Pesara juruterbang tentera Singapura ini kongsi perit jerih kendali ladang burung unta di Johor
Pengasas Desaru Ostrich Farm di Johor ini berkongsi dengan CNA tentang pasang surut perjalanan perniagaannya, termasuk bagaimana dia terpaksa mengorbankan aset jutaan dolar demi meneruskan operasi ladang haiwan itu.
PENGERANG, Johor: Sedang Colin Teh berjalan melintasi kandang berpasir di Desaru Ostrich Farm, salah seekor burung unta datang ke arahnya dan menggigit kolar baju beliau. Ia adalah antara puluhan burung unta - spesies burung yang tidak boleh terbang dan berbulu pelepah - yang diternaknya di ladang beliau.
Teh, 70 tahun, langsung tidak tersentak dengan perbuatan burung unta itu. Malah dia kemudian mengusap lembut bulunya dan menghulurkan tangannya. Burung unta setinggi 2.5m, dengan leher yang panjang itu, kemudian dengan pantas mematuk jarinya.
"Apabila mereka mematuk jari, itu adalah tanda kasih sayang - bukan ganas. Ini tanda mereka menerima anda sebagai kawan,” kata Teh yang merupakan warga Singapura.
“Ia langsung tak sakit. Mereka adalah haiwan yang sangat comel,” tambah Teh.
Hubungan istimewa Teh dengan burung unta bermula sejak agak lama lagi. Dia telah menternak burung unta berleher hitam Afrika itu sejak 1995.
Kini, ladang burung untanya, Desaru Ostrich Farm yang terletak di Pengerang, Johor antara yang terbesar di Malaysia. Ia juga popular dalam kalangan pelancong Singapura yang melawat Johor untuk lawatan sehari dan percutian singkat.
Dalam temu bual dengan CNA di ladangnya baru-baru ini, Teh mengimbas kembali kerjayanya dan bagaimana dia perlu berkorban untuk memastikan perniagaan itu terus berjalan sepanjang 28 tahun yang lalu.
Di sebalik pelbagai keperitan yang dihadapinya, terutama semasa pandemik COVID-19 melanda, Teh berkata dia gembira dengan keputusannya untuk meneruskan minatnya sebagai penternak burung-burung unta.
TINGGAL KERJAYA LAMA UNTUK FOKUS DUNIA TERNAKAN
Perjalanan Teh sebagai penternak burung unta bermula dengan mempertaruhkan kerjayanya ketika itu.
Sekitar tahun 80-an, Teh menamatkan pengajian sebagai juruterbang dengan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF). Awal-awal lagi beliau ditempatkan sebagai tenaga pengajar untuk melatih kadet-kadet juruterbang.
“Saya tidak sesuai dengan organisasi itu dan tidak lama kemudian saya memutuskan untuk berhenti ‘terbang’,” kata Teh, yang meletak jawatan daripada RSAF pada 1994.
"Saya memutuskan untuk buat sesuatu yang saya minati - iaitu penternakan," tambahnya.
Teh akui bahawa beliau telah meninggalkan satu kerjaya yang dianggap orang ramai sebagai kerjaya yang bagus dan bergaji besar. Namun, Teh terus tekad memilih bidang penternakan meski perlu meninggalkan pakaian seragam juruterbang.
Dalam percutian ke Afrika Selatan pada 1995, dia melawat sebuah ladang burung unta dan di situ timbul rasa sayangnya pada burung besar yang tidak boleh terbang itu.
Beliau melihat bahawa menternak burung unta juga boleh mendatangkan keuntungan memandangkan haiwan itu mudah dibiakkan.
"Orang ramai sering mempunyai persepsi yang salah tentang burung unta. Hanya kerana burung unta itu tinggi dan kelihatan pelik, mereka fikir haiwan itu bersifat agresif. Tetapi apa yang saya lihat burung unta adalah jinak dan comel jika dilayan dengan betul,” kata Teh.
Beliau kemudiannya melawat Malaysia dan membeli 30 ekor burung unta muda dari sebuah stesen pertanian dan membuka ladang pertamanya di Semenyih, Selangor.
Teh mengumpul modal kira-kira RM1 juta (AS$230,000) untuk membuka ladang itu dengan menjual sebidang tanah yang dimilikinya di Malaysia.
Untuk beberapa tahun pertama, perniagaan itu menguntungkan. Beliau menerima pulangan pelaburan yang baik dan meningkatkan skala (keluasan) ladangnya.
Selepas 30 yang pertama ini, beliau membeli sekumpulan lagi 70 ekor burung unta pada bulan berikutnya. Menjelang tahun 2000, beliau memutuskan untuk memindahkan lokasi ladangnya dari Semenyih ke Sungai Rengit, sebuah bandar di bahagian tenggara Johor.
Perjalanan memandu ke ladang itu dari bandar Johor Bahru mengambil masa selama satu setengah jam.
“Ia berdekatan dengan Singapura, jadi sangat mudah untuk saya pulang dan melawat keluarga saya,” kata Teh.
"Ia juga mudah untuk pelancong dari Singapura melawat ladangnya, dan tempat itu menjadi sangat sesak pada hujung minggu dan cuti sekolah," katanya.
Menjelang 2008, ladangnya telah menempatkan sebanyak 500 ekor burung unta. Ia menjadi pusat tarikan pelancong, dengan pengunjung boleh melihat demonstrasi pendidikan, menunggang burung unta untuk kanak-kanak serta restoran yang antara lain menyajikan menu telur dadar burung unta.
Teh berkata sebelum pandemik COVID-19 melanda, ladangnya menyembelih "sebilangan kecil" burung dan menyajikan pelanggan dengan pilihan menu untuk mereka, seperti daging burung unta goreng dan burger burung unta.
