Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

'Lebih banyak boleh dilakukan': Kurang sifat bukan penghalang untuk aktif dalam senaman ‘CrossFit’

"Tumpuannya adalah pada apa yang boleh dilakukan oleh seorang atlet dan bukannya pada apa yang tidak boleh dilakukannya," kata seorang atlet kurang upaya CrossFit Singapura. 

'Lebih banyak boleh dilakukan': Kurang sifat bukan penghalang untuk aktif dalam senaman ‘CrossFit’
Delia Kang (kiri) melakukan senaman angkat berat menggunakan barbel dan Wan Wai Yee (kanan) menggunakan mesin dayung dalam sebuah kelas CrossFit. (Gambar: Delia Kang; CNA/Lee Chong Ming)

SINGAPURA: Janessa Yu sedang melakukan senaman seperti biasa di gim tetapi kali ini dengan menggunakan alatan ‘assault bike’ dengan lengannya. 

Bagi wanita berusia 24 tahun itu, ia bukan sekadar latihan senaman, tetapi wadah pemerkasaan diri dan mengenali kekuatan dirinya sendiri. 

Yu mengalami keadaan kesihatan pada bahagian neurologi yang menjejas keseimbangan dan tisu ototnya. Tetapi dalam kelas CrossFit yang disusun khas untuk orang kelainan upaya ini, Yu sedar dia sebenarnya mampu menggerakkan tubuhnya untuk membuat pergerakan yang sebelum ini tak terfikir boleh dilakukannya. 

"Kesukaran yang dirasai dalam sukan itu membangkitkan keterujaan dalam diri saya, bukannya ketakutan - saya suka mencabar diri saya kerana pengalaman seperti ini membantu saya untuk berkembang," katanya.

Yu merupakan salah seorang ‘atlet adaptif’ di gim CrossFit Innervate Fitness, yang diakui sebagai satu-satunya pusat gim di Singapura yang mempunyai program khas untuk orang kelainan upaya.

Sejak program itu dilancarkan pada 2017, kira-kira 35 orang kelainan upaya telah menyertainya. Enam daripada mereka kini aktif dalam Program Atlet Adaptif.

Ketika CNA mengunjungi kelas adaptif pada hari bekerja, Yu adalah salah seorang daripada tiga orang kelainan upaya melakukan senaman bersama beberapa peserta senior lain.

"Mereka adalah ahli biasa dan kebanyakannya sudah melakukan (senaman ini) selama empat hingga lima tahun," kata Lionel Choong, pemilik Innervate Fitness. 

Mereka mengalami kekurangan upaya dari segi penglihatan, pendengaran dan distrofi otot.

CrossFit adalah program kecergasan berintensiti tinggi yang merangkumi pelbagai jenis senaman dan pergerakan, seperti angkat berat Olimpik, angkat berat kuasa, gimnastik, kardiovaskular, pliometrik, ‘strongman’ dan senaman ‘kettlebell’.

Latihan itu direka untuk meningkatkan kecergasan dan prestasi fizikal secara keseluruhan dengan menggabungkan pelbagai jenis senaman.

Kelas CrossFit adaptif yang dijalankan di Innervate Fitness. (Gambar: CNA/Lee Chong Ming)

“BEKERJASAMA UNTUK SESUAIKAN DIRI DENGAN GERAKAN”

Bagi orang kelainan upaya, CrossFit perlu mempunyai skala dan disesuaikan mengikut keperluan unik setiap individu. 

Menurut Joshua Alan Lee, seorang jurulatih sepenuh masa dengan Innervate Fitness, atlet kelainan upaya mengikuti format latihan berintensiti tinggi yang sama seperti atlet lain, dengan perlu menamatkan pelbagai jenis senaman sebagai sebahagian daripada latihan pada hari itu. Namun, beberapa ubahsuai dibuat dengan bebannya dikurangkan untuk menyesuaikan sesuatu latihan kepada keperluan tepat seseorang peserta.

“Apabila saya yakin dia boleh mengangkat berat ini, saya akan mendorongnya untuk mengangkat sedikit lagi supaya menjadi lebih kuat. Kemudian perlahan-lahan kami maju setapak ke depan," kata Lee, 31 tahun. 

