Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu
Advertisement
Advertisement

Malaysia

Usaha lindungi gajah terancam di Sabah raih tumpuan selepas pengendali mati diserang

Negeri Sabah, Malaysia bertekad untuk meningkatkan usaha pemuliharaan gajah. CNA meneliti cabaran dalam melindungi mamalia yang berada dalam pusat konservasi dan di habitat semula jadinya.

Usaha lindungi gajah terancam di Sabah raih tumpuan selepas pengendali mati diserang
Gajah Borneo yang ditangkap ditempatkan di Taman Hidupan Liar Lok Kawi, dekat Kota Kinabalu, Sabah. (Gambar: CNA/Chris Pereira)

KOTA KINABALU, Sabah: Pada pagi 25 Dis tahun lalu, Joe Fred Lansou, 49, memasuki kandang gajah di Taman Hidupan Liar Lok Kawi di Sabah, seperti yang dilakukannya sejak lima tahun lalu.

Tetapi pada Hari Krismas yang tragik itu juga merupakan kali terakhir ketua unit gajah Lok Kawi melihat haiwan-haiwan kesayangannya.

Lansou telah memasuki kandang seorang diri untuk merawat seekor anak gajah yang cedera. Apa yang diketahui selepas itu para pekerja lain menemui Lansou sudah pun terbaring di atas tanah.

Lansou telah diserang hingga mati oleh seekor gajah dewasa bernama Kejora, atau Joe dalam kalangan pengendali. Taman haiwan yang berhampiran Kota Kinabalu itu baru sahaja dibuka untuk hari itu, jadi tidak ramai pengunjung berada di kawasan tersebut.

Pengendali gajah, Ruhaizam Ruslan masih ingat bagaimana Lansou, seorang rakan karibnya, sentiasa mengingatkannya supaya memberi penjagaan yang sewajarnya kepada haiwan-haiwan, walaupun semasa ketiadaannya.

"Beliau sering mengatakan: 'Ijam, nanti apabila saya tiada, pastikan awak melakukan yang terbaik,'" kata Ruhaizam kepada CNA, menggunakan nama panggilannya dalam kalangan pekerja di taman hidupan liar itu.

"Saya fikir beliau bergurau ... tetapi sekarang, beliau sudah pun tiada," kata pekerja berusia 37 tahun itu dengan sedih.

Insiden itu menjadi tajuk utama berita dengan keadaan gajah-gajah Borneo yang hidup dalam kurungan di Sabah mendapat perhatian. 

Kini terdapat 25 gajah jenis ini yang ditempatkan di tiga fasiliti di negeri itu, yang diselamatkan dari habitat semulajadi setelah dijumpai cedera atau ditinggalkan oleh kumpulan mereka.

Walaupun keadaan di kawasan perlindungan ini mungkin tidak ideal, gajah di sekitar semulajadinya mungkin terancam oleh konflik dengan manusia.

HABITAT GAJAH TERANCAM

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga memberitahu CNA bahawa terdapat antara 1,500 hingga 2,000 ekor gajah-gajah yang terancam di hidupan liar, berkeliaran dalam kawasan perhutanan timur Sabah.

Menurut pakar, saiz habitat gajah telah berkurangan disebabkan oleh aktiviti manusia. Sisa-sisa habitat yang ada terletak di sekitar kampung dan ladang mewujudkan kemungkinan pertembungan antara gajah dengan penduduk.

Kakitangan penjagaan gajah Ruhaizam Ruslan (paling kanan) dan Joe Fred Lansou (dua dari kiri) melawat The Elephant Sanctuary di Tennessee, Amerika Syarikat pada Ogos 2022 untuk mempelajari teknik hubungan bersekat dengan gajah. (Gambar: Facebook/Ijam Ruhaizam).

Gajah telah berkeliaran di kawasan ini, kadangkala merosakkan harta benda dan mencederakan orang ramai. Sebahagian daripada mereka dihalau dengan api dan bunyi yang kuat. Dalam kes yang lebih ekstrem, mereka ditembak.

"Sebenarnya, mereka mempunyai kawasan yang cukup besar untuk berkeliaran, tetapi kemudian banyak gajah yang masuk ke ladang dan kampung dan menyebabkan kerosakan," kata Tuuga.

