Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu
Advertisement
Advertisement

Malaysia

Selepas 10 kali keluar masuk penjara, dapatkah bekas banduan ini tebus kesilapan lama?

Selepas dipenjara 10 kali dalam tempoh 40 tahun, dapatkah Tay Poh Lim mengubah kehidupannya sebagai bekas penagih dadah? Beberapa bulan selepas dibebaskan dari penjara, CNA menyelami perjuangan Tay dan motivasi beliau yang menjadikannya kuat sehingga hari ini. 

Selepas 10 kali keluar masuk penjara, dapatkah bekas banduan ini tebus kesilapan lama?
Pada usia 66 tahun, Tay Poh Lim telah menghabiskan lebih separuh hayatnya keluar masuk penjara. (Gambar: Abel Khoo, Eileen Chew/CNA)

SINGAPURA: Waktu baru saja menjelang subuh, tetapi Tay Poh Lim sudah terjaga, tubuh lelaki berusia 66 tahun ini sudah terbiasa dengan latihan pagi selama bertahun-tahun. Ketika dia di penjara, lampu di ruang penjaranya mengejutkannya sekitar jam 6 pagi setiap hari.

Daripada semua perkara yang dilaluinya dalam beberapa episod pemenjaraannya, ini merupakan satu tabiat yang dikekalkannya.

“Bangun awal itu bagus. Saya tidak mahu melakukan rutin saya secara tergesa. Ia mungkin membuatkan saya gelisah,” katanya dalam suara perlahan dan nada teratur, sambil menyediakan roti kaya dan telur separuh masak.

Pergolakan emosi bukanlah satu perkara yang baik. Kali terakhir dia berasa gundah tentang sesuatu, dan dengan hanya melihat peralatan dadah milik rakannya sudah cukup untuk dia ditundukkan oleh ketagihan sepanjang hayatnya.

Selama lebih separuh hayatnya, Poh Lim kebanyakannya tidur di atas tikar jerami di dalam penjara bersama lapan banduan yang lain. Jadi, tidak hairanlah sekiranya keselesaan katil tarik keluar, di rumah flat tiga bilik yang dikongsi bersama ibu dan abangnya, masih terasa asing baginya.

"Perlu mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan sofa, katil dan pendingin hawa dan semua itu," katanya. “Jangan banyak tidur lah.”

Poh Lim terpaksa memakai tag pemantauan elektronik selama sekurang-kurangnya tiga bulan.

Sepanjang 40 tahun yang lalu, dia telah keluar masuk penjara sebanyak 10 kali. Tempoh pemenjaraannya yang terakhir adalah selama lima tahun, selepas dianugerahkan pengampunan dan hukuman disingkatkan daripada tujuh setengah tahun.

“Ketagihan saya kepada dadah adalah satu-satunya sebab yang terus membawa saya kembali ke penjara,” katanya kepada CNA Insider dari dalam penjara pada hujung 2021, untuk wawancara episod ‘Life Behind Bars’.

Pada masa itu, terlihat keredaan yang memilukan terpancar di matanya ketika dia bertanya dengan bersungguh-sungguh, "Jika saya beritahu awak saya mahu berubah, adakah awak percaya pada saya?" mengharukan penonton, termasuk seorang yang tidak lama kemudian bakal merubah hidup Poh Lim.

Ogos lalu, Poh Lim dibebaskan dan ditempatkan di bawah Skim Penjagaan Wajib Selepas Pembebasan untuk bekas banduan berisiko tinggi mengulangi kesalahan; dia terpaksa memakai tag pemantauan elektronik selama sekurang-kurangnya tiga bulan serta mematuhi perintah berkurung.

Sehingga ketika itu, rekod prestasinya tidak begitu baik. Tempoh pembebasannya dari penjara yang paling singkat adalah empat bulan. Tempoh bebas yang paling lama adalah selama sembilan tahun, sewaktu dia berusia pertengahan 30-an hingga 40-an. Dadah jugalah yang sentiasa menjadi punca dia kembali ke dunia tirai besi. 

Tetapi kali ini, keinginan untuk kekal bersih dari dadah lebih hebat daripada yang pernah dia rasakan sebelum ini. Pada usia 66 tahun, dia merasakan bahawa dia berhutang dan perlu membayar ganti rugi seumur hidup kepada ibunya yang berusia 88 tahun. Setiap kali melawatnya di penjara, ibunya akan merayu supaya berubah.

