Elakkan anak mereka ketinggalan: Program KidStart Singapura mahu bantu keluarga berpendapatan rendah
Menerusi KidStart, keluarga berpendapatan rendah boleh mendapatkan bantuan pakar dalam hal kesihatan, pemakanan, pencapaian perkembangan, dan subsidi jagaan kanak-kanak.
SINGAPURA: Ketika Yolanda Lai pertama kali bertemu Rosabelle Lum, yang berusia satu tahun pada lewat 2021, bayi itu terkial-kial untuk belajar berjalan.
Lai, 33 tahun, mendapati bayi perempuan itu tidak tahu berjalan walaupun dia memegang perabot – sedangkan ini sepatutnya dapat dilakukan pada usia 10 hingga 12 bulan.
Sepanjang beberapa minggu kemudiannya, Lai mengajar beberapa kaedah kepada ibu bapa Rosabelle, Goh Ling Ling dan Lum Suoon Hsien, untuk membantu anak mereka.
Mereka melatih bayi itu untuk belajar berdiri dan bercangkung, misalnya dengan menampal pelekat atau lukisan kertas di dinding, dan bertatih sambil menolak bangku kecil.
Rosabelle mula berjalan pada usia 14 bulan. Pencapaian itu menggembirakan ibu bapanya dan juga Lai, yang sejak itu mula menumpukan sepenuh perhatian terhadap perkembangan dan kemajuannya.
Sepanjang tahun lalu, Lai bertemu Rosabelle dan ibu bapanya di rumah mereka sekali setiap dua atau tiga minggu, mencatat pencapaian perkembangannya dan membimbing mereka dalam segala hal, daripada penyusuan susu badan dan pemakanan, hinggalah kepada strategi untuk menggalaknya mula bercakap.
Lai adalah seorang pengamal KidStart, dan kunjungan tetap beliau adalah sebahagian daripada sebuah program nasional Singapura yang bukan sahaja bermatlamat menyokong kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah, tetapi juga membuat ibu bapa lebih yakin dengan kebolehan mereka sendiri, sebagaimana yang disedari oleh Goh.
BUKAN SEKADAR CUKUP MAKAN DAN TIDUR SAHAJA
Meskipun program KidStart meliputi kanak-kanak baru lahir sehingga usia enam tahun, kunjungan ke rumah adalah salah satu komponen program untuk ibu hamil dan kanak-kanak berusia sehingga tiga tahun – untuk memberi pengetahuan praktikal kepada ibu bapa dalam hal-hal seperti pemakanan dan pembangunan awal kanak-kanak.
Pemeriksaan berkala juga dibuat seandainya intervensi awal diperlukan untuk tumbesaran anak atau kesihatan ibu.
"Kami cuba untuk … menjadikan pengetahuan ini mudah didapatkan. Kami pergi ke rumah mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif KidStart Singapore, Rahayu Buang. Ini juga bermakna para pengamal itu boleh melihat kelakuan dan interaksi kanak-kanak itu di rumah.
"Teknik-teknik yang kami kongsi dengan mereka akan menjadi lebih mudah untuk dilakukan."
KidStart menggunakan model-model serupa di Amerika Syarikat dan Australia untuk membangun dan menyesuaikan program ini mengikut konteks tempatan. Ia dilakarkan untuk golongan keluarga dengan pendapatan isi rumah kasar bulanan sebanyak S$2,500 (RM8,300) ke bawah atau pendapatan per kapita S$650 ke bawah.
Cik Rahayu mendapati kanak-kanak keluarga berpendapatan rendah biasanya ketinggalan di belakang rakan-rakan mereka, dan ini lebih ketara memandangkan masyarakat kini lebih berada berbanding masa lalu.
"Ibu bapa yang berkemampuan boleh menghantar anak mereka ke kelas pengayaan sejak kecil lagi," katanya. "Bagi keluarga berpendapatan rendah, ini sukar sekali."
Keluarga berpendapatan rendah juga biasanya menghadapi pelbagai tekanan, dan beberapa perkara "mungkin diabaikan sewaktu anak mereka membesar". Sebagai contoh, mereka mungkin merasakan bahawa selagi kanak-kanak itu masih sihat, pencapaian perkembangan mereka mungkin tidak begitu diutamakan.
