Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Membendung pencemaran marin: Pelajar Sabah cuba hasilkan bioplastik dari rumpai laut

Mereka bertiga sedang bereksperimen dengan rumpai laut merah tempatan untuk membuat bioplastik yang boleh terurai dalam tempoh empat hingga enam minggu, tidak seperti plastik konvensional yang memakan ratusan tahun.

Membendung pencemaran marin:  Pelajar Sabah cuba hasilkan bioplastik dari rumpai laut
Pelajar Maktab Rendah Sains MARA Semporna (dari kiri) Fahim Nazhan, Muhammad Fauzi Lakarani dan Muhammad Fauzan Lakarani bereksperimen dengan menghasilkan bioplastik diperbuat daripada rumpai laut. (Gambar: CNA/Aqil Haziq Mahmud)

SEMPORNA, Sabah: Pekan Semporna, yang terletak di hujung timur laut Sabah, digelar sebagai “syurga selam skuba” oleh media tempatan.

Pulau-pulau berhampiran pekan ini terkenal dengan pasir pantainya yang putih dan air jernih. Salah satunya ialah Sipadan, yang juga terkenal di dalam dan luar negara sebagai lokasi yang terhad aksesnya bagi aktiviti penyelaman skuba selain penuh dengan hidupan marin.

Tetapi jika pulau-pulau itu adalah 'syurga', Semporna sendiri tidak kurang indahnya. 

Kawasan pantai di Semporna yang dipenuhi dengan sampah-sarap. (Gambar: CNA/Aqil Haziq Mahmud)

Berhampiran sebuah pasar besar yang menjual segala-galanya bermula dengan barangan kering sehinggalah makanan laut, terdapat satu kawasan pantai yang dipenuhi dengan sampah. Di kawasan pantai yang berbatu pula, kelihatan orang awam yang berselipar memijak timbunan botol dan bekas plastik sebelum menaiki bot. 

Di tempat letak kereta yang kosong, kanak-kanak bermain bola sepak di tengah-tengah sampah-sarap yang bertaburan di atas jalan tar dan dan laluan berumput itu. 

Saban tahun, beberapa ulasan perjalanan mengenai Semporna memberi gambaran yang sama. “Semporna yang diisytiharkan sendiri sebagai ‘pintu ke syurga’ mungkin merupakan tempat paling kotor di dunia yang pernah saya lihat setakat ini,” tulis seorang pengunjung dari Switzerland dalam catatan Tripadvisor pada Mei 2019.

Kanak-kanak berjalan di pantai berbatu yang dipenuhi dengan sampah-sarap. (Gambar: CNA/Aqil Haziq Mahmud)

Namun, masih ada harapan sekiranya cita-cita tiga orang pelajar berusia 16 tahun di sebuah sekolah berasrama penuh tidak jauh dari Semporna ini tercapai. 

Perjalanan ke Maktab Rendah Sains MARA melibatkan jalan kecil yang sedikit jauh dari lebuh raya utama, sekitar 20 minit dari pekan Semporna. Jalannya yang bersimpang-siur dan perlu meredah sebuah perkampungan kecil sebelum menuju ke kampus itu, dikelilingi beberapa ekar ladang kelapa sawit.

“Semporna sangat kotor,” kata Fahim Nazhan, pelajar Tingkatan 3 di situ. “Pantai di bahagian tanah besar, airnya jernih dan kini bertukar menjadi (warna) perang. Ia semakin tercemar.”

Majlis Amanah Rakyat, atau MARA, ialah sebuah agensi kerajaan yang membantu dan melatih Bumiputera dalam bidang perniagaan dan perindustrian.

Peringatan bertulisan tangan ‘jaga kebersihan’ tertera pada dinding di sebuah kawasan pembinaan di Semporna. (Gambar: CNA/Aqil Haziq Mahmud)

Menurut National Geographic, kira-kira 18 bilion paun sisa plastik dari kawasan pantai mengalir ke lautan setiap tahun. Plastik ini boleh mengancam hidupan laut, contohnya apabila mereka disalah anggap sebagai makanan atau tercekik. 

