Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Warga Singapura ini tidak berat hati untuk kongsi rumahnya dengan orang lain. Apa sebabnya? 

Warga Singapura ini tidak berat hati untuk kongsi rumahnya dengan orang lain. Apa sebabnya? 

Clifford Lam (kanan) membuka rumahnya kepada Devaraj Seval Kumar pada Jun tahun lalu. (Foto: Liew Zhi Xin/CNA)

  • Sebuah rangkaian tidak rasmi warga Singapura telah membuka pintu rumah kepada mereka yang mengalami kesulitan.
  • Para tamunya mungkin tidak mempunyai tempat tinggal tetap atau mempunyai persekitaran rumah yang tidak selamat.
  • Cabaran bagi tuan rumah adalah menetapkan had masa penginapan dan menguruskan jangkaan.
  • Bagi sesetengah tuan rumah usaha ini memberi peluang kepada mereka untuk mengenali dengan lebih diri mereka sendiri.

* Nama-nama telah diubah. 

SINGAPURA: Ada ibu bapa mereka yang bimbang. Rakan-rakan pula khuatir mereka terlalu murah hati. Demikian reaksi yang diterima apabila pasangan muda Zizie Zuzantie Mohamed Said dan Lim Zhong Hao mengalu-alukan seorang wanita gelandangan - yang sedang hamil tujuh bulan - untuk tinggal di flat lima bilik mereka dua tahun lalu.

Pasangan itu tidak terlalu memikirkan perkara-perkara kecil, seperti sama ada mereka akan mencuci pakaian dalam mereka dalam cucian yang sama, atau tentang kemungkinan barang mereka dicuri.

Apabila soalan-soalan ini timbul, kata Zizie, mereka memberitahu diri mereka untuk "cuba mencintai orang lebih daripada mencintai benda-benda".

Pasangan itu, yang merupakan penjawat awam, memang berniat untuk menyediakan ruang selamat kepada orang yang memerlukan sejak tahun 2018, apabila mereka terserampak dengan orang gelandangan di London.

Salah seorang gelandangan itu meninggalkan kesan mendalam, apabila dia memegang papan tanda meminta derma wang supaya dia boleh membayar sewa penginapan satu malam di rumah perlindungan, kata Zizie, 32. “Kami memutuskan bahawa suatu hari nanti, apabila kami mempunyai rumah sendiri, kami ingin melihat bagaimana kami boleh … menjadi tuan rumah kepada individu yang memerlukan.”

Zizie dan suami menunaikan ikrar sejurus selepas berumah tangga pada tahun lalu. Mereka menjadi relawan sebagai rakan bagi kumpulan mendampingi masyarakat yang memerlukan, Homeless Hearts of Singapore. 

Mereka menerima tawaran untuk menjadi tuan rumah tidak lama kemudian.

Suami isteri, Lim Zhong Hao dan Zizie Zuzantie Mohamed Said.

Lim dan empat tuan rumah lain yang telah ditemubual oleh CNA Insider adalah sebahagian daripada rangkaian tidak rasmi warga Singapura yang telah membuka rumah mereka kepada orang yang memerlukan bantuan.

Tetamu ini mungkin tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap, atau persekitaran rumah yang selamat disebabkan oleh keganasan atau konflik keluarga. Biasanya, kes mereka disebarkan dari mulut ke mulut, contohnya dari pekerja sosial.

Oleh itu, terdapat inisiatif komuniti yang dipanggil Rangkaian Rumah Terbuka (OHN) yang telah ditubuhkan pada tahun 2020 dan diilhamkan oleh kisah-kisah individu yang pernah menjadi tuan rumah. Ia bertujuan untuk memberikan sokongan dan struktur kepada mereka yang ingin melakukan perkara yang sama.

Menjadi tuan rumah melibatkan membuka rumah seseorang untuk memberikan tempat perlindungan sementara, "dari hanya beberapa hari hingga enam bulan atau lebih lama", bergantung pada hubungan antara tuan rumah dan tetamu, kata Emma Tang, ketua projek di OHN.

