Raikan Cahaya Ramadan 2023 di Kampong Gelam Singapura kembali meriah jelang bulan puasa
Acara Raikan Cahaya Ramadan 2023 dibuka pada 15 Mac dan akan berlangsung sehingga 16 Apr. Ini antara kemeriahan yang anda boleh jangkakan menjelang bulan Ramadan ini.
SINGAPURA: Suasana pada waktu malam di sekitar Kampong Gelam yang bersejarah itu kembali hidup dengan bazar Ramadan tahunannya.
Seperti tahun sebelumnya, ia membawakan kendera saji atau food truck yang menyajikan pelbagai jenis makanan, kedai runcit tempatan dan antarabangsa, program hiburan dan banyak lagi.
Acara yang dianjurkan oleh One Kampong Gelam dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Singapura itu diberi nama ‘Raikan Cahaya Ramadan’ untuk sambutan bulan puasa tahun ini.
Ia dibuka pada Rabu (15 Mac) dan akan berlangsung selama 33 hari, sehingga 16 Apr.
Dalam tempoh itu, para pengunjung berpeluang membeli makanan dan minuman bazar di sepanjang Jalan Baghdad, Jalan Kandahar dan di luar Sultan Gate. Terdapat sehingga 86 gerai yang menyajikan hidangan kegemaran tempatan seperti nasi lemak, burger, beriani, pasta dan snek goreng.
Bagi mereka yang suka akan makanan manis, anda mungkin tidak mahu melepaskan peluang nikmati pelbagai jenis pencuci mulut dan minuman, termasuk kuih-muih tradisional Melayu, churros, teh susu Thai, bagel dan air tebu.
Gerai makan dan minuman itu juga terdiri daripada jenama terkenal seperti Broti, The Secret Garden oleh Zeekri dan Ramly Cafe, serta perniagaan yang berasaskan di rumah seperti Le Paque, Alyummyni Bakes dan 47 Beverages.
Semua bazar yang mengambil bahagian adalah sama ada mempunyai sijil perakuan halal atau dimiliki oleh peniaga Muslim.
Selain makanan dan minuman, para pengunjung juga boleh meninjau gerai-gerai runcit yang menjual seni dan kraf tangan, pakaian Melayu tradisional, aksesori dan cenderamata, karya seni moden dan hasil-hasil rekaan pelbagai pereka dan artis tempatan.
Pengunjung boleh berehat dari suasana keramaian di Jalan Kandahar dan Jalan Pahang, di mana terdapat ruang duduk untuk menikmati hidangan mereka dalam suasana yang meriah.
Untuk menyaksikan bengkel dan aktiviti secara langsung, tempat duduk akan disediakan di Jalan Baghdad, berhampiran tempat letak kereta, yang turut menyediakan sebuah pentas untuk persembahan muzik dan kebudayaan.
Terdapat juga paparan lampu unjuran dan pertunjukan cahaya di udara menggunakan layang-layang LED yang dikawal dron dan pemasangan lampu mikro pada masa tertentu pada Jumaat dan pada hujung minggu.
Ini akan melengkapkan pintu gerbang yang dibina untuk acara Raikan Cahaya Ramadan ini serta gemerlapan cahaya lampu di sepanjang jalan.
Selain membeli-belah dan menikmati pemandangan hiasan lampu, bazar ini menawarkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan bagi meraikan semangat kemasyarakatan sepanjang bulan Ramadan.
Majlis berbuka puasa beramai-ramai pada 1 April akan diadakan untuk menghimpunkan masyarakat bersama-sama menikmati juadah berbuka puasa. Selain itu, bermula 7 hingga 16 Apr, satu usaha amal mengumpul barangan terpakai akan diadakan untuk para penerima pada masa sambutan Hari Raya Puasa pada 22 Apr nanti.
Untuk maklumat lanjut mengenai senarai program, pengunjung boleh melayari akaun Instagram @visitkamponggelam.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai seorang bekas banduan yang mahu tebus kesilapan lamanya selepas 10 kali keluar masuk penjara.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.