'Bila nampak langit gelap, perasaan takut mula datang': Mangsa banjir di Malaysia trauma, tragedi mungkin berulang
Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia pada 10 Okt, CNA melihat bagaimana perubahan iklim yang memburukkan lagi banjir tahunan, mengakibatkan ramai mangsa banjir mengalami kesan kesihatan mental jangka panjang seperti PTSD.
KUALA LUMPUR: Bagi Abdul Rahman Said, peristiwa hitam kejadian ribut dan banjir yang mengorbankan seluruh ahli keluarganya pada Julai lalu terus menghantuinya.
Mengimbau kembali tragedi berulang itu, jeritan jirannya masih terngiang-ngiang ditelinganya, serta bagaimana gelombang air keruh yang menenggelamkan rumah kayunya masih kuat dalam ingatan.
Pada petang 4 Julai, warga emas berusia 71 tahun itu sedang keluar menjalankan tugas. Hujan lebat dan ribut menyebabkan Sungai Kupang melimpah, mencetuskan banjir yang memusnahkan lapan rumah di Kampung Iboi, dekat Baling di negeri Kedah utara Malaysia.
Abdul Rahman hanya mampu melihat dari atas bukit ketika isterinya, anak angkat dan menantu perempuannya yang sedang hamil empat bulan dihanyutkan arus deras ketika terkandas di rumah mereka.
“Saya mahu turun (untuk menyelamatkan mereka) tetapi anak saudara saya dan orang kampung yang lain menghalang saya. Mereka kata kalau saya pergi, saya pasti akan mati,” kata pesara itu.
"Saya hanya duduk atas tanah, menekup muka saya dengan tangan supaya saya tidak boleh tengok (apa yang berlaku) dan mengetap gigi saya. Saya terpaksa menahan perasaan saya,” tambah Abdul Rahman.
Mayat ketiga-tiga mereka ditemui oleh penyelamat sehari kemudian dalam keadaan berpelukan di bawah timbunan batang pokok.
Dengan tekanan dirasainya, Abdul Rahman baru-baru ini membuat pengakuan kepada ketua kampung bahawa dia mengalami masalah psikologi akibat episod buruk menimpanya itu.
“Sudah dua bulan tetapi saya rasa macam baru minggu lepas ia berlaku. Ia bermain-main dalam fikiran dan perasaan saya,” katanya.
Tambahnya, memori pahit itu seolah membawanya ke suatu ruang yang gelap, hilang selera makan dan menyebabkannya tidak dapat tidur malam.
“Pada tengah malam, saya akan terjaga dalam keadaan berpeluh, kesejukan dan sedar bahawa isteri saya sudah tiada,” kata Abdul Rahman.
Dia adalah antara rakyat di Malaysia yang mengalami gangguan tekanan pasca trauma (PTSD) akibat kejadian banjir.
Kejadian banjir di Malaysia semakin meningkat sejak kebelakangan ini, dengan beberapa pakar menunjukkan perubahan iklim sebagai antara faktornya.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, angka median orang di Malaysia yang terdedah kepada banjir dahsyat antara 1971 dan 2004 ialah sebanyak 73,212 orang. Bagaimanapun, ini diunjurkan meningkat kepada 175,502 antara 2035 dan 2044.
“Kekerapan dan keterlaluan kejadian banjir (di Malaysia) telah meningkat dalam beberapa dekad kebelakangan ini dengan unjuran ia boleh meningkat akibat pemanasan global yang berterusan,” kata laporan itu yang dikeluarkan pada 2021.
Pakar kesihatan mental di Malaysia menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan bilangan mangsa banjir yang menunjukkan tanda-tanda tekanan pasca trauma. Kes sedemikian boleh bermula dengan kemurungan dan keresahan serta kesannya boleh membawa kepada lebih banyak kes bunuh diri dilaporkan.
Pakar kesihatan mental Andrew Mohanraj, yang juga presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), memberitahu CNA bahawa mereka yang mengalami PTSD akibat banjir berkemungkinan melaporkan perasaan cemas, kemurungan dan paranoia yang teruk.
"Seseorang yang mengalami PTSD akan menunjukkan simptom seperti sangat mudah marah, melakukan kekerasan terhadap orang lain, tidak cukup tidur, serta rasa bersalah dan sangat malu atas apa yang berlaku," kata Mohanraj.
