Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Pelarian Myanmar di Malaysia bergelut mendapat tempat di sekolah di tengah-tengah peluang pendidikan yang terhad

Ribuan pelajar warga Myanmar melarikan diri ke negara jiran untuk meneruskan pendidikan sejak rampasan kuasa tentera menamatkan demokrasi yang tidak bertahan lama di negara mereka. 

Pelarian Myanmar di Malaysia bergelut mendapat tempat di sekolah di tengah-tengah peluang pendidikan yang terhad
Cik Lian San Ching, 22, seorang etnik Chin yang melarikan diri dari Myanmar ke Malaysia dua bulan lalu, menghadiri kelas di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Cik Lian San Ching, seorang etnik Chin yang berusia 22 tahun yang melarikan diri dari Myanmar ke Malaysia dua bulan lalu, bersyukur kerana dapat menyambung pelajarannya. 

"Saya tidak dapat mencari pekerjaan kerana saya tidak boleh berbahasa Inggeris," katanya. "Walaupun saya lulus gred 10 di Myanmar, saya tidak boleh berbahasa Inggeris asas dan tidak dapat menyara diri saya sendiri untuk kelangsungan hidup."

“Saya rajin, saya mahu menyambung pelajaran kerana jika saya boleh berbahasa Inggeris, saya boleh menyesuaikan diri dengan lebih baik di mana-mana sahaja.”

Pengetuanya Bella Cing Kop Khan, yang mengetuai pusat pembelajaran komuniti di Alliance of Chin Refugees (ACR) di Kuala Lumpur, kagum dengan semangatnya dan menerimanya sebagai pelajar di pusat itu.

Rakan sekelasnya enam tahun lebih muda daripadanya, tetapi Cik Lian San Ching berkata dia tidak kisah - dia lebih bertuah berbanding ramai lagi pelarian yang masih bertungkus lumus untuk mencari tempat di sekolah.

Slot yang terhad untuk pendidikan dalam kalangan pendatang Myanmar ini sering diberi diutamakan kepada kanak-kanak yang lebih muda, menyebabkan pelajar dewasa muda terlepas peluang. 

PENDIDIKAN TERJEJAS 

Ribuan pelajar Myanmar telah melarikan diri ke negara jiran untuk melanjutkan pelajaran sejak rampasan kuasa tentera dua tahun lalu menamatkan demokrasi yang tidak bertahan lama di negara itu.

Junta tentera merampas kuasa daripada pemerintah Aung San Suu Kyi yang dipilih pada Februari 2021 dan menyekat sebarang bantahan terhadap tindakannya mengambil alih kuasa. 

Ramai orang awam, termasuk pelajar yang menyertai tunjuk perasaan jalanan telah dibunuh atau ditahan. Serangan ke atas sekolah, guru dan pelajar akibat konflik menyebabkan ramai takut untuk keluar bagi  mendapatkan pendidikan.

Agensi bantuan Save the Children berkata pada Jun tahun lalu separuh daripada kanak-kanak Myanmar kini kehilangan pendidikan formal, dengan pendaftaran turun sehingga 80 peratus di beberapa bahagian negara itu. 

Pandemik COVID-19 dan perintah berkurung yang berterusan turut mengganggu penggal persekolahan. 

Akibatnya, mereka yang telah melarikan diri ke negara baharu kini  ketinggalan beberapa tahun di belakang rakan-rakan sebaya dalam pendidikan.

“Ada yang rasa mereka sudah terlalu tua; ada yang tidak tahu berbahasa Inggeris seperti orang lain,” kata Cik Bella Cing Kop Khan. "Disebabkan semua kelemahan itu, mereka takut untuk kembali ke sekolah tetapi ada yang sanggup mencuba."

Bella Cing Kop Khan, pengetua pusat pembelajaran komuniti di Alliance of Chin Refugees (ACR) di Kuala Lumpur, bercakap dengan pelajar.

PELAJAR RAMAI, TEMPAT TERHAD 

Ramai pelajar pelarian yang berhasrat kembali ke sekolah di Malaysia mencari peluang yang terhad dan bilangan tempat kosong yang semakin terbatas dalam institusi pendidikan.

