Pesara tentera Singapura ini berjaya tewaskan barah untuk mulakan hidup baru sebagai peniaga pastri
Pejuang lawan barah Fuad Fahmi memulakan niaga bakeri Captain Roti dari rumahnya yang menjual pastri seperti roti kroisan dengan sentuhan selera tempatan.
SINGAPURA: Aroma wangi pastri yang baru dibakar menusuk ke hidung tatkala Encik Fuad Fahmi membuka penutup ketuhar.
Inilah roti kroisan (juga dikenali sebagai roti bulan sabit) berwarna coklat keemasan dan berintikan rendang ayam yang menjadi resipi Encik Fuad sejak dia mulakan perniagaan itu.
Sambil menarik dulang keluar, dia memeriksa setiap kroisan dengan teliti dan menghiris pastri itu dengan berhati-hati. Dia kemudian meletakkan daun limau purut segar di atas setiap kroisan dan menambah sedikit pewarna sebagai hiasan.
Ketika ditemui CNA di ruang bilik yang dijadikan sebagai dapur membakar roti, Encik Fuad yang berusia 34 tahun, dilihat cergas dan bersemangat menyiapkan menu jualannya.
Namun, dia yang kini kelihatan sihat dan ceria itu tidak sama keadaannya enam tahun lalu ketika dia bertarung nyawa melawan barah.
MELAWAN BARAH
Ia bermula dengan kesakitan di bahagian bawah belakangnya diikuti dengan rasa mual dan penurunan berat badan yang ketara.
Dua bulan kemudian, pada Disember 2016, hasil ujian kesihatan mengesahkan bahawa beliau menghidap penyakit barah koriokarsinoma tahap empat, barah pada sel kuman.
"Saya hanya ada 5 peratus peluang kelangsungan hidup," kata Encik Fuad.
“Ia bersifat agresif dan barah itu telah merebak ke bahagian organ lain seperti paru-paru, kelenjar limfa. Ia naik ke atas dari kawasan testis dan sudah merebak ke saraf tunjang dan kebimbangan adalah ia mungkin sampai ke otak."
Berita sedih itu mengejutkan pesara kapten Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), yang juga merupakan seorang jurulatih tentera ketika itu.
“Saya sentiasa menjadi seorang yang menyokong gaya hidup sihat dan seimbang. Secara peribadi, saya memupuk tabiat pemakanan yang baik, gemar pergi gim dan bersukan sepanjang masa, jadi amat sukar untuk menerimanya,” katanya.
Dia segera memulakan rawatan kemoterapi yang akhirnya melalui lapan pusingan secara keseluruhan, tetapi ia memberi kesan ketara pada tubuhnya.
"Rawatannya sangat, sangat keras dan saya terkena banyak kesan sampingan, seperti cirit-birit dan loya, dan juga diserang demam panas kerana rawatan itu sendiri," katanya, sambil menambah bahawa dia mengalami banyak pendarahan pasca-pembedahan dan kakinya menjadi lemah.
"Menjelang peringkat akhir rawatan, saya benar-benar berasa seperti berputus asa dan saya memberitahu ayah saya: 'Saya tidak mahu menjalani kemoterapi lagi, saya tidak mahu lagi. Biarkan saya bersendirian dan jika sudah tiba masanya untuk saya pergi, saya akan pergi," tegas Encik Fuad.
Tetapi keluarga dan isterinya - yang sebelum itu teman wanitanya - enggan berputus asa dan sebaliknya, tidak jemu memberi dorongan kepadanya untuk terus berjuang.
"Mereka betul-betul bersatu menentang barah dan memberi saya sokongan yang hebat, bukan saja menggalakkan saya tetapi juga membantu menjadikan masalah yang ada menjadi lebih terurus serta mencari huraian," katanya.
“Mereka juga sentiasa mengingatkan saya bahawa saya perlu berjuang untuk orang yang saya sayang dan saya masih muda dan masih banyak lagi yang perlu dicapai dalam hidup.”
Usaha mereka membuahkan hasil, dan pada Ogos 2019 - sembilan bulan selepas Encik Fuad pertama kali didiagnos menghidap barah tahap empat itu - doktor memberitahu bahawa dia sudah sihat.
"Bila doktor beritahu berita bahawa tiada lagi penanda barah dalam badan saya, saya tidak percaya," katanya.
“Saya tidak mampu berkata-kata, saya hanya memandang ayah saya dan peluknya. Saya kata: ‘Inilah yang telah kita perjuangkan. Mari kita mulakan hidup baharu.' ... Saya terlalu gembira.”
PERMULAAN HIDUP BAHARU
Encik Fuad membuat keputusan untuk meninggalkan SAF kerana mahu memberi tumpuan pada kesihatan dan kesejahteraannya. Dia kemudiannya meneroka kerjaya lain termasuk bidang jualan dan logistik.
Dia sempat berkhidmat di sebuah kedai karipap di Tampines. Pengalamannya yang singkat disitu mencetuskan idea untuk memulakan usaha niaga bakeri beliau sendiri.
“Ada seorang pakcik ini ketika itu membuat roti di sana. Saya bertanya kepadanya sama ada dia boleh mengajar saya, dan dia berkongsi resipi ringkas tentang cara membuatnya dan ia agak menarik minat saya,” katanya.
"Saya suka akan idea membuat produk dengan hasil tangan saya sendiri dan berkongsi makanan dengan keluarga saya dan masyarakat."
Minatnya dalam bidang membuat roti dan pastri terus berkembang apabila dia belajar sendiri cara membakar menerusi video di YouTube.
Encik Fuad, yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang kulinari, tidak lama kemudian mendapati dirinya bereksperimen dengan resipi yang lebih rumit termasuk pastri jenis 'viennoiserie'.
Pada Februari tahun lalu, dia mula menjual pastrinya sebagai perniagaan sampingan, di media sosial menerusi jenama Captain Roti.
Sebulan kemudian, hasil maklum balas yang memberangsangkan, dia memutuskan untuk berhenti kerja sebagai seorang pengurus di sebuah firma logistik untuk menumpukan pada perniagaan bakeri.
Hari ini, Encik Fuad menjual antara 2,000 hingga 2,500 pastri sebulan dan memasang impian untuk menubuhkan akademi bakeri sendiri pada masa hadapan.
"Saya tidak pernah sangka saya berada di tahap sekarang," katanya. “Saya sentiasa fikir sebelum ini bahawa saya mahu ada kerjaya yang bagus dengan SAF atau mungkin di tempat lain di luar. Tetapi di sinilah saya, melakukan sesuatu yang saya suka, walaupun minat ini baru saja diterokai.
“Tetapi ini bukti bahawa tiada yang terlambat dan sentiasa ada jalan di mana anda boleh menunjukkan kreativiti anda atau mencari jalan anda melalui – apa saja rintangan yang menghalang jalan anda,” katanya.
"Bila saya imbas kembali seluruh perjalanan saya, termasuk perjuangan saya melawan barah, saya berasa sangat bersyukur dan banyak penghargaan yang perlu diberikan sepanjang perjalanan ini."
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini tentang mangsa banjir Batu Pahat, Johor yang menyuarakan kebimbangan mereka kerana paras air yang masih belum surut.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.