'Mula-mula sahaja lumayan’: Pekerja penghantar makanan di Singapura berhadapan realiti sambil menantikan peluang lebih baik
Sebuah motosikal yang rosak boleh melenyapkan pendapatan beberapa hari. Program Talking Point meninjau kelebihan dan kekurangan bekerja sebagai penghantar makanan di Singapura.

SINGAPURA: James Ho memulakan harinya pada pukul 7 pagi dengan duduk di luar restoran McDonald's di Woodlands, sambil menunggu pesanan makanan masuk.
“Pukul 7 pagi sebenarnya adalah waktu yang penting. Ketika itulah ramai pelanggan datang untuk bersarapan,” kata penghantar makanan atau ‘rider’ berusia 50 tahun itu.
Dia beralih kepada penghantaran makanan tiga tahun lalu apabila pandemik memberi kesan kepada pekerjaannya dalam industri makanan dan minuman. Ketika itu, bapanya meninggal dunia dan dia ingin mencari pekerjaan yang membolehkannya meluangkan lebih banyak masa bersama ibunya pada waktu siang.
Walaupun ramai menganggap pekerjaan itu sebagai wang segera, fleksibiliti dan keupayaan mengawal waktu kerja sendiri, Ho melihat kerja sambilan atau kerja gig agak mengecewakan.
Selepas pukul 8 pagi, kerja penghantarannya mula perlahan hingga 11 pagi.
Itu disebabkan Grab, platform yang digunakannya, menilai ranking para pekerja penghantarannya, dengan ranking Ho tidak membolehkannya menerima keutamaan untuk menerima sebarang tugas pada tempoh tersebut, kata Ho kepada penerbit Talking Point yang mengikutinya selama dua hari.
Pada hari pertama, syif kerja mereka dipendekkan selepas mendapat pendapatan hanya sebanyak S$17.30 (RM57). Pada hari berikutnya, mereka meraih sebanyak S$37.30 selepas 10 jam melakukan tujuh penghantaran.
Rancangan Talking Point itu meneroka realiti pahit sesetengah rakyat Singapura menjalankan pekerjaan sebagai penghantar makanan.
Dengan tenaga kerja platform Singapura yang berjumlah kira-kira 73,000 orang - di mana lebih 16,000 daripadanya melakukan penghantaran makanan - Talking Point mengkaji apa yang diperlukan untuk memperoleh gaji yang mencukupi dalam ekonomi gig, dan mengapa tidak semua penghantar ini mendapat manfaat yang sama.
TONTON: Bekerja sebagai penghantar makanan: Adakah kita dibayar dengan cukup? (23:01)
ADAKAH ALGORITMA SEBAGAI PUNCA?
Ho, yang hanya bekerja dengan Grab dan di kawasan Woodlands iaitu tempat dia tinggal, merasakan algoritma platform itu tidak berpihak kepadanya.
Di bawah sistem syif platform itu, penghantar akan dinilai dan diberikan kedudukan dan ini menjejaskan cara kerja diagihkan.
Contohnya, Ho berada di peringkat "delima" (ruby), iaitu peringkat kedua daripada empat peringkat di platform tersebut. Mereka yang baru berjinak-jinak pula akan bermula di peringkat “zamrud” (emerald) dan berusaha untuk mencapai peringkat delima, nilam (sapphire) dan berlian (diamond) berdasarkan beberapa faktor: Bilangan tugasan yang mereka ambil, kadar penerimaan kerja, kadar pembatalan dan penilaian.
Semakin tinggi peringkat mereka, semakin banyak faedah yang diperoleh penghantar dan semakin lumayan pendapatan yang diraih. Mereka juga boleh menempah syif dan menerima pesanan keutamaan pada waktu-waktu tertentu.
Kemampuan untuk menempah syif juga menjamin penghantar sejumlah minimum pendapatan yang boleh diraih dalam tempoh tersebut, berdasarkan lokasi mereka. Jika pendapatan mereka kurang daripada bayaran minimum, Grab akan menambahnya.
Penghantar yang bukan dalam syif masih boleh menerima pesanan — tetapi seperti yang dialami oleh Ho, masa menanti itu cukup lama sehingga mereka boleh berminum kopi setiap kali selepas membuat sesuatu penghantaran.