"Dan sudah tentu, lebih malang, dalam usaha untuk menangani perasaan itu, individu tersebut mungkin cenderung menggunakan strategi salah dalam menangani masalah, seperti menyalahgunakan bahan-bahan termasuk ubat tidur dan alkohol. Dan, lebih sedih, dalam beberapa kes, ini membawa kepada kes bunuh diri juga,” tambahnya.
Dalam kes Abdul Rahman, dia dirujuk kepada kaunselor dari Kementerian Kesihatan dan menjalani ujian mingguan untuk memantau tahap traumanya.
“Apabila langit mula gelap dan saya dengar guruh, saya mula rasa takut. Saya tidak pernah takut dengan hujan lebat seperti yang saya rasa sekarang,” katanya kepada CNA.
Rohini Krishnan, kaunselor dari Perkhidmatan Kaunseling Meraky yang telah merawat mangsa banjir di Kedah, berpendapat bahawa tahap trauma Abdul Rahman berkemungkinan tinggi memandangkan kesedihan dan musibah yang perlu ditanggungnya begitu berat.
“Kehilangan orang tersayang pasti akan memburukkan lagi kesan trauma kepada individu… kerana ia sesuatu yang jauh lebih besar daripada kehilangan harta benda dan barang berharga,” katanya.
“Bagi kes sedemikian, individu terbabit mungkin berada di tahap lapan atau sembilan atau 10 (dari skala 10). Kaunselor perlu duduk (bersamanya) dan melakukan banyak pemprosesan dan luahan untuk membantu pemulihan,” tambahnya.
Bulan lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata Malaysia menyaksikan peningkatan 81 peratus kes bunuh diri secara keseluruhan pada 2021. Sebanyak 1,142 kes dilaporkan tahun lepas berbanding 631 kes pada 2020. Beliau berkata punca utama kes bunuh diri adalah masalah kesihatan mental yang semakin memburuk disebabkan pandemik COVID-19.
RESAH, TAKUT AKAN HUJAN
Trauma tidak semestinya hanya berlaku kepada mangsa banjir yang kehilangan orang tersayang.
Zaili Man yang turut terkesan dengan banjir di Baling pada Julai lalu, kehilangan rumah, ternakan dan semua peralatan yang digunakan untuk perniagaan di restorannya.
"Kami tidak berani pulang ke rumah selama sebulan kerana kami semua mengalami trauma," kata lelaki berusia 42 tahun itu, yang tinggal bersama isteri dan tiga anaknya berusia 15, 12 dan lapan tahun di Kampung Bendang Padang.
Apabila banjir berlaku, mereka berlima mencapai apa sahaja harta benda yang dapat dibawa dan meredah banjir ke pusat pemindahan terdekat.
“Ia seperti tsunami, ombak besar dengan timbunan kayu menghempas rumah kami yang kecil. Jika ia berlaku pada waktu malam, tanpa cahaya matahari, kami semua mungkin boleh mati,” kata Zaili.
Sejak kejadian itu, dia berkata seluruh ahli keluarganya mengalami kesukaran untuk tidur malam dan sentiasa "berwaspada".
Marniza Othman, seorang pengurus operasi yang tinggal di Kampung Melayu Subang, Selangor, menceritakan bagaimana seluruh ahli keluarganya berdepan trauma selepas apartmen mereka di tingkat bawah dilanda banjir besar akhir tahun lalu.
Ia adalah kejadian banjir terbesar di Malaysia sejauh ini dengan hujan lebat turun selama dua hari pada Disember 2021, sekaligus mencetuskan situasi yang disifatkan oleh pihak berkuasa sebagai fenomena "yang berlaku setiap seratus tahun sekali".
Kejadian banjir itu, yang menjejaskan penduduk di sembilan negeri, menyebabkan lebih 70,000 orang hilang tempat tinggal dan 54 orang maut.
Memori pahit Marniza tentang banjir terus menghantuinya. Dia dan tiga anaknya yang masih kecil pada mulanya terperangkap di dalam rumah flat mereka ketika air masuk melalui pintu begitu pantas.
Dia dan suaminya segera membawa anak-anak keluar dari kawasan itu sambil meredah air yang penuh dengan serpihan berbahaya.
