Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Syarikat keluarga Phoon Huat yang bermula dengan hanya gerai tepi jalan, kini jenama terkemuka di Singapura

Ditubuhkan pada 1947, perniagaan berusia 75 tahun itu telah berkembang jauh daripada hanya sebuah meja dan basikal sebagai keperluan gerai.  

Syarikat keluarga Phoon Huat yang bermula dengan hanya gerai tepi jalan, kini jenama terkemuka di Singapura
Jean Wong, Ketua Jabatan Komersial Phoon Huat dan Pengarah Pembangunan Perniagaan, dan sirap pekat Redman yang popular pada zaman dahulu. (Gambar: Phoon Huat)

SINGAPURA: Jean Wong sudah sekian lama berkecimpung dalam perniagaan keluarga dan tanpa disedarinya, perniagaan itu menjadi sebahagian daripada kehidupan sehariannya sehingga dewasa. 

Walaupun dia terlalu muda untuk memahami, Wong agak faham bahawa keluarganya terlibat dalam perniagaan. “Datuk saya akan pulang dengan beg-beg syiling yang kami susun mengikut denominasi dan menggulungnya dalam kertas. Inilah yang menyebabkan saya mula perasan bahawa kami mempunyai perniagaan”, kata Jean Wong, 61 tahun, cucu Wong Tai Fuang pengasas syarikat pembekal bahan keperluan masakan Phoon Huat.

"Kami juga sebahagian daripada 'penyelidikan pasaran'," katanya dengan ingatan manis. “Saya masih ingat ayah saya akan keluar untuk mendapatkan sampel sirap minuman pekat untuk dicuba oleh anak-anaknya. Ayah juga telah membawa kami ke tempat seperti (Taman Hiburan) Gay World untuk mencuba minuman dari gerai-gerai berlainan. Dia akan perhatikan raut wajah kami dan bertanyakan pendapat kami tentangnya." 

Dari kiri: Pengasas Phoon Huat, Wong Tai Fuang bersama isteri Goh Seng Lan, dan kedai pertama Phoon Huat di Jalan Tengah pada 1940-an. (Gambar: Phoon Huat)

Atas usaha mereka, anak-anak Wong dihadiahi sebuah basikal baharu untuk digunakan. Langsung tidak mereka sangka bahawa momen-momen ketika zaman kanak-kanak itu adalah sebahagian daripada usaha membina salah satu jenama paling terkenal di Singapura.

Hari ini, sebagai Ketua Jabatan Komersial Phoon Huat dan Pengarah Pembangunan Perniagaan, Wong mengetuai sebuah pasukan pembeli yang portfolionya merangkumi lebih daripada 14,000 produk.
 
Phoon Huat, yang diasaskan oleh datuknya pada 1947, kini mempunyai kemudahan atau fasiliti pengeluaran, pusat pengedaran, 25 buah trak penghantaran pelbagai suhu yang menyediakan lebih daripada 4,000 destinasi, jualan eksport ke lebih 10 buah negara, platform e-dagang dan 21 buah kedai runcit di seluruh Singapura.

PERMULAAN YANG SEDERHANA

Seorang pendatang dari Hainan, Wong Tai Fuang tiba di Singapura bersama keluarganya selepas Perang Dunia Kedua.

“Apabila datuk saya memulakan perusahaan ini, dia menyewa sebuah meja di McNair Road, yang dikongsi dengan empat pemilik perniagaan lain seperti seorang pembuat payung, seorang tukang jahit dan seorang tukang kunci. Di situlah dia terima tempahan untuk pewarna makanan dan sirap minuman pekat, yang dibelinya beberapa karton daripada peniaga tempatan dan dijual semula dalam botol,” jelas Wong.

Sirap pekat Redman yang popular pada zaman dahulu. (Gambar: Phoon Huat)

Dari awal, salah satu matlamat Phoon Huat adalah untuk membuat Sirap Pekat Minuman Redman sendiri. Pada masa itu, datuk Wong menjual sebotol pekat pada harga S$1 kepada penjaja, yang menghasilkan 120 gelas minuman. "Kesan gandanya adalah tinggi," katanya. “Ramai penjaja membeli daripada kami. Kami mempunyai 17 jenis perisa, dari oren ke barli ke bandung.”

Mendiang Wong juga menghasilkan bahan-bahan pewarna makanan (untuk membuat kueh dan kek). Antara pelanggan terawalnya ialah seorang pembuat  roti di sebuah kedai kopi. Tidak lama selepas itu, dia pun mula membekalkan pembuat roti itu dengan bahan-bahan lain seperti mentega dan tepung, sekali gus mendorong Wong secara perlahan-lahan menceburi perniagaan membekal bahan-bahan membuat kek dan kueh. 

Naluri Wong yang faham tentang barangan apa yang boleh dijualnya dan pada harga yang bagaimana, berjaya melonjakkan perniagaan Phoon Huat kepada keadaannya sekarang sebagai gergasi industri. Naluri yang sama telah diturunkan kepada anak-anak  lelakinya dan seterusnya kepada anak-anak mereka,  yang telah membantu meneruskan perniagaan keluarga sepanjang 75 tahun lalu ini.

