Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

'Bilakah ini akan berakhir?': Mangsa banjir di Batu Pahat, Johor menanti air surut susulan cuaca bertambah baik

Selepas berpindah dari rumah mereka selama beberapa hari, penduduk daerah Batu Pahat yang terjejas teruk dilanda banjir suarakan kebimbangan mereka kerana paras air yang masih belum surut.

'Bilakah ini akan berakhir?': Mangsa banjir di Batu Pahat, Johor menanti air surut susulan cuaca bertambah baik
Sebuah rumah di daerah Yong Peng sebahagiannya ditenggelami air pada 6 Mac 2023. (Gambar: CNA/Amir Yusof)

BATU PAHAT, Johor: Sudah lima hari Encik Muhammad Isa Sulaiman terpaksa mengosongkan rumahnya di Parit Awang berikutan air banjir yang semakin meningkat akibat hujan lebat berterusan. 

Encik Muhammad Isa bersama isteri dan empat orang anaknya telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sementara menunggu air banjir surut.

"(Ia) sangat mengecewakan sebab ingatkan lima hari sudah cukup untuk paras air turun dan kami pun boleh balik ke rumah, tetapi sehingga hari ini, bumbung (rumah) saya masih tenggelam," kata Encik Muhammad Isa, 58, kepada CNA pada Isnin (6 Mac).

Pesara itu hanya boleh masuk ke rumahnya melalui bot kerana air banjir di seluruh kampungnya kekal pada paras dada atau lebih tinggi.

"Saya sudah tak balik sejak Rabu lalu dan saya sangat risau tentang barang berharga kami. Kami ada kereta, peti ais, mesin basuh dan beberapa ekor ayam, saya rasa semuanya sudah tiada," tambah Encik Muhammad Isa.

"Bilakah ini akan berakhir?" soalnya. 

Encik Muhammad Isa dan keluarganya adalah antara puluhan ribu penduduk kampung yang terjejas akibat banjir di Johor sejak minggu lalu.

Penduduk di Parit Awang tidak dapat mengakses kediaman mereka dengan berjalan kaki dan memerlukan bantuan bot kerana paras air banjir masih tinggi. (Gambar: CNA/Amir Yusof)

Mengikut perangkaan, lebih 50,000 mangsa banjir dilaporkan masih berada di PPS setakat petang Isnin. Johor adalah negeri yang paling teruk terjejas. 

Setakat petang Ahad, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor mengesahkan bahawa seramai 49,450 orang telah dibawa berpindah ke PPS. 

Tambah jawatankuasa itu, Batu Pahat merupakan daerah paling teruk dilanda banjir di negeri selatan itu dengan seramai 20,767 orang ditempatkan di PPS. 

Penduduk Batu Pahat beratur untuk mengambil selimut, bantal dan berus gigi di pusat pemindahan sementara (PPS) di Yong Peng. (Gambar: CNA/Amir Yusof)

Beberapa penduduk Batu Pahat yang ditemui CNA berkata, mereka bimbang air banjir masih belum surut dan tidak dapat kembali ke kediaman mereka. Penduduk juga bimbang dengan kerosakan barang berharga dan harta benda mereka. 

Menurut Encik Muhammad Isa, dia menganggarkan kerugian barangannya yang tidak sempat diselamatkan mencecah RM50,000 (AS$11,117). 

"Saya harap kami dapat balik (ke rumah) dan mula membaiki apa yang rosak tidak lama lagi. Harapnya pihak berkuasa dapat membantu mengepam air keluar (dari kawasan banjir)," katanya.

Sementara itu, Encik Ong Chee Wee, seorang penduduk Parit Yaani dekat Yong Peng, memberitahu CNA bahawa tinggal di PPS menghampakannya bersama isteri dan tiga orang anaknya.

Kata Encik Ong, keluarganya mengosongkan rumah mereka pada pagi Khamis dan mereka telah tinggal di dalam khemah di Sekolah Tinggi Yong Peng, selepas paras air di rumah mereka naik ke paras pinggang dalam tempoh semalaman.