“Tentunya, keselamatan adalah suatu kebimbangan besar. Kami sentiasa memerhatikan gerakan tertentu peserta latihan adaptif yang kami fikir mungkin tidak selamat.”

Yu mendapati agar sukar untuk dia mengimbangi badannya apabila perlu melakukan cangkung sambil memegang barbel. Jadi, dia akan melakukan cangkung depan sambil memakai weskot berat sebagai penyeimbangnya. Dia juga akan melakukan ‘deadlift’ dengan kettlebell menggunakan dinding sebagai sokongan.

"Kadangkala, jurulatih dan atlet perlu lebih kreatif dalam bekerjasama menyesuaikan sesuatu pergerakan," kata Yu, yang telah menyertai CrossFit di Innervate Fitness selama lebih lima tahun.

"Bagi atlet yang menggunakan kerusi roda, jurulatih mungkin menanggalkan mesin dayung untuk membolehkan atlet menarik pegangan dan membuat pergerakan dari kerusi roda tanpa perlu menggunakan kaki," katanya.

Delia Kang, yang telah menyertai CrossFit sejak empat tahun lalu, adalah seorang kurang upaya penglihatan, tetapi menurut Kang dia tidak memerlukan sebarang penyesuaian.

Pakar urut berusia 52 tahun itu berkata, dia bertanggungjawab untuk memastikan setiap sesi adalah selamat. Sebagai contoh, dia akan meminta seseorang untuk periksa kedudukan tangannya jika dia tidak dapat melihat tanda pada besi barbel itu. 

"Kadang-kadang saya pergi ke kelas utama ... kerana saya mahu mencabar diri saya sendiri," kata atlet adaptif Wan Wai Yee. (Gambar: CNA/Lee Chong Ming)

Seorang lagi atlet CrossFit yang cacat penglihatan, Wan Wai Yee, berkata dia memerlukan seseorang untuk membimbingnya sedang dia berlari.

"Orang ini perlu lebih pantas daripada saya, supaya mereka mempunyai masa untuk menjaga diri mereka sendiri dan saya, lagi pun saya tidak boleh lari lebih laju daripada pemandu (larian) ini," kata Wan yang berusia 50 tahun kepada CNA.

Selain itu, Wan berkata dia tidak memerlukan banyak pengubahsuaian dalam kelas CrossFit kerana hanya perlu tahu "di mana letaknya sesuatu barang itu."

"Kadang-kadang saya pergi ke kelas utama (untuk orang kelainan upaya) ... kerana saya mahu mencabar diri sendiri," kata Wan, yang telah bersama Innervate Fitness selama lebih lima tahun.

"Mungkin mereka lebih laju dalam berlari, mengangkat berat, tetapi jika dibiarkan pada diri kita sendiri, kita juga boleh berlari dan mengangkat berat. Kita mungkin agak perlahan, tetapi itu tidak mengapa.”

Wan Wai Yee mencapai palang dan memasang piringan pemberat. (Gambar: CNA/Lee Chong Ming)

“MAMPU BUAT LEBIH BANYAK LAGI”

Yu berkata memandangkan CrossFit memberi tumpuan kepada gerakan-gerakan berfungsi yang digunakan dalam kehidupan seharian, terdapat faedah praktikal dalam senaman itu. 

"Selepas mempelajari cara melakukan cangkung dengan betul, saya kini boleh mengambil barang yang jatuh ke lantai dengan lebih mudah."

"Setelah melakukan (senaman) ‘burpee’, saya tidak lagi bimbang untuk berada di lantai dan tidak takut jika tidak boleh bangun."

Selain kebaikan pada fizikal, Yu juga menekankan aspek psikologi dan emosi.

“Dengan identiti sosial yang baru sebagai atlet adaptif, saya mendapat lebih keyakinan diri. Yang penting, saya juga dapat menambah komuniti,” katanya.

"Saya rasa ia mengujakan untuk orang kelainan upaya mendapat peluang untuk pergi lebih jauh daripada batasan yang dirasakan sebelum ini untuk meneroka potensi mereka sepenuhnya."