Namun, tahun-tahun awal "bukan sekadar menjaga anak dan memastikan dia cukup makan dan cukup tidur", kata Cik Rahayu. "Ia adalah mengenai perkembangan bahasa dan otak.
"Jadi, apabila kami datang mengunjungi sesebuah keluarga, kami mengajar mereka teknik-teknik seperti cara bercakap dengan anak, memupuk sifat ingin tahu atau membaca kepada mereka. Ini semua teknik mudah yang boleh digunakan, tetapi ia masih perlu dipelajari."
KidStart dilancarkan pada tahun 2016 sebagai program perintis yang diterajui Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak. Ia bermula dengan 1,000 keluarga di beberapa kawasan seperti Kreta Ayer, Bukit Merah dan Taman Jurong.
Program perintis itu ternyata "sangat berguna", menurut Cik Rahayu, dan KidStart diluaskan ke lebih banyak kawasan pada tahun-tahun seterusnya. KidStart Singapore kini didaftarkan sebagai badan bukan mencari untung.
Beliau berkata ibu bapa dalam program kunjungan rumah menjadi lebih yakin dan berkebolehan. "Itu mempunyai banyak kesan susulan," kata beliau. "Apabila ibu bapa menjadi yakin, ini bukan hanya untuk seorang anak, malah untuk semua anak dalam keluarga itu."
KidStart juga baru diluaskan ke seluruh negara mulai tahun ini.
BUKAN MENCARI KESALAHAN
Namun, membimbing ibu bapa dalam hal peribadi seperti mengasuh anak, apatah lagi di rumah mereka sendiri, mungkin membuat sesetengah orang berasa janggal. Inilah sebabnya salah satu perkara terpenting bagi seorang pengamal ialah membina hubungan dengan keluarga itu.
"Ini bukan sekadar menyampaikan sebuah program kepada mereka sahaja," kata Cik Rahayu.
Dari segi amalan, ini termasuk datang dengan sekuntum senyuman– sebagaimana yang dilakukan Lai - menyapa semua orang (termasuk kucing sekali, selorohnya) dan memastikan ibu bapa dipuji jika beliau melihat mereka melakukan perkara yang betul.
"Ibu bapa suka bercerita tentang anak-anak mereka," kata beliau. "Jadi ini menjadikannya lebih mudah."
Walaupun minggu demi minggu berlalu dan keluarga-keluarga menjadi mesra dengannya, Lai menekankan bukanlah tujuannya untuk mengadili atau membetulkan sesuatu, kerana beliau faham "mereka adalah ibu bapa si anak, dan mereka yang benar-benar mengenali anak mereka".
Merapati orang yang tidak dikenali adalah satu perkara semula jadi bagi Lai. Sambil tersenyum, bekas guru prasekolah itu menyifatkan dirinya sebagai mempunyai "muka tebal sekali". “Adakah ia rasa janggal? Mungkin juga,” katanya. "Tetapi saya dapat melakukannya dengan mudah."
Namun, beliau perlu berusaha agak gigih untuk belajar menahan dirinya. Ini, menurut Lai, adalah sifatnya yang paling sukar untuk diubah.
"Sebagai seorang guru, saya boleh kata...” Awak mesti buat ini atau lakukan itu, "ujarnya." Tetapi kini saya sedar bahawa saya perlu...membawa ibu bapa itu ke satu tahap di mana mereka sendiri membuat perubahan itu."
Misalnya, apabila ibu bapa Rosabelle menyebut tentang cabaran mereka untuk mengurangkan waktu tontonan video bagi anak mereka, beliau menjawab: "Adakah itu sesuatu yang anda mahu usahakan?"
Dari situ, beliau mencadangkan agar waktu tontonan video tidak dihentikan sepenuhnya, dan sebaliknya, ia dijadikan lebih interaktif, misalnya, dengan menghentikan video itu sekali sekala dan berbual dengan Rosabelle tentang apa yang berlaku dalam video itu.
"Kita perlu tanya mereka tentang hal seperti... apa pendapat mereka, (sama ada) mereka rasa ini adalah satu yang membimbangkan," kata beliau. "Dan bagaimanakah awak boleh berusaha menyelesaikannya?"
Bagaimanapun, Lai tidak mengatakan beliau tahu segala-galanya tentang penjagaan kanak-kanak; memandangkan beliau belum mempunyai anak.