Tetapi membuka rumah sebagai tempat perlindungan kepada orang asing boleh menyebabkan beberapa kesilapan, menurut tuan rumah. Bagi mereka yang menerima kebaikan itu pula, mungkin akan merasa takut pada awalnya, sebelum timbul rasa syukur.

TEMPAT BERLINDUNG YANG SANGAT DIPERLUKAN

Sebelum Ria* dan Farhan* bertemu dengan keluarga Lim, mereka tidur di kawasan tangga selama tiga bulan. Mereka telah berpindah keluar dari rumah keluarga akibat hubungan yang tegang dengan ibu bapa. Mereka kemudian menyewa sebuah bilik,  namun akhirnya diusir kerana tidak mampu membayar sewa.

Walaupun tidur di jalanan sangat sukar, kata Ria, 22 tahun, mereka "sangat takut" untuk pulang ke rumah. Ibu bapa mereka menentang hubungan mereka, dan mereka takut kehamilan itu akan menyebabkan lebih banyak pertikaian, kata Farhan, 24.

Mereka meminta bantuan daripada seorang pekerja sosial untuk mencari tempat perlindungan, tetapi kebanyakan tempat penuh, katanya.

Dengan bilik kosong yang tersedia selama dua setengah minggu — seorang kawan bakal menempati buat sementara selepas itu — Lim bersetuju untuk menumpangkan Ria untuk tempoh tersebut, manakala Farhan pula akan pulang ke rumah.

Ketika keluarga Lim mula-mula menjadi sukarelawan untuk Homeless Hearts of Singapore dan menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah, mereka dinasihatkan supaya menumpangkan wanita dan kanak-kanak, kerana hidup di "jalanan tidak selamat". Ria didapati memenuhi kriteria tersebut.

Ketika Lim bertemu pasangan tersebut di tempat mereka menumpang tidur, Ria kelihatan letih. Selepas mengenali mereka dan berhubung dengan pekerja sosial mereka, keluarga Lim menyediakan bekalan seperti mi segera tom yum yang merupakan kegemaran Ria, dan mengalu-alukan tetamu mereka.

Ia merupakan satu tempat perlindungan yang amat diperlukan oleh Ria, yang kehamilannya hampir mencapai tempoh penuh. Pada awalnya, dia berasa gugup kerana berada di sekitar orang yang tidak dikenali, tetapi kemudian dia berasa "selamat".

Bilik tamu yang diduduki Ria.

"Ketika kami gelandangan, saya bimbang tentang segala-galanya - mandi, makan, keselamatan," katanya. “Saya hampir hilang harapan. Saya juga tertanya-tanya sama ada (keluarga Lim) akan memahami, tetapi mereka hanya menerima saya untuk menjaga saya.”

Sementara itu, mengetahui Ria selamat membolehkan Farhan "melakukan perkara lain yang  perlu dibereskan", iaitu membaiki hubungan dengan ibu bapanya dan mendapatkan pekerjaan sepenuh masa.

"Saya berasa lebih baik kerana (Ria) mempunyai tempat tinggal, bersama orang yang memahami keadaan, dan segala-galanya telah diuruskan," katanya.

Selain menyediakan tempat berteduh untuk Ria, keluarga Lim mengalu-alukan Farhan untuk sering makan malam bersama mereka, dan dalam perbualan mereka telah mendorongnya untuk menangani isu dengan keluarganya.

"Kami hanya memberitahu ibu bapa saya tentang kehamilan (Ria) selepas berbincang panjang dengan Zizie dan Hao," katanya. "Saya amat memerlukan dorongan dari perbualan itu."

Keluarga Lim juga membantu pekerja sosial bagi tetamu mereka untuk memastikan mereka menghadiri janji temu penting, contohnya dengan rumah tunmpangan dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

“Oleh kerana mereka telah menghabiskan masa bersama kami, kami merasakan kami berada dalam kedudukan yang baik untuk … bekerjasama dengan pekerja sosial dan pelbagai pihak dalam ekosistem, untuk membimbing mereka ke arah keadaan perumahan yang lebih stabil,” kata Lim, 32.