“Cara kita mahu menjaga kesihatan populasi gajah di Sabah adalah dengan memastikan tiada pemburuan berlaku. Tetapi apabila mereka pergi ke ladang, apa-apa boleh berlaku. Mungkin ada kematian akibat keracunan.”

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga. (Gambar: CNA/Chris Pereira)

Tuuga menunjukkan gambar seekor gajah yang bersendirian yang dijumpai di sebuah kampung sehari sebelumnya. Gajah itu telah menyebabkan banyak kerosakan dan terpaksa dipindahkan ke hutan simpan.

“Kami benar-benar tidak faham mengapa (pengabaian) berlaku. Mungkin disebabkan oleh konflik (dengan manusia), atau pun kawanan. Cuma kita yang tidak faham,” katanya.

Pihak berkuasa akan cuba memindahkan gajah-gajah ini ke kawasan hutan simpanan terlebih dahulu untuk menyatukannya dengan kumpulan masing-masing. Operasi yang dipanggil translokasi itu, yang menurut  Tuuga melibatkan kos yang mahal dan berbahaya.

Jika kaedah ini gagal - sesetengah kumpulan enggan menyambut semula ahli lama - taman perlindungan itu tidak mempunyai pilihan selain menerima mereka. Dan setelah sekian lama dalam pusat konservasi, gajah-gajah ini tidak dapat bertahan jika mereka kembali ke hidupan liar.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga menunjukkan gambar dan video terbaharu gajah yang perlu dipindahkan. (Gambar: CNA/Chris Pereira)

Namun, Tuuga menjelaskan taman gajah itu telah kehabisan ruang. Sebagai contoh, Lok Kawi menempatkan 14 ekor gajah, dua kali ganda daripada kapasiti yang dijangkakan.

Terdapat juga kekurangan para pengendali gajah kerana taman-taman itu berusaha untuk mendapatkan lebih banyak dana bagi merekrut lebih ramai pekerja. Tuuga menyatakan bahawa sepatutnya ada seorang pengendali untuk seekor gajah, tetapi Lok Kawi hanya mempunyai enam pengendali.

"Walaupun seekor gajah dalam setahun adalah terlalu banyak bagi kami (untuk menangani)," tambah Tuuga.

Sebenarnya, gajah yang membunuh Lansou adalah satu-satunya yang terselamat daripada kes keracunan yang membunuh 14 ekor gajah lain di sebuah hutan simpanan di Sabah pada 2013. Gajah bernama Joe itu kemudiannya dihantar ke pusat konservasi di Lok Kawi.

“KEMALANGAN BOLEH BERLAKU”

Secara tidak langsung, kematian Lansou menggariskan cabaran yang dihadapi Sabah dalam melindungi gajah-gajahnya, kata Tuuga, walaupun beliau menyebut hubungan bebas antara gajah dan pengendali Lok Kawi sebagai satu faktor penyumbang.

Katanya, satu siasatan dalaman mengenai kejadian itu telah selesai dilaksanakan untuk memastikan kerajaan negeri dimaklumkan mengenai kemungkinan punca kes itu. 

"Memanglah, kita tidak boleh memahami sepenuhnya bagaimana haiwan berkelakuan, tetapi sebahagian punca mungkin kerana keadaan di sini, di mana terdapat hubungan bebas dengan haiwan itu," katanya.

“Dengan hubungan bebas, apa sahaja boleh berlaku, kemalangan boleh berlaku. Jadi, penyelesaian kami adalah untuk mendapatkan hubungan bersekat ini.”

Gajah dalam pengurungan di Taman Hidupan Liar Lok Kawi sedang berendam. (Gambar: CNA/Chris Pereira)

Kejadian itu "sangat kompleks" untuk difahami tentang bagaimana atau mengapa gajah mencederakan pengendali mereka, demikian menurut sebuah sebuah badan amal haiwan yang berpangkalan di United Kingdom. Ia kini  bekerjasama dengan Taman Hidupan Liar Lok Kawi untuk memperbaiki keadaannya, termasuk keselamatan bagi para pengendali gajah. 

"Semua pelbagai faktor yang mempengaruhi insiden sedemikian belum pernah dikumpulkan," kata pengarah lapangan Wild Welfare, Dave Morgan kepada CNA, sambil menyatakan bahawa manusia dibunuh oleh gajah kurungan setiap tahun dengan "kerap".