Inilah yang mendorong Fahim bersama dua rakan sekelasnya, pasangan kembar seiras Muhammad Fauzan Lakarani dan Muhammad Fauzi Lakarani, untuk mengikuti ujian atau eksperimen yang dimulakan oleh senior mereka.

Matlamat eksperimen mereka adalah mahu menggunakan Kappaphycus, sejenis rumpai laut merah yang biasa ditemui di Sabah, untuk menghasilkan bioplastik yang boleh terurai dalam masa kira-kira empat hingga enam minggu. Lazimnya, plastik biasa boleh memakan masa ratusan tahun untuk terurai. 

Tetapi ada cabaran yang perlu mereka hadapi. Mereka mendapati ia agak sukar dan mahal untuk menghasilkan bioplastik yang tahan lama serta kalis air seperti plastik berasaskan minyak, yang dihasilkan dalam kuantiti yang banyak dan dijual murah untuk kegunaan harian.

Kemudian terdapat hujah mengatakan bahawa bioplastik - walaupun keupayaannya berpotensi untuk dibuang di mana-mana dan boleh dihapuskan - tidak akan menyelesaikan isu pencemaran plastik, tidak seperti mengurangkan sisa dan mempertingkatkan kaedah kitar semula.

Para pelajar menggunakan Kappaphycus, sejenis rumpai laut merah yang biasa ditemui di Sabah, sebagai bahan mentah mereka menghasilkan bioplastik. (Gambar: CNA/Aqil Haziq Mahmud)

Fauzi berkata dia mahu bioplastik berasaskan rumpai laut itu menjadi "sebahagian daripada penyelesaian".

"Saya berharap projek ini dapat menjadikan bumi ini tempat yang lebih baik kerana kita dapat melihat bahawa plastik adalah masalah besar kepada negara kita," tambahnya.

PENGHASILAN BIOPLASTIK RUMPAI LAUT

Kumpulan itu memutuskan untuk memulakan projek mereka sebagai sebahagian daripada kelas sains tahun lepas, berbekalkan pengetahuan dan pengalaman sains peringkat sekolah menengah yang dikongsi oleh senior mereka.

"Kami memilih rumpai laut kerana ia popular di kawasan ini," kata Fauzi sambil menyatakan bahawa mereka dibesarkan dengan memakan rumpai laut, hidangan yang terdapat di setiap kedai makan tempatan. "Jadi, mudah untuk kami mencari bahan mentah kami."

Di peringkat global, terdapat syarikat yang cuba menggunakan rumpai laut - salah satu organisma yang paling cepat membesar - untuk membuat bioplastik. Pada 2013, Skipping Rocks Lab yang baru ditubuhkan di UK memperkenalkan botol air boleh dimakan yang diperbuat daripada rumpai laut perang.

Pelajar menambah rumpai laut yang telah dikisar ke dalam bancuhan air, tepung jagung dan gliserol. (Gambar: CNA/Aqil Haziq Mahmud)

Di Sabah, kumpulan itu membeli rumpai laut murah daripada petani tempatan - atau kadang-kadang mengambilnya dari pantai - dan membawanya ke makmal sains mereka.

Rumpai laut dikeringkan selama sehari, kemudian dikisar menjadi bahan seperti serbuk. Air, tepung jagung dan gliserol ditambah, kemudian dicampurkan lagi selama 30 minit menggunakan pengacau magnet sehingga hampir bertukar menjadi jeli.

Pelajar memerhatikan reaksi pada solusi hasil bahan formula mereka dalam pengacau magnet. (Gambar: CNA/Aqil Haziq Mahmud)

Langkah seterusnya dan terakhir adalah yang paling kritikal: Larutan itu diletakkan di dalam kabinet pengeringan dan dipanaskan pada 60 darjah Celsius selama 12 jam. Beberapa lama kemudian, larutan itu akan hangus dan menghasilkan produk akhir yang berwarna perang dan rapuh.