“Sekarang terdapat terlalu ramai (pelarian). Ibu bapa menghantar tiga, empat anak sekaligus dan malangnya, kerana ruang terhad, ia jadi penuh dan mereka tidak boleh mendaftar lagi. Saya kasihan dengan mereka,” kata Cik Bella Cing Kop Khan.

Sekolah untuk etnik Rohingya, yang dikendalikan oleh organisasi bukan kerajaan, juga berdepan isu yang sama.

Kira-kira 50,000 hingga 60,000 pelarian Rohingya dalam kalangan kanak-kanak yang memerlukan pendidikan bersaing untuk mendapatkan tempat di sekolah. Namun, bilangan yang memohon lebih ramai daripada tempat yang sedia ada.

Pelajar etnik Rohingya di sebuah sekolah di Malaysia.

Encik Mohd Azmi Abdul Hamid, presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), berkata walaupun pelajar Rohingya cerdas dan mempunyai keupayaan untuk belajar dengan cemerlang, kebanyakan sekolah kekurangan kakitangan dan kurang dibiayai.

"Agak luar biasa, (para pelajar ini) mempunyai kadar penyerapan (pelajaran) dan keupayaan belajar yang menjangkaui imaginasi. Mereka dapat tangkap dengan baik," katanya. "Mereka sepatutnya menjadi aset, bukan beban kepada kita."

"Pendidikan sepatutnya diberikan secara percuma untuk semua kanak-kanak yang bersekolah tanpa mengira (status) mereka sebagai tidak bernegara atau pelarian," tambahnya.

KEMASUKAN PELARIAN

Pembukaan semula sempadan Malaysia sejak April tahun lalu telah menyaksikan peningkatan kemasukan pelarian dari Myanmar. Selain daripada kekurangan peluang pendidikan, mereka juga bergelut dengan soal dokumentasi diri dan pekerjaan.

Memandangkan ramai warga Myanmar yang melarikan diri tidak mempunyai dokumen perjalanan, pusat komuniti di Malaysia telah menguruskan ribuan pendatang baharu dengan mengeluarkan kad pengenalan yang dicetak untuk mereka.

Kad yang diberikan kepada warga Myanmar oleh pusat komuniti di Malaysia. Kad itu bukan dokumentasi rasmi dan tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kad tersebut bukan dokumen rasmi dan tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa. Dokumen itu tidak memberikan keizinan kepada mereka untuk bekerja secara sah, belajar ataupun mendapatkan bantuan perubatan di hospital kerajaan.

Kad-kad itu hanya mengenal pasti pemilik kad sebagai pelarian. Ia juga  mengandungi kata-kata rayuan kepada masyarakat supaya membantu mereka mencari rezeki sedang mereka menetap sementara di Malaysia, sehinggalah mereka ditempatkan semula ke negara ketiga.

Pada masa ini terdapat lebih 180,000 pelarian di Malaysia berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). 

Daripada jumlah itu, lebih 80 peratus adalah dari Myanmar, dengan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun berjumlah kira-kira 50,000, menurut Agensi Pelarian PBB.

Pihak berkuasa Malaysia telah membuat serbuan-serbuan untuk menangkap pesalah-pesalah pendatang tanpa izin.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini menyasarkan untuk membawa masuk setengah juta pekerja asing bagi menggiatkan pemulihan ekonomi negara. Susulan itu, banyak badan bukan kerjaan (NGO) telah menggesa kerajaan untuk membantu mendidik dan melatih komuniti pelarian ini agar mereka dapat diserapkan ke dalam tenaga kerja negara.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berkata tiada rancangan untuk mengubah undang-undang berhubung status pelarian itu buat masa ini.

"Setakat hari ini, ia kekal sebagai status quo kerana terdapat keutamaan lain untuk menerima pelarian bekerja," kata Encik Saifuddin. "(Tetapi) Sudah pasti itu adalah salah satu topik utama yang perlu kita teliti."

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris. 

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai pengalaman warga Singapura berdepan dengan gempa bumi di Türkiye. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/nm(ih)

Advertisement

Also worth reading

Advertisement