Ria merupakan "rakan serumah yang baik", kata keluarga Lim. Dia menjemur pakaian dan mencuci pinggannya sendiri. Cabaran utama mereka, kata Zizie, adalah untuk mengatur jadual mereka mengikut keadaan Ria, kerana dia sedang hamil besar dan mereka merasa bertanggungjawab untuk menjaga keselamatannya.

Sebelum tinggal bersama keluarga Lim, pekerja sosial Ria berjaya membawanya ke A Safe Place, rumah tumpangan sementara untuk wanita hamil.

Sekarang, Ria dan Farhan sudah berbaik semula dengan keluarga masing-masing dan telah mendirikan rumah tangga. Mereka juga telah mendapat sebuah flat sewa dengan bantuan pekerja sosial mereka.

Ria dan Farhan kini telah menimang cahaya mata.

APABILA BATAS DILANGGAR

Keluarga Lim mengakui bahawa mereka mungkin belum bersedia untuk menghadapi yang terburuk.

Ada kalanya, tuan rumah lain menceritakan, tentang tamu mereka yang melanggar batas. Ini berlaku kepada Trina* dan suaminya, yang membuka rumah mereka pada tahun 2020 kepada seorang wanita berusia 30-an yang dirujukkan kepada mereka oleh Homeless Hearts of Singapore.

Mereka enggan menceritakan lebih lanjut tentang keadaan "mencabar" yang dihadapinya ketika itu.

Tetapi sebelum bersetuju untuk menjadi tuan rumah, mereka mempunyai "kebimbangan yang sama seperti kebanyakan orang", kata Trina, 28. "Pencurian, gangguan, kekurangan privasi, mendapat tamu yang berperilaku mencabar dan tidak mudah bergaul."

Kebanyakan daripada kebimbangan mereka menjadi kenyataan.

Walaupun pasangan itu telah menetapkan peraturan asas penginapan - misalnya, tetamu perlu membersihkan bilik tidur dan bilik mandinya sendiri - dia tidak mematuhinya peraturan tersebut.

Alas kaki di bilik mandi tetamu sentiasa basah, dan akan terdapat kesan tapak kaki berlumpur, kata Trina. Peringatan yang diberikan pula tidak diendahkan.

"Ini membuatkan saya berasa seperti dia tidak menghormati peraturan rumah kami, walaupun dia hanya diminta untuk melakukan yang minimum," kata Trina.

Menguruskan jangkaan tetamu mereka adalah cabaran yang lain. Trina menyediakan sokongan emosi kepadanya, tetapi ini pula memberikan gambaran bahawa mereka bersedia menjadi teman persahabatan sepanjang masa, katanya. "Apabila saya tiada di rumah, si penumpang itu akan menelefon dan bertanya di mana saya berada dan bila saya akan pulang ke rumah."

Sebagai seorang yang tidak suka bersuara, Trina berasa cukup melelahkan menangani hal tersebut. 

BILAKAH MEREKA AKAN KELUAR?

Ketika mereka mula menjadi tuan rumah, Trina dan suaminya mahu wanita itu merasa bebas untuk tinggal di situ sehingga keadaannya membaik, sehingga mereka tidak menetapkan tarikh akhir. Jika difikirkan semula, itu merupakan satu "kesilapan", kata Trina.

Keadaan wanita itu bertambah baik setelah tiga bulan tinggal bersama Trina dan suami, tetapi dia tidak menyebutkan bila dia akan meninggalkan rumah itu, kata Trina.

Wanita itu juga tidak mempunyai hubungan yang baik dengan pekerja sosialnya, jadi Trina dan suami merasakan mereka perlu menangani situasi itu sendiri.