Kemudian, dia inginkan pengampunan daripada anak-anak lelakinya yang sudah dewasa, yang hanya boleh dilihat dalam mimpinya "sebagai kanak-kanak kecil saja". Apabila usia semakin meningkat, dia semakin kesuntukan masa untuk membina semula kehidupan yang telah musnah akibat ketagihan pada najis dadah. 

"Ia memerlukan usaha yang tinggi," katanya dengan tenang.

CNA Insider dapat menghayati maksud ini, ketika bertemu dengannya hampir empat bulan selepas dia dibebaskan. Sepanjang dua minggu, kami mengetahui cara dia cuba menunaikan tekadnya— dan mengapa, kali ini, dia mungkin berjaya merubah hidupnya, dengan bantuan seorang atau dua orang yang membantu.

MAJIKAN YANG TIDAK DIJANGKA

Sekitar jam 7 pagi, Poh Lim bersiap untuk pergi ke tempat kerja. Dia memilih baju biru dan seluar jeans kelabu muda yang selesa, yang menutupi alat penjejak GPS diikat pada buku lalinya. "Ia tidak begitu mengganggu saya," katanya. "Tetapi orang lain mungkin berfikir sebaliknya."

Ibunya, yang berkongsi bilik dengannya, mula terjaga. Dia memeluk ibunya dengan penuh berhati-hati. "Hubungi saya jika ibu perlukan apa-apa," pesan Poh Lim kepada ibunya. 

"Salah satu keseronokan yang saya miliki adalah dapat memeluk ibu saya sebelum keluar," katanya. 

Katanya, oleh kerana berpisah dengan ibunya selama bertahun-tahun menyebabkan Poh Lim ingin sentiasa memeriksa keadaannya selain memeluknya. Poh Lim membuat panggilan video beberapa kali sehari kepada ibunya ketika berada di keluar.

Dalam bas ke stesen MRT, dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan memainkan lagu ‘Despacito’ dan ‘A Million Dreams’, untuk memulakan harinya dalam suasana yang positif, katanya.

Lapan belas stesen kemudian, krew CNA Insider bersama Poh Lim hampir sampai dengan tempat kerjanya di Pioneer, Jurong. Dia bekerja sebagai seorang juruteknik pelatih di sebuah syarikat pengangkat dan kejuruteraan — pekerjaan sepenuh masa pertamanya sejak 30 tahun. (Jawatan terakhirnya, pada tahun 1993, adalah sebagai seorang pereka grafik.)

Pekerjaan baharu, yang dimulakannya hanya beberapa hari selepas dibebaskan, datang tanpa dijangka. Poh Lim telah gagal dalam semua mata pelajaran bagi peperiksaan peringkat ‘O Level’. Dia tidak mempunyai rekod prestasi untuk mendapatkan kerja yang stabil pada usia yang beliau sifatkan sebagai sudahpun "lemah".

Apabila dia mula-mula bercakap dengan CNA Insider di penjara, dia kelihatan reda atas kekurangan (peluang) pekerjaan untuk orang-orang sepertinya.

Tetapi Marc Lee, bos syarikat Pro-Lifting Solution yang telah menonton video itu, terkejut dengan kepetahan Poh Lim bertutur. "(Saya fikir), mungkinkah ini telah dirancang?" dia ketawa.

Keesokan harinya, dia menulis surat kepada Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), meminta untuk bertemu dengan Poh Lim.

Marc sedang mencari pekerja dan sedang mempertimbangkan program Yellow Ribbon. “Saya selalu terfikir untuk memberi mereka peluang kedua atau mungkin ketiga. Jika kita tidak mula memberi mereka peluang, tiada siapa yang akan buat," katanya.

Marc Lee (kanan) mengambil peluang mengambil Poh Lim bekerja sebagai 
seorang juruteknik pelatih.

Apa yang mengejutkan bos berusia 47 tahun itu semasa temu duga melalui Zoom ialah Poh Lim sama seperti yang dilihatnya dalam rancangan video itu: sopan dan bersikap positif.