"Memang susah. Tempatnya sedikit sesak dan kadangkala kita rasa kecewa sebab terpaksa beratur untuk mendapatkan makanan, bantal dan juga selimut," kata lelaki berusia 43 tahun itu. 

"Ia tidak selesa. Saya harap cuaca baik berterusan dan kita boleh balik tidak lama lagi," tambahnya.

Walaupun Batu Pahat telah dilanda hujan lebat sejak minggu lepas, cuaca bertambah baik pada Isnin apabila matahari kelihatan muncul dan suhu panas. Penduduk berharap cuaca baik akan berterusan dalam beberapa hari akan datang.

Encik Mohd Shah Haji Ahmad, seorang penduduk Parit Awang, memberitahu CNA bahawa banjir baru-baru ini membangkitkan kenangan pahit yang berlaku pada 2006 apabila Batu Pahat turut dilanda banjir besar.

“Ramai di antara kita mempunyai bot di rumah sebagai langkah berjaga-jaga selepas apa yang berlaku pada 2006. Saya rasa banjir kali ini sama teruk, paras air tinggi dan kerosakan yang kami alami agak teruk,” katanya. 

Encik Mohd Shah boleh masuk ke rumahnya tetapi menggunakan bot bermotor kecil. Bagaimanapun, dia masih tidak dapat masuk kerana paras air masih melepasi bumbung rumah. 

"Saya cuma takut air banjir yang tinggi ini akan kekal sampai ke minggu depan. Saya rasa kita sudah tidak mampu menanggungnya," tambahnya.

Penduduk kampung yang terjejas banjir berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Yong Peng. (Gambar: CNA/Amir Yusof)

Encik Ling Tian Soon, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, melawat Sekolah Tinggi Yong Peng pada Isnin untuk bercakap dengan penduduk.

Katanya, beliau tidak dapat memberikan sebarang jangka masa bila air banjir akan surut. Jelasnya, paras air masih kekal tinggi di kebanyakan kawasan terjejas. 

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa penduduk akan dapat pulang ke rumah masing-masing tidak lama lagi sekiranya cuaca terus baik dan hujan tidak berterusan. 

"Biasanya apabila berlaku banjir di Yong Peng, banjir itu lebih lama. Ia bukan banjir kilat. Ini kerana hujan lebat menyebabkan Sungai Bekok melimpah," kata Encik Ling kepada CNA. 

Menurutnya, dua hari lalu, hujan berhampiran Sungai Bekok mencecah 69mm tetapi pada Ahad ia direkod sebanyak 4mm.

"Kalau cuaca terus baik, kita boleh atasi banjir ini. Tetapi kalau hujan turun lagi, kita mungkin tidak dapat mengekalkannya," tambah ahli politik dari Malaysian Chinese Association (MCA), sebuah parti komponen gabungan Barisan Nasional. 

Kata Encik Ling lagi, usaha tebatan banjir yang diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah satu berita baik buat penduduk Batu Pahat dan ini bermakna pihak berkuasa mempunyai lebih banyak dana untuk menaik taraf langkah tebatan dan menghalang Sungai Bekok daripada melimpah.

Kebanyakan penduduk di Batu Pahat berkata mereka bimbang rumah dan kereta masih ditenggelami air banjir yang belum surut. (Gambar: CNA/Amir Yusof)

Selepas melawat sebuah PPS di Segamat Ahad lalu, Encik Anwar berkata projek tebatan banjir, terutamanya di Johor, akan disegerakan dan dimulakan pada Jun.

“Selepas ini kita mahu menambah baik sistem perparitan, menguruskan aliran air dan diharap dapat mengelakkan perkara seperti ini berulang lagi,” tambahnya.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris. 

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini tentang usaha sebuah keluarga menghargai jasa petugas dengan menyediakan minuman percuma di luar rumah mereka. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/nm(ih)

Advertisement

Also worth reading

Advertisement