“Saya agak terdesak untuk mendapatkan kepastian … jadi saya mendesaknya untuk memberikan respon yang tepat. Itulah saat dia mula menjauh dari kami,” kata Trina. "Suasana di rumah menjadi tegang dan canggung."

Akhirnya, tetamu mereka bersetuju untuk berpindah pada tarikh tertentu. Dia masih berhubungan dengan Trina dan suaminya.

Walaupun pasangan itu belum menutup pintu terhadap kemungkinan menjadi tuan rumah di masa depan, mereka mempunyai "banyak kebimbangan". Mereka berasa "terpencil dalam usaha itu" kerana keluarga mereka berdua tidak menyokong idea tersebut.

Ketiadaan jangka masa yang pasti untuk penginapan juga adalah "sangat menakutkan", kata Trina.

Menurut Abraham Yeo, pengasas bersama Homeless Hearts of Singapore, "kegundahan terbesar" bukanlah tentang tempoh penginapan, tetapi tentang lanjutan yang "tidak pasti".

Keluarganya juga pernah menjadi tuan rumah kepada seorang tetamu — seorang ibu tunggal dan seorang anaknya yang masih kecil — melebihi masa yang selesa baginya: Setahun dan bukannya enam bulan. Pekerja sosialnya berkali-kali memberitahunya tentang kelewatan dalam mendapatkan sebuah flat.

Abraham Yeo dan keluarganya telah menjadi tuan rumah kepada orang-orang yang mengalami krisis sebanyak dua kali. Baru sahaja menimang cahaya mata kedua mereka, keluarga Yeo kini tidak lagi menerima tetamu.

"Kami berasa seperti kami beroperasi dalam gelap, dan kami terpaksa bertanya kepada pekerja sosial apa sebenarnya yang berlaku dengan orang yang mengalami krisis?" kata Yeo, 41.

"Semangat tetamu kami merosot, dan semangat kami sendiri juga merosot, kerana terdapat banyak ketidakpastian."

Selepas dia mengutarakan kebimbangan mengenai kelewatan yang berulang, pekerja sosial itu berjaya mendapatkan rumah flat untuk ibu muda itu. Dia akhirnya berumah tangga dan menjemput kelaurga Yeo ke majlis perkahwinannya.

Apabila keluarga Lim menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah, Yeo menasihatkan mereka untuk mematuhi masa yang telah disepakati iaitu selama dua setengah minggu sahaja. Ini akan menunjukkan kepada pekerja sosial tetamu mereka keperluan "mendesak" untuk mencari penyelesaian, kata Zizie.

Sesetengah tuan rumah, pula sudah boleh menerima ketidakpastian dalam tempoh penginapan seseorang penghuni itu. 

Clifford Lam, 39, pada mulanya bersetuju bahawa tamunya, Devaraj Seval Kumar, 18, akan tinggal selama tiga bulan sahaja. Tetapi kini hampir satu setengah tahun telah berlalu dan beliau masih membenarkan Devaraj untuk tinggal bersamanya.

Devaraj telah keluar masuk rumah-rumah kebajikan sejak sekolah rendah, disebabkan hubungannya yang bergejolak dengan ibu bapanya, kata Devaraj kepada CNA Insider. Dia akhirnya ditempatkan di Singapore Boys’ Home pada usia 16 tahun.

Selepas dia dibebaskan, hubungannya dengan ibu bapanya yang telah bercerai masih tegang. Dia tinggal bersama ibu dan bapa tirinya tetapi kemudian diusir keluar. Devaraj cuba tinggal bersama bapa kandungnya tetapi mengetahui bahawa bapanya menghadapi masalah kewangan.

Dia meminta bantuan daripada pekerja sosialnya untuk mendapatkan tempat tinggal alternatif. Itulah saatnya dia bertemu dengan Lam pada bulan Jun  lalu. 

Sebagai seorang yang duda dengan rumahnya yang kosong, Lam ingin "membantu seseorang" yang memerlukan tempat tinggal.

Devaraj mempunyai biliknya sendiri di rumah Lam.

