Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Anaknya membesar dengan autisme, tapi ini tidak menghalang ibu dan anak membantu keluarga susah 

Kempen The Takeout bermula pada tahun 2020 apabila Cik Faraliza Zainal dan pasukannya mahu membantu keluarga-keluarga susah dengan masalah kewangan seperti apa yang pernah dilaluinya sendiri. 

Anaknya membesar dengan autisme, tapi ini tidak menghalang ibu dan anak membantu keluarga susah 
Cik Faraliza Zainal dan anaknya Ashraf semasa acara The Purple Parade, berdiri di tepi gerai Kafe Ashraf. (Foto: MIJ Hub)

SINGAPURA: Cik Faraliza Zainal pernah melalui masa-masa sukar dalam membesarkan anaknya Mohd Ashraf Mohd Ali. 

Semasa Ashraf masih kecil lagi, mereka berdua pernah ke sebuah taman apabila hujan lebat turun. 

Dengan rancangan mereka untuk bersuka ria di taman terganggu, Cik Faraliza cuba memujuk anaknya kembali ke kereta mereka tetapi Ashraf enggan memasukinya. 

Ia mengambil masa yang lama untuk memujuknya. Dalam perjalanan pulang, Cik Faraliza tidak lagi dapat menahan perasaan lalu menitiskan air mata. 

"Apa yang kamu mahu?" dia berkali-kali menjerit kepada Ashraf, tetapi anaknya terus menangis selama dua jam dan tidak menjawab.

Hakikatnya, Ashraf memang tidak berupaya untuk menjawab ibunya.

Sebelum ini, Cik Faraliza enggan menerima hakikat bahawa Ashraf membesar dengan keadaan autisme, yang biasanya melibatkan masalah lambat bertutur dan kurang upaya dalam berkomunikasi pada peringkat awal pembesaran. 

Autisme biasanya dapat didiagnosis dengan pasti apabila kanak-kanak berumur tiga tahun, dengan tanda-tanda gejalanya  muncul pada usia 18 bulan.

Peristiwa di taman itu mendorong Cik Faraliza untuk mula mengambil kursus-kursus dalam menguruskan kanak-kanak berkeperluan khas, dan akhirnya memulakan organisasi bukan untuk keuntungan -  My Inspiring Journey (MIJ) Hab Pendidikan Khas untuk membantu anak-anak seperti Ashraf.  

Mohd Ashraf Mohd Ali dan rakannya Shahir Sumani, menyampaikan juadah berbuka puasa kepada sebuah keluarga di Woodlands. (Foto: CNA/Raydza Rahman)

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kegiatan amal Cik Faraliza berkembang kepada menyediakan makanan yang dimasak di rumah untuk dimanfaatkan kira-kira 30 keluarga berpendapatan rendah yang juga mempunyai anak berkeperluan khas, seperti lewat membesar dan mengalami Down’s  syndrome. 

Kempen The Takeout kini memasujki tahun keempat. Tetapi kekurangan dana pada tahun lepas menyebabkan Cik Faraliza dan pasukannya mengurangkan penghantaran makanan, daripada setiap minggu kepada sebulan sekali.

Tahun ini, sepanjang bulan Ramadan, mereka meneruskan penghantaran juadah berbuka puasa setiap hujung minggu kepada keluarga-keluarga penerima. Kesemuanya mereka menghantar 170 kiriman juadah setiap hari untuk lapan hari. 

CNA mengikuti proses Cik Faraliza dan pasukannya dalam menyiapkan dan menghantar juadah-juadah, sambil bertanyakan pengalaman beliau dalam membesarkan Ashraf yang kini berusia 23 tahun.

Seorang penerima di Woodlands menerima juadah berbuka puasa daripada Ashraf. (Foto: CNA/Raydza Rahman)

MASA-MASA SUKAR 

Cik Faraliza memberitahu CNA bahawa pengalaman beliau dan suaminya dalam menjaga anak mereka, serta masalah kewangan yang perlu mereka hadapi, menjadikannya orang yang boleh memahami apa yang dilalui oleh para penerima bantuan. 

"Pada tahun-tahun awal apabila Ashraf pertama kali didiagnosis, saya boleh menyifatkan (pengalaman itu) seperti menaiki rollercoaster," katanya.

