Memulihara tapak warisan di Pulau Pinang: Para aktivis cuba selamatkan lebih banyak bangunan bersejarah
Mengapa pihak berkuasa tempatan dikatakan gagal melakukan secukupnya untuk memulihara struktur warisan di George Town, termasuk sebuah banglo lama yang pernah didiami Sir Stamford Raffles.
GEORGE TOWN, Pulau Pinang: Aktivis warisan Mark Lay kelihatan ke sana ke mari dengan Perodua Myvi miliknya sebelum memperlahankan kenderaannya untuk membelok ke kanan di jalan dua hala di George Town, Pulau Pinang.
Kereta itu berhenti di hadapan pintu pagar satu tapak pembinaan kosong. Lay keluar, memanjat timbunan papak konkrit dan melihat ke bawah dari atas tembok penghalang, yang mendedahkan sebuah hotel sebelum perang dunia dalam kehancuran walaupun pernah melalui zaman yang gemilang.
Namun, apa yang ingin ditunjukkan Lay adalah kepingan mortar kapur dan plaster yang terdampar di sebelah kanan hotel, saki baki banglo Runnymede yang berusia 208 tahun, bangunan kediaman yang pernah dihuni oleh Sir Stamford Raffles.
Raffles pernah bekerja untuk seorang gabenor Pulau Pinang dan menghabiskan masa di Melaka sebelum mengasaskan Singapura. Banglonya dibina di tapak Pulau Pinang pada 1808.
Pada 2016, tuan tanah meratakan banglo itu bersama-sama dengan enam bangunan lain di kompleks Runnymede, di mana binaan tersebut adalah di luar lingkungan Tapak Warisan Dunia George Town.
Bangunan dalam sempadan tapak warisan itu biasanya terpelihara daripada perobohan. Sesetengah kerja pembaikan atau pemulihan dibenarkan, tetapi ini tertakluk kepada garis panduan yang ketat.
Struktur warisan – sesetengahnya bangunan yang mempunyai ikatan sejarah yang penting – juga wujud di luar sempadan tapak warisan. Namun, ia boleh dirobohkan atau dibangunkan semula, tertakluk kepada kelulusan majlis perbandaran.
Hotel di kompleks Runnymede bagaimanapun terselamat, ia dijangka dibaik pulih semula sebagai sebahagian daripada pembangunan pinggir laut seluas 5 ekar yang dipanggil Runnymede Bay. Ia akan mempunyai bangunan kediaman 45 tingkat dan hotel 48 tingkat.
"Hakikatnya pemaju tersebut tidak tahu (tentang kaitan dengan Raffles). Dengan membuat semakan di arkib Singapura, semua maklumat itu boleh didapati," kata Lay kepada CNA.
PERJUANGAN YANG LAMA
Kes Runnymede adalah salah satu contoh dalam banyak projek perobohan yang melibatkan bangunan-bangunan sebelum perang di luar tapak warisan. Menurut aktivis, bangunan-bangunan tersebut sepatutnya juga layak mendapat perlindungan yang sama.
Sejak sekian lama mulai tahun-tahun 1980-an perkara tersebut sudah menjadi pertikaian, terutamanya sekarang dalam era selepas pandemik COVID-19, tegas Lay. Beliau berkata, "ramai pemilik hartanah ingin meroboh dan membuat pembangunan semula".
Lay yang merupakan pesara berusia 56 tahun adalah warga New Zealand yang membesar di Singapura pada 1980-an dan menetap di Pulau Pinang sejak 2012.
MENGAPA GEORGE TOWN SEDIA UNTUK PEMBANGUNAN SEMULA
Usaha untuk menyelamatkan tapak dan bangunan warisan Pulau Pinang bermula sejak 1982, apabila sebuah bangunan seminari Katolik zaman penjajahan dan taman-taman sekitar Pulau Tikus, bandar pinggiran barat laut George Town, dijual kepada pemaju swasta.
Pada Disember 1983, Majlis Perbandaran Pulau Pinang membuat pengezonan semula tanah dari status agama/institusi kepada komersial dan kediaman, keputusan yang bercanggah dengan dasar perancangan bandar. Petisyen menentang pengezonan semula itu berjaya mendapat 900 tandatangan dalam tempoh beberapa minggu.
