Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Maut keracunan ikan buntal di Malaysia: Keluarga gesa lebih banyak kesedaran, tindakan undang-undang terhadap penjual

Maut keracunan ikan buntal di Malaysia: Keluarga gesa lebih banyak kesedaran, tindakan undang-undang terhadap penjual
Seorang nelayan menunjukkan beberapa ekor ikan buntal yang terperangkap dalam pukatnya. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

KUALA LUMPUR: Anak kepada dua warga emas di Malaysia yang maut selepas makan ikan buntal menyeru agar ditingkatkan kesedaran orang ramai tentang penjualan ikan itu. 

Cik Ng Ai Lee, 51, turut menggesa agar kerajaan mendakwa mereka yang bertanggungjawab atas kematian ibu bapanya. 

Katanya, dia berharap kejadian yang sama melibatkan keluarga lain tidak akan berulang.

“Saya harap tragedi seperti ini hanya berlaku kepada ibu bapa saya. Kita tidak sepatutnya lihat kejadian yang sama berlaku. Ia terlalu menyayatkan untuk melihat orang yang tersayang meninggal dunia dengan cara ini,” katanya kepada CNA dalam temu bual telefon.

Ibu bapa Cik Ng - yang berasal dari Kampung Chamek di Paloh, Johor - dilaporkan meninggal dunia selepas makan ikan buntal pada 25 Mac. Ia adalah kali pertama pasangan itu memakan ikan itu, menurut Cik Ng.

Ibunya - Puan Lim Siew Guan - mula menggigil dan mengalami gejala sesak nafas sejurus selepas memakan ikan buntal. Bapanya pula, Encik Ng Chuan Sing, menunjukkan simptom yang sama kira-kira sejam kemudian.

Puan Lim meninggal dunia pada hari yang sama, manakala Encik Ng meninggal dunia dua minggu kemudian pada 8 Apr.

Cik Ng - anak kelima daripada tujuh beradik - memberitahu CNA bahawa dia berharap kematian ibu bapanya boleh menjadi contoh untuk kes itu dibawa ke mahkamah. Katanya, ini agar penjual yang menjual ikan buntal kepada ibu bapanya serta mereka yang terlibat dalam rantaian bekalan itu boleh didakwa.

"Dari segi undang-undang, kita perlu mempunyai contoh dan saya harap kes itu boleh dibawa ke mahkamah," kata Cik Ng yang bekerja sebagai ketua pegawai kewangan sebuah syarikat tersenarai awam. 

Tambah Cik Ng: "Saya harap kerajaan mengambil tindakan ... bukan sahaja (terhadap) penjual ikan tetapi keseluruhan rantaian bekalan dan sesiapa sahaja yang bertanggungjawab dalam hal ini," katanya.

Beliau berkata bedah siasat dijalankan ke atas ibunya untuk memastikan punca kematian walaupun terdapat pantang larang masyarakat Cina bahawa mayat sepatutnya "lengkap" apabila dikebumikan. 

“Saya berjaya meyakinkan abang dan keluarga (untuk buat bedah siasat). Saya tidak boleh membiarkan ini berakhir begitu sahaja. Hanya melalui pemeriksaan saintifik, ia boleh membawa kepada pendakwaan awam,” katanya kepada CNA. 

Cik Ng menceritakan bagaimana dia dapat mengesahkan dengan bapanya (sebelum bapanya tidak sedarkan diri) bahawa mendiang telah membeli ikan buntal itu buat kali pertamanya. 

“Ibu saya seorang yang berhati-hati … dalam bab pemakanan mereka. Saya tidak rasa mereka sanggup mengambil risiko jika mereka tahu ia beracun,” kata Cik Ng sambil mendakwa ibu bapanya pernah membeli ikan lain daripada penjual yang sama sebelum ini.

“Jika kerajaan berjaya mendakwa penjual itu, undang-undang sudah memadai. Tetapi jika dia tidak boleh didakwa, undang-undang tidak memadai dan ia perlu diubah. Saya harap orang ramai tidak lupa akan kejadian ini,” katanya sambil menggesa pembekal supaya beretika dan tidak menjual ikan yang mengandungi racun.

Dalam catatan di Facebook pada 30 Mac, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah berkata ikan buntal yang mengandungi toksin berbahaya tidak dibenarkan dijual, mengikut Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia 1972 dan Akta Makanan 1983.