Pasukan kepimpinan perniagaan Phoon Huat pada 1980-an. (Gambar: Phoon Huat)

WARISI PERNIAGAAN KELUARGA

Pada 2016, cabang ekuiti persendirian Standard Chartered memperolehi taruhan yang besar dalam Phoon Huat, membolehkan perniagaan itu berkembang pada skala yang berbeza. Keluarga Wong terus mengekalkan 30 peratus kepentingan dalam syarikat itu, dengan Jean, abangnya James (Pengarah Eksekutif), sepupunya Deli (Ketua Pengarah Jualan Perkhidmatan Makanan dan Pembangunan Perniagaan) dan Sean (Pengurus Besar), dan anak saudara Kevin Chew (Pembeli Komersial) masih bekerja sebagai kakitangan perniagaan.

“(Keluarga kami) terus berbangga dalam menjalankan syarikat dan kami boleh terus mewariskan DNA dan budaya tertentu yang telah lama menjadi ciri Phoon Huat,” jelas Wong.

Jean Wong, Ketua Jabatan Komersial Phoon Huat dan Pengarah Pembangunan Perniagaan, dengan produk Redman. (Gambar: Phoon Huat)

Hubungan gaya keluarga, pastinya, membentuk untaian DNA Phoon Huat yang paling tersendiri. Ia terus menjalin hubungan antara pelbagai jabatan dan pelanggannya. Perasaan naluri yang memberitahu cara kerja Wong Tai Fuang terus mengalir melalui syarikat itu, walaupun mungkin sukar untuk diajar, katanya.

Syarikat itu menekankan komunikasi, pengumpulan maklumat, dan sememangnya, membina hubungan sebagai cara untuk membaca pasaran dan bertindak balas terhadap keperluannya. "Apabila kita bercakap tentang membawa masuk jenama tertentu," jelas Wong, "kita bercakap dalam kalangan ahli keluarga kita tentang bagaimana dan jika kita perlu melakukannya. Kami bertukar-tukar banyak maklumat dan bukan hanya di atas kertas. Anda perlu bekerja melalui pasaran, mengumpul maklumat sebanyak mungkin dan itu perlu dilakukan di luar pejabat. Ini adalah sesuatu yang kami cuba ajar dan kembangkan dalam  kalangan pengurus kami.”

Dalam erti kata lain, ia mungkin bukan lagi perniagaan yang dikendalikan oleh keluarga, tetapi kesan pengasas Phoon Huat dan ahli keluarganya terus menandakan cara perniagaan itu dijalankan. Ia, mungkin, ramuan rahsia kejayaan besarnya.

Jean Wong (tengah), cucu kepada Wong Tai Fuang, pengasas syarikat pembekal bahan bakeri Phoon Huat. (Gambar: Phoon Huat)

ERA BAHARU

Cabaran paling segera untuk Phoon Huat adalah menyediakan kakitangan di kedai runcitnya dengan orang yang tepat untuk meningkatkan perkhidmatan pelanggannya. “Sukar untuk mengekalkan bakat kerana pekerja akan dengan senang sahaja meninggalkan untuk pekerjaan yang lebih mudah. Apabila mereka bekerja dengan kami, mereka perlu belajar membakar kek/roti, memahami produk yang berbeza, dan melakukan dagangan pada masa yang sama.”

Walaupun menghadapi cabaran ini, Phoon Huat mempunyai rancangan untuk meningkatkan jualan runcitnya dengan menempatkan pakar pembuat kek/roti di kedainya yang akan mengadakan demo membuat kek/roti, menjawab pertanyaan pelanggan dan menawarkan petua, idea dan sampel produk.

Phoon Huat memang sekian lama perintis utama produk-produk membuat kek atau roti termasuk  menyediakan ramuan-ramuan seperti campuran kek dan wafel yang popular, serbuk jeli konnyaku, pewarna makanan, dan sirap pekat minuman di bawah jenama RedMan. Kini ia terus berkembang dengan bertindak responsif terhadap permintaan pasaran. 

Cawangan salah sebuah kedai Redman oleh Phoon Huat di pusat beli-belah Star Vista. (Gambar: Phoon Huat)

"Antara perkara yang pertimbangkan adalah ramuan yang berasaskan tumbuhan dan bebas gluten, serta syarikat yang berkembang di Singapura," kata Wong. "Kami bekerjasama dengan Ants Innovate, yang menggunakan serbuk protein kacang untuk menghasilkan daging bak kwa berasaskan tumbuhan.” 

Meluaskan produknya menjangkau luar daripada bahan-bahan pembuatan kek, ia kini turut menjual produk seperti pasta, sosej, minyak truffle premium dan kaviar. 

Pada tahun 2021, ia memperkenalkan RedMan Gourmand, kedai runcitnya yang menawarkan set bento segar dan hidangan bermusim, seperti yusheng untuk Tahun Baharu Cina dan ayam belanda panggang untuk Krismas.

Ketika syarikat Phoon Huat sedang melangkah ke era baharu, harapan peribadi Wong untuk syarikatnya adalah mahu melihat adanya pengurusan pertengahan yang kukuh yang boleh memacu perniagaan ke hadapan dengan produk baharu dan lebih baik. 

"Mudah-mudahan, satu hari nanti, kita akan mempunyai kedai runcit berautonomi," katanya.

Bukanlah mustahil untuk menjangkakan syarikat Singapura ini, yang dibina berdasarkan usaha pengasasnya yang hanya berbekalkan sebuah basikal, akan suatu hari nanti menjadi peneraju dalam pengendalian kedai-kedai runcit tanpa sentuhan manusia.
 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris. 

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini tentang bahaya mainan belon plastik dari zaman kanak-kanak ini yang mengandungi bahan kimia. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/nm(ih)

Advertisement

Also worth reading

Advertisement