Fahim, Fauzi dan Fauzan telah melalui proses yang memakan masa ini berpuluh-puluh kali sepanjang tahun lalu, kebanyakannya menggunakan kaedah ‘cuba dan ralat’. Mereka telah mempelbagaikan jumlah tepung jagung dan tempoh pemanasan selain cuba menentukan kombinasi mana yang menghasilkan keputusan terbaik.

Fahim Nazhan dan Muhammad Fauzan Lakarani memantau solusi mereka di dalam mesin pengering, sambil ditemani guru mereka Shahrul Hafiz Abdul Ghani. (Gambar: CNA/Aqil Haziq Mahmud)

Garis panduan semasa yang digunapakai itu membawa kepada usaha terbaik mereka setakat ini, sekerat bahan keputihan sebesar ibu jari seperti plastik apabila disentuh, tetapi masih terlalu lembut dan terlalu mudah koyak.

Namun, ia adalah suatu kemajuan dalam eksperimen itu memandangkan pelajar hanya melakukannya pada masa lapang mereka. Jadual harian mereka sudah diluangkan dengan aktiviti bilik darjah dan ulang kaji. Hujung minggu pula dikhaskan untuk kelas tambahan dan aktiviti kokurikulum.

Muhammad Fauzan Lakarani memeriksa salah satu prototaip mereka daripada mesin pengering. (Gambar: CNA/Aqil Haziq Mahmud)

Fauzi menceritakan semula detik-detik mereka menghabiskan beberapa malam di makmal sains, bersengkang mata kerana mahu memastikan produk mereka tidak terbakar. Malangnya, dia tertidur dan hanya dikejutkan dengan bau terbakar. 

“Memang mengecewakan apabila ini berlaku sebab prosesnya mengambil masa yang lama dan kita perlu tunggu keputusannya,” kata Fauzi.

Muhammad Fauzan Lakarani (kiri) dan kembarnya Fauzi memerhatikan pengacau magnet. (Gambar: CNA/Aqil Haziq Mahmud)

Bagaimanapun, kumpulan itu tidak berputus asa. Selepas ini, mereka mahu menghasilkan alat perkakas dan straw prototaip, walaupun mereka tidak meletakkan garis masa untuk perkembangan projek. 

Mereka akan mula mengambil mata pelajaran kelas kimia tahun depan, dan mereka merasakan kelas itu akan membantu mereka menjadikan produk mereka lebih tahan lama dengan mengetahui bahan kimia yang perlu ditambah kepada campuran itu. 

Tetapi tegas Fahim, sebarang bahan kimia yang diperkenalkan mestilah dalam kuantiti yang sangat kecil kerana mereka tidak mahu produk mereka membahayakan hidupan marin.

"Sasarannya adalah untuk mengkomersialkannya di Malaysia, mungkin di peringkat antarabangsa," kata Fahim.

SEMAKIN MENCABAR 

Sebuah syarikat berpangkalan di Sabah yang menghasilkan bioplastik berasaskan rumpai laut tahu betapa sukarnya untuk mengkomersialkan produk mesra alam itu. 

“Terdapat banyak masalah teknikal yang perlu kita selesaikan. Industri ini agak selesa dengan prestasi teknikal plastik biasa,” kata Chung Ngin Zhun, yang mengasaskan Rhodomaxx pada 2018.

“Ia adalah dilema di mana industri mahukan sesuatu yang boleh mengurai (biodegrasi), tetapi mereka mahukan sesuatu yang tahan air atau kalis air. Tetapi jika sesuatu bahan itu boleh terurai, ia tidak boleh kalis air.”

Chung percaya syarikatnya adalah yang pertama di Malaysia mengeluarkan produk bioplastik dan pertanian berasaskan rumpai laut. Orang asli Sabah memperoleh bahan mentah secara tempatan dan dari negara seperti Indonesia dan Filipina.

“Kami perlu membersihkan rumpai laut dan membuat proses penulenan. Asid amino, hormon dan lemak semuanya diekstrak untuk bertukar menjadi input pertanian, manakala selulosa diekstrak supaya bertukar menjadi bahan mentah atau bahan kimia prekursor untuk bioplastik kami,” katanya.