Menurut Dr Noor Hisham, antara 1985 dan Mac 2023, terdapat 58 kejadian keracunan ikan buntal dilaporkan di Malaysia mengakibatkan 18 kematian.

Ketika CNA meminta mengulas mengenai restoran-restoran Jepun yang menjual ikan buntal, Dr Noor Hisham menjelaskan mereka yang mempunyai lesen daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan dibenarkan menjualnya.

Menurut Kementerian Kesihatan, ikan buntal mengandungi racun yang dikenali sebagai tetrodotoxin yang menyerang saraf dan akhirnya boleh menyebabkan kematian.

Racun itu dikatakan berada dalam organ ovari, hempedu, hati, usus dan kulit ikan buntal dan dalam proses pembersihan ikan, isinya boleh tercemar dengan racun itu.

IKAN BUNTAL DITANGKAP SERING DIBUANG KE LAUT

Tinjauan di beberapa bandar pantai di daerah Selangor oleh CNA mendapati ikan buntal tidak tersedia untuk dijual.

Di pasar nelayan Sungai Yu di Kuala Selangor yang terletak kira-kira satu setengah jam perjalanan dari pusat bandar Kuala Lumpur, beberapa penjual ikan berkata ikan buntal sering dibuang semula ke laut apabila terperangkap dalam pukat.

Encik Rasidi Tumin, 50, yang sudah hampir 40 tahun menangkap ikan berkata, ikan itu lazimnya ditemui bersama hidupan laut lain seperti udang.  

“Kalau masuk dalam pukat, saya akan buang. Kadang-kadang, saya akan bawa mereka balik kalau ada permintaan.

“Orang ramai menggunakannya untuk menghilangkan anai-anai. Mereka akan menanamnya di dalam tanah, terutama di tapak pembinaan rumah baharu,” katanya sambil menambah bahawa dia akan memberikan ikan buntal secara percuma kepada mereka yang memintanya.

Kata Encik Rasidi, dia telah makan ikan buntal beberapa kali, tetapi hanya selepas ia dimasak oleh seorang rakan yang tahu cara menyediakannya.

“Ia sedap, tetapi saya pasti tidak akan membuatnya sendiri dan tidak akan menjualnya kepada sesiapa untuk dimakan,” katanya kepada CNA.

Begitu juga dengan penjual ikan Yasir Muhammad yang berkata dia hanya akan memberikan ikan buntal kepada mereka yang memintanya untuk ditanam di dalam tanah, memetik kepercayaan orang-orang tua.

“Para nelayan tahu ikan ini beracun dan tidak boleh dimakan. Pihak (jabatan) perikanan juga telah mengajar kami tentang bahaya ikan ini,” kata Encik Yasir yang berusia 60 tahun itu.

Ikan buntal yang ditangkap oleh nelayan sebagai hasil tangkapan sampingan di sepanjang pantai Selangor. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

Nelayan Mohd Ridzuan, 34, yang berasal dari Kampung Tok Adam di Tanjung Karang menunjukkan kepada CNA ikan buntal yang terperangkap bersama-sama timbunan ikan kecil lain di dalam pukatnya.

Ikan buntal dan ikan-ikan lain ini akhirnya akan diproses sebagai makanan ikan, kata Encik Ridzuan.

Tinjauan di beberapa kedai menjual makanan laut segar di Kampung Bagan Pasir yang berdekatan mendapati tiada sesiapa yang menjual ikan itu.

Penjual ikan Chong Jin Yao, 20, berkata, tiada permintaan terhadap ikan buntal di kampung itu.

“Orang Jepun tahu menghirisnya dan menyediakannya dengan selamat untuk dimakan. Saya tidak akan pernah berani memakannya. Tiada sesiapa di sini yang memintanya,” katanya.

Tinjauan CNA juga mendapati bahawa ikan buntal dijual dalam talian, tetapi hanya sebagai haiwan peliharaan. Penjual berkata, ikan itu selamat disimpan di dalam akuarium tetapi bukan untuk dimakan.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai tugas doktor pokok menjaga pokok-pokok di Singapura demi keselamatan awam. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/nm(ih)

Advertisement

Also worth reading

Advertisement