"Secara emosi, anda tidak stabil ... dan itu semua ketika belum ada banyak kesedaran tentang autisme. Jadi sebagai ibu muda, saya tidak tahu tentang perkara ini.”

Cik Faraliza kerap bertengkar dengan suaminya, Encik Mohammad Ali Dawood, yang bekerja sepenuh masa dalam industri penerbangan. Pasangan itu melalui tempoh yang sukar apabila Encik Mohammad Ali diberhentikan kerja beberapa tahun sebelum krisis kewangan 1997.

Pengasas MIJ Hub, Encik Mohammad Ali Dawood dan Cik Faraliza Zainal. (Foto: MIJ Hub)

Untuk dua tahun pertama kehidupan Ashraf, Cik Faraliza tidak mahu menerima bahawa dia anak "istimewa". Masalah perasaan tak terkawal anaknya, seperti yang berlaku di taman, membuatkan Cik Faraliza dan suami kecewa dan tidak pasti tentang apa yang perlu dilakukan.

"Saya masih ingat ketika dia mengalami krisisnya yang pertama, ia sangat sukar bagi saya kerana saya tidak faham apa yang dia mahu," katanya.

“Saya sendiri boleh marah kerana bagi saya ia seperti, ‘Kenapa kanak-kanak ini jadi begini?’ Kerana dia tidak boleh menyatakan dirinya dengan jelas.”

Hanya apabila Cik Faraliza mula mengikuti kursus dan mempelajari lebih lanjut tentang autisme, dia mula menerima Ashraf seadanya. Tidak lama selepas itu mereka mempunyai dua lagi anak selain Ashraf. 

Tetapi tekanan kewangan yang dihadapi bermakna keluarga Cik Faraliza perlulah lebih berjimat. 

Selain autisme, yang memerlukan sesi terapi yang mahal, Ashraf juga menghidap penyakit tuberous sclerosis yang membawa kepada sawan epilepsi. Ini semua memerlukan belanja yang besar untuk merawatnya di hospital. 

Apabila Ashraf mula mengikuti kelas agama dengan adik perempuannya, keadaan menjadi lebih buruk. Rakan-rakan  sekelas memanggilnya "gila", sehingga menyebabkan Ashraf tidak tahan lalu menyembunyikan diri di bawah meja.

Prihatin terhadap kesihatan mentalnya, Cik Faraliza menarik keluar Ashraf dari kelas. Tetapi apabila melihat adiknya pula begitu seronok, Ashraf bertanyakan bila dia boleh meneruskan semula kelas agamanya. 

Ketika itulah Cik Faraliza berhenti kerja dan menubuhkan MIJ Hub pada 2011, yang menawarkan kelas agama Islam setiap hujung minggu untuk kanak-kanak berkeperluan khas. Sejak itu ia telah berkembang untuk menerima mereka yang berkeperluan khas dari usia dua hingga 30 tahun dari semua lapisan masyarakat.

Lebih 300 pelajar kini mengikuti programnya yang disediakan di tiga cawangannya di kawasan Geylang Serai, Woodlands dan Jurong. Program-program ini termasuk pusat aktiviti harian, yang menyediakan bimbingan pelajar dan bimbingan persiapan untuk bekerja. 

Cik Faraliza berkata: “Kami melihat MIJ berkembang apabila Ashraf berkembang kerana apabila keperluannya meningkat, terdapat permintaan untuk dia ditempatkan di sekolah di mana dia berasa selamat dan selesa.

“Jadi kami membuka kelas harian untuk mereka yang tidak cenderung dari segi akademik tetapi lebih cenderung kepada vokasional. Dari masa ke semasa, kami sediakan program lain berdasarkan permintaan daripada ibu bapa seperti saya yang mempunyai anak keperluan khas.”

Pada 2018, MIJ telah menubuhkan kedai minuman Ashraf’s Café di bangunan bekas premis MIJ di 168 Changi Road. Café itu  menjual makanan Barat pada harga yang berpatutan.

Kakitangan Ashraf's Cafe. (Foto: MIJ Hub)

Kedai makan berciri perniagaan sosial itu menggaji dan melatih mereka yang berkeperluan khas dengan kemahiran memasak, menghidang makanan dan kemahiran sosial dalam persekitaran yang selamat. Bagaimanapun, ia menutup premis fizikalnya tahun lepas selepas pandemik COVID-19 memberi kesan teruk kepada perniagaannya. Mentelah juga tempoh pajak sewanya berakhir. 

