Jualan perlahan, kos naik: Peniaga bazar Ramadan Malaysia hadapi dilema dengan harga barang sedang usaha tarik pelanggan
KUALA LUMPUR: Kurang satu setengah jam sebelum waktu berbuka puasa dan bazar Ramadan yang terletak bersebelahan stadium Shah Alam di Selangor ini sedang gamat dengan aktiviti jual beli.
Suasana bertambah meriah apabila para peniaga di sini gigih menarik perhatian para pelanggan mereka yang rata-ratanya baru pulang dari tempat kerja bagi mendapatkan menu juadah berbuka puasa.
Ramai peniaga memberitahu CNA bahawa perniagaan mereka agak perlahan pada tahun ini, terutamanya semasa hari bekerja. Itulah sebab mengapa mereka terpaksa memanggil-manggil bakal pelanggan mereka, kata peniaga, untuk menarik mereka datang singgah ke gerai mereka.
Tatkala hasil jualan yang berkurangan dan kos semakin meningkat, sesetengah peniaga mengubah penawaran produk mereka manakala yang lain terpaksa menaikkan harga.
Bazar Ramadan sudah menjadi perkara kelaziman di seluruh negara semasa bulan puasa yang menawarkan pelbagai jenis makanan dan minuman.
Bagi kebanyakan peniaga pula, membuka kedai di bazar ini adalah satu cara untuk memperoleh pendapatan tambahan sebelum menyambut perayaan Aidilfitri.
Cik Kuning Saidatul Izween, yang mengendalikan gerai Mummy Ween di bazar bersebelahan stadium Shah Alam itu, berkata perniagaan agak perlahan tahun ini. Katanya, dia terpaksa mengubah strategi perniagaannya untuk menarik pelanggan.
Untuk lapan hari pertama Ramadan, Cik Kuning memberitahu CNA bahawa dia dan suaminya menjual "nasi hujan panas", yang juga dikenali sebagai nasi pelangi.
Sebungkus nasi dengan daging dan lauk-pauk sampingan dijual pada harga RM15 (AS$3.40), katanya, tetapi permintaan menu itu tidak banyak.
"Ada banyak persaingan dan kebanyakan gerai yang menjual nasi tidak untung banyak," kata lelaki berusia 35 tahun itu.
Dia juga percaya bahawa orang ramai kini kurang berbelanja kerana Ramadan datang hanya beberapa hari selepas pembukaan semula sekolah, dengan para ibu bapa perlu berbelanja untuk keperluan persekolahan anak mereka terlebih dahulu.
Peniaga makanan sepenuh masa itu kemudian menukar strategi perniagaan dan mula menjual menu yang dimasak terus dari gerai seperti nasi goreng dan mi goreng. Menu itu diletakkan pada harga bermula RM7.
Menurut Cik Kuning, dia mengekalkan harga hidangan itu sama seperti dua tahun lalu tetapi terpaksa mengurangkan kuantiti bahan yang digunakan. Ia berikutan kenaikan harga bahan mentah, katanya kepada CNA.
“Kalau dulu ada tiga ekor udang dalam satu pinggan mi, sekarang saya guna dua ekor udang. Harga bahan-bahan (barang mentah) meningkat tetapi saya mahu mengekalkan harga jualan saya kerana pelanggan saya,” kata ibu kepada lima orang anak itu.
Seorang lagi peniaga di bazar itu yang terpaksa menukar strategi perniagaan untuk menarik pelanggan ialah Encik Badri Zulkarnain. Dia, yang kini menjual kuih tradisional Melayu, sebelum ini pernah menjual nasi lemak pada dua hari pertama Ramadan.
Perniagaan agak teruk, katanya kepada CNA, menyebabkan peniaga berusia 30 tahun itu kerugian kira-kira RM600 untuk setiap hari itu. Makanan yang tidak terjual itu disumbangkan kepada surau berdekatan.
Encik Badri dan rakannya kemudian memutuskan untuk menjual kuih tradisional Melayu seperti kuih lapis dan onde-onde bagi menampung semula kerugian mereka itu. Satu pek kuih dijual pada harga RM4 manakala tiga pek berharga RM10.
"Sekarang baru boleh buat untung sikit, tapi bukan mudah disebabkan ada persaingan dekat sini," kata Encik Badri.
Tambah Encik Badri, perniagaan pada hari bekerja tidak sebagus pada hujung minggu, sambil menunjuk ke arah dua gerai kosong di seberangnya yang kini hanya beroperasi pada hari Sabtu dan Ahad.
Menurutnya, pada hujung minggu, bazar selalunya penuh sesak dengan pelanggan tidak mempunyai banyak tempat untuk berjalan.
"Waktu hujung minggu, perniagaan lebih baik dan saya memerlukan lebih banyak meja untuk meletakkan kek saya," kata Encik Badri.
Encik Hafiz Nazri, 25, yang mengendalikan gerai menjual ayam panggang di bazar Shah Alam memberitahu CNA bahawa dia terpaksa menaikkan harga jualan tahun ini.
Seekor ayam bulat berharga RM28 manakala separuh berharga RM15. Tahun lepas, harganya masing-masing RM25 dan RM13, katanya.
“Tiada pilihan selain menaikkan sedikit harga kami kerana (harga) semua (barang) sudah naik. Pelanggan memahami dan jualan pun baik sahaja,” katanya.
Tambahnya, kos untuk menyewa ruang gerainya sepanjang bulan Ramadan itu juga meningkat - daripada RM700 tahun lalu kepada RM950 pada masa kini.
