Pernah putus harapan kerana sakitnya sendiri tetapi wanita ini bangkit semula dengan membantu orang lain
Dia boleh hadapi maut jika saluran aortanya (aneurisme) pecah, tetapi Laura Teng tidak melihatnya sebagai 'bom jangka' atau untuk meraih simpati. Sebaliknya, dia mahu 'hidup sepenuhnya' demi membantu penuhi hajat orang lain.
SINGAPURA: Dia sedang bertarung dengan barah kolon dan menerima rawatan paliatif.
Tetapi pada suatu hari sekitar Disember lalu, Melanie Choy, 35, dibawa bersiar-siar melihat alam Pandora – lokasi rekaan dalam filem Avatar – termasuk merasai pengalaman seolah-olah berada di dalam filem itu bersama watak-watak animasi.
Mantan jurugambar bebas itu adalah peminat setia filem arahan James Cameron dan berkata dia telah menantikan sekuelnya selama lima tahun.
Semasa dia dibawa ke acara pameran Avatar: The Experience at the Gardens by the Bay, dia "terpesona" dengan patung bersaiz manusia sebenar. "Pengalaman itu menakjubkan, dan saya berasa sangat seronok," katanya.
Selain jiwa dan derianya, dia juga berpeluang menikmati makanan seperti aiskrim gelato, soda dan wafel ketika singgah di kafe Mylo.
“Saya sangat gembira,” kata bapanya, Choy Kok Wai, 68, yang baginya, menjadi momen indah apabila dapat melihat anak perempuannya berdiri dengan gembira di hadapan salah satu patung karakter Avatar itu.
"Sejujurnya, jika (aktiviti bersiar-siar) tidak dianjurkan, saya tidak fikir kami akan datang ke sini."
Penganjurnya ialah Laura Teng, 49, dan para sukarelawan dari Ambulance Wish Singapore (AWS) atau persatuan penuhi hajat berambulan. Ditubuhkan pada 2019, badan amal itu membantu memenuhi hasrat warga Singapura dan penduduk tetap berumur 19 tahun ke atas dengan prognosis kurang daripada setahun.
Penerima hajat itu yang mahukan khidmat berkenaan boleh dirujuk oleh keluarga atau penyedia penjagaan kesihatan, dengan persetujuan pesakit atau pesakit boleh membuat permohonannya sendiri.
KEBAIKAN KEPADA ORANG LAIN
Melihat Teng semasa dia menemani keluarga Choy bersiar-siar di Gardens by the Bay, tiada siapa boleh menyangka bahawa dia sebenarnya takut dengan keadaan penuh orang ramai — atau pun juga pelbagai kebimbangan mengenai keadaan kesihatannya.
Pada 2015, doktor mengesahkannya menghidap aneurisme otak, iaitu gelembung kecil pada saluran darah otak yang boleh mengancam nyawa jika ia pecah.
Susulan itu, dia berjaya menjalani prosedur kecemasan dengan memasukkan klip kecil bagi menghalang aliran darah kepada dua aneurisme. Tetapi aneurisme ketiga dianggap terlalu berisiko untuk dirawat pada masa itu.
Namun, selepas pembedahan, hidupnya berubah. Dia tidak mampu lagi membuat senaman berat. Bimbang tekanan darahnya akan meningkat yang boleh menambahkan lagi risiko aneurisme pecah, Teng menjadi takut untuk pergi ke tempat yang sesak, terutama tanpa keluarga.
"Saya rasa kalau ada apa-apa berlaku kepada saya, tiada siapa yang akan tahu apa yang saya alami dan penyakit yang saya alami," katanya.
Teng juga terpaksa menangguhkan beberapa aktiviti yang dia gemar lakukan bersama dua anaknya, yang ketika itu bersekolah rendah dan menengah. Beliau boleh bersiar-siar di pusat membeli belah, tetapi tidak berani bercuti ke luar negara kerana tidak mahu mengambil risiko menaiki kapal terbang.
Pada 2021, Teng menerima rawatan untuk aneurismenya yang ketiga, dimana doktor kemudian mendapati bahawa beliau mempunyai aneurisme yang keempat.
Semasa dimasukkan wad di hospital, Teng kebetulan melihat sebuah klip video tentang AWS. Ia menyentuh perasaannya, dan dia berfikir, mungkin ini adalah sesuatu yang perlu dia buat — membuat orang lain gembira mungkin merupakan cara untuk "mengatasi" masalah kesihatannya.