(Poh Lim mengaitkan penguasaan bahasa Inggerisnya kepada semua bacaan yang dilakukannya di belakang tirai besi. Untuk berlatih bercakap, dia juga membaca dengan kuat apabila tiada sesiapa di sekelilingnya. "Anda tidak boleh hanya memulakan sesuatu apabila anda keluar," katanya.)

Marc mengambilnya bekerja, dan pada masa CNA Indiser bertemu dengan Poh Lim pada Disember tahun lalu, dia baru saja menamatkan tempoh percubaannya selama tiga bulan.

Produk utama syarikat itu ialah mesin pemotong rumput yang digelar Spider, yang dia pelajari untuk mengendalikan dan membaiki daripada rakan sekerjanya yang lebih muda. Mereka sering ditemui di premis pelanggan mereka, kadangkala dalam cuaca terik, mereka memperbaiki bateri atau kotak gear sehingga mesin itu berfungsi semula.

Walaupun Poh Lim bersusah-payah mengangkat bahagian berat atau mengendalikan komputer ribanya, pasukan itu gembira untuk membantunya. Mereka juga menjaga kesihatannya, kata rakan sekerjanya Teh Hang Ming, kerana Poh Lim kadangkala mengalami sakit kepala.

“Walaupun dia mungkin tidak memahami sepenuhnya beberapa proses kerja, dia tidak mengalah. Dia ingin terus belajar,” kata Hang Ming, yang sering digandingkan dengan Poh Lim untuk sebarang tugasan.

Apa yang digemari oleh Poh Lim bukanlah pekerjaannya sebenarnya, tetapi orang di sekelilingnya. Dia gembira apabila kumpulan sembang kerjanya berbunyi di telefonnya. "Saya gembira menjadi salah seorang daripada mereka," katanya sambil ketawa.

Dia masih ingat perasaan "gembiranya" ketika ditambah masuk ke kumpulan sembang bersama rakan sekerja. “Saya rasa seperti mereka telah menerima (saya), sebagai sebahagian daripada kumpulan itu,” katanya.

Meskipun pekerjaan itu sukar, tetapi Poh Lim sanggup bekerja keras.

Rasa penerimaan dan struktur pekerjaan dengan tanggungjawab adalah penting bagi seseorang sepertinya yang sedang melawan godaan syaitan dalam dirinya. 

"Apabila anda mempunyai struktur yang positif, anda cenderung untuk mengetepikan perkara yang tidak penting," katanya. "Fokus saya adalah pada keluarga saya, ibu saya, kerja saya, dan selebihnya, sudah tentu, akan dapat disesuaikan mengikut masa."

Sewaktu makan tengah hari, dia membuat panggilan video dengan ibunya. Ibunya memberitahu ubat Cina untuk batuknya sudahpun dibancuh. Poh Lim juga sempat memesan ibunya supaya makan tengah hari. 

“Saya mahu bertanggungjawab. Jadi sama ada saya ke gereja, atau pergi membeli-belah, saya akan sentiasa membuat panggilan video kepada ibu, saya akan memutarkan kamera telefon untuk tunjuk di mana saya berada,” katanya.

"Tetapi perkara utama adalah untuk memberitahunya bahawa saya mengambil berat tentangnya, dan saya tidak mahu dia bimbang tentang keberadaan saya, supaya kami boleh membina kepercayaan ini."

CENGKAMAN NAJIS DADAH YANG HEBAT DAN BERPANJANGAN

Sepanjang hidupnya, Tay sentiasa mencari rasa termilik di tempat yang salah.

"Selepas Perkhidmatan Negara," dia mengimbau semula perasaan, "ada perasaan kehilangan arah. Ada kekosongan yang perlu diisi.”

Dadah, pesta, teman wanita, memandu kenderaan dan jenayah kecil — apabila anda mengisi kekosongan itu dengan sampah, dia berkata, ia akan membakar seluruh hidup anda. Dia ditangkap buat pertama kali pada 1982 ketika usianya 26 tahun.

Malah, ibunya sendiri yang menghubungi Biro Narkotik Pusat (CNB). 

"Saya memberi mereka masa dan tarikh ... (untuk) datang dan menunggunya," Puan Lee menceritakan dalam bahasa Mandarin. “Sakit hati itu tidak dapat digambarkan. Ia tidak boleh dielakkan."