Bagi para peniaga di bazar lain di Seksyen 17 Petaling Jaya yang ditemui CNA juga berkongsi sentimen yang sama mengenai perniagaan tahun ini yang dilihat tidak sebagus seperti tahun sebelumnya.
Puan Jahirah Hamid, yang telah membuka gerai di bazar itu sejak sedekad lalu, berkata perniagaan telah menurun sebanyak 20 peratus tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Berikutan kekurangan permintaan, Puan Jahirah Hamid berkata, jumlah ayam yang digunakannya untuk membuat masakan setiap hari juga semakin berkurangan.
Jika sebelum ini dia boleh menggunakan sehingga 35 ekor ayam setiap hari, kali ini jumlah itu telah menurun kepada 20 ekor.
"Kadang-kadang orang ramai, tetapi mereka hanya datang tengok dan berlalu pergi. Ia tidak bagus,” katanya.
Puan Jahirah menjual nasi ayam kunyit dengan harga RM8 sebungkus manakala sebungkus beriani ayam berharga RM12. Katanya, dia terpaksa menaikkan harga hidangannya sebanyak 50 sen untuk menampung kos overhed.
“Saya tiada pilihan. Kalau saya tak buat (naikkan harga), saya tak akan dapat untung,” kata Puan Jahirah kepada CNA sambil menambah dia tidak faham mengapa permintaan kali ini berkurang.
Tambahnya, walaupun sebelum ini dia menawarkan pelbagai jenis hidangan nasi yang lebih besar, ini telah dikurangkan bagi mengelakkan pembaziran makanan.
Encik Zulkifli Noordin, 49, yang telah menjual murtabak selama 12 tahun di bazar Petaling Jaya pada bulan Ramadan juga berkata perniagaan menjadi perlahan pada tahun ini. Katanya, gerai di bazar itu juga kini berkurang berbanding sebelum ini.
Tambah Encik Zulkifli, meskipun harga barang meningkat, dia tetap mengekalkan harga sama seperti tahun lepas untuk murtabak ayam di gerainya iaitu pada harga RM5.
“Untung saya dapat tahun ini agak berkurang. Mungkin orang ramai lebih berhati-hati dengan kenaikan kos sara hidup,” katanya sambil menambah dia berniaga di bazar itu untuk mendapatkan sumber pendapatan tambahan sebelum menyambut Hari Raya Puasa.
Salah satu hasil jualan yang lebih perlahan di bazar adalah pembaziran makanan. Media tempatan melaporkan bahawa peniaga bazar Ramadan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya di Malaysia membazir lebih 47,000 kilogram makanan setiap hari - jumlah yang boleh memberi makan kepada hampir 40,000 orang.
Menurut New Straits Times (NST), Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan Ummi Kalthum Shuib mengaitkan pembaziran makanan itu berpunca daripada penyediaan makanan tidak terancang oleh peniaga bazar Ramadan.
HARGA NAIK AKIBAT KOS BAHAN MENTAH
Presiden Persatuan Peniaga Malaysia Rosli Sulaiman memberitahu CNA bahawa peniaga bazar Ramadan tidak mampu menurunkan harga barangan mereka untuk menampung jualan yang lebih perlahan itu susulan peningkatan harga bahan mentah dan barangan.
“Memandangkan harga bahan mentah dan barang meningkat, (peniaga terlibat) tidak mampu menurunkan harga barangan yang mereka jual. (Jika tidak) mereka tidak akan dapat untung,” kata Encik Rosli.
Sebagai contoh, katanya harga ikan pari meningkat daripada RM18 sekilogram kepada RM24 sekilogram, manakala harga ikan kembong meningkat kepada RM15 sekilogram.
Peniaga kemudiannya perlu melepaskan kenaikan harga bahan mentah itu kepada pelanggan.
Ini kesannya telah menyebabkan pelanggan perlu membuat pilihan sebelum membeli dan kurang berbelanja di bazar, kata Encik Rosli.
"Apabila pelanggan merasakan harganya tinggi, permintaan akan berkurangan dan peniaga (ini) akan mengalami kerugian," katanya.
Tambah Encik Rosli: "(Dan) kalau anda mengurangkan saiz (makanan), maka orang tidak mahu membeli lagi. Saya percaya bahawa orang ramai mengawal diri mereka kerana mereka tidak mempunyai tunai. Kuasa membeli kurang.”
Walaupun harga barangan dilihat lebih tinggi di bazar Ramadan, pelanggan yang bercakap dengan CNA berkata mereka masih membeli produk yang ditawarkan, tetapi secara sederhana.
Encik Razman Muhammad, 37, yang sedang membeli makanan di bazar di Petaling Jaya berkata, dia membuat perbandingan harga terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pembelian.
Berdasarkan pemerhatiannya, harga yang lebih tinggi berbanding sebelum ini, dan berkata dia telah mengurangkan jumlah kunjungan ke bazar berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Apa-apa pun, sebagai pelanggan kita ada kuasa untuk membuat pembelian atau sebaliknya. Kalau mahal sangat, masih ada banyak pilihan lain termasuk memasak di rumah,” katanya kepada CNA sambil menambah masih terdapat gerai menjual makanan dengan harga berpatutan.
Dia akan memastikan hanya membeli cukup untuk dia dan keluarganya bagi mengelakkan pembaziran makanan.
"Ini bulan Ramadan dan kita sepatutnya bersederhana," katanya.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini tentang nasihat pakar untuk para ibu yang berpuasa dalam menyusukan anak dengan sihat sepanjang Ramadan.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.