Memetik angka dari dalam talian, Morgan berkata terdapat empat kematian dalam sarkas dari 2011 hingga 2015, enam kematian dalam pelancongan dari 2013 hingga 2021 dan sembilan kematian di taman haiwan dari 2011 hingga 2022.

"Namun, ia difahamkan semua kes kematian dan kebanyakan kecederaan yang serius itu hanya berlaku apabila gaya pengurusan tradisional digunakan," katanya.

Pakar gajah berkata hubungan bersekat mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk gajah dan pengendalinya. (Gambar: CNA/Chris Pereira)

Tuuga berkata kerajaan negeri telah meluluskan permohonan pembiayaan jabatannya untuk memperkenalkan (teknik) hubungan bersekat, yang melibatkan langkah meletakkan penghadang antara gajah dan pengendali.

Menurut Morgan pula reka bentuk pengubahsuaian telah disiapkan, manakala kakitangan penjagaan gajah Lok Kawi telah diperkenalkan dengan konsep tersebut dan secara rutin menggunakan latihan pengukuhan positif dalam pengurusan gajah.

"Program ini akan dibangunkan dengan lebih lanjut seiring dengan pelaksanaan kemudahan baharu yang membolehkan kemajuan program latihan secara keseluruhan," kata Morgan.

HUBUNGAN BEBAS BERBANDING HUBUNGAN BERSEKAT DENGAN GAJAH

Menurut organisasi bukan kerajaan (NGO) haiwan, Wild Welfare,
hubungan bebas yang bermaksud tiada penghadang antara manusia dengan haiwan adalah cara tradisional gajah diuruskan di Asia Tenggara. 

"Bagaimanapun, ia lebih berbahaya untuk kakitangan dan haiwan dan bergantung pada (kaedah mengenakan) hukuman dan paksaan," kata kumpulan itu. 

Sebaliknya, kaedah hubungan bersekat memerlukan penghadang sentiasa diletakkan antara gajah dan pengendali. Pengendali juga menggunakan latihan pengukuhan positif untuk menguruskan gajah, dengan penyertaan mereka  latihan tersebut adalah secara sukarela.

"Pelatih sengaja berfungsi di luar hierarki sosial gajah dan tidak memaksa untuk menetapkan kedudukannya yang dominan," kata pengarah lapangan kumpulan itu, Dave Morgan.

Collapse

Namun, Tuuga dari jabatan hidupan liar memberi amaran bahawa pelaksanaan itu akan memerlukan masa kerana kakitangan perlu dilatih dan kemudahan perlu dibina.

“Ia mungkin tidak dapat disiapkan dalam tahun ini. Tetapi mudah-mudahan tahun depan, kita dapat menyelesaikan proses ini kerana kebimbangan kita adalah kesejahteraan gajah-gajah,” katanya.

"Mereka bebas merayau di sini, tetapi ada beberapa yang tidak bebas pada masa ini, jadi kami mahu menempatkan semua gajah di sini."

Tujuh ekor gajah yang berkeliaran bebas di kandang awam itu termasuk seekor betina hamil dan bayi berusia tiga bulan. Bayi itu hanya akan dinamakan apabila ia membesar sedikit.

Bagaimanapun, tujuh ekor gajah lagi - termasuk Joe - yang telah berkelakuan lebih agresif diasingkan daripada pandangan pengunjung, dalam kandang-kandang kecil dengan kaki mereka dirantai pada palang besi. Rantai-rantai tersebut dipindahkan secara berkala ke kaki yang lain untuk mengurangkan ketidakselesaan.

Tuuga mengakui bahawa keadaan itu tidak ideal, tetapi ia perlu kerana kekurangan ruang dan untuk menghalang gajah-gajah daripada membiak serta mencederakan kakitangan atau satu sama lain.

Gajah-gajah di Lok Kawi kini diberi makan dari luar kandang mereka. (Gambar: CNA/Chris Pereira)

Kematian Lansou turut menyedarkan pihak terlibat mengenai langkah keselamatan tambahan dalam pengendalian semua 14 ekor gajah di situ. 

Sebagai contoh, para pengendali Lok Kawi kini hanya memberi makan kepada gajah dari luar kandang, kata pengendali Ruhaizam.