Pembangunan semula bandar yang pesat di George Town semasa kerancakan sektor hartanah pada awal 1990-an juga mendapat bantahan, apabila seorang pemaju mengabaikan perintah perlindungan tapak warisan dan merobohkan Hotel Metropole, sebuah bangunan warisan yang terkenal.
Sehingga hari ini, hartanah warisan di George Town tetap dipilih sebagai peluang pelaburan yang "sangat diingini", demikian menurut sebuah artikel Tatler Asia pada 2021. Ini terutamanya selepas kawasan warisan bandar itu dimasukkan dalam senarai tapak warisan dunia pada 2008.
Pulau Pinang sebagai tempat pelancongan merupakan salah satu faktor kepada mengapa para pelabur jangka mendapat pulangan yang lumayan bagi pelaburan mereka. Oleh itu, kebanyakan hartanah warisan telah diubah kepada perniagaan komersial seperti hotel, kafe dan kedai cenderamata, kata artikel Tatler Asia itu.
Tidak seperti di sesetengah negara, pihak berkuasa Pulau Pinang tidak boleh campur tangan mengikut undang-undang dalam soal jual beli yang melibatkan bangunan warisan.
Pembangunan semula mungkin tidak berlaku dengan serta-merta. Aktivis warisan Mark Lay berkata pemaju mungkin membeli dan menyimpan tanah terlebih dahulu, dan apabila tiba masa yang tepat, mereka mula membina sebuah kondominium, misalnya.
Laporan Institut Penyelidikan Khazanah 2017 menyatakan bahawa kira-kira 8,500 penduduk dari 591 isi rumah meninggalkan George Town dua tahun selepas pencalonannya sebagai tapak Warisan Dunia pada 2007. Ketika itu bilangan penduduknya seramai 18,660.
"Walaupun inskripsinya sebagai tapak Warisan Dunia telah berjaya meningkatkan imej Pulau Pinang dan membuka jalan bagi negeri ini untuk memberi nafas baharu kepada industri pelancongannya, ia juga memberi tekanan tambahan kepada soal perumahan yang dimampui," kata laporan itu.
Pada 2008, UNESCO menyenaraikan George Town – selain Melaka – sebagai Tapak Warisan Dunia selepas ia memenuhi empat kriteria, termasuk menjadi contoh terbaik sebuah bandar perdagangan pelbagai budaya di Asia Timur dan Tenggara.
Tapak ini terdiri daripada kedua-dua teras dan zon penampan di sekitarnya. Zon penampan harus merangkumi persekitaran sebenar tapak yang dicalonkan, kawasan pemandangan yang penting dan adanya kawasan-kawasan lain yang membantu dalam melindungi sesebuah tapak itu.
Lay bagaimanapun berpendapat bangunan-bangunan warisan di luar zon ini, juga perlu diberi pertimbangan yang sewajarnya sebelum perobohan.
Pengubahsuaian kepada bangunan-bangunan ini secara tidak langsung boleh menjejaskan tapak warisan, kata Lay, yang juga pengasas bersama kumpulan George Town Heritage Action (GTHA) yang menubuhkan kumpulan itu pada 2015.
Dalam satu kes, kumpulan itu melobi terhadap rancangan untuk membina kondominium 38 tingkat di jalan yang berjarak kurang daripada 200m dari sempadan barat tapak itu. Majlis perbandaran masih mengkaji permohonan pemaju terbabit.
Para aktivis menegaskan bahawa bangunan tinggi seperti itu akan merosakkan pemandangan tapak warisan dengan menyekat pandangan tepat masjid bersejarah Lebuh Acheh dari jalan raya. Ini bertentangan dengan garis panduan tapak warisan yang dibuat oleh kerajaan negeri itu sendiri.
“Apa yang kami minta bukanlah mengatakan yang kita perlu mengekalkan setiap bangunan, kerana kami tahu ia mustahil,” kata Lay.
"Permintaan kami adalah agar majlis perbandaran dan badan-badan warisan negeri berkumpul dengan NGO (warisan), duduk bersama dan menilai permohonan-permohonan dengan teliti."
PEROBOHAN HARAM
Tahun lalu, beberapa bangunan di luar tapak warisan telah dirobohkan, termasuk sebuah banglo sebelum perang di sepanjang Clove Hall Road dan kubur berusia 138 tahun milik isteri Chung Keng Kwee - pemilik dan majikan lombong timah terbesar di Malaya pada satu masa.
