingati sebahagian daripada apa yang terpapar dalam lukisannya," katanya kepada CNA.
"Apa yang kita lihat di sini hari ini berbeza sama sekali daripada zaman saya membesar," kata Encik Quek, yang tinggal di Tiong Bahru selama kira-kira 15 tahun pada 1970-an dan 1980-an - tempoh masa yang menjadi rujukan Encik Yip.
"Ia menimbulkan nostalgia, suatu perasaan di mana kita rasa terkait semula dengan zaman lampau," kata Encik Quek, sambil menambah bahawa lukisan Yip membangkitkannya rasa senang dan selesa.
Encik Quek, yang kini tinggal di Florida dan menemui seni Encik Yip melalui media sosial sekitar dua tahun lalu, kebetulan berada di Singapura untuk melawat keluarga ketika sesi melukis itu berlangsung.
"Ini adalah satu keseronokan untuk saya dapat melihat (Encik Yip) melakukan ini secara langsung," katanya.
PENGKRITIK
Walaupun menerima banyak sokongan masyarakat, Encik Yip menegaskan bahawa beliau juga tidak lepas daripada kritikan.
Ada yang menegur tentang kandungan lukisannya, manakala ada juga yang mengkritik kemahiran teknikalnya.
“Saya tidak dilatih secara rasmi dan saya melukis daripada imaginasi … ia tidak tepat dari segi sejarah,” kata Encik Yip, yang menjadi artis sepenuh masa pada 2018 selepas bekerja dalam sektor perakaunan selama 25 tahun.
Keseimbangan antara estetika, ekspresi diri dan ketepatan sejarah adalah kesukaran utama dalam melukis karya kanvas 60m ini, katanya. Ada orang menganggap bahawa lukisan kanvas mestilah juga seperti seni halus, dibandingkan dengan lukisan tembok di mana soal ketepatan tidak begitu penting.
"Untuk jenis lukisan sebegini – iaitu antara separa realistik kepada realistik – ramai yang mengharapkan ia tepat dari segi sejarah, tetapi saya tidak boleh (melakukannya).
“Sebab saya perlu cantumkan (lokasi yang dilukis) seperti Tiong Bahru ke Chinatown, Chinatown ke Sungai Singapura. Bagaimana saya nak lakukan itu? Saya perlukan imaginasi yang banyak,” katanya.
"Tetapi untuk mengimbangi semua itu adalah satu cabaran besar kerana saya tidak dapat memenuhi jangkaan orang ramai.
Ditanya sama ada beliau berinteraksi dengan pengkritiknya, Encik Yip berkata ia bergantung kerana ada daripada mereka tidak mahu terlibat dengannya.
"Saya sentiasa menerima kritikan yang membina dan saya cuba untuk menambah baik," katanya, sambil menambah dia mahu para audiennya sematkan dalam fikiran mereka bahawa karya seninya bukan berbentuk sejarah.
"Ideanya adalah untuk membangkitkan emosi dan mendorong mereka mencedok ingatan lampau masing-masing," katanya.
"Saya akan ambil mudah sahaja, saya fikir memang sudah cukup ramai orang yang melihat (karya beliau) sebagai sesuatu yang bermakna," kata Encik Yip.
RANCANGAN MASA HADAPAN
Walaupun melukis dalam ruang tertutup seperti di studio adalah menyelesakan memandangkan usianya yang bertambah lanjut, Encik Yip tidak lupa kembali ke tempat asalnya - beliau akan terus melukis beberapa mural besar selepas terbantut tahun lalu.
Beliau pernah mengambil bahagian dalam satu pameran pada 2022 dan menganjurkan dua pameran solo pada tahun sebelumnya.
Encik Yip merancang mempamerkan semua panel lukisan kanvasnya dalam satu pameran pada pertengahan kedua tahun ini, menerbitkan buku foto dan bereksperimen dengan pelbagai bentuk seni.
"Saya seorang penjelajah, saya suka meneroka wadah baharu," katanya sambil menunjukkan bahawa dia telah menganimasikan beberapa lukisan lama supaya penonton boleh "bersiar-siar di sekitar jalanan" yang dihasilkannya.
"Karya lama boleh dicipta semula", namun mengekalkan unsur di mana kita sudah terbiasa dengannya adalah penting juga, kata beliau.
"Saya juga mahu mencipta semula diri saya dan tidak mahu berpegang kepada yang sama sahaja."
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai bagaimana pelarian Myanmar di Malaysia bergelut mendapat tempat di sekolah di tengah-tengah peluang pendidikan yang terhad.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.