"Saya selalu memberitahu keluarga-keluarga (yang saya temui) dari mula, walaupun sayalah orang yang mereka boleh dekati, saya tidak mempunyai segala jawapan," kata beliau.
Namun, beliau dibantu sebuah pasukan berbilang disiplin merangkumi para doktor, jururawat, pakar terapi pertuturan dan pakar psikologi dan beliau boleh mendapatkan nasihat mereka pada bila-bila masa.
Ini bermakna keluarga-keluarga, misalnya, boleh mendapatkan nasihat tentang penyusuan ibu daripada seorang jururawat. Jadi, apabila Goh khuatir cara bagaimana hendak membuat Rosabelle berhenti menyusu badan sebagai persiapan masuk prasekolah, Lai mengaturkan panggilan video dengan seorang jururawat yang boleh menasihatinya.
Sebelum mereka ditugaskan untuk mendampingi sesebuah keluarga, para pengamal KidStart juga menjalani latihan yang meliputi pelbagai aspek seperti penyusuan, pemakanan, pembangunan kanak-kanak dan kesejahteraan mental ibu.
Latihan itu berpandukan amalan yang berdasarkan bukti, termasuk apa dipanggil Pendekatan Abecedarian, iaitu satu set strategi pengajaran dan pembelajaran yang tertumpu kepada pembangunan bahasa dan interaksi berkualiti tinggi antara orang dewasa dengan kanak-kanak.
ADA KELUARGA MUNGKIN KEBERATAN
Walaupun program ini bermanfaat dan percuma, Lai berkata beliau pernah terjumpa segelintir keluarga yang keberatan untuk menyertainya. Ini termasuk salah sebuah keluarga pertama yang dikunjungi beliau pada Januari 2021.
Si bapa dalam penjara, manakala si ibu pula perlu mengimbangi tanggungjawab menjaga tiga anak berusia satu hingga enam tahun, dengan kerja sambilan di sebuah gudang.
Anak sulung mereka masih di prasekolah tetapi tidak selalu hadir, dan anak bongsu pula - yang ditugaskan kepada Lai – masih ketinggalan dari segi kemahiran motornya.
Pada mulanya, si ibu bimbang dirinya tidak cukup upaya dan masa untuk menghadiri pertemuan KidStart secara kerap.
Namun Lai dapat menduga bahawa si ibu memang prihatin terhadap anak-anaknya dan sedang cuba memberi respons dan berinteraksi dengan mereka. "Saya boleh lihat bahawa dia mempunyai minat (terhadap pembelajaran)," kata beliau. "Dari situ, saya memberitahu beliau tentang manfaatnya."
Kini, si bapa sudah bebas dari penjara, manakala semua anaknya sudah mendaftar di prasekolah dan memenuhi kesemua pencapaian perkembangan masing-masing.
Namun, untuk mencapai kesudahan yang baik, ini memerlukan kegigihan, empati, dan mungkin, muka tebal.
Kadangkala, ada ibu bapa tidak membalas mesej teks Lai untuk mengatur kunjungan. Pada masa lain pula, dia mengatur kunjungan tetapi kemudiannya mendapati pintu dikunci dan rumah itu kosong.
"Mungkin ada perkara mendesak di fikiran mereka, jadi mereka tidak dapat mengutamakan pembangunan kanak-kanak," kata Lai dengan nada rendah. Beliau akan terus menghubungi keluarga itu atau, jika ada agensi khidmat sosial lain yang terlibat, beliau akan tanya mereka.
Kadangkala, walaupun pelbagai usaha dibuat, ada keluarga mengatakan mereka tidak berupaya dan menarik diri separuh jalan selepas program bermula.
"Saya rasa sedih apabila ini berlaku, kerana saya tahu anak dan ibu bapa itu masih boleh dibantu. … Tetapi saya juga tahu bahawa biasanya akan ada agensi-agensi sosial lain yang membantu keluarga itu," kata.
"Sekurang-kurangnya kami tahu ada pihak yang masih berusaha dengan mereka."
‘TIDAK SALAH MENCUBA'
Salah seorang ibu bapa yang bersetuju untuk menyertai KidStart sebaik sahaja beliau diperkenalkan kepada pekerja sosialnya adalah Goh, yang berkata: "Tidak salah mencuba.”