Poh Lim dikenakan hukuman penjara selama enam bulan untuk kali pertama, sembilan bulan bagi kali kedua, dan selepas penahanan ketiga, ia menjadi setahun setengah, seingat ibunya. "Pada kali keempat, saya tidak mahu mengingatinya lagi."

Poh Lim sendiri hampir tidak ingat butiran penahanannya; semuanya kabur diingatannya. Namun, tahun terbaik adalah dari 1991 hingga 2000, apabila dia kekal bersih dan membina kehidupan bersama isterinya ketika itu. Mereka bertemu ketika dia berada di rumah tumpangan, di mana dia berkhidmat sebagai seorang sukarelawan.

"Dia fikir saya ini mungkin seseorang yang berbeza (daripada orang lain)," kata Poh Lim. "Tetapi saya tidak."

Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki. Semuanya baik di rumah sehinggalah masalah kewangan timbul, dan dia kembali menyalahgunakan dadah. Pada 2000, dia ditahan kerana mengambil dadah dan dijatuhi hukuman penjara pencegahan selama tujuh tahun - yang pertama daripada tiga hukuman penjara yang panjang akan menyusul. 

Isterinya menceraikannya dan pergi membawa bersama dua anak lelaki mereka, yang baru berusia empat dan enam tahun ketika itu. Tetapi najis dadah itu telah mematikan hati nuraninya. “Tiada apa-apa yang wujud di luar. Bukan anak-anak, bukan isteri saya, bukan kerjaya saya,” katanya.

Selepas bercerai, dia menulis kad kepada anak-anaknya bila berkesempatan, dia tidak kisah jika tidak dibalas.

Satu-satunya surat yang pernah diterimanya ialah pada 2014. Anak bongsunya memperincikan bagaimana "ketiadaan seorang bapa" telah memberikannya banyak kesedihan. “Saya fikir saya boleh mengatasinya. Tetapi sehingga kini, saya belum mengatasinya. Dan saya sangat letih kerana ini," tulis surat itu.

"Saya tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan (situasi) ini. Saya tidak tahu bagaimana untuk mengatasinya.”

Surat yang diterima Poh Lim daripada anak bongsunya.

Poh Lim berharap suatu hari nanti, dia akan dapat berjumpa dengan anak-anaknya secara peribadi dan memohon maaf kepada mereka.

"Dalam mimpi saya, saya melihat mereka sebagai kanak-kanak yang masih kecil. Dan pasti sekarang mereka sudah membesar," katanya, sambil menahan sebak. "Pertama sekali, saya fikir, saya ingin memberitahu mereka bahawa 'Ayah minta maaf kerana tidak bersama kamu saat kamu memerlukannya'."

MENAHAN GODAAN

Sebagai bekas pesalah dadah, Poh Lim dikehendaki menjalani ujian air kencing sehingga dua tahun. Pada masa ini, dia mesti mematuhi jadual mingguan.

Pada Isnin ketika CNA Insider menemaninya, ketegangan pada wajahnya dapat dilihat saat dia menghampiri Balai Polis Tanglin. Walau bagaimanapun, ia bukanlah ujian yang dia takut. 

Dalam lawatan ke sini sebelum pemenjaraan terakhirnya, dia telah terserempak dengan seorang "rakan lama". Satu perkara membawa kepada yang lain, dan Poh Lim akhirnya kembali ke penjara.

"Anda hanya menjadi kosong pada saat itu, anda tidak tahu sama ada anda harus maju atau perlu perlahan, atau perlu bergegas untuk sebelum lampu merah," katanya.

Dia telah mempelajari pengajarannya. Pada hari ini, dia bertemu rakan lain di pusat ujian itu. Tetapi, dia memberitahu CNA Insider: "Saya baru sahaja bertanya khabar dan berbual santai — saya menunggu dia pergi selepas itu.”

"Cara terbaik adalah untuk memastikan perbualan itu diringkaskan, supaya ia tidak meleret ke topik perbualan lain."

Kemudian, dia tidak mempunyai ramai kawan, yang boleh dia percaya. Setiap hari Jumaat, dia bertemu Dennis Oh. Mereka pertama kali bertemu di sebuah rumah tumpangan kira-kira 20 tahun lalu.

"Kadang-kadang saya bertemu dengannya di penjara, dan itu menyedihkan," kata Poh Lim ketika dalam perjalanan bersama CNA Insider ke Pasar Geylang Bahru. “Saya tidak mempunyai ramai kawan. Dan saya fikir kita harus bersikap sangat memilih tentang kawan kerana mereka akan mempengaruhi kita (baik atau buruk)."