"Lebih baik memberi daripada menerima," kata Teng, seorang eksekutif sumber manusia yang anak-anaknya kini berusia 18 dan 22 tahun. Dia juga berkata: "Suatu hari nanti, saya juga mungkin memerlukan perbuatan baik orang lain juga."
Sejak dia mendaftar sebagai sukarelawan pada Ogos 2021, Teng sudah membantu memenuhi hasrat 14 orang penerima.
Aktiviti yang dia pernah penuhi hasrat penerima, antara lain, menganjurkan aktiviti percutian dan sesi bergambar untuk seorang wanita yang menghidap barah bersama suaminya. Teng juga pernah membantu memasang akuarium ikan untuk seorang lelaki warga emas yang tinggal bersendirian.
Teng sebelum ini berasa seperti "putus harapan" selepas mengetahui keadaan kesihatannya. Namun, dia kini berasa "lebih gembira". Menurutnya, setiap kali dia berasa kurang keyakinan, keraguan dalam dirinya mula hilang.
Dia juga telah berjaya mengatasi kegusarannya apabila berada di tempat-tempat sesak — cukup untuk membolehkannya melakukan projek penuhi hasrat pesakit tercapai. "Saya akan memberitahu diri saya bahawa saya di sini adalah untuk memenuhi keinginan pesakit," katanya.
Tegas Teng, dia tidak mahukan simpati. Baginya, dia berkongsi kisahnya dengan harapan dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk mempertimbangkan menjadi sukarelawan.
"Saya tidak menganggap (aneurisme saya) sebagai satu bom jangka," tambahnya. "Saya hanya mahu hidup sepenuhnya, seperti orang biasa."
KUASA PENUHI HAJAT
AWS telah memenuhi 129 hajat setakat ini dan menerima purata enam hingga tujuh hajat untuk dipenuhi sebulan, kata naib pengerusi Carol Wee. Penerima berasal dari pelbagai latar belakang, dan tidak semua berpendapatan rendah atau kekurangan sokongan keluarga.
“Kami kadang-kadang ditanya, jika pesakit (atau keluarga) yang berada atau mempunyai ahli keluarga, mengapa (mereka) tidak boleh membantu memenuhi hajat-hajat itu, yang semudah keluar makan bersama keluarga,” kata Wee.
“Jawapan kami; (apabila) menjaga seseorang yang kini di akhir hayatnya … keutamaan mereka adalah memastikan pesakit selesa dan dijaga dengan baik dari segi keperluan perubatan.
“Mereka tidak mempunyai kemampuan, tenaga, masa atau idea yang betul untuk merancang sesuatu hajat."
Di samping itu, sesetengah pesakit mungkin tidak selesa untuk berkongsi hajat terakhir mereka dengan orang tersayang. Mereka mungkin tidak mahu menyusahkan ahli keluarga.
Namun, hajat tetap berkuasa.
Wee, seorang pentadbir penjagaan kesihatan, telah menyaksikannya sendiri sebagai sukarelawan dengan satu lagi badan amal, Make-A-Wish Singapore, yang memenuhi hajat kanak-kanak berumur tiga hingga 18 tahun yang menghidap penyakit kritikal.
Apabila pesakit menjalani rawatan yang sukar seperti kemoterapi, hajat boleh dijadikan sebagai alasan untuk terus mempunyai harapan. "Ia menaikkan semangat mereka dan memberikan mereka begitu banyak kegembiraan dan sesuatu yang dinanti-nantikan. Itulah kuasa hajat,” kata Wee.
PERCUBAAN MULAKAN KEBAJIKAN
AWS adalah sekutu Ambulance Wish Foundation yang diasaskan oleh mantan pemandu ambulans Belanda, Kees Veldboer, tetapi beroperasi secara bebas, kata Wee.
Mendiang Veldboer menubuhkan yayasan itu pada 2007, setahun selepas membantu pesakit yang ditemuinya semasa memegang jawatan itu.
Semasa memindahkan pesakit itu, yang gemar belayar, ke hospital lain, mereka singgah di sebatang terusan untuk menikmati "hari cerah yang indah" selepas rawatan lelaki itu ditangguhkan. Veldboer kemudiannya menganjurkan perjalanan bot untuknya di sekitar pelabuhan Rotterdam.