Para penghantar yang mencapai peringkat yang lebih tinggi perlu mengekalkan jumlah pesanan minimum untuk mengelakkan daripada diturunkan taraf. Namun bagi Ho, untuk menaikkan tarafnya ternyata sukar. Dia tersekat di peringkat delima sejak setahun lalu.
Idea di sebalik ciri syif itu adalah untuk menjamin komitmen adanya penghantaran di sesebuah kawasan pada masa-masa tertentu. Sebagai balasannya para penghantar mendapat sedikit jaminan pendapatan, kata kata Pengarah Urusan Ehwal Awam kumpulan Grab, Lim Yew Heng.
Mereka yang berada di taraf ranking lebih tinggi cenderung untuk "lebih bergantung kepada Grab sebagai (sumber) pendapatan mereka", tambahnya. "Jadi, kami berpendapat bahawa peruntukan keutamaan dan keistimewaan … diberikan kepada mereka yang lebih komited ini."
Mengenai situasi Ho, Lim menekankan bahawa, sama ada menerusi insentif atau tidak, pemandu dibayar dengan "adil".
Terdapat "bayaran asas" yang memastikan usaha penghantar diberi "pengiraan yang adil", kata LIm. “Bayaran asas” Grab diukur mengikut tanda aras bagi industri makanan dan minuman, sekitar S$1,400," tambahnya.

Selain dikecualikan daripada beberapa syif, apa yang mempengaruhi pendapatan Ho adalah pesanan yang bertindih — di mana penghantar mengambil beberapa pesanan dan menghantarnya semua sekaligus. Dalam zon penghantarannya, Ho menganggar setiap pesanan dalam satu pesanan bertindih memberinya pendapatan sebanyak S$3.90, manakala pesanan biasa dia boleh meraih kira-kira S$5.
Apabila terdapat kelewatan semasa penghantaran, seperti ketika dia menunggu pesanan, atau jika pelanggan tidak dapat dihubungi, ini menghabiskan masanya yang boleh digunakan untuk mengambil pesanan yang lain.
Ho memperoleh antara S$1,600 hingga S$2,000 sebulan, tetapi terdapat juga kos tambahan yang perlu ditanggungnya. Pada hari pertama Talking Point mengikutinya, gear basikal elektrik Ho rosak selepas dia melakukan empat pesanan dalam lima jam.
Pada hari tersebut Ho mengakhiri tugasnya dengan memperolehi hanya S$17.30, sedangkan kos membaiki basikalnya mencecah S$120.

GIGIH BERUSAHA, TETAPI BERBALOIKAH?
Beberapa penghantar seperti Hasteven Jeremiah Anandan, 26, berjaya mendapat pendapatan yang lebih baik. Dia mula terlibat dalam kerja penghantaran makanan sepenuh masa ini sejak tiga tahun lalu. Sejak menjadi penghantar dia telah mampu menaik taraf komputer ribanya kepada komputer ‘gaming’, mendapatkan set deejay dan basikal bernilai seribu dolar.
"Saya rasa … saya tidak akan mampu untuk membeli semua ini jika saya tidak mempunyai pekerjaan sebagai penghantar makanan," kata Anandan, yang memiliki sijil diploma dalam pengurusan perniagaan. Dia berusaha gigih untuk membuat penghantaran selama lapan hingga 10 jam sehari, lima hingga enam hari seminggu, di kedua-dua platform Foodpanda dan Grab.
Tetapi hari-hari di mana gaji yang lebih tinggi dan insentif yang lebih baik mungkin sudah berakhir. Menurut Anandan, jika sebelum ini, hasil kutipan pesanannya boleh mencecah S$4,000 sebulan, tetapi purata hari ini ialah S$2,400 jika dia bekerja sepenuh masa.
Memulakan hari bekerja tidak semudah menghidupkan aplikasi dan menunggu pesanan. Anandan perlu merancang hari-harinya mengikut algoritma setiap platform.
Di aplikasi Foodpanda, dia perlu menempah syif terlebih dahulu untuk mengambil pesanan. Walaupun begitu, penghantar hanya boleh menempah syif mengikut nombor kelompok yang diperuntukkan kepada mereka berdasarkan prestasi setiap minggu.