Dennis telah memulakan perjalanan pemulihan dadahnya selama hampir dua tahun sekarang. Kedua-duanya berhati-hati untuk menjauhi tempat seperti Geylang kerana tempat sedemikian menjadi "pencetus" kepada aktiviti dadah mereka sebelum ini. 

Memberi isyarat kepada Poh Lim, Dennis, 50 tahun, berkata: “Apabila dia berasa tertekan, atau saya berasa tertekan, ketagihan kami mula tercetus dan merancang untuk mendapatkan barang itu (dadah),” 

Pada malam Jumaat yang "dingin" ini, bagaimanapun, tiada tekanan. Rakan-rakan bercakap tentang perkara biasa, seperti cara menambah nilai kad ez-link mereka dengan mata ganjaran.

Dennis Oh (kanan), salah seorang "kawan baik dan positif" Poh Lim.

CUBA MENYESUAIKAN DIRI

Mereka yang telah menghabiskan banyak masa di penjara sering bercakap mengenai cubaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dalam kehidupan bandar moden dan masyarakat di sekeliling mereka. 

Poh Lim, misalnya, dalam perjalanan ke tempat kerja lebih suka mengambil jalan yang lebih "sunyi" yang dipenuhi dengan pepohonan hijau berbanding laluan pejalan kaki yang digunakan orang ramai. Dia lebih suka mengelakkan orang ramai.

Dia mengakui dia mendapati ia "amat menakutkan" apabila dia mula-mula masuk ke stesen MRT selepas dia dibebaskan. "Itulah cara masyarakat kita bergerak," katanya, sambil termenung. "Saya sangat terkejut setiap kali saya masuk ke MRT - jumlah orang yang begitu ramai."Bagi Poh Lim, membina hubungan baharu juga satu lagi cabaran buatnya.

Bagi Poh Lim, dia lebih suka mengambil jalan lebih ‘sunyi’ yang dipenuhi dengan pepohonan hijau berbanding laluan pejalan kaki yang biasa menjadi laluan orang awam. 

Sebagai seorang penganut Kristian sejak muda dan kini seorang penganut Roman Katolik, Poh Lim berasa "selesa" dalam sesi perbincangan bersama kaunselor agamanya, yang membantunya mengukuhkan kepercayaannya kepada agama sepanjang dia berada di dalam penjara. Sesi pengajian Bible pada setiap Khamis, bagaimanapun, adalah perkara yang berbeza.

Rakan gerejanya tidak mengetahui bahawa dia merupakan seorang bekas banduan. Pada Ahad semasa doa upacara keagamaan (mass), dia duduk bersendirian, dan kemudian menyelinap pergi.

"Saya tidak mempunyai orang seperti anda yang boleh saya ajak berbual," katanya kepada kaunselornya di salah satu pertemuan mereka. "Tiada rasa termilik." Kaunselor menasihatinya untuk memberi masa.

Pada Sabtu, Poh Lim pergi membeli-belah. Ia adalah "masa untuk dirinya" yang ditetapkannya, katanya. "Untuk memberi ganjaran kepada diri saya kerana menguruskan satu lagi mingguan dengan baik."

Pada hari CNA Insider bertemu dengannya di ION Orchard, dia terus menuju ke Shake Shack. Dia telah membaca mengenai kedai burger itu di dalam majalah semasa di penjara, dan dia mahu menghadiahi dirinya dengan sesuatu yang istimewa pada hari ini.

Kios pesanan layan diri adalah satu-satunya pilihan yang ada di kedai burger itu.

Poh Lim berdepan kesukaran menggunakan sistem pesanan layan diri.

Selepas satu kali percubaan gagal membuat pembayaran — “Nets … Flash … Paywave?” dia merungut dalam kebingungan - dia berputus asa dan menuju ke juruwang untuk memesan burger, kentang goreng dan air limau.

"Saya akan belajar daripada kesilapan itu," katanya. "Mungkin saya tidak akan memalukan diri saya lain kali."

Selepas makan, dia menghubungi ibunya seperti biasa. “Baru pukul 11 pagi. Awak merayau ke mana?” tanya Puan Lee dalam dialek Hokkien melalui telefon. Jelas sekali dia sentiasa bimbang akan anaknya mungkin "berkeliaran" untuk mencari dadah lagi.