Walaupun banglo sebelum perang itu mempunyai kepentingan sejarah yang kecil selain daripada seni bina dan ia dirobohkan selepas mendapat kelulusan. Kubur lama yang digunakan pada 1884 dan digambarkan sebagai Taj Mahal Pulau Pinang pula - telah digali dan dibongkar secara haram.
Pemilik tapak kubur telah memohon permit penggalian tetapi tidak memaklumkan majlis perbandaran sebelum memulakan kerja meroboh.
Majlis perbandaran menyatakan bahawa ia akan mengheret pemilik tuan tanah itu ke mahkamah atas sebab penggalian haram, lapor media tempatan.
Pada 2010, sebuah banglo warisan di sepanjang Pykett Avenue - yang juga di luar tapak warisan - telah dirobohkan secara haram selepas para kontraktor meneruskan kerja tanpa mendapat kelulusan daripada majlis perbandaran.
Pemaju itu didenda RM6,000 (US$1,362) dan diarahkan membina semula banglo itu. Tetapi pembinaan semula itu tidak pernah terjadi, dan ini termasuk denda yang kecil yang menambahkan lagi kemarahan dalam kalangan para aktivis.
Contoh-contoh sebegini menunjukkan kekurangan iltizam politik dan penguatkuasaan yang ketat untuk memelihara warisan di Pulau Pinang, kata aktivis.
Naib Presiden Amanah Warisan Pulau Pinang Khoo Salma Nasution percaya beberapa pihak dalam kerajaan negeri mempunyai kepentingan diri untuk meneruskan projek pembangunan semula di luar tapak warisan itu.
"Tetapi jika diserahkan kepada sebuah jawatankuasa yang adil, ia akan menolak permohonan-permohonan ini. Ini bukan sesuatu yang harus kita lakukan di luar tapak warisan. Ia terlalu dekat, kesannya terlalu banyak,” katanya kepada CNA.
PELINDUNG WARISAN
Dengan kekurangan pengawasan yang jelas itu, aktivis warisan seperti Lay telah mengambil keputusan sendiri untuk memantau aktiviti pembangunan di luar tapak warisan.
Walaupun usahanya selama ini belum membuahkan hasil tertentu dalam menghentikan kegiatan merobohkan bangunan warisan, beliau berkata gerakan itu telah meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pemuliharaan warisan di Pulau Pinang.
Sumber utama dalam kegiataannya adalah portal dalam talian sehenti (one-stop centre: OSC), sebuah pangkalan data persekutuan yang membolehkan sesiapa sahaja melihat permohonan yang dihantar dari mana-mana negeri di Malaysia untuk perkara seperti permit pembaikan atau perobohan serta kebenaran perancangan.
Lay mencari permohonan baharu yang dibuat kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan mencatat nombor-nombor lot yang terlibat.
Beliau kemudian memadankan nombor-nombor ini dengan peta perancangan untuk menentukan sama ada ia membabitkan bangunan warisan. Portal itu juga akan menunjukkan sama ada majlis perbandaran telah meluluskan permohonan itu.
Apabila Lay mengesahkan sebuah bangunan warisan dijadualkan untuk perobohan, beliau akan membuat hantaran dalam kumpulan Facebook umum GTHA itu, yang mempunyai hampir 700 ahli. Sebelum ini, kumpulan itu tidak terbuka kepada umum dan mempunyai lebih 9,000 ahli.
Perkongsian itu tular dan mendapat perhatian media. Ahli kumpulan itu kadang-kadang melawat tapak-tapak ini untuk mengambil gambar sebelum perobohan bermula. Lay berkata beliau mengambil langkah berhati-hati dengan memastikan dia mendapat setiap butiran yang betul sebelum membuat hantaran umum itu.
Sebelum beralih ke media sosial, Lay berkata beliau menjadikannya satu kebiasaan untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu. Beliau telah mewujudkan kumpulan WhatsApp atas sebab ini dan secara tersendiri memasukkan ahli-ahli majlis perbandaran, majlis warisan Pulau Pinang dan George Town World Heritage Incorporated (GTWHI). Kebanyakan pengumuman beliau dalam kumpulan WhatsApp itu tidak dibalas, kata Lay.
PIHAK BERKUASA BUKAN TUTUP MATA
Pengurus besar GTWHI Ang Ming Chee memberitahu CNA bahawa rakan sekerjanya akan menerima mesej demikian di WhatsApp setiap hari dan kadang-kadang pada waktu lewat malam.