Salah satu penunjuk prestasi adalah "jam sebenar berbanding yang dirancang", yang menilai jumlah jam yang sebenar dipakai oleh para penghantar semasa syif mereka. Ia mengambil kira log masuk lewat, tidak hadir dan masa rehat.
"Ia seperti sistem merekod masa masuk dan keluar (kerja)," kata Anandan.
Kini, dia mendapati lebih sukar untuk mendapatkan syif atau syif yang cukup panjang berbanding dengan waktu awal pandemik. Ini disebabkan oleh jumlah penghantar yang lebih ramai dalam sistem. Selang antara syif, Anandan akan bertukar pula kepada platform Grab.
Apa yang dicari oleh Anandan adalah harga lonjakan semasa waktu puncak, termasuk ketika hari hujan. Sementara satu pesanan biasa di kawasan biasanya di Serangoon akan meraih sekitar S$4, lonjakan harga boleh mendapatkannya sekitar S$6.50, kata Anandan.
Pada hari hujan di mana dia memperoleh sekitar S$50, daripada tujuh pesanan, Anandan berkata: "Sangat, sangat bagus untuk syif makan tengah hari."
Menunggang dalam hujan boleh menghasilkan lebih banyak wang, tetapi Anandan sedar bahawa terdapat risiko bahaya. “Lantai licin dan basikal kita sebenarnya cenderung tergelincir apabila kita brek terlalu kuat... mungkin agak berbahaya di jalan raya,” katanya.
Para penghantar boleh cuba untuk memenuhi lebih banyak pesanan semasa waktu harga lonjakan atau bergegas untuk menyelesaikan pesanan bagi pelanggan yang mengadu. Tetapi ini juga mendedahkan mereka kepada risiko kemalangan.
TONTON: Usaha gigih penghantaran makanan: Adakah ia menguntungkan? Berapa banyak yang anda boleh peroleh? (22:04)
Antara Januari 2021 dan 5 Julai tahun lalu, lima orang pekerja platform penghantaran makanan dan barangan maut dalam kemalangan jalan raya ketika membuat penghantaran.
Satu tinjauan oleh Institut Kajian Dasar (IPS) tahun lalu ke atas 1,002 pekerja penghantaran makanan mendapati hampir satu dari setiap tiga di antara mereka telah mengalami sekurang-kurangnya satu kemalangan yang cukup serius yang memerlukan bantuan perubatan.
Lim berkata Grab "sangat sedar" tentang bagaimana skim insentifnya direka. Dia menambah: "Jika kita lihat ada (para penghantar) berkelakuan yang membahayakan ... dalam sesetengah kes, kami benar-benar menghalang mereka daripada memandu."
PENDEKATAN MAMPAN KE HADAPAN?
Tinjauan IPS — yang pertama dalam sejarah bagi platform penghantaran — juga menunjukkan dua perlima daripada responden akan meninggalkan industri tersebut “secepat mungkin” jika ada peluang pekerjaan lain.
Tujuh dari 10 responden meraih pendapatan kurang dari S$3,000 sebulan dan lebih satu daripada tiga akan meninggalkan pekerjaan untuk gaji yang sekurang-kurangnya sama.
Dengan "model perniagaan platform yang berkembang", penghantar tidak mempunyai hak untuk menentukan jumlah pendapatan mereka, kata Ahli Parlimen Yeo Wan Ling, penasihat kepada Persatuan Juara Penghantaran Kebangsaan.
“Oleh itu, pada akhir bulan, berbeza dengan pekerja bergaji, penghantar platform kami tidak tahu berapa banyak pendapatan yang (mereka) bawa pulang untuk beberapa jam yang dikerjakan mereka," kata Yeo.
Mereka juga tidak seperti pekerja bebas (freelancer) yang boleh memutuskan berapa harga yang boleh mereka kenakan, dan bila mereka mahu bekerja, katanya.
Bagi memastikan pendapatan penghantar kurang ketidaktentuannya, syarikat platform boleh melihat ke Jerman, saran Abel Ang, profesor tambahan di Nanyang Business School.
"Oleh kerana kawalan yang dimiliki oleh syarikat platform (terhadap) penghantar, mahkamah di Jerman menyatakan bahawa ... syarikat platform mempunyai tanggungjawab menyediakan peralatan untuk para penghantarnya melakukan kerja mereka."
Ini termasuklah telefon pintar dan basikal, kata Ang.
Felo penyelidik utama IPS, Mathew Mathews, yang mengetuai pasukan penyelidik tinjauan itu, berkata mereka yang terlibat dalam kerja platform seharusnya lebih sebagai pekerja sambilan, misalnya mereka yang baharu diberhentikan kerja.