Sebagai jawapan, dia menghalakan kamera ke dulangnya yang kini kosong. "Jika saya benar-benar mahu merayau, saya tidak akan menunggu sehingga hari ini," balasnya dengan nada kesal."Anda baru keluar selama tiga bulan saja," jawab ibunya. “Masanya masih singkat.” Betul apa yang dikatakan Puan Lee itu.

Masa yang berharga bersama: Poh Lim memberi semangat kepada ibunya semasa dia bermain permainan susun suai gambar. 

HARAPAN MAJU KE DEPAN

Poh Lim mungkin orang pertama yang mengakui bahawa jalan menuju pemulihan adalah panjang, dan mungkin tidak pernah berakhir bagi seorang penagih dadah. 

Namun, terdapat beberapa perkara yang berbeza kali ini, dengan beberapa faktor utama memihak kepadanya.

Itu jelas apabila dia melangkah masuk ke Lapangan Terbang Changi pada jam 5 pagi pada 19 Dis. Pada tangannya, dia membawa beg galas. Jelas terpancar pada wajahnya berasa kagum melihat suasana lapangan terbang itu. 

Hari ini, dia akan menjejakkan kaki di dalam kapal terbang buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun — dalam perjalanan perniagaan dan latihan ke Kuala Lumpur yang diamanahkan oleh bosnya. "Tanpa pekerjaan ini dan juga Marc, semua ini tidak mungkin terjadi," katanya.

Untuk merealisasikannya, Poh Lim perlu memenuhi syarat-syarat tertentu. Syarikatnya perlu terlebih dahulu memohon kepada SPS dan CNB untuk mendapatkan kebenaran untuknya mendapatkan pasport dan melancong ke luar negara serta menanggalkan penjejak buku lalinya untuk seketika. Alat itu akan dipasangkan semula apabila dia kembali nanti.

Bagi Marc, syarat-syarat itu berbaloi, untuk memperkuatkan nilai seorang pekerja yang dihargai — sama ada bekas banduan atau tidak.

Poh Lim memerhatikan suasana dan pemandangan dalam bangunan lapangan terbang. Ia selepas 30 tahun dia tidak menaiki kapal terbang. 

“Rancangan saya untuk Poh Lim untuk dua hingga tiga bulan akan datang adalah untuk dia melakukan perjalanan agak kerap kerana kami sedang mengembangkan perniagaan kami ke Filipina, Indonesia dan Malaysia,” kata Marc, yang telah memperluaskan skop kerja Poh Lim dan memberinya kenaikan gaji sebanyak S$200.

Walaupun pada usianya kini, dia telah membuktikan bahawa dia berani mencuba perkara baharu, seperti mengikuti kursus pembinaan dan memanjat setinggi 60 meter ke atas bumbung.

Poh Lim "sangat gembira" dengan tanggungjawab baharunya itu. "Saya tidak sabar untuk menghadapi cabaran baharu," katanya. "Saya memerlukan struktur seperti itu untuk memastikan saya fokus."

Perkataan "struktur" adalah perkataan yang diulanginya berulang kali dalam wawancara bersamanya — seolah-olah sudah menjadi mantra atau suatu peringatan buat dirinya tentang apa yang mesti dipatuhinya dalam hidupnya. 

Setahun yang lalu, sebelum dia keluar dari penjara, dia tidak mempunyai keyakinan bahawa hidupnya boleh berubah sepenuhnya. 

Tetapi kini, selepas didorong oleh keinginannya untuk membetulkan keadaan dengan keluarganya dan oleh kepercayaan diberi oleh bos dan rakan sekerjanya, dia berazam untuk melakukan yang lebih baik.

"Pada skala satu hingga 10 untuk kekal bersih, saya akan memberi diri saya lapan," katanya. "Saya menambah banyak aktiviti baharu dalam hidup saya, (supaya) saya boleh beralih daripada (skala) lapan kepada mungkin lapan setengah, dan akhirnya saya akan mendapat sembilan."

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris. 

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai gesaan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) terhadap warga Singapura untuk membuat pemeriksaan buah pinggang. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/nm(ih)
Advertisement

Also worth reading

Advertisement