Harga durian Johor mungkin naik musim akan datang, hasil tuaian dijangka junam 50% akibat banjir
Kemuncak musim durian tahunan di Malaysia biasanya berlaku pada Mei hingga Ogos.
JOHOR BAHRU: Hujan lebat dan banjir yang melanda di beberapa bahagian Johor baru-baru ini telah menjejaskan hasil tuaian durian untuk musim akan datang pada Mei nanti.
Ini berpotensi mengurangkan separuh daripada bekalan durian dan seterusnya mengakibatkan kenaikan harga bagi beberapa jenis yang dieksport ke Singapura dan China, kata para petani durian kepada CNA.
Encik Francis Hong, naib presiden Persatuan Pekebun Buah-buahan Malaysia berkata hujan lebat dan banjir sejak sebulan lalu berlaku semasa proses penuaian yang kritikal untuk ladang durian di daerah seperti Segamat, Batu Pahat dan Muar.
“Cuaca buruk pada awal Mac telah mengganggu proses berbunga bagi kebanyakan pokok durian di kawasan ini dan ini akan memberi impak ketara terhadap hasil tuaian musim akan datang,” kata Encik Hong, yang juga pengerusi Persatuan Pekebun Buah-buahan Johor.
“Oleh kerana kekurangan cahaya matahari dan air banjir merosakkan pokok, dengan bunga dalam kebanyakan pokok ini gagal matang, dan buah tidak akan terbentuk. Saya rasa Johor berkemungkinan akan menghasilkan kurang 50 peratus durian berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya.
Kemuncak musim durian tahunan di Malaysia biasanya berlaku pada Mei hingga Ogos.
Hujan lebat yang berpanjangan pada awal Mac lalu telah menyebabkan banjir merentasi pelbagai bahagian utara dan tengah Johor, termasuk Batu Pahat, Kluang, Pulai, Muar serta Segamat, kawasan yang terkenal dengan pengeluaran durian yang berkualiti baik.
Kira-kira 50,000 orang dilaporkan hilang tempat tinggal akibat banjir. Bagaimanapun, sejak itu, angka tersebut telah berkurangan.
Setakat petang Selasa (21 Mac), berdasarkan data Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA, kira-kira 6,160 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara.
Perunding durian Lim Chin Kee berkata beliau tidak menolak bahawa bencana banjir di Johor telah memberi kesan buruk terhadap bekalan durian.
Encik Lim, yang memiliki sebuah ladang durian di Raub, Pahang, berkata hujan dan banjir menyebabkan akar pokok terkena kulat di dalam tanah, dan ini boleh menyebabkan anak pokok layu dan mati sebelum berbuah.
“Hujan yang berterusan juga menyebabkan banyak pokok durian mengalami akar reput. Sesetengah dusun durian di Johor mati dalam jumlah yang banyak, yang lain hanya sedikit terjejas, tetapi keseluruhan hasil tuaian terjejas dengan ketara,” katanya kepada CNA.
HARGA BOLEH NAIK AKIBAT GANGGUAN BEKALAN
Encik Hong berkata gangguan pada bekalan boleh menaikkan harga durian di Malaysia, termasuk yang akan dieksport untuk musim akan datang ke Singapura, China dan negara lain.
"Saya rasa dengan penurunan ketara dalam bekalan dari Johor - ditambah pula dengan China membuka semula pasarannya bagi import durian tahun ini - harga durian boleh meningkat," katanya.
Encik Hong, yang memiliki sebuah ladang di Kluang, Johor, berkata jenis durian yang popular seperti Mao Shan Wang (Musang King), Udang Merah dan Duri Hitam "kemungkinan lebih mahal sedikit" apabila musim bermula pada Mei.
Sementara itu, Encik Mad Zin Abdullah, yang memiliki sebuah ladang durian di Kampung Tengah di Segamat, memberitahu CNA bahawa harga durian Musang King dari Segamat mungkin akan meningkat lebih 50 peratus tahun ini.
“Biasanya harga durian Musang King yang dieksport ke Singapura dan China adalah antara RM40 dan RM45 (AS$8.90 dan AS$10) sekilogram. Saya rasa disebabkan ia sangat terhad, terutamanya di Segamat, harganya boleh mencecah RM60-65 sekilogram,” kata petani veteran berusia 70-an dan pakar dalam tanaman durian kacukan itu.
Ladang milik Encik Mad Zin dilanda banjir pada minggu pertama Mac lalu. Banjir turut memusnahkan rumah kayunya, beberapa kenderaan dan kira-kira separuh daripada pokok durian yang ditanamnya. Namun, beliau tetap bersyukur masih mempunyai pokok yang tidak rosak untuk meneruskan proses menuai tahun ini.
“Kami tidak mahu meletakkan harga durian terlalu tinggi, hanya pada harga yang berpatutan mengikut pasaran,” katanya.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai pelakon cilik Malaysia yang cedera dalam insiden ‘prank’ tarik kerusi.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.