Apabila gajah-gajah berkumpul berhampiran pagar perimeter sambil mengangguk-angguk menantikan rutin mereka diberi makan, para pengendali melemparkan rumput jenis Napier, tebu dan batang pokok pisang.

Menurut seorang kakitangan Lok Kawi, kos memberi makan semua gajah di sini adalah sekitar RM200,000 sebulan (AS$44,788).

Ketika gajah-gajah itu teralih perhatian oleh makanan, sekumpulan pekerja lain memasuki kandang dengan berjalan kaki - seorang lagi memandu jengkaut - untuk mengumpul daun-daun kering dan najis. Sebelum ini, pemberian makan dan pembersihan dilakukan secara serentak di dalam kandang.

Pengendali gajah Taman Hidupan Liar Lok Kawi Ruhaizam Ruslan. (Gambar: CNA/Chris Pereira)

Dalam kawasan kandang larangan, pengendali kini perlu bekerja bersama untuk memberi makan dan membersihkan seekor gajah pada satu masa, dengan pengendali yang memberi makan sentiasa memerhatikan tingkah laku gajah tersebut. Sebelum ini, pasukan itu berpecah untuk menguruskan gajah-gajah yang berbeza pada masa yang sama.

Ruhaizam menyambut baik rancangan untuk melaksanakan teknik hubungan bersekat itu dan berkata beliau akan berasa lebih selamat semasa menjaga gajah-gajah.

“Ada penghadang antara kami dan gajah pada setiap masa, termasuk semasa latihan, rawatan dan ketika memberi makan kepada mereka,” katanya.

KEKURANGAN DANA, TENAGA KERJA

Selain pertimbangan keselamatan, proses pemuliharaan turut terjejas oleh kekurangan tenaga kerja.

Tuuga daripada jabatan hidupan liar berkata: "Kerajaan (negeri) mempunyai dasar untuk mengehadkan bilangan kakitangan kerajaan, kerana ia akan memerlukan banyak wang untuk menggajikan mereka dan akhirnya mungkin faedah persaraan mereka."

“Pada masa ini, kami beruntung kerana banyak NGO melengkapkan usaha kami. Mereka melibat urus beberapa pekerja yang bekerja dengan kami dan membayar gaji mereka. Tetapi ini tidak kekal.”

Tuuga berkata organisasi bukan kerajaan terbabit pada suatu hari nanti mungkin akan kehabisan dana mereka sendiri dan meninggalkan taman-taman tersebut walaupun berlaku kekurangan kakitangan.

Jabatannya sedang melihat "semua kemungkinan" untuk mengatasi cabaran ini, termasuk menghantar beberapa gajah ke fasiliti yang lebih besar yang masih belum dibina, atau ke taman-taman luar negara yang bersedia untuk menerima mereka.

"Kami boleh melakukan sebanyak mungkin dengan bilangan kakitangan yang kami peroleh daripada pekerjaan kerajaan," katanya, yang berjanji untuk memastikan taman-taman di Sabah beroperasi selama mungkin. Tetapi ini tidak mungkin dapat dilakukan jika mereka terus menerima masuk gajah.

Taman Hidupan Liar Lok Kawi mempunyai 14 ekor gajah dalam kurungan, dua kali ganda kapasiti yang sepatutnya. (Gambar: CNA/Chris Pereira)

Di ibu negeri Kota Kinabalu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Christina Liew memberitahu CNA bahawa beliau tidak bersetuju untuk menghantar gajah ke luar negara.

"Tetapi saya faham apa yang dialami oleh pengarah kerana dia perlu menjaga begitu banyak haiwan ini dalam kandang dengan kakitangan yang sangat terhad," katanya sambil menambah bahawa cadangan itu akan dibincangkan lebih mendalam.

“Saya berharap untuk membincangkan dengan kerajaan negeri kemungkinan untuk memperbaiki kemudahan serta membuka lebih banyak (fasiliti) pemuliharaan.”

Liew mengakui Taman Hidupan Liar Sabah mengalami masalah kekurangan tenaga kerja. "Mudah-mudahan dalam tahun ini, kami dapat membuat beberapa penyesuaian untuk memastikan insiden seperti ini tidak akan berulang lagi," katanya, merujuk kepada kematian Lansou.