Di bawah perjanjian awal, Devaraj sepatutnya pulang ke rumah setiap hujung minggu untuk berhubung semula dengan bapanya, untuk cuba memulihkan hubungan mereka dalam tempoh tiga bulan itu. Tetapi perkara tidak berjalan  seperti yang dijangkakan.

“Kerana bapanya sedang menghadapi banyak masalah pada saat itu. Kini sudah 15 bulan berlalu,” kata Lam, seorang kaunselor sekolah, pada bulan Oktober.

“Lanjutan pertama agak mengejutkan. Saya agak kecewa … Tetapi dalam kepala saya terfikir, 'Apa yang membuatkan anda berfikir bahawa selepas enam bulan, ia akan menjadi baik?'

"Saya sedar bahawa saya perlu berfikir jangka panjang."

MEMBANTU PARA TUAN RUMAH

Kisah-kisah mengenai keletihan di kalangan beberapa tuan rumah komuniti telah menginspirasi pasukan Tang untuk memulakan OHN dan mengambil tindakan bersepadu untuk membantu kedua-dua tuan rumah dan mereka dalam krisis untuk mengatasi ketegangan dan menguruskan risiko.

Apa yang OHN lakukan ialah menugaskan wakil komuniti kepada setiap tuan rumah, untuk membantu tuan rumah memikirkan sempadan dan jangkaan mereka, kata Tang, 25. Wakil itu juga bertindak sebagai pengantara antara tuan rumah dan tetamu.

Jika mereka yang mengalami krisis tidak mempunyai pekerja sosial, OHN akan memudahkan usaha untuk  mendapatkannya. Kemudian ada pengurus kes, yang membantu untuk "menjejaki kemajuan" kedua-dua pihak. Matlamatnya adalah untuk setiap pihak mempunyai “pendukung mereka sendiri".

Emma Tang (kanan) daripada perunding pengurusan berasaskan komuniti Solve n+1, yang menguruskan Rangkaian Rumah Terbuka (OHN).

OHN juga menilai kesesuaian orang yang mengalami krisis dan pihak tuan rumah. Kumpulan komuniti melakukan "semakan rujukan" untuk memastikan "tiada apa-apa yang terlalu berisiko" dalam latar belakang mereka. Kedua-dua pihak kemudian dipadankan berdasarkan keperluan, keutamaan dan ketersediaan mereka.

Mencari "keserasian" ini adalah penting, kata Harry Tan dari Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, yang telah melakukan penyelidikan mengenai gelandangan di Singapura. "Penting untuk tidak memperlakukan struktur tidak rasmi ini sebagai tempat untuk meletakkan orang yang sedang dalam krisis."

Untuk tujuan ini, OHN mengatur sebanyak mungkin mesyuarat yang diperlukan sebelum pihak-pihak berasa selesa untuk meneruskan pengaturan itu. Kumpulan itu kemudian menyemak secara berkala dengan mereka untuk menangani sebarang soalan atau ketegangan yang mungkin timbul, kata Tang.

Membenarkan orang lain tinggal di rumah mereka masih dianggap oleh kebanyakan orang sebagai satu “cabaran yang besar”, akuinya.

“Menjadi hos komuniti … bercanggah dengan nilai yang kami letakkan pada privasi,” katanya. Dengan menyediakan struktur dan panduan, pasukan OHNnya berharap dapat memberikan "sedikit keselesaan" kepada tuan rumah yang berminat dalam memanjangkan layanan ini.

Bersama Homeless Hearts of Singapore, mereka melancarkan usaha pengambilan cubaan pada tahun 2020, di mana sekitar 160 keluarga memberikan respons yang positif. Akhirnya, kira-kira 15 keluarga yang mengambil bahagian, kata Tang. Pemohon yang lebih cenderung untuk mendaftar adalah pasangan yang anak-anak dewasanya telah berpindah keluar atau pasangan muda yang baru mendapatkan flat mereka.

Tetapi seseorang tidak semestinya perlu membuka rumahnya sendiri untuk menyumbang kepada usaha tersebut, kata Tang.