Beg plastik berasaskan rumpai laut yang dihasilkan oleh Rhodomaxx. (Gambar: Chung Ngin Zhun)

Rhodomaxx berjaya menghasilkan beg plastik kecil daripada rumpai laut, dan Chung berkata kekuatan tegangannya - atau ketahanan terhadap koyak - adalah "agak serupa" dengan polietilena berketumpatan rendah, bahan yang digunakan untuk membuat beg plastik konvensional.

Tetapi, ia langsung tidak tahan pada air berbanding plastik tradisional. Jadi, menurut Chung, dia perlu mencari pasaran khusus untuk produknya.

Sebagai contoh, produknya akan berfungsi dengan barangan yang dihantar dan diangkut dalam keadaan kering atau yang memerlukan pembungkusan plastik larut air.

Isu lain adalah penetapan harga produk ini kerana Chung menekankan bahawa kos pengeluaran adalah "agak tinggi" dan harga akhir "bergantung sepenuhnya" pada skala ekonomi.

Katanya, walaupun ketika ini industri plastik disokong oleh syarikat petroleum besar, pengeluar bioplastik tidak mempunyai kemampuan yang sama.

Hakikatnya, syarikat Chung mengeluarkan dua jenis produk rumpai laut yang membantu mengurangkan kos pengeluaran.

Rhodomaxx juga menghasilkan baja dan bahan kulit berasaskan rumpai laut. (Gambar: Chung Ngin Zhun)

“Dengan bioplastik, ia agak berbeza kerana ia bukan datang dari satu sumber bahan mentah. Ada juga bahan lain seperti ubi kayu, sisa serat, rumpai laut atau protein,” jelasnya.

“Jadi, tiada ‘Petronas’ atau ‘BP’ untuk industri ini bergantung harap sementara mencari jalan keluar, kerana semua orang melakukan perkara mereka sendiri. Agak sukar untuk mencapai skala ekonomi.”

Chung yakin dari segi proses pengeluaran dan spesifikasi teknikal, syarikatnya tidak begitu tersasar daripada menjadikan bioplastik arus perdana.

"Satu-satunya perkara yang menghalang pertumbuhan bioplastik sebenarnya adalah pengguna plastik atau bahan pembungkusan itu sendiri," katanya sambil menambah bahawa kompromi diperlukan untuk mengimbangi kelebihan dan kelemahan bioplastik itu. 

Akhirnya, Chung berpendapat bahawa projek seperti yang dilakukan oleh tiga pelajar di Semporna itu adalah menggalakkan. Dia berharap agar usaha dari peringkat awal itu akan menarik pemain industri yang lebih besar.

"Semoga ia akan meningkatkan rantaian kepada pembuat dasar dan pemain industri tentang bagaimana sebenarnya cara mengadaptasi langkah-langkah sebegini ke dalam amalan harian, bukannya hanya langkah perhubungan awam atau acah hijau (greenwashing)," katanya.

ADAKAH BIOPLASTIK PENYELESAIAN KEPADA ISU PENCEMARAN LAUT?

Seorang pakar dalam pengurusan sisa pepejal memberi amaran bahawa beberapa hal perlu diambil kira untuk bioplastik digunakan dalam menyelesaikan masalah pencemaran plastik.

“Ia mempunyai potensi, tetapi pada hakikatnya, kami masih berdepan (isu) dalam kebolehlaksanaan menggunakan plastik biodegradasi ini,” kata Haidy Henry Dusim, seorang pensyarah kanan di fakulti sains dan dasar awam di Universiti Teknologi MARA di Sabah.

"Dari segi ketahanannya, mungkin ia tidak sesuai untuk menggantikan semua jenis plastik, terutamanya apabila kita bercakap mengenai botol plastik."

Satu lagi kebimbangan, kata Haidy, adalah bioplastik boleh menggalakkan lagi pembuangan sampah dan menimbulkan lebih banyak masalah untuk pengurusan sisa.