"Ia adalah satu insiden yang menyedihkan, tetapi kami perlu mengkajinya dari pelbagai sudut dan melihat apa yang boleh kami lakukan."

DASAR PEMULIHARAAN

Dalam konteks ini, Liew mengakui hanya boleh membina fasiliti yang lebih besar dan menggajikan lebih ramai kakitangan dengan pembiayaan yang mencukupi dan ini adalah isu yang perlu ditangani oleh kerajaan negeri dan persekutuan.

Pada 25 Feb, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan dalam ucapan belanjawannya bahawa beliau akan memperluaskan dana pemuliharaan biodiversiti untuk kerajaan negeri daripada RM70 juta kepada RM150 juta.

“Pada masa yang sama, sejumlah RM38 juta akan diperuntukkan untuk melindungi hidupan liar seperti harimau dan gajah serta habitat hutan haiwan-haiwan itu,” katanya.

Kata Liew, kerajaan negeri Sabah telah menyediakan sejumlah wang yang "cukup besar" untuk memulihara haiwan-haiwan liar dan yang dalam kurungan. 

“Kita sudah mempunyai bajet untuk setiap kementerian. Jika tidak mencukupi, maka kami akan memaklumkan kerajaan negeri dan membentangkan kertas kerja kami tentang mengapa kami memerlukan (dana) tambahan,” katanya.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Christina Liew. (Gambar: CNA/Chris Pereira)

Salah satu contoh, seperti yang dinyatakan oleh beliau, adalah keperluan untuk reka bentuk semula dan melaksanakan hubungan bersekat di Lok Kawi.

"Saya rasa dengan berlakunya insiden ini, keperluan untuk pembiayaan segera perlu dibentangkan kepada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan," katanya.

"Saya berharap dapat melakukan itu dalam (mesyuarat) Kabinet negeri yang akan datang, dengan cadangan kami tentang apa yang harus dilakukan dalam jangka pendek dan juga jangka panjang."

Pada 2020, kerajaan negeri menandatangani Pelan Tindakan Gajah Borneo 10 tahun yang komprehensif, dengan objektif seperti meningkatkan ketersambungan landskap dan mengurangkan kematian gajah.

Setahun kemudian, ia komited untuk mewartakan lebih banyak hutan biodiversiti tinggi sebagai Kawasan Perlindungan Penuh, yang akan meliputi 30 peratus daripada negeri itu menjelang 2025 meningkat daripada 25 peratus sekarang.

Jabatan Perhutanan Sabah ingin mencapai matlamat ini dengan mengenal pasti kawasan tambahan di mana pembalakan komersial tidak lagi dibenarkan, seterusnya untuk melindungi habitat gajah.

Keadaan di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Tawau, Sabah. (Gambar: CNA/Zainuddin Abd Kahar)

Negeri itu juga sedang berusaha untuk mengesahkan seluruh pengeluaran kelapa sawitnya di bawah Meja Bulat Minyak Sawit Mampan, satu piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa yang meliputi isu-isu seperti penebangan hutan dan penyalahgunaan buruh, menjelang 2025.

Sabah kini menghasilkan 12 peratus daripada minyak sawit dunia, pengeluar ketiga terbesar selepas Indonesia dan Semenanjung Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada pensijilan, syarikat-syarikat perladangan perlu melibatkan penilai alam sekitar untuk menentukan sama ada tanah yang mereka gunakan adalah kritikal untuk hidupan liar. Kawasan yang ditentukan sebagai kritikal tidak boleh ditebang.

“Walaupun kami mempunyai dasar, sesetengah mungkin terlepas pandang dasar tersebut. Saya bertanya kepada (pengarah hidupan liar) bagaimana kita boleh mengatasinya,” kata Liew.

“Beliau memberikan beberapa cadangan (tetapi) kami berurusan dengan pemain-pemain besar. Jadi, marilah kita bertenang dulu, kemudian kita akan membincangkan secara terperinci untuk memperhalusi dasar kita. Seharusnya mereka tidak akan mulakan kerja mereka sehingga kami mendapat penilaian."