Suri rumah berusia 42 tahun itu mempunyai lima lagi anak – berusia antara 12 dengan 24 tahun – selain Rosabelle, dan ibunya pernah membantu beliau sebelum ini. Namun, ibunya meninggal dunia pada tahun 2019.
"Saya boleh serahkan (mereka) kepada ibu saya setiap kali saya mahu berehat, tetapi sekarang, walaupun saya hendak berehat, saya perlu menjaga (Rosabelle)," katanya.
Suami Goh, seorang pegawai keselamatan yang bekerja syif 12 jam selama lima hari seminggu, mengambil alih apabila dia ada masa. Kadangkala, anak-anak mereka yang lebih tua juga membantu. Tetapi Goh adalah penjaga utama Rosabelle.
Beliau gembira melihat Rosabelle membesar serta mengetahui apa yang disukai dan tidak disukainya. Tetapi Goh akui beliau juga boleh merasa tertekan lebih-lebih lagi kerana beliau sedang mengambil ubat penyakit murung, yang mula dialaminya sebelum melahirkan Rosabelle.
Apabila Rosabelle tidak banyak bercakap berbanding adik-beradiknya pada usia yang sama, "Saya hanya memberitahu diri saya bahawa dia tidak mahu bercakap", kata Goh.
Beliau teringat kata-kata ibunya agar jangan bimbang kerana anak-anaknya akan bercakap apabila mereka sudah bersedia. Tetapi beliau tetap khuatir.
Tiga orang anaknya yang lebih tua didapati mengalami disleksia ringan, dan ada kalanya, Goh tertanya-tanya sama ada dirinya yang harus dipersalahkan. "Adakah ini kerana saya tidak pandai belajar semasa kecil, dan lantaran itu, saya tidak mengajar mereka dengan betul?" fikir beliau.
Namun, sewaktu Goh mencuba kaedah yang diajar Lai – seperti menyanyikan lagu baharu ketika memandikan Rosabelle, mengira dengan lantang semasa aktiviti harian mereka dan bercakap tentang gambar-gambar dalam buku yang beliau baca untuk anak perempuannya - Goh melihat perbezaannya. Itu memberi keyakinan kepada beliau.
Lai menghubungi Goh secara kerap untuk memastikan beliau menjaga dirinya. Mereka berhubungan melalui WhatsApp, dan kadangkala Goh menghantar "video-video lucu" menampilkan Rosabelle, yang mencuit hati kedua-dua wanita itu.
"Beliau tahu bahawa keadaan tidak mudah bagi saya sebagai ibu kepada enam orang anak," kata Goh. "Maka beliau akan menenangkan saya dan memberitahu saya agar jangan terlalu khuatir.”
DARI EMPAT MENJADI LAPAN
Dalam setiap kunjungan, Lai menggalak Goh untuk memikirkan tentang keadaan hidupnya dan bertanya Goh bukan sahaja tentang perkara yang boleh diperbaiki, malah tentang perkara yang telah dilakukan dengan baik.
Keceriaan di wajah Goh ketika beliau menceritakan setiap peningkatan atau pencapaian perkembangan merupakan satu peringatan bahawa Rosabelle bukan satu-satunya orang yang menerima manfaat program ini.
"Senang hati saya melihatnya dan perjalanan saya bersamanya adalah satu keistimewaan," kata Lai. "Saya tidak memandang ringan perkara ini."
Sebelum ini, Goh memberikan dirinya empat mata daripada 10 apabila diminta untuk menentukan tahap keyakinan beliau sebagai ibu. Dengan bantuan KidStart, ini telah meningkat kepada lapan mata sekarang.
"Saya tidak pasti sama ada apa yang saya lakukan itu betul atau salah," kata beliau. "Tetapi kini saya dapat melihat peningkatannya, jadi saya tahu apa yang perlu dilakukan."
Perjalanan Rosabelle masih jauh: Ibu bapanya setuju dia patut mengurangkan masa menonton video, dan Rosabelle masih enggan berhenti menyusu.
Beliau akan masuk tadika tidak lama lagi, dan keluarga itu perlu mencari sekolah yang sesuai serta memikirkan apakah subsidi yang tersedia. Apabila masanya tiba kelak, Lai akan berada di sisi mereka.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini tentang kenapa harga durian Johor mungkin melonjak dalam musim akan datang.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.