“Bagi anak-anak, (paras air) berada pada ketinggian paras dagu mereka. Ada ketikanya mereka tidak boleh bergerak dan terlanggar dengan beberapa perabot," kata Marniza.
Keluarga itu akhirnya berjaya menyelamatkan diri ke rumah ibu mertuanya berhampiran tetapi mimpi ngeri itu tidak berakhir di situ.
Selepas dua malam menumpang di rumah orang, mereka sekeluarga pulang ke kediaman mereka dan mendapati dinding serta lantai dipenuhi dengan kesan lumpur. Semua harta benda seperti album gambar perkahwinan, mesin basuh, dapur dan peti sejuk rosak dan tidak dapat dibaiki lagi.
Mereka juga terpaksa membersihkan serangga seperti lipan, ulat gonggok, lipas, malah haiwan berbisa seperti ular ditemukan dari lantai yang lembap itu.
“Impak psikologi adalah teruk, terutamanya kepada kanak-kanak. Walaupun dalam jangka masa yang sekejap, sejam, dua jam, anak-anak akan bertanya ‘Banjir lagi ke?’ ‘Hujan ni berapa lama?’” kata Marniza.
"Sekarang bila kita pergi ke mana-mana sungai, mereka tidak akan berenang. Sebab mereka kaitkan aliran air ini dengan apa yang mereka alami semasa banjir,” tambahnya.
Ketika ditanya sama ada dia mempertimbangkan untuk mendapatkan bantuan psikiatri untuk ahli keluarganya, tegas Marniza mereka komited untuk cuba mengatasi fobia dan trauma itu dengan bergantung pada satu sama lain.
BAGAIMANA PTSD DALAM KALANGAN MANGSA BANJIR DIRAWAT
Bagaimanapun, ada mangsa yang terjejas akibat banjir besar tahun lalu menghubungi pihak berkuasa dan badan-badan untuk mendapatkan bantuan.
Mohanraj dari MMHA menyatakan bahawa susulan banjir pada akhir 2021, persatuan itu menerima 127 panggilan telefon daripada penduduk yang mahu mendapatkan bantuan psikologi. Daripada jumlah itu, 25 orang menunjukkan gejala PTSD dan akhirnya didiagnosis.
“Apa yang MMHA lakukan ketika itu adalah menawarkan sokongan psikologi (kepada semua pemanggil) melalui ahli psikologi klinikal dalaman kami. Dan bagi 25 yang dikenal pasti menghidap PTSD, sokongan yang lebih khusus diberikan daripada pakar psikiatri kami, termasuk dengan memberi preskripsi ubat,” katanya.
Mohanraj mengimbas kembali bagaimana MMHA membant kes seorang wanita pertengahan umur, yang mengalami PTSD teruk selepas berasa bersalah yang melampau apabila melihat jirannya yang kurang upaya (OKU) meninggal dunia akibat banjir.
Dia adalah antara ribuan yang dipindahkan dari rumah mereka di Hulu Langat, Selangor pada Disember 2021.
Wanita itu mengalami keresahan, stres akut dan juga kecenderungan untuk membunuh diri, katanya.
Dengan sokongan suaminya, wanita itu mendapatkan bantuan rawatan dari MMHA - yang diberikan dalam bentuk campur tangan psikiatri dan preskripsi ubat jenis antidepresan - perencat pengambilan semula serotonin terpilih.
Tambah Mohanraj, selepas keadaannya stabil, wanita itu dirujuk kepada pakar psikologi klinikal untuk terapi tingkah laku kognitif.
“Saya fikir dia telah melakukannya dengan sangat baik. Dia pernah mengusahakan kedai runcit di kawasan kejiranan tetapi untuk sementara waktu dia tidak dapat menjalankannya kerana dia mengalami disfungsi pekerjaan sosial (berikutan kesan PTSD),” kata Mohanraj.
"Kini dia telah kembali dan menjaga kedai," tambahnya.
Abdul Rahman, yang kehilangan keluarga akibat banjir di Baling, memberitahu CNA bahawa rawatan dan terapi oleh kaunselor Kementerian Kesihatan telah membantunya keluar dari belenggu kesedihannya itu.