“Saya rasa ini tidaklah boleh dianggap sebagai libat urus; ia agak keterlaluan. Kita ada e-mel, (jadi) hantarkan e-mel dan hubungi kami melalui saluran yang betul. Kami sentiasa membuat susulan bagi setiap perkara,” katanya.
GTWHI, sebuah agensi negeri yang ditugaskan untuk melindungi tapak warisan, juga bekerjasama dengan wakil-wakil daripada Persatuan Warisan Pulau Pinang (PHT), kata Ang, sambil menyatakan PHT adalah badan bukan kerajaan yang berdaftar. GTHA adalah sebuah kumpulan tidak rasmi.
Tegas Ang, tidak seperti aktivis, GTWHI lebih suka bekerja di belakang tabir untuk melibatkan pemilik dan pemaju. Katanya, mewujudkan persekitaran yang dirahsiakan di mana orang ramai bersedia berunding dengan GTWHI bagi melindungi warisan adalah penting.
"Kalau tidak ada (perkembangan) di media sosial, itu tidak bermakna saya tidak buat apa-apa," katanya.
Kata Ang, usaha melobi GTWHI jarang dihebahkan. Dalam beberapa kes, kumpulannya berunding dengan pemaju untuk mengurangkan bilangan tingkat dalam satu pembinaan daripada 50 hingga 30, atau mengintegrasikan sebuah banglo warisan sebagai rumah kelab dalam pembangunan baharu dan bukan merobohkannya.
Tambah beliau, pihaknya juga sedang meneliti pembangunan yang mungkin menyekat pemandangan masjid Lebuh Acheh.
Walaupun permohonan majlis perbandaran untuk projek di tapak warisan dihantar terus ke panel semakan teknikal - yang merangkumi GTWHI - untuk kelulusan, permohonan untuk projek di luar tapak disemak pada mesyuarat OSC yang berasingan.
"Sebenarnya wakil kami juga menghadiri mesyuarat OSC ... jadi kami mempunyai peluang untuk menyuarakan kebimbangan kami semasa membuat keputusan," kata Ang.
"Sebaik sahaja anda menyerahkan pelan, kami akan betul-betul melihatnya dan menghubungi rakan kami di majlis perbandaran dan berkata, 'Hei, ini kelihatan seperti akan mengganggu pemandangan kita (di tapak warisan).' Dan kemudian kami akan meminta secara rasmi pelan pemaju.
FAEDAH PEMBANGUNAN
Walau bagaimanapun, Ang berkata penting untuk melihat terlebih dahulu mengapa pemilik bangunan warisan ingin menjual tempatnya kepada pemaju, sambil menambah bahawa akhirnya keputusan terletak pada pemilik juga.
Sesetengah pemilik yang mewah telah menubuhkan dana untuk melindungi bangunan-bangunan ini, tetapi generasi pemilik baharu mungkin tidak mahu berdepan dengan kerumitan dan kos untuk memelihara sebuah hartanah yang lama.
"Ramai orang hanya fikir pasal wang (daripada jualan), tetapi kadang-kadang ada sebab lain," katanya, sambil menambah bahawa beliau secara proaktif bertemu dengan bakal penjual untuk mengetahui sebab mereka dan kadang-kadang cuba meyakinkan pembeli agar tidak membuat perjanjian.
“Jika kita berupaya menyelamatkan bangunan warisan lain di luar tapak warisan, kita akan cuba menyelamatkannya. Sekiranya kita dapat meyakinkan seseorang untuk menerima hujah kita, kita akan melakukannya dengan sebaik mungkin.”
Tetapi beberapa bangunan warisan masih tidak terlepas daripada perobohan. Ang berkata permohonan perobohan sedemikian dinilai dan diluluskan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang.
Pegawai kanan majlis itu, termasuk pengarah jabatan warisannya, tidak menjawab permintaan CNA untuk memberi komen.
Akan tetapi, Ang berasa tahap pembinaan bangunan di George Town sudah berada di tahap yang "sangat rendah", sambil berkata pembangunan baharu akan membantu mengekalkan aktiviti ekonomi di tapak warisan dunia itu.
"Tapak ini memerlukan ekologi yang sihat dari segi pemuliharaan bangunan dan aktiviti pemulihan, perdagangan dan kebudayaan, serta penduduk yang tinggal, bekerja dan berkunjung di sini," katanya.
