Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Lebih ramai warga Singapura digesa jalani saringan sedang jumlah kes sakit ginjal meningkat

Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) Singapura sedang menaikkan taraf premisnya yang sedia ada untuk menerima lebih ramai pesakit dan cuba membantu orang ramai melalui pengesanan awal.

Lebih ramai warga Singapura digesa jalani saringan sedang jumlah kes sakit ginjal meningkat
Mark Peter, 28, sedang menjalani pemeriksaan buah pinggang. Kesedaran untuk membuat pengesanan awal itu selepas dia mengetahui bahawa bapanya disahkan menghadapi masalah buah pinggang. 

SINGAPURA: Pemeriksaan buah pinggang atau ginjal kini menjadi rutin tahunan bagi Mark Peter yang berusia 28 tahun.

Meskipun pada usia sebegitu muda, Encik Mark Peter mula menyedari untuk membuat pengesanan awal selepas dia mengetahui bahawa bapanya mempunyai masalah buah pinggang. Dia berasa bimbang sekiranya dia juga menghidap kegagalan fungsi buah pinggang. 

“Saya mempunyai tekanan darah tinggi dan itu salah satu petanda utama kegagalan buah pinggang. Jadi, saya sentiasa berasa ingin tahu tentang kesihatan saya,” katanya.

Dia adalah salah seorang daripada 300 orang yang telah menjalani pemeriksaan buah pinggang pada tahun lalu sebagai sebahagian daripada program intervensi Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF).

Lebih 300,000 orang di Singapura dilaporkan menderita penyakit buah pinggang kronik, tetapi yayasan itu memberi amaran bahawa mungkin terdapat lebih banyak kes yang tidak dapat dikesan. Sekitar enam orang didiagnosis dengan kegagalan buah pinggang setiap hari, peningkatan tiga kali ganda sejak dua dekad lalu.

Peningkatan bilangan kes itu "menimbulkan kebimbangan utama", menurut ketua pegawai eksekutif NKF Tim Oei. Tambahnya, bilangan penyakit buah pinggang akan meningkat secara berkadar dengan bertambahnya bilangan penyakit kencing manis (diabetes).

PENTINGNYA JALANI SARINGAN

NKF menggesa lebih ramai orang supaya tampil ke hadapan untuk jalani pemeriksaan, terutamanya kumpulan berisiko tinggi seperti mereka yang menghidap diabetes sedang peningkatan kes kegagalan buah pinggang dan populasi yang semakin menua. 

Saringan boleh mengesan penyakit buah pinggang pada peringkat awal sebelum organ itu gagal berfungsi. 

Penyakit ini bertambah teruk, dengan saiz buah pinggang mengecut dan kehilangan keupayaannya untuk menapis bahan buangan daripada darah pesakit. Pada peringkat akhir, pesakit memerlukan rawatan dialisis seumur hidup atau pemindahan organ buah pinggang.

"Banyak kali, orang ramai tidak sedar akan tanda dan gejala kegagalan buah pinggang sehingga ia sudahpun terlambat," kata Encik Oei.

"Dan disinilah mereka perlu dididik, dan kesedaran diberi kepada mereka, bahawa pengesanan awal akan membantu memberhenti atau melambatkan kes menjadi semakin teruk akibat penyakit buah pinggang di peringkat akhir."

Katanya, NKF juga berharap dapat bekerjasama dengan pemerintah untuk menjadikan pemeriksaan buah pinggang sebagai tunjang utama dalam program saringan kebangsaan, Screen for Life. 

Penekanan program itu adalah pada darah tinggi (hipertensi) dan diabetes, dan beberapa barah, menurut Encik Oei.

"Buah pinggang sangat hampir dengan penyakit diabetes dan hipertensi. Jika anda memeriksa kedua-duanya, anda hanya tinggal satu lagi ujian, kerana ia berkaitan dengan dua penyakit kronik utama yang lain," katanya.

Dalam pada itu, NKF akan bekerjasama rapat dengan hospital dan pakar perubatan keluarga untuk meningkatkan tahap kesedaran tentang pemeriksaan buah pinggang.

TANGANI LEBIH BANYAK KES

Memandangkan bilangan pesakit kegagalan buah pinggang di Singapura meningkat, premis rawatan dialisis sedia ada sedang dinaik taraf untuk menempatkan mereka.

Pesakit buah pinggang Kamis Rubaie sedang dirawat oleh jururawat tetapnya di Pusat Dialisis NKF yang baru dibuka semula di Toa Payoh. (Gambar: CNA/Sherlyn Seah)

Pusat NKF Toa Payoh di Lorong 8 Toa Payoh, yang dibina pada 1987, adalah pusat dialisis berasaskan komuniti tertua di Singapura. Ia telah menggandakan kapasitinya dan kini boleh melayani 168 pesakit di 28 stesen dialisis.

Ia juga dilengkapi dengan kerusi baharu, teknologi dialisis terkini dan sistem penapisan udara, hasil sumbangan S$2.2 juta (RM7.4 juta) daripada kuil Toa Payoh Seu Teck Sean Tong.

Yayasan NKF turut merancang untuk menaik taraf 10 lagi daripada 42 pusat dialisisnya.

Selain itu, NKF sedang mencari tapak baharu untuk menampung kes buah pinggang rosak yang semakin meningkat, dengan tumpuan kepada kawasan penduduk yang matang seiring dengan peningkatan populasi yang semakin menua.

“Kami terus sasar kepada mereka yang memerlukan dan betul-betul beri tumpuan kepada kawasan pembangunan matang. Oleh itu, kami melihat semua cara dan kaedah, bercakap dengan pelbagai pihak untuk mewujudkan jalan yang lebih besar, kerana keperluan itu sebenarnya agak mendesak,” kata pengerusi NKF Arthur Lang.

"Kami memerlukan lebih banyak lagi, tetapi kami cuba mengawal peningkatan jumlah itu dengan memastikan beerkurangnya orang yang didiagnosis dengan penyakit buah pinggang kronik," tambahnya.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai usaha mengesan dan merawat barah di Singapura. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/nm(ih)

Advertisement

Also worth reading

Advertisement