"Ada perasaan pencapaian setiap kali saya melakukan pergerakan yang saya tidak pernah bayangkan saya boleh buat, pergerakan yang tidak akan saya ketahui saya boleh buat kalau saya tidak mencuba."

CrossFit juga menunjukkan kepada mereka bahawa apa-apa rintangan hanya wujud dalam minda sahaja.

Bagi Kang, berjaya melakukan acara ‘clean and jerk’ dalam angkat berat adalah salah satu pencapaian terhebat dilakukannya yang sudah menjadi sasarannya selama ini. 

Kata Wan: “Jika anda fikir anda boleh, maka, anda tahu, anda fokus dan belajar, belajar dan lakukan kemahiran itu.

“Saya fikir (CrossFit telah) menjadikan saya seorang yang lebih cergas … Saya hampir berjaya buat (senaman) wall walks. Saya masih lagi mencuba, saya masih belum boleh mengangkat perut.”

"Banyak perkara yang ingin saya capai dalam CrossFit ini."

Wan Wai Yee mencuba senaman ‘wall walk’ dalam kelas CrossFit. (Gambar: CNA/Lee Chong Ming)

ADAKAH IA SELAMAT?

Sesetengah orang mungkin takut untuk mencuba CrossFit sepertimana ia digambarkan dalam media, kata Lee, jurulatih Innervate Fitness. 

Di media sosial, sudah menjadi kebiasaan untuk melihat atlet CrossFit yang sangat berpengalaman mencuba senaman ‘muscle-up’ atau melakukan ‘clean and jerk’ yang berat. Senaman itu melibatkan mengangkat barbel yang dipenuhi dengan beban dari lantai ke atas kepala dalam dua pergerakan yang kuat.

Sukan itu juga mendapat perhatian baru-baru ini selepas rancangan popular sukan ekstrem Korea Selatan, Physical: 100 dimenangi oleh seorang peserta  CrossFit. 

"Oleh itu, menjadi tanggungjawab kami untuk membantu mereka memulakan (CrossFit) dan membuktikan bahawa ia boleh dilakukan dan boleh diubah suai mengikut tahap keupayaan mereka," tambah jurulatih itu.

Dr Ian Wee, seorang pelatih pakar dalam pembedahan am dari SingHealth, memberi amaran bahawa walaupun pergerakan CrossFit boleh disesuaikan dengan keperluan dan kebolehan khusus individu secara teori, secara praktikal, ia bergantung sepenuhnya pada keupayaan jurulatih untuk menyesuaikan pergerakan itu dengan betul.

Katanya, para peserta CrossFit juga harus mengetahui batas fizikal dan senaman mereka. Dr Wee turut mengingatkan agar mereka mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli fisioterapi untuk mengetahui pergerakan mana mereka perlu elakkan. 

"Berbincangah dengan jurulatih atau ketua (senaman) untuk mengetahui sejauh mana mereka berpengalaman dan berpengetahuan dalam memenuhi keperluan peserta kelainan upaya", kata doktor berusia 29 tahun itu.

"Jika tidak dilakukan dengan baik, ia boleh menyebabkan kecederaan yang serius."

Tetapi apabila dilakukan dengan selamat, CrossFit boleh memberikan pelbagai kebaikan dari segi fizikal, mental dan sosial untuk orang kelainan upaya, tambahnya.

Seorang atlet adaptif menggunakan mesin dayung dalam kelas CrossFit. (Gambar: CNA/Lee Chong Ming)

Bagi Yu, perjalanannya untuk meneroka kemampuan diri sendiri masih diteruskan.

"Tumpuannya adalah pada apa yang boleh dilakukan oleh seorang atlet dan bukannya pada apa yang tidak boleh dilakukannya," kata Yu. 

"Digelar sebagai seorang atlet adaptif adalah label pertama bagi diri saya yang menekankan potensi saya untuk terlibat dalam kecergasan dan bukannya pada batasan fizikal saya."

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini tentang tip penyediaan menu sahur dan berbuka puasa yang berkhasiat. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/nm(ih)

Advertisement

Also worth reading

Advertisement