Tidak membosankan: Tugas doktor pokok menjaga pokok-pokok di Singapura demi keselamatan awam
- Sebuah kenderaan rover yang menyerupai watak Wall-E kelihatan berkeliaran di Kebun Bunga Singapura dan Taman Tasik Jurong baru-baru ini.
- Dengan alat pengimbas laser dan kamera, ia membuat salinan digital taman.
- Rakamannya dan alatan lain membantu doktor pokok Lembaga Taman Negara memastikan dua juta pokok dalam kawasan bandar dalam keadaan terbaik.
- Seorang arboris (ahli dalam penanaman dan penjagaan pokok) menerangkan bagaimana dia belajar 'bercakap' bahasa pokok.
SINGAPURA: Ow Siew Ngim pernah tertarik kepada haiwan seperti monyet dan serangga lebih daripada pokok, yang dianggapnya "agak membosankan".
Semasa menuntut dalam bidang biologi dan ekologi hutan tropika, Ow pernah mengambil "semua modul haiwan". "Kita boleh belajar lebih banyak lagi tentang haiwan kerana binatang bergerak," katanya. "Mempelajari corak peri laku amat menarik minat saya semasa saya muda."
Tetapi pokok menjadi subjek yang lebih "seksi" kepadanya dari masa ke semasa. "Pokok-pokok hanya bercakap bahasa yang berbeza daripada haiwan," katanya. “Anda perlu mentafsir sendiri, … anda perlu mengesahkan pemeriksaan anda berdasarkan alat diagnostik dan perkara (seperti itu).
“Saya suka cabaran sebegini.”
Apa yang membuatkan Ow melihat pokok dari sudut yang baharu adalah selepas beliau mengikuti kursus yang dijalankan oleh Persatuan Arborikultur Antarabangsa (ISA), sebuah badan bukan keuntungan dalam penjagaan pokok.
Dia kemudian menjadi ahli arboris bertauliah dan hari ini menggalas tugas sebagai pengarah teknologi hiasan tanaman jalanan dan operasi di Lembaga Taman Negara (NParks). Mengekalkan pokok-pokok di kawasan bandar Singapura dalam keadaan terbaik adalah sebahagian daripada tugasnya.
Daripada anggaran tujuh juta pokok di Singapura — angka yang diperoleh daripada banci pokok dan tinjauan lapangan— NParks menguruskan enam juta daripadanya. Selebihnya diuruskan oleh majlis bandaran dan pihak lain seperti pemilik tanah persendirian.
Dua juta pokok di bawah NParks adalah pokok bandar di sepanjang jalan, di taman-taman dan di kawasan tanah milik pemerintah. Baki empat juta terletak jauh dari laluan manusia, seperti di bahagian terpencil hutan simpanan semula jadi.
Pokok bandar diperiksa setiap enam hingga 24 bulan, dengan pemeriksaan lebih kerap dibuat pada pokok matang dan pokok warisan serta di lokasi tertentu, seperti tempat letak kereta dan ruang acara.
Apabila menjelaskan kepada orang ramai mengapa pokok memerlukan penjagaan kasih sayang tahap yang berbeza, Ow sering menerangkan pokok-pokok umpama "pesakit"nya.
Tempoh untuk meninjau dan menjaga pokok-pokok adalah seperti manusia juga. Misalnya, pokok-pokok yang lebih berusia memerlukan pemeriksaan yang lebih kerap dibandingkan dengan pokok-pokok lebih muda, kata Ow yang menyertai NParks lebih 20 tahun lalu.
Dengan lebih banyak pokok akan ditanam menjelang 2030 di bawah pergerakan OneMillionTrees Singapura yang dilancarkan pada 2020, NParks boleh menjangkakan "sekurang-kurangnya 50 peratus peningkatan" dalam pokok yang akan "diuruskan secara aktif", tambahnya.
Turut semakin meningkat juga adalah teknologi, yang membantu lebih 250 arboris NParks yang juga dikenali sebagai doktor pokok.
ROVER DI TAMAN
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, para pengunjung Kebun Bunga Singapura dan Taman Tasik Jurong mungkin pernah terserampak dengan sebuah rover yang menyerupai Wall-E, watak robot dalam filem animasi Pixar 2008.
Roda treknya dengan getah yang lebih lebar membolehkan rover bergerak ke kawasan terbuka tanpa merosakkan rumput.
Dengan pengimbas laser dan dua kamera yang dipasang pada bingkai merahnya, rover menjalankan misi untuk mencipta "kembar digital" pokok di taman. (Teknologi kembar digital adalah kaedah pemodelan maya yang mencerminkan secara tepat sesebuah benda fisikal).
Dikendalikan oleh seorang juruukur profesional, rover tersebut boleh bergerak atas mana-mana rupa bumi, kata naib presiden Asia-Pasifik Greehill, Peter Sasi.
