Kes COVID-19 naik di Malaysia, orang ramai digalakkan pakai pelitup muka: Pakar kesihatan
KUALA LUMPUR: Sedang peningkatan kes baharu COVID-19, pakar kesihatan awam di Malaysia menggalakkan orang ramai untuk mengamalkan semula pemakaian pelitup muka.
Menurut data terkini Kementerian Kesihatan (KKM), jumlah kes COVID-19 yang disahkan meningkat sebanyak 87.5 peratus dalam tempoh 14 hari setakat 8 April.
Sementara itu, jumlah kemasukan ke hospital dalam tempoh yang sama meningkat sebanyak 30.5 peratus manakala kematian akibat COVID-19 meningkat sebanyak 25 peratus. Setakat 8 April, jumlah kes aktif di seluruh negara itu adalah lebih daripada 13,000.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin (17 Apr), Persatuan Hospital Swasta Malaysia menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka di kawasan yang sesak dan mengekalkan penjarakan sosial, antara langkah lain, untuk mencegah penularan virus itu.
"Walaupun sistem penjagaan kesihatan - awam dan swasta - bersedia dan cekap untuk menguruskan peningkatan kes seterusnya, ini tidak sepatutnya menjadi alasan untuk orang ramai cuai dengan pencegahan peribadi melawan penyakit itu," kata presiden persatuan itu Dr Kuljit Singh.
Khamis lalu, Menteri Kesihatan Zaliha Mustafa menggesa orang ramai agar memakai pelitup muka di kawasan sesak, menjelang sambutan Hari Raya di negara itu.
“Dalam kesibukan membuat persediaan musim perayaan yang akan tiba, masyarakat digalakkan memakai pelitup muka apabila hadir ke tempat awam yang sesak dan sempit di mana penjarakan fizikal sukar diamalkan,” kata menteri itu dalam satu kenyataan.
Ketika ini, pelitup muka hanya perlu dipakai dalam pengangkutan awam dan di fasili kesihatan dan wajib bagi bagi individu yang disahkan positif COVID-19.
Dr Zaliha berkata jumlah pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital pada awal April meningkat sebanyak 17.6 peratus berbanding bulan sebelumnya. Menurutnya, kebanyakan pesakit COVID-19 yang dimasukkan adalah mereka dari kumpulan berisiko tinggi, seperti warga emas dan individu yang mempunyai komorbiditi.
Penasihat Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia Dr Zainal Ariffin Omar berkata selain pemakaian pelitup muka, langkah lain - seperti mengelakkan berada di ruang yang sesak, ujian kendiri dan kuarantin kendiri - juga perlu diamalkan, terutamanya bagi mereka yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi.
Ketika ditanya sama ada pemakaian pelitup muka perlu diwajibkan semula, Dr Zainal memberitahu CNA: “(Pakai pelitup muka) masih satu pilihan tetapi sangat digalakkan. Situasi (COVID-19) tidak seteruk dahulu, dan (kadar) pemakaian pelitup muka (dalam kalangan masyarakat) cukup baik."
MAMPUKAH SISTEM PENJAGAAN KESIHATAN BERTAHAN?
Dalam kenyataannya Khamis lalu, Dr Zaliha berkata trend peningkatan kemasukan pesakit COVID-19 tidak akan membebankan perkhidmatan kesihatan dan hospital masih beroperasi seperti biasa.
Menurut KKM, sebanyak 34.4 peratus ventilator, 62 peratus katil unit rawatan rapi (ICU), dan 65.9 peratus katil hospital digunakan di negara itu, setakat 8 April.
Dr Sanjay Rampal, seorang Profesor Epidemiologi di Universiti Malaya memberitahu CNA: “Kita dilihat mempunyai kapasiti yang lebih daripada mencukupi untuk menguruskan beban yang berkaitan dengan gelombang jangkitan COVID-19 terkini.
"Kita perlu meneruskan kawalan rapi terhadap penyakit ini dan memastikan perkhidmatan kesihatan awam di lapangan mempunyai sumber dan kapasiti yang mencukupi untuk mencegah dan mengawal COVID-19."
Beliau menambah bahawa berdasarkan tahap penularan COVID-19 semasa komuniti, pemakaian pelitup muka secara besar-besaran mungkin tidak berkesan dari segi kos sebagai langkah intervensi kesihatan awam. Kata Dr Rampal, memantau penggunaan kemudahan jagaan kesihatan bagi kes jangkitan lebih teruk adalah lebih penting.
Hospital swasta juga bersedia untuk berdepan gelombang COVID-19 sekiranya ia berlaku, kata Dr Singh dalam kenyataan pada Isnin. Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa meningkatkan kapasiti tersebut boleh menjadi satu cabaran.
“Ketika ini hospital swasta kami penuh dengan kes-kes keadaan perubatan yang lain dan dengan kekurangan jururawat yang berterusan, langkah meningkatkan kapasiti adalah satu cabaran.
"Harapan kami adalah untuk mendapatkan penyelesaian daripada kerajaan yang masih belum menjadi kenyataan," katanya.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini tentang dilema para peniaga bazar Ramadan di Malaysia sedang kenaikan harga barang.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.