“Ia boleh menjadi mesra alam. Tetapi jika masih ada sikap untuk membuang (plastik), tidak menguruskan sisa pepejal, itu masalah lain,” katanya.

Beliau berkata kerajaan tempatan di Malaysia juga perlu memperkenalkan undang-undang untuk pengasingan sisa wajib bagi meningkatkan kadar kitar semula dan menguatkuasakan dengan lebih tegas terhadap pembuangan sampah.

Satu lagi kawasan pantai tercemar di Semporna. (Gambar: CNA/Aqil Haziq Mahmud)

Pada 2019, The Star melaporkan pihak berkuasa di Semporna memulakan "perang habis-habisan" terhadap golongan kutu sampah, atas arahan ketua menteri Sabah ketika itu Shafie Apdal.

Sekurang-kurangnya sembilan pesalah telah ditangkap dalam satu hari dan diperintahkan membayar denda RM500 (AS$113) atau melakukan kerja-kerja pembersihan.

Pilihan denda terakhir itu menarik perhatian apabila mereka terpaksa memakai ves dengan tertera perkataan "monyet" padanya, selaras dengan tema anti-kutu sampah majlis perbandaran yang menyatakan hanya monyet membuang sampah sesuka hati. 

USAHA KERAS UNTUK CAPAI MATLAMAT

Bagi guru Maktab Rendah Sains MARA itu, Shahrul Hafiz Abdul Ghani, kesedaran bukan saja perlu dipertingkatkan, malah individu juga perlu memainkan peranan dalam mencipta alternatif kepada plastik.

Encik Shahrul, yang menjadi mentor kepada muridnya dalam projek rumpai laut itu, berkata beliau akan menyelia projek itu melalui program lima tahun pelajarnya, sambil menyatakan bahawa dari segi kewangan mereka kini hanya dibiayai oleh sekolah dan kadangkala wang sendiri.

“Jika kita boleh mendapatkan prototaip lain, mungkin pada masa akan datang kita boleh mencari pelabur untuk melabur dalam projek ini. Saya harap ia boleh menjadi produk hebat untuk dijual dan mengurangkan impak pencemaran,” katanya.

Kumpulan pelajar ini ditubuhkan bertujuan untuk menghasilkan beg plastik atau prototaip perkakas. (Gambar: CNA/Aqil Haziq Mahmud)

Buat masa ini, pelajar itu dilihat berada di landasan yang betul. Dalam Tingkatan 2, projek mereka muncul di tempat kedua daripada kira-kira 400 penyertaan sekolah dalam pertandingan sains dan inovasi kebangsaan yang ditaja oleh Samsung.

Sebelum ini, mereka pernah putus harapan dalam menyelesaikan satu projek penulenan air selepas para juri berpendapat bahawa prototaip mereka tidak hampir sama dengan plastik sebenar.

"Kalau kami sudah membuat plastik, saya rasa kami tidak lagi perlu ke sekolah," kata Fahim sambil ketawa.

Mereka juga memberikan sebahagian daripada kemenangan mereka - telefon bimbit, tablet dan fon putik bernilai RM25,000 - kepada senior mereka. 

Ia sebagai tanda penghargaan kepada senior mereka kerana projek bioplastik mereka tidak mungkin terhasil tanpa penyelidikan dan percubaan awal senior mereka.

Apa pun, mereka bukanlah calang-calang sebagai sebuah sekolah kecil di luar bandar ini yang pernah menduduki naib johan dalam pertandingan. Kejayaan diluar jangkaan itu telah membuatkan mereka lebih berazam untuk meraih pencapaian yang lebih besar.

“Saya tidak tahu (sama ada kami akan berjaya), tetapi kami akan cuba. Kami memerlukan keyakinan tetapi kami juga perlu membuat lebih banyak kajian,” tambah Fahim.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.  

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini tentang bagaimana seorang wanita penghidap barah limfoma menangani ujian luar biasa itu bersama suaminya. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/nm(ih)

Advertisement

Also worth reading

Advertisement