Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

24 gerai makan, kendera saji di acara ‘Hari Raya Mega Sale 2023’ Singapura digantung kerana operasi tanpa lesen

24 gerai makan, kendera saji di acara ‘Hari Raya Mega Sale 2023’ Singapura digantung kerana operasi tanpa lesen
Gerai makanan dan kendera saji yang beroperasi tanpa lesen daripada SFA. (Gambar: Agensi Makanan Singapura)

SINGAPURA: Sebanyak 24 gerai makanan, termasuk tiga kendera saji atau food truck, di acara Hari Raya Mega Sale 2023 telah digantung operasi mereka oleh Agensi Makanan Singapura (SFA) selepas didapati beroperasi tanpa lesen.

Dalam kenyataan pada Sabtu (11 Mac), agensi itu berkata pegawai SFA mengesan gerai makanan yang tidak berlesen itu pada sebuah acara di Dewan Ekspo Singapura 5A pada Jumaat. Pengendali makanan yang tidak berdaftar juga didapati bekerja di 24 gerai makanan terbabit. 

Katanya, penganjur Megaxpress International juga telah diarahkan untuk menghentikan operasi gerai tidak berlesen itu "demi kepentingan kesihatan awam".

Pengendali pusat jualan sementara perlu mendapatkan permit daripada SFA, yang membolehkan agensi itu memastikan bahawa mereka mematuhi langkah-langkah keselamatan makanan, katanya.

Permohonan permit itu seharusnya dibuat sekurang-kurangnya dua minggu sebelum acara bermula.

Gerai makanan dan minuman di pusat jualan sementara juga perlu dilesenkan oleh SFA, dengan pengendali makanan yang telah mendapat kelulusan kursus keselamatan makanan berkaitan.

Gerai makanan dan kendera saji yang beroperasi tanpa lesen daripada SFA. (Gambar: Agensi Makanan Singapura)

Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap pengendali pusat jualan sementara yang tidak mematuhi peraturan, kata SFA, sambil menambah bahawa siasatan lanjut masih dijalankan.

Mereka yang didapati bersalah boleh didenda sehingga S$10,000. Untuk sabitan seterusnya, pesalah boleh didenda sehingga S$20,000, penjara sehingga tiga bulan, atau kedua-duanya sekali.

CNA telah menghubungi penganjur acara tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai penginapan di 'rumah kecil' mesra alam baharu di pulau selatan Singapura, Pulau Lazarus. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/nm(ih)

Advertisement

Also worth reading

Advertisement