Wee mengetahui kewujudan yayasan itu pada 2016 melalui hantaran di Facebook seorang rakan dan cuba menghubungi Veldboer, namun tidak berjaya.
Pada tahun berikutnya, selepas terinspirasi mendengar ceramah tentang bagaimana badan amal Singapura HealthServe ditubuhkan untuk memenuhi keperluan pekerja asing, Wee mencuba lagi.
Kali ini dia mendapat maklum balas yang positif: Veldboer amat berbesar hati "untuk menyokong (kami) jika kami mahu menubuhkan sebuah cawangan di Singapura".
AWS memenuhi hajat pertamanya pada November 2019 dengan membawa pesakit ke East Coast Park bersama anak-anaknya untuk bermakan malam, bergambar dengan jamuan buah durian disertakan.
Pada masa ini, AWS mempunyai lebih daripada 200 sukarelawan. Apabila ia menerima sesuatu permintaan hajat, Wee akan membentuk satu pasukan, biasanya terdiri daripada tiga hingga empat orang sukarelawan.
Seorang akan mengetuai pasukan itu, berhubung dengan pesakit atau waris terdekat untuk mengatur sesi perbualan atau lawatan terlebih dahulu. Langkah pertama ini "sangat penting", kata Wee.
"Dengan mengetahui lebih lanjut tentang pesakit - minat, latar belakang mereka - kita boleh ciptakan satu pengalaman yang lebih bermakna untuk pesakit (bagi memenuhi hajat mereka)."
Kebanyakan hajat dipenuhi dengan "sedikit tajaan". Pihak yang menyokong kerja amal AWS ini termasuk penyedia perkhidmatan ambulans, pembekal hiasan parti, kedai bunga dan Gardens by the Bay, katanya.
Selain Persatuan Barah Singapura, Pusat Barah Nasional Singapura, hospis penjagaan dan hospital dengan wad paliatif, AWS berharap dapat menghubungi lebih banyak pertubuhan seperti rumah orang tua, tambahnya.
“Kami tidak ada kakitangan sepenuh masa. Kami berharap dapat membina pasukan ini supaya kami boleh lakukan lebih banyak dan menyumbang lebih banyak lagi.”
‘BERKAWAN SAMPAI BILA-BILA’
Walaupun AWS “setiap masa” dapat memenuhi hajat, kata Wee, ada kalanya mereka kesuntukan masa untuk kedua-dua pesakit dan pemberi hajat.
Hasrat Melanie Choy adalah untuk menonton sekuel yang ditunggu-tunggunya, Avatar: The Way of Water, pada 15 Dis. Tetapi keadaannya semakin uzur sebelum hari itu tiba. Dia tidak dapat dibawa ke pawagam dan meninggal dunia pada 5 Jan.
Dengan beberapa penerima hajat lain, Teng kekal sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka walaupun selepas hajat mereka telah dikabulkan.
Penerima hajat seperti Cik Tan Lun, 84, yang meminta soket elektrik dipasang berhampiran mesin basuhnya pada 2021. Dia telah menggunakan soket lain di dapurnya dan berisiko jatuh tersandung jika terlanggar kord elektrik yang panjang itu.
"Saya sudah lama bimbang dengan soket ini, mungkin lima hingga enam tahun lamanya," kata Cik Tan, yang didiagnosis dengan barah payudara pada 2005. Barah itu merebak ke tulang pada 2016 dan dia kini dalam rawatan terapi paliatif.
Selain mencari individu untuk menyiapkan kerja itu, sukarelawan AWS menganjurkan lawatan ke Gardens by the Bay untuk Tan, yang suka akan bunga, bersama dua rakannya. Teng juga memberinya payung bercorak bunga.
Mereka terus berhubung, dan pada Disember, Teng melawat wanita warga emas itu dan membawa sup ikan bersamanya.
"Saya berterima kasih atas kasih sayang awak dan ambil kisah (tentang saya)," Tan memberitahunya, sambil menambah: "Mari kita berkawan sampai bila-bila."
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai kejayaan seorang ‘livestreamer’ pekak yang berjaya dalam bidang perniagaan dengan menggunakan bahasa isyarat.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.