"Kami berharap dapat menyediakan jalan-jalan yang berbeza untuk masyarakat menjaga seseorang yang dalam krisis ... Orang ramai boleh menyertai dengan melakukan (usaha) advokasi, dengan menjadi relawan untuk menyokong tuan rumah."

Sukarelawan boleh membantu dengan berkawan dengan orang yang mengalami krisis atau menyediakan "sokongan operasi", seperti makanan dan peralatan tempat tidur, tambah Tang.

Rangkaian Rumah Terbuka (OHN) sedang merekrut sukarelawan.

MASYARAKAT YANG LEBIH BERSEPADU?

Namun, jurang dalam struktur tidak rasmi itu, adalah “kemungkinan ia tidak dilengkapi untuk menangani kes yang lebih kompleks", seperti orang yang mengalami krisis dengan masalah kesihatan mental atau ketagihan, menurut Tan.

"Apakah yang akan berlaku jika seseorang yang mengalami kemurungan atau ingin membunuh diri? Apa yang harus saya lakukan jika orang yang tinggal bersama saya mengalami krisis berulang?” kata Tan, yang menekankan keperluan pakar seperti kaunselor untuk menyediakan "perkhidmatan yang menyeluruh".

Namun begitu, jika lebih ramai warga Singapura membuka pintu rumah mereka, kata Tan, struktur tidak rasmi ini dapat "melengkapkan struktur tempat perlindungan sedia ada". Kemudian pusat perlindungan boleh memberikan tumpuan kepada kes-kes yang lebih rumit, tambahnya.

Pekerja sosial telah mendapati bahawa sesetengah klien mereka tidak "sesuai" untuk tempat perlindungan, kata Tang, berdasarkan rujukan yang diterima oleh OHN. “Apabila kami memberikan pilihan kepada pekerja sosial, ia dapat memberikan perbezaan yang besar.

"Mereka boleh mengeluarkan klien mereka daripada mod krisis, dan mereka boleh mula berusaha mengerjakan lebih banyak perkara jangka panjang."

Komuniti juga boleh bersikap "lebih pantas" dari segi masa tindak balas dan jenis sokongan yang boleh mereka tawarkan, kata Tang. Dan daripada membiarkan tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah kepada perkhidmatan sosial, masyarakat boleh mengambil inisiatif, tambahnya.

“Krisis tidak mengenal diskriminasi … kaya, miskin, sihat atau tidak sihat. Soalan yang perlu ditanya ialah, jika anda mengalami krisis, adakah anda ingin mempunyai orang yang berbeza yang boleh anda hubungi - bukan hanya pilihan institusi tetapi pilihan komuniti?”

Warga Singapura bersama-sama menyingsing lengan menghulurkan bantuan masyarakat semasa pandemik.

Terdapat "lebih banyak perpaduan sosial" yang muncul dalam masyarakat, terutamanya sejak pandemik baru-baru ini, kata profesor sosiologi Universiti Kebangsaan Singapura Tan Ern Ser.

“Kami dahulu berpendapat bahawa warga Singapura bersikap apatis. Saya fikir ia tidak berlaku lagi sekarang. Saya akan mengatakan bahawa warga Singapura semakin mengambil inisiatif; mereka mempunyai rasa empati yang lebih besar.”

Namun, selepas krisis, kecenderungan untuk perpaduan ini akan berkurangan, kata Tan. Dan memandangkan "komitmen berat" yang diperlukan sebagai tuan rumah, dia menambah: "Saya tidak melihat ia berkembang dengan cepat, tetapi sudah tentu ia adalah permulaan yang baik."

Para pakar bersetuju bahawa masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada usaha sebagai hos komuniti menunjukkan perpaduan sosial yang lebih besar, walaupun ia merupakan "langkah ke hadapan".