KES KERACUNAN, PEMBUNUHAN AKIBAT REAKSI MANUSIA

Langkah-langkah ini penting kerana penyelidikan terbaru menunjukkan bahawa sejak 40 tahun kebelakangan ini, habitat gajah di Sabah telah berkurangan sebanyak 60 peratus disebabkan oleh penukaran penggunaan tanah, kata Cheryl Cheah, pengurus pemuliharaan gajah di WWF Malaysia.

Ancaman lain terhadap gajah liar termasuk pembunuhan atau penembakan gajah sebagai tindakan balas oleh penduduk kampung, atau secara tidak sengaja memerangkap mereka dalam jerat ketika memburu haiwan lain seperti babi hutan, katanya kepada CNA.

Seperti di kawasan lain di Malaysia, Sabah telah menyaksikan insiden-insiden tragik antara manusia dan gajah. Pada September tahun lalu, seorang wanita berusia 67 tahun telah mati dipijak gajah ketika menunggang motosikal berhampiran sebuah ladang di Tawau.

"Antara tahun 2014 hingga 2018, terdapat beberapa kes setiap tahun yang boleh kita katakan dikaitkan dengan pembunuhan disebabkan tindak balas (manusia)," kata Cheah.

Pengurus pemuliharaan gajah WWF Malaysia, Cheryl Cheah. (Gambar: CNA/Chris Pereira)

Cheah berkata WWF mula bekerjasama dengan NGO tempatan dua tahun lalu untuk libat urus bersama masyarakat kampung dan meningkatkan kesedaran mengenai langkah-langkah mitigasi gajah yang lebih berperikemanusiaan.

“Saya rasa (kematian berkaitan dengan tembakan) telah berkurangan sedikit. Sejak selepas COVID-19, saya kurang dengar tentang kes sedemikian,” katanya.

"Tetapi terdapat ancaman lain yang disyaki iaitu kes keracunan. Itu saya rasa telah meningkat sedikit, dan khususnya, untuk kawasan di Kinabatangan.”

Banjaran Kinabatangan yang lebih rendah adalah yang terkecil daripada tiga kawasan - di belakang banjaran Tabin dan banjaran Sabah Tengah - di mana populasi gajah liar Sabah terkumpul.

Tetapi Cheah menegaskan bahawa sukar untuk menentukan sama ada keracunan itu disengajakan, sambil menyatakan gajah boleh memakan pokok buah-buahan yang tercemar dengan bahan kimia pertanian.

Selain itu, pekerja ladang cenderung menggunakan teknik yang kurang agresif ketika mengusir gajah, kata Cheah. Syarikat-syarikat perladangan mempunyai wang untuk melaksanakan langkah-langkah seperti pagar elektrik, walaupun ini boleh mengganggu ketersambungan antara kawasan gajah.

Pengurus pemuliharaan gajah WWF Malaysia Cheryl Cheah menunjukkan peta kawasan gajah di Sabah. (Gambar: CNA/Chris Pereira)

Namun, beliau berkata sesetengah pekerja membakar tayar getah dan membuat bunyi bising untuk menghalau kawanan gajah, perbuatan yang boleh dikaitkan dengan kes pengabaian. Gajah juga telah ditemui mati di ladang sepanjang beberapa tahun.

Gajah mempunyai kecenderungan untuk mencari ladang kerana mereka memakan pokok kelapa sawit muda dan kadang-kadang menusuk gading pada tangki air untuk mendapatkan air segar, dan ini mengakibatkan kerugian berjuta-juta ringgit setiap tahun bagi ladang tersebut.

Gajah juga hidup selama bertahun-tahun dan boleh "mengajar" anak-anak mereka tempat untuk mencari sumber-sumber makanan dan air khusus seperti ini, kata Cheah.

Bahagian pagar elektrik yang dipercayai telah dipecahkan oleh gajah di ladang kelapa sawit. (Gambar: CNA/Zainuddin Abd Kahar)

Pada 2014, WWF Malaysia memulakan kerjasama dengan syarikat-syarikat perladangan besar untuk mengurangkan konflik manusia-gajah dengan menubuhkan koridor hidupan liar yang menghubungkan hutan simpan dan membolehkan gajah melepasi dengan selamat.

Sepanjang koridor ini, tanaman untuk penghasilan biasa telah ditebang dan diganti dengan pokok buah-buahan yang biasanya dimakan oleh gajah, menarik mereka dari bahagian lain ladang. Pagar elektrik disusun semula untuk mengurangkan kawasan sempit.