Ia kini hanya mengambil pesanan dalam talian, dan MIJ juga telah menubuhkan gerai di kantin Sekolah Methodist Girls.

Cik Faraliza kemudian mengusahakan kempen The Takeout pada Oktober 2020. Pada mulanya pasukan beliau menjalankan tinjauan di kalangan pelajar mereka yang berpendapatan rendah dan mendapati ramai yang hanya makan sekali sehari.

Turut mengecewakan, beliau juga mendapati keluarga-keluarga tersebut menganggap mi segera, yang murah dan mudah disediakan, sebagai makanan ruji.

“Inilah sebabnya kenapa kempen itu dilancarkan.  Saya telah melalui detik seperti itu,” tambahnya. “Kewangan sangat terbatas; makanan tidak seberapa. Kami tidak mampu  makan di luar, kami tidak dapat makan makanan yang enak."

MIJ kemudian mula menghantar makanan sehingga tiga kali seminggu dan menerima maklum balas yang baik. Ada beberapa keluarga menyimpan bungkusan makanan untuk dimakan pada waktu malam.

"Ada juga di kalangan mereka (apabila melihat kakitangan kami yang berkeperluan khas menghantar makanan kepada mereka), menyuarakan teruja agar anak mereka pun dapat menyumbang kembali kepada masyarakat," tambahnya.

Sehingga akhir tahun lepas, MIJ telah mengumpulkan kira-kira S$200,000 (RM660,000) dan menghantar lebih 22,000 hidangan. Apabila syarikat mengalami kekurangan dana, ia secara beransur-ansur mengurangkan kekerapan penghantarannya kepada sebulan sekali.

Awal tahun ini, ia menggunakan platform GIVE.asia bagi kempen mengumpul dana untuk membiayai kempen The Takeout. Ia telah mengumpulkan kira-kira S$21,000 setakat ini yang meliputi juadah berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan.

Hujung minggu awal April lalu, kakitangan MIJ dan sukarelawan dari pelbagai organisasi, seperti Universiti Pengurusan Singapura, berkumpul untuk membantu menyediakan makanan.

Hamizul Hakim Muhammad, 27, telah menjadi sebahagian daripada kempen The Takeout sejak ia dilancarkan tiga tahun lalu. Beliau menyelia sekumpulan 60 sukarelawan belia dari Masjid Abdul Razak, sebuah masjid yang terletak beberapa minit dari premis MIJ Hub.

"Saya fikir ia adalah satu cara untuk menyumbang kepada masyarakat dan membantu semasa Ramadan," kata Encik Hamizul.

Sukarelawan juga merancang hari istimewa pada 1 Apr di mana pelajar MIJ membuat persembahan dan berbuka puasa bersama rakan dan keluarga mereka.

Melihat masa depan kempen The Takeout, Cik Faraliza berkata beliau berharap dapat mengumpul lebih banyak dana supaya beliau boleh kembali menyediakan makanan kepada para penerima mereka setiap minggu.

Sedang keadaan bagi keluarganya sudah bertambah baik, Cik Faraliza ingin menyampaikan nasihat kepada para ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa: Jangan mengambil masa terlalu lama untuk menerima anak-anak mereka seadanya.

"Saya melakukan kesilapan itu selama dua tahun... saya sedar campur tangan awal sangat penting," tambahnya.

"Selalunya, sebagai ibu bapa, kita mahu anak-anak kita  memenuhi jangkaan kita tetapi kita lupa bahawa mereka mempunyai batasan tertentu... Contohnya, jika anda mempunyai anak autisme, (ketahuilah) mengapa mereka mengepak tangan? Mengapa mereka menutup telinga? Mengapa mereka selalu menjerit?

"Kita perlu memasuki dunia mereka dan memahami mengapa mereka berbuat demikian. Hanya apabila kita memahami mereka dengan lebih baik, barulah kita boleh menguruskan mereka dengan lebih baik."

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.  

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai peniaga ternakan burung unta yang berazam meneruskan perniagaannya di sebalik pelbagai cabaran. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/ih

Advertisement

Also worth reading

Advertisement