TONTON: Saya berkongsi rumah saya dengan orang yang tidak dikenali selama 1.5 tahun — Menyediakan tempat tinggal untuk golongan gelandangan (6:46)

"Apabila seseorang membuka rumah mereka seperti itu ... ia membina hubungan antara individu dengan  latar belakang yang berbeza dan mengurangkan jurang sosial di antara mereka," kata Harry Tan.

“Penyelidikan telah menunjukkan bahawa apabila rangkaian seseorang menjadi lebih pelbagai, ia membantu membina masyarakat yang lebih memahami.

"Itu asas utama untuk membina perpaduan sosial kita."

MENCARI FAKTOR ‘MENGAPA’ MEREKA

Lam, sebagai tuan rumah, merasakan bahawa usahanya tidak hanya memberikan bantuan kepada orang yang memerlukan seperti Devaraj, tetapi juga membantunya dalam menemui dan memahami dirinya sendiri.

"Mungkin ada mentaliti penyelamat ini - saya berharap apabila dia meninggalkan rumah saya, ada sesuatu dalam dirinya berubah," kata Lam. "Jadi kadang-kadang, apabila perkara tidak berjalan seperti yang dirancang ... maka saya terfikir, apakah ada cara yang lebih baik yang dapat saya lakukan?"

Terdapat perkara-perkara kecil yang mengganggunya; contohnya, apabila orang yang mudah terganggu tidurnya oleh mesyuarat sekolah Devaraj di Zoom pada lewat malam. Pinggan mangkuk juga mesti disusun mengikut saiz di rak pengeringan.

Peringatan untuk mematikan lampu dan kipas serta menutup semua tingkap, ditampal di pintu depan Lam.

Dia faham bahawa dia boleh menjadi "seorang yang kurang disenangi", katanya. "Ia adalah perjuangan yang sangat tulen. Walaupun saya melakukan ini dengan penuh kasih sayang, namun saya juga mahukan privasi saya — saya ingin segala-galanya berjalan mengikut kehendak saya.”

Tetapi selepas lebih setahun, dia belajar untuk "melepaskan banyak perkara", seperti jangkaannya terhadap Devaraj, dan untuk "menerima dan menghormati" dan menjadi lebih "santai".

Kini mereka berkongsi "hubungan yang selesa" dan makan malam bersama sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Devaraj, kini mempunyai seseorang yang berperanan sebagai "bapa angkat" baginya. Walaupun pada mulanya dia "tidak selesa" tinggal bersama orang yang tidak dikenalinya, tetapi dia berasa lega kerana tinggal jauh daripada ibu bapanya, yang sering "memarahinya tanpa henti".

“(Lam ialah) orang pertama yang mengambil berat tentang saya,” katanya. "Dia mengajar saya bagaimana untuk menjadi lebih dewasa - (dia akan mengatakan) apabila anda mempunyai keluarga anda sendiri, (anda) mesti belajar untuk melakukan ini dan itu dengan betul."

Lam dan Devaraj sedang menikmati makan malam bersama.

Mereka juga berkongsi pandangan mengenai menjalin hubungan dengan kaum hawa. "Dia akan memberitahu saya, seperti, 'Oh, saya baru berjumpa dengan gadis ini. Dia comel.’ Kemudian saya bertanya, ‘Awak ada nombornya?’” kata Devaraj.

Rancangan Lam adalah untuk melihat Devaraj meneruskan pelajaran di Institut Pendidikan Teknikal sehingga akhir tahun.

Lam berkata dengan mempunyai sebab sebegini (melihat Devaraj tamat persekolahannya), membolehkannya melalui dengan baik semua pengalaman sukar dan manis sebagai hos kepada mereka yang memerlukan. 

“Saya berharap … apabila dia mengemas begnya dan meninggalkan rumah ini, apabila dia membina keluarganya sendiri, dia tidak akan lupa dengan pengalamannya di sini.

"Mudah-mudahan, itu merubah kisah hidupnya."

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.  

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai pengalaman seorang bekas banduan yang mahu menebus kesilapan lamanya. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/ih

Advertisement

Also worth reading

Advertisement