Walaupun langkah-langkah ini memerlukan kos, Cheah berkata beliau telah mempromosikan idea itu kepada perladangan dengan menjanjikan "pulangan pelaburan" yang baik dalam jangka panjang, dalam bentuk kerosakan yang kurang berkaitan dengan gajah.

“KEWUJUDAN BERSAMA DENGAN MANFAAT SALING MENGUNTUNGKAN”

Dalam jangka yang lebih panjang, langkah-langkah untuk menggalakkan kewujudan bersama antara gajah dan manusia mungkin lebih berkesan.

Sebagai contoh, ladang yang memperkenalkan koridor hidupan liar telah membuahkan hasil. 

Sabah Softwoods, ladang kelapa sawit dan kayu lembut berhampiran Tawau, mengalami kerosakan tanaman yang berkaitan gajah bernilai RM500,000 pada 2004. Pada 2014, ia memulakan pembangunan koridor hidupan liarnya dan pada 2018 mencatatkan kerosakan yang serupa bernilai hanya RM5,000.

"Semua ini disebabkan oleh pelan mitigasi jangka panjang kami: Menubuhkan koridor hidupan liar dan menyusun semula pagar elektrik," kata Ram Nathan, pengurus kanan ladang bahagian kelestarian dan pelancongan pemuliharaan.

Gajah liar di ladang Sabah Softwoods. (Gambar: Shavez Cheema/1StopBorneo Wildlife)

Koridor itu, yang menghubungkan Hutan Simpan Ulu Kalumpang ke Hutan Simpan Mount Louisa yang lebih besar, sepanjang 14km dan lebar antara 200m hingga 800m. Kos pembinaan dan penyelenggaraannya ialah RM7 juta selama 10 tahun, kata Ram.

Koridor itu ditanam dengan gabungan pokok yang cepat tumbuh dan pokok buah-buahan yang tumbuh lebih perlahan, dengan kolam tiruan untuk gajah berendam. Selain gajah, haiwan seperti burung enggang dan harimau dahan juga menggunakannya, kata Ram.

Koridor hidupan liar di Sabah Softwoods mengandungi pokok buah-buahan dan kolam buatan untuk menarik perhatian gajah dan hidupan liar lain. (Gambar: CNA/Zainuddin ABd Kahar)

Ram berkata sedang ladang itu masih perlu melibatkan pihak berkuasa untuk memindahkan gajah yang agresif pada 2021, koridor itu memberi impak yang baik.

“Kita dapat melihat hasilnya, dari segi kehadiran hidupan liar pada masa kini dan pada masa yang sama gangguan yang minimum terhadap kawasan pekerja ladang. Sekarang, kita dapat melihat gajah sebagai aset, bukan lagi sebagai liabiliti,” katanya.

Pengasas 1StopBorneo Wildlife, Shavez Cheema membawa pelancong ke "safari" untuk menyaksikan gajah liar di ladang Sabah Softwoods.

Sabah Softwoods telah menemui cara lain untuk mendapatkan manfaat daripada koridor ini: Ekopelancongan.

Pada 2018, syarikat tersebut bersetuju untuk bekerjasama dengan NGO tempatan dan syarikat pelancongan 1StopBorneo Wildlife untuk membawa pelancong ekologi ke ladang tersebut dan melihat gajah seperti di safari. Pelancong juga akan dapat menanam pokok di koridor hidupan liar.

“Kami takut sambutannya mungkin negatif kerana stigma negatif yang melekat (kepada perladangan). Tetapi tidak, sambutannya sangat baik apabila mereka menganggapnya sebagai sebuah inisiatif pemuliharaan yang hebat,” kata pengasas 1StopBorneo Wildlife, Shavez Cheema kepada CNA.

"Mereka boleh melihat gajah liar yang mungkin bukan dalam habitat liar seperti mereka bayangkan. Tetapi ia masih liar dan tetap menjadi rumah semulajadi mereka, jadi mereka menerima dan bersetuju bahawa ini adalah cara yang hebat untuk mungkin wujud bersama dengan manfaat saling menguntungkan."

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris. 

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini tentang seorang ibu dan anak autisme dalam membantu keluarga susah di Singapura. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/nm(ih)
Advertisement

Also worth reading

Advertisement