Bagaimanapun, Teh menyatakan bahawa daging burung unta bukanlah perniagaan yang menguntungkan kerana hanya 20 peratus daging daripada seekor burung unta "boleh dimakan" - kaki dan paha burung itu.
COVID-19 DAN SEMBELIHAN DEMI KELANGSUNGAN OPERASI LADANG
Bagaimanapun, pandemik COVID-19 menjejaskan sektor pelancongan. Antara 2020 dan 2022, ladang itu hampir tidak mempunyai pelawat dan Teh kehilangan sumber pendapatan utama untuk memastikan perniagaan itu terus berjalan.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan semasa pandemik oleh kerajaan Malaysia menyebabkan para pelawat dari Singapura juga tidak dibenarkan merentas sempadan dengan bebas untuk tujuan lawatan.
Sementara itu, ladang itu mengalami masalah kewangan. Perbelanjaan seperti makanan burung unta, penyelenggaraan dan kos tenaga pekerja kekal tinggi.
“Setiap bulan, perbelanjaan antara RM15,000 hingga RM20,000. Ini berterusan selama dua setengah tahun. Ia membebankan, sangat mengecewakan. Saya sudah menimbangkan untuk menutupnya (ladang),” kata Teh.
Beliau kemudian tidak mempunyai pilihan selain menjual beberapa hartanah yang dimiliki oleh keluarganya di Malaysia dan menggunakan hasilnya untuk meneruskan operasi ladang.
Itu pun tidak mencukupi. Dengan pandemik merebak dan masa depan ladang itu dilihat semakin suram, Teh sedar bahawa beliau tidak mempunyai pilihan selain memusnahkan "sebilangan besar" ternakannya untuk dijadikan daging kepada peniaga luar supaya beliau boleh menjana sedikit pendapatan dan mengurangkan kos.
Pada 2019, ladang itu mempunyai kira-kira 300 ekor burung unta. Tetapi hari ini, hanya tinggal kira-kira 100 ekor kerana ada yang mati secara semula jadi manakala yang lain telah dihapuskan.
Sebagai seorang pencinta haiwan, amalan menghapuskan atau menyembelih burung unta) ia memang sukar diterima Teh.
"Apabila anda bercakap tentang menghapuskan burung unta, saya teragak-agak. Satu-satunya cara saya boleh melaluinya adalah dengan mengelakkan sentuhan dengan burung unta yang akan dihapuskan. Kami simpan mereka di belakang ladang dan tidak akan berada dekat dengan mereka,” kata Teh.
“Kami terpaksa meneruskan (operasi) ladang dan menjana sedikit pendapatan untuk menampung kos makanan dan penyelenggaraan. Ia berharga sekitar RM6 untuk memberi makan seekor burung unta setiap hari. Jadi jika anda mendarabkannya dengan 200 atau 300, ia akan menjadi ribuan”.
Selepas arahan PKP di Malaysia ditarik balik, Teh bersyukur kerana ladangnya boleh kembali beroperasi semula.
MENCARI PENGGANTI
Dengan usianya yang semakin lanjut dan juga kerana isu-isu kesihatan, Teh memberitahu CNA bahawa beliau merancang untuk bersara tidak lama lagi.
Bersama isterinya Joyce, pasangan itu telah menguruskan perniagaan selama hampir tiga dekad dan Teh berminat untuk menyerahkan operasi kepada orang lain. Namun, katanya, beliau ingin kekal memainkan peranan sebagai seorang konsultan yang melawat ladang itu secara berkala.
“Penternakan adalah satu gaya hidup yang sukar. Anda banyak berkompromi dan tinggal berjauhan dari keluarga anda. Sedang saya menghabiskan sebahagian besar masa saya di Malaysia, anak-anak saya berada di Singapura. Kami juga mempunyai keluarga di Kuala Lumpur dan kami terpisah,” kata Teh.
Bagaimanapun, beliau mengakui mencari pengganti yang boleh mengetuai operasi di ladang itu bukanlah mudah. Teh berkata, anak-anaknya kini sibuk dengan kerjaya masing-masing.
“Setiap kali cucu saya datang, mereka akan merayu agar saya tidak menjual ladang itu. Yang bongsu pernah memberitahu saya dia akan mengambil alih suatu hari nanti. Sekarang ini senanglah cakap, tapi bila (dia) dah tamat pengajian (pelajaran) nanti, kita tengok nanti,” katanya lagi.
Sejak tiga bulan lalu, Teh telah membimbing anak saudaranya Kuan Yik Han agar dapat menguruskan ladang itu suatu hari nanti.
Sebelum menyertai ladang itu pada Januari 2023, Kuan menjalankan perniagaan sendiri dan tidak pernah bekerja dalam bidang penternakan. Dia beritahu CNA bahawa setakat ini, dia mendapati pekerjaan itu berbaloi.
"Ia (melibatkan) banyak berjalan di dalam lumpur dan berpeluh. Tetapi saya fikir ia adalah kerja yang baik. Bak kata pepatah, ‘belum cuba belum tahu’,” kata Kuan yang berusia dalam lingkungan 30-an.
"Burung unta adalah sejenis haiwan yang istimewa, ia mudah dijinakkan dan dipelihara serta tidak takut kepada manusia," tambahnya.
Teh berkata beliau optimis Kuan akan menjadi calon yang sesuai untuk menguruskan ladang dan menjaga burung unta.
"Sudahpun 2 hingga 3 bulan dan dia telah menunjukkan semangat yang tinggi dan telah banyak menyumbang kepada ladangnya," kata Teh.
"Ada harapan dalam masa terdekat, dia akan mengambil alih," tambahnya.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini tentang kilang biji kopi guna kaedah tradisional di Klang yang masih utuh beroperasi sejak 1959.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.