Firma teknologinya membangunkan bersama teknologi kembar digital dengan NParks dan rakan kongsi lain.
“Kita tidak perlu bergerak pada turapan; kita boleh pergi ke luar jalan,” katanya. "Ia (bergerak) dengan roda getahnya yang lebar, tidak menjejaskan mana-mana kehijauan."
Menggunakan teknologi pengesanan cahaya dan julat (Lidar), alat pengimbasnya merakam dengan ukuran tepat bagi setiap pokok.
"Kami bermula dengan mencipta salinan digital lengkap keseluruhan taman atau keseluruhan pemandangan jalan," kata Sasi. "Semuanya didigitalkan dalam tiga dimensi dan juga dengan foto panorama."
Algoritma pembelajaran mesin kemudiannya diajar untuk mengenal pasti pokok dan membezakannya daripada tiang lampu atau papan tanda. Ia juga menetapkan lokasi ruang muka bumi setiap pokok.
Para doktor pokok tidak lagi perlu mengukur lilitan dan ketinggian pokok atau menentukan lokasinya. Ini semua diharap dapat mengurangkan masa yang diperlukan untuk pemeriksaan sedemikian, kata Ow.
Pengukuran pokok secara jarak jauh dilakukan NParks pertama kalinya di kawasan Bishan-Ang Mo Kio pada awal tahun 2021. Tetapi pada masa itu tiada rover — jadi juruukur terpaksa menggunakan troli untuk menggerakkan pengimbas laser dan tripod, yang seberat puluhan kilogram.
Pada masa projek itu berpindah ke Kebun Bunga, rover elektrik gred perindustrian yang padat mula digunakan. Rover menjimatkan masa doktor-doktor pokok yang membolehkan mereka menumpukan perhatian kepada pokok yang "sangat memerlukan bantuan", kata Sasi.
Seorang arboris NParks biasanya boleh memeriksa kira-kira 400 hingga 500 pokok dalam sebulan, dan kebanyakan pokok didapati sihat semasa pemeriksaan visual peringkat pertama berdasarkan piawaian antarabangsa.
Sangat sedikit pokok yang dirujuk untuk pemeriksaan peringkat kedua, kata Ow, tanpa memberikan angka. (Selain pokok dengan "kemungkinan kecacatan", NParks juga telah menjalankan pemeriksaan lanjutan ke atas pokok dengan lilitan lebih daripada empat meter sejak November 2016.)
Semasa pemeriksaan lanjutan, doktor pokok akan menggunakan instrumen pengesanan pereputan. Contohnya, sebuah perintang menggerudi ke dalam batang pokok dengan jarum untuk mengukur daya rintangan kayu, manakala tomograf sonik PiCUS menggunakan gelombang bunyi untuk menyiasat keadaan dalaman pokok.
Pokok yang didapati tidak sihat boleh dirawat dengan pelbagai cara. Pokok dengan daun menguning yang biasanya berwana hijau mungkin boleh dirawat dengan meletakkan di permukaan tanah daun-daun kering atau bahan organik lain - atau baja.
Jika sebahagian daripada pokok mempunyai kecacatan struktur, bahagian yang rosak boleh dicantas. Jika pokok lama memerlukan sokongan tambahan, kabel dan prop akan digunakan.
Pokok yang dianggap berisiko gagal dan mengancam keselamatan awam akan dipotong dan diganti.
LEBIH TEGUH
Pokok-pokok Singapura telah menjadi lebih teguh berikutan beberapa langkah, teknologi dan bukan teknologi, yang dilaksanakan selama ini.
Daripada kira-kira 3,100 kejadian pokok pada 2001, termasuk dahan patah, ia turun kepada kira-kira 480 pada tahun lepas. Kini purata kira-kira 400 kes dilaporkan setahun sejak 2019. Namun, Ow akui bahawa mungkin akan ada insiden-insiden "di luar kawalan".
Misalnya, kejadian cuaca keterlaluan seperti letusan mikro, yang merupakan lajur udara ke bawah yang kuat yang berlaku ketika ribut petir.
Menurut Jabatan Meteorologi Singapura, ia sukar diramalkan tetapi boleh mengakibatkan angin melebihi 270 kilometer sejam.
Dan apabila pokok, sebagai hidupan, tidak dapat menahan kuasa yang lebih kuat daripadanya, biasanya akan roboh, kata Ow.
Apa yang boleh kita lakukan sebagai manusia adalah apa yang terbaik yakni mempunyai "langkah-langkah pemeriksaan dan pencantasan yang setara dan laksanakannya sehingga ke tahap T.”
Sejak awal 2000-an, pengurusan pokok NParks telah berasaskan kepada "rejim pemeriksaan dan pencantasan yang ketat".
Dahulu doktor-doktor pokok biasanya ke lapangan untuk memeriksa pokok berbekalkan peta kertas di tangan, katanya.
