Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

'Sukar pada mulanya': Kilang biji kopi kaedah tradisional di Klang ini masih utuh beroperasi sejak 1959

'Sukar pada mulanya': Kilang biji kopi kaedah tradisional di Klang ini masih utuh beroperasi sejak 1959
Tan Loon Chuan membawa beg biji kopi hijau untuk dipanggang di kilang kopinya di Klang. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

KLANG, Selangor: Sedang melangkah masuk ke sebuah kilang kayu yang tua, terletak di hujung jalan yang hanya 10 minit dari bandar Klang, Selangor ini, deria bau anda pasti dihidangkan dengan bau asap kayu yang dibakar bersama aroma kopi yang harum semerbak. 

Di sebalik pintu kayu kilang yang masih teguh ini pula, terdapat sebuah tempat pemanggang kopi yang membakar biji kopi menggunakan kaedah tradisional - dengan tangan dan kayu api. 

Tan Loon Chuan, 65, menjalankan perusahaan Kilang Kopi Chuan Hoe, dengan memanggang biji kopi dengan cara yang sama seperti yang diajar oleh bapanya.

Potret Tan Loon Chuan, pemilik Kilang Kopi Chuan Hoe di daerah Klang, Selangor, Malaysia. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

Perniagaan keluarga itu bermula pada 1959 dan Tan mewarisinya sehingga ke hari ini.

“Ia amat sukar pada mulanya ketika kami baru mulakan (perniagaan). Tetapi dengan perlahan-lahan, kami belajar sendiri (cara memanggang kopi),” kata Tan kepada CNA.

Tan memulakan rutin kerjanya dengan menimbang biji kopi yang akan dipanggangnya untuk hari itu. Sebaik sahaja alat pemanggang mula beroperasi, begitu juga pengisar yang akan mengadun kopi jenis "2-dalam-1" dan "3-dalam-1" yang dihasilkannya untuk pelanggan.

Menurut Tan, dia tidak menggunakan sebarang sukatan. Sebaliknya, berbekalkan pengalamannya selama 40 tahun dalam perniagaan itu, ia membantunya untuk membuat adunan kopi dengan cara yang betul. 

Tan Loon Chuan menimbang biji kopi sebelum dipanggang. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

Tan berkata semua proses memanggang dilakukannya sendiri – bermula daripada memeriksa kayu api yang dibakar sehinggalah tidak terlepas memerhatikan biji kopi yang dipanggang agar hasilnya sempurna.

Dia juga akan sentiasa memeriksa biji kopi itu sehinggalah berpuas hati dengan hasil ia dipanggang. Katanya, dia turut dibantu oleh anaknya. 

Tan Loon Chuan menambah kuantiti kayu ke dalam pemanggang biji kopi. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)
Biji kopi yang sedang dipanggang menggunakan kaedah tradisional iaitu dengan kayu api. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

Untuk menambah rasa pada biji kopi itu, mentega atau marjerin ditambah semasa proses memanggang kopi. 

Tan Loon Chuan menambah marjerin ke dalam pemanggang kopinya untuk menambah rasa pada biji kopi. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)
Biji kopi panggang yang siap diadun bersama gula. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

Tan berkata bahawa banyak kafe di sekitar Kuala Lumpur - ibu kota Malaysia - memesan biji kopi daripadanya. 

Pelanggannya, kata Tan, tahu dalam menilai rasa biji kopi.

Biji kopi panggang sedang dimasak dengan gula untuk produk kopi jenis "2 dalam 1" dan "3 dalam 1". (Gambar: CNA/Fadza Ishak)
Biji kopi yang telah dipanggang dan diadun bersama gula kemudiannya akan dipecahkan bagi menyejukkannya. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)
Tan Loon Chuan menyebarkan biji kopi bersalut gula untuk menyejukkannya. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)
Biji kopi yang sudah dikisar. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

Ramai pelanggannya memberitahu biji kopi menjadi lebih enak apabila bijinya dipanggang atas kayu api berbanding dengan pemanggang gas yang moden meskipun kos menggunakan kayu api lebih tinggi. 

“Saya akan terus buat selagi boleh. Kalau anda ingin kerja macam ini pun boleh. Tetapi itu bergantung jika orang itu sanggup melakukannya,” kata Tan.

Tan mengakui kerja itu bukanlah mudah dengan hari kerjanya akan bermula seawal 8 pagi. Sedang dia menamatkan hari kerjanya sekitar pukul 2 atau 3 petang, kata Tan, dia akan berasa letih kerana bekerja dalam kepanasan di kilangnya. 

"Kadang-kadang kami berhenti pada pukul 1 tengah hari, sebab kami sudah tidak tahan lagi," katanya.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini tentang semangat atlet kurang upaya di Singapura lakukan senaman CrossFit.  

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/nm(ih)

Advertisement

Also worth reading

Advertisement