Namun, tinjauan mendapati bahawa sebanyak 46 peratus daripada responden bergantung sepenuhnya kepada penghantaran makanan sebagai sumber pendapatan.
Sebilangan besar adalah penghantar yang baharu, dengan 32 peratus menghabiskan kurang dari setahun dalam pekerjaan itu dan jumlah yang sama telah bekerja selama dua hingga tiga tahun.
Kesan jangka panjang bekerja sebagai penghantar adalah apabila mereka terperangkap dengan "status sosio-ekonomi yang sangat rendah", katanya.
Mereka tidak mendapat kenaikan gaji dan bonus yang diterima oleh pekerja lain, atau mendapat kenalan yang boleh menghubungkan mereka dengan peluang yang lebih baik, kata Mathews. Prospek kerjaya mereka seolah-olah "hampir tiada", katanya.
“Sama ada anda bekerja di platform itu selama 10 tahun, atau setahun, kemahirannya hampir sama.”
Kementerian Tenaga Manusia telah mengumumkan langkah baharu untuk pekerja gig mulai 2024. Ini termasuk mewajibkan pekerja platform di bawah umur 30 tahun untuk menyumbang kepada akaun Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka, supaya mereka dapat menyimpan untuk persaraan dan membeli rumah. Para pekerja yang lebih tua boleh memilih untuk ikut serta.
Penghantar juga akan diberikan pampasan pendapatan jika mereka mengalami kecederaan semasa bekerja.
PELUANG LEBIH BAIK
Menurut Anandan, dia telah menikmati "hasil yang sangat lumayan" daripada menjadi penghantar sepenuh masa, tetapi tidak melihat dirinya melakukan pekerjaan itu selepas dua tahun akan datang.
"Bekerja sebagai penghantar makanan berasa agak terbantut dan tiada kemajuan untuk masa depan," katanya, mengulangi pendapat Mathews.
Kini dia beralih melakukan penghantaran makanan hanya untuk empat jam sehari dan menghabiskan masa selebihnya untuk "kerja sampingannya" iaitu menyediakan perkhidmatan ukiran. Dia berharap ini akan membuka peluangnya untuk mencapai "kebebasan kewangan".

Ho juga sedang mengintai peluang lain. Pendapatannya sebagai penghantar untuk Grab hanya cukup untuk dirinya dan ibunya, tanpa baki untuk disimpan buat persaraan.
Tetapi tanpa "pendidikan tinggi", dia menghadapi halangan. Dia telah menghantar resume (butiran kelayakan diri) kepada bakal majikan, tetapi bimbang dia mungkin sudah hilang daya memahami pasaran kerja. Apabila dia cuba meningkatkan kemahiran dan menghadiri kursus keselamatan, dia "gagal" dalam peperiksaan akhir dan "tidak dapat melakukannya".
Kembali ke industri makanan dan minuman atau pengurusan acara adalah pilihan lain yang terbuka kepadanya.
Namun, walaupun dengan pengalaman yang relevan, dia tidak merasa "100 peratus yakin" untuk menjadi penyelia makanan dan minuman, katanya. "Saya terus bertanya kepada diri sendiri, adakah saya masih (memenuhi) kriteria itu?"
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini tentang usaha melindungi gajah terancam raih tumpuan selepas pengendali mati diserang di Sabah.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.