Apabila peranti mudah alih pertama mula digunakan pada 2010, peranti tersebut tidaklah ringan seperti sekarang. Ini men dorong para arboris bergurau bahawa alat tersebut boleh digunakan sebagai senjata jika mereka perlu mempertahankan diri. Setiap alat tersebut seberat 1 hingga 2 kg, dianggarkan Ow.
Hari ini, peranti mudah alih yang digunakan oleh NParks adalah jauh lebih ringan daripada peranti lama. Ia membolehkan doktor pokok mengakses butiran setiap pokok semasa berada di lapangan dan mengemas kini rekod pemeriksaan dalam masa segera.
Alat-alat lain yang mula digunakan sejak ke belakangan ini termasuk alat penderia kecondongan pokok tanpa wayar dan Tree Structural Model Plus, yang merupakan algoritma yang memproses data tentang kestabilan pokok di bawah keadaan angin yang berbeza. Ia bagi membimbing NParks tentang berapa banyak cantasan yang perlu dilakukan.
Terdapat penambahbaikan selanjutnya untuk sistem pengukuran pokok dari jarak jauh.
NParks mahu menggunakan pembelajaran mesin, kecerdasan buatan dan kembar digital untuk mengesan rongga terbuka. Ia juga sedang mengusahakan alat pelepasan ketinggian untuk mengesan kemungkinan halangan yang disebabkan oleh dahan rendah dan memastikan perjalanan selamat untuk kenderaan tinggi.
TIDAK LAGI SECARA TUNGGAL
Saah satu sebab pokok-pokok bandar Singapura memerlukan penjagaan yang lebih berbanding sebelum ini adalah kerana perubahan iklim: Singapura kini boleh mengalami kesan seperti hujan yang lebih kerap dan lebat, kemarau yang berpanjangan dan paras laut yang meningkat.
Pada 2012, NParks mula mengurangkan atau mencantas mahkota atau bahagian atas pokok sebelum musim seperti monsun barat daya, yang berlaku dari Jun hingga September yang disertai dengan ribut petir dan angin kencang.
Sejak 20 tahun lalu, NParks juga telah menggantikan pokok yang berpenyakit dan spesies yang terdedah kepada ribut di kawasan hutan bersebelahan dengan jalan raya. Spesies seperti Albizia boleh digantikan dengan spesies asli seperti manggis pantai, yang lebih sesuai dengan keadaan cuaca Singapura.
Dan di koridor yang menghubungkan kawasan biodiversiti utama, seperti hutan simpanan semula jadi, NParks kini melakukan penanaman pelbagai peringkat untuk mewujudkan sejauh mungkin struktur semula jadi hutan dan memudahkan pergerakan haiwan di antara dua ruang hijau.
Pada masa lalu, pokok ditanam secara tunggal dan "seperti askar", yang mendedahkannya kepada kuasa angin sepenuhnya, kata Ow. Kini ia dikapit pokok-pokok dan pohon renek yang lebih kecil, yang berfungsi sebagai penampan.
"Apa yang kami cuba lakukan ialah mewujudkan ekosistem hutan kecil di sepanjang jalan untuk memastikan daya tahan kita yang lebih mampan dalam menghadapi perubahan iklim," katanya.
Bagaimanapun, apa yang ramai mungkin tidak tahu adalah langlah-langkah yang diambil Singapura melebihi daripada apa yang dicadangkan oleh ISA.
Di bawah syor ISA, pemeriksaan pokok, misalnya, perlulah dilakukan sekitar setiap 24 hingga 36 bulan, tegas Ow. Dan pengurangan mahkota pokok hendaklah 20 peratus atau kurang.
Tetapi di Singapura, di mana pohon-pohon bersaing dengan jalan raya, laluan pejalan kaki dan longkang untuk mendapatkan ruang, ada kalanya pokok mesti dicantas, "bukan untuk penyelenggaraan rutin tetapi untuk pembersihan (seperti untuk akses kenderaan)", katanya.
Bagi Sasi, yang berasal dari Hungary dan telah menetap di Singapura selama kira-kira lapan tahun, apa yang menggembirakannya adalah penggunaan teknologi untuk membantu bandar-bandar sentiasa sesuai didiami manusia walaupun pada suhu dunia yang lebih panas.
Firmanya Greehill, mempunyai projek di negara-negara lain termasuk Austria, dan dia berharap kerjanya akan memberi kesan kepada masa depan dua anaknya yang kini dalam peringkat prasekolah.
"Saya sedang mengusahakan beberapa tugas berteknologi hebat dan pada masa yang sama membantu masa depan anak-anak saya; masa depan yang lebih berdaya tahan dan senang dilalui mereka," katanya.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai nasihat kepada orang ramai sedang jumlah kes jangkitan COVID-19 kembali meningkat di Malaysia.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.