“Untuk hilangkan perasaan sedih ini dan kawal emosi saya, mereka telah memberi saya tip-tip seperti menarik nafas dalam-dalam, memikirkan fikiran yang menggembirakan dan balik kepada ajaran agama untuk menenangkan saya,” katanya.
"Skor ujian trauma saya yang terbaru menunjukkan saya masih mengalami trauma. Tetapi saya optimis bahawa saya akan pulih, dengan pertolongan Tuhan dan masyarakat kampung di sekeliling saya.”
LEBIH BANYAK BANJIR BOLEH CETUS TRAUMA
Dengan pihak berkuasa memberi amaran bahawa monsun timur laut akan bermula pada Oktober dan seterusnya boleh mencetuskan hujan lebat, terdapat kebimbangan dalam kalangan penduduk bahawa mereka mungkin terpaksa berdepan sekali lagi pengalaman traumatik mereka itu.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada September, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) berkata cuaca lembap berkemungkinan melanda sebahagian negara itu sehingga Februari 2023, dengan angin kencang dijangka dari pantai timur Semenanjung Malaysia.
Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob mengeluarkan kenyataan pada 12 Sep, menekankan bahawa kerajaan sedang membuat persiapan awal untuk menghadapi banjir besar yang akan berlaku.
Beliau berkata jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat daerah diarah segera diaktifkan manakala dana diperuntukkan untuk menyediakan bot fiber di kawasan tertentu.
Kerajaan negeri Selangor juga telah mengeluarkan amaran beberapa ribut petir beserta air pasang di kawasan pantai yang boleh membawa kepada "air pasang besar" bagi mereka yang tinggal di Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
Marniza, yang pangsapurinya terletak berhampiran Klang dan bersebelahan dengan sungai yang mengalir, berkata dia dan suaminya akan mempertimbangkan untuk berpindah jika banjir berterusan.
"Anak-anak takut, mereka tidak berani pergi dekat sungai lagi ... Jika banjir berulang tahun ini dan rumah kami dilanda lagi, kami mungkin tidak mempunyai pilihan selain berpindah," kata Marniza.
"Berpindah ke lokasi yang lebih selamat akan tenangkan fikiran kami," tambahnya.
Sekiranya banjir melanda lagi tahun ini, Marniza berkata dia telah menyediakan beg kecemasan untuk keluarga yang mengandungi pakaian, barangan penting. Mereka juga telah merangka laluan untuk melarikan diri dengan cepat ke pusat pemindahan sementara terdekat.
Seperti Marniza, penduduk lain di seluruh negara sedar tentang bagaimana perubahan iklim boleh mencetuskan corak cuaca yang tidak menentu yang boleh memberi kesan kepada kehidupan seharian mereka.
Berdasarkan tinjauan Mediacorp yang meninjau 1,000 penduduk di beberapa kawasan berlainan di Malaysia, 73 peratus daripada responden mengakui bahawa perubahan iklim telah memberi kesan yang ketara, signifikan atau luar biasa terhadap kesihatan mental mereka. Baki 27 peratus berkata bahawa perubahan iklim langsung tidak memberi kesan atau hanya sedikit.
Dalam persediaan berdepan kejadian cuaca yang lebih ekstrem, Mohanraj dari MMHA menggesa kerajaan meningkatkan kesediaan untuk membantu lebih awal mangsa banjir yang mengalami PTSD. Katanya, ini perlu dilakukan dengan memastikan pasukan barisan depan diberi latihan mengenai pertolongan cemas psikologi.
Jelasnya, banjir akan yang mungkin berulang di Malaysia tidak dapat dielakkan, dan pihak berkuasa seharusnya mengenal pasti dan merawat mangsa yang mengalami PTSD sebelum gejala menjadi lebih teruk.
“Walaupun saya tidak mahu bencana seperti ini berlaku … banjir akan tetap berlaku,” kata Mohanraj.
“Kerajaan mesti segera melaksanakan latihan pertolongan cemas psikologi kepada kumpulan orang seperti pegawai kerajaan serta pasukan barisan depan. Terdapat bukti kukuh yang menyokong penemuan bahawa jika pertolongan cemas psikologi diberikan pada masa yang sesuai, apa yang anda buat itu sebenarnya akan menghalang PTSD nanti,” tambahnya.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai juara badminton Singapura Loh Kean Yew sebagai pemain ranking lima teratas dunia.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.