Beliau menggesa mana-mana pihak yang mempunyai keprihatinan kuat terhadap sesebuah bangunan warisan tertentu di luar tapak warisan supaya mencalonkannya untuk diwartakan di bawah akta warisan negeri. Pada masa ini, hanya bangunan di dalam tapak warisan yang diwartakan dengan cara ini.
"Itulah cara yang betul untuk memelihara bangunan-bangunan itu. Tanpa membuat pendaftaran, tidak ada gunanya walau macam mana pun kita bersuara,” tambahnya.
PERLINDUNGAN PERUNDANGAN
Seorang pegawai kerajaan negeri memberitahu CNA bahawa beberapa bangunan bersejarah ini sudah berada dalam inventori bangunan majlis perbandaran, tetapi ini hanyalah pangkalan data maklumat tanpa kuasa undang-undang.
Sebaliknya, dengan pewartaan, ia dapat melindungi secara sah bangunan-bangunan tersebut daripada dirobohkan, kata pesuruhjaya warisan Pulau Pinang, Rosli Nor.
Ketua menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengkritik pemaju-pemaju yang memulakan kerja tanpa kelulusan dan menggesa majlis perbandaran supaya menghukum pihak yang bersalah, lapor media tempatan.
Namun Chow sedar bahawa bangunan di luar tapak warisan tidak diberi tahap perlindungan yang sama daripada perobohan, dengan mengatakan bahawa aktivis warisan akan dengan cepat mendedahkan sebarang kesilapan yang dilakukan oleh majlis perbandaran meskipun sebelum ini mereka telah menjalankan tugas dengan baik.
Rosli berkata beliau telah menulis kertas kerja kepada jawatankuasa perancang negeri yang dipengerusikan oleh Chow, untuk memohon moratorium selama enam bulan bagi permohonan-permohonan perobohan di seluruh negeri itu.
“Tempoh enam bulan ini akan memberi kami masa untuk memahami kedua-dua Pulau Pinang dan tanah besar, dan menentukan bangunan mana dalam inventori yang boleh diwartakan," katanya, sambil menambah bahawa beliau yakin akan mendapat moratorium itu.
Rosli meramalkan bahawa "banyak lagi" bangunan di luar tapak warisan yang dapat diwartakan di bawah kawasan warisan individu tertentu.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan dalam belanjawan tahun ini bahawa kerajaan persekutuan akan mengagihkan RM50 juta kepada negeri Melaka dan Pulau Pinang untuk mengekalkan pemuliharaan tapak warisan dunia di negeri-negeri. Maklumat lanjut belum dikeluarkan.
Namun, masih wujud batu rintangan di Pulau Pinang. Sebarang pewartaan hendaklah dilakukan dengan persetujuan pemilik dan diluluskan oleh kerajaan negeri.
"Ia bergantung sama ada pihak berkuasa negeri mahu mewartakan atau tidak kerana ia melibatkan implikasi kewangan kepada negeri," kata Rosli, sambil merujuk kepada penyelenggaraan bangunan-bangunan ini.
Keputusan menjadi lebih mudah jika bangunan itu milik kerajaan atau bersejarah bagi negeri, contohnya kediaman gabenor pertama Pulau Pinang, katanya.
"Kebanyakan struktur warisan milik persendirian kelihatan cantik dari segi perspektif seni bina, tetapi adakah ia penting bagi warisan negeri?" soalnya.
Bagi Mark Lay, dia sedar bahawa tidak semua bangunan warisan mempunyai kepentingan sejarah yang besar. Misalnya, pawagam Rex yang berusia 85 tahun di George Town. Walaupun ia mempunyai kepentingan sejarah yang kecil, reka bentuk hiasan seninya adalah menarik dan menarik minat ramai, katanya.
Pawagam itu menjadi tajuk utama pada awal tahun ini apabila ia diluluskan untuk dirobohkan. Tapi kini nampkanya ia bakal terselamat selepas wakil kerajaan negeri bertemu dengan pemaju, yang bersetuju untuk mengekalkan pawagam itu dan mengolah semula pelannya.
Secara muktamad, Lay berpendapat bahawa bangunan-bangunan warisan George Town harus dipelihara sebagai sebahagian daripada jiwa kota.
"Sebuah bandar tanpa bangunan warisan adalah seperti seorang lelaki yang hilang ingatannya," katanya.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai kes maut akibat keracunan ikan buntal di Malaysia.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.