Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Mengapa ada orang kejam terhadap terhadap haiwan? Bagaimana kes-kes penderaan disiasat di Singapura?

Ada yang bersikap kejam sebagai membalas dendam, ada juga yang mengalami masalah psikiatri. Ada juga yang berpunca daripada kurangnya pendedahan kepada alam semula jadi dan hidupan liar.

Mengapa ada orang kejam terhadap terhadap haiwan? Bagaimana kes-kes penderaan disiasat di Singapura?

Seekor anjing Terrier ditemui dengan gelang getah pada mulutnya. (Foto: SPCA Singapura)

(Amaran: Sesetengah orang mungkin berasa terganggu dengan imej berikut) 

SINGAPURA: Daripada banyak usaha menyelamatkan haiwan yang pernah dilakukannya, 
Encik Lee Yao Huang yang telah bertugas selama 15 tahun dengan Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA), mendapati satu kes agak menonjol.

Seekor anjing tenis terrier ditemui berkeliaran di kolong blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Clementi, dengan mulutnya diikat dengan gelang getah.

Pada masa ia diselamatkan, gelang getah telah itu telah menusuk ke tulang si anjing, meninggalkan luka selebar 3cm di sekeliling mulut anjing. Ia mengakibatkan mulut anjing itu kehilangan daging dan mula reput sehingga mengakibatkan bau busuk. 

Ia adalah cara yang kejam untuk menghalang anjing itu daripada menyalak.

"Jika kita haiwan, bayangkan perasaan kita jika mulut kita dijahit atau diikat? Kita bukan sahaja tidak boleh makan, minum, malah tidak boleh berkomunikasi," kata Encik Lee, yang merupakan ketua operasi SPCA. 

Kes seperti ini bukanlah terlalu luar biasa. Perangkaan SPCA menunjukkan jumlah kes mengancam kebajikan dan kekejaman terhadap haiwan berada pada tahap tertinggi tahun lepas dibandingkan pada  2020. Terdapat 481 kes pada 2020, 324 pada 2021 dan 511 pada tahun 2022. 

Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, SPCA telah menerima 229 kes. Jika ini berterusan, SPCA menjangkakan bakal menerima 800 kes menjelang akhir tahun, kata pengarah eksekutif badan amal itu Aarthi Sankar kepada CNA.

Kes penderaan ngeri mendapat perhatian media dalam tempoh enam bulan lalu, termasuk satu kes melibatkan kanak-kanak yang membuang kucing dari pendaratan lif, dan satu lagi adalah sekumpulan lelaki yang bertindak kejam terhadap seekor ular sawa di Boon Lay, Jurong. 

CNA menemui para profesional kesihatan mental, kumpulan kebajikan haiwan dan pihak berkuasa tentang perkara yang mendorong sesetengah orang mendera haiwan, bagaimana mencegah perbuatan tersebut dan bagaimana kes-kes sedemikian disiasat.

Seekor biawak yang diikat dengan pita pelekat (kiri) dan tangkapan skrin video budak lelaki membuang kucing dari lobi lif HDB. (Foto: ACRES, Facebook/Feline)

ISU KESIHATAN MENTAL

Tidak kiralah sama ada seseorang itu memukul ular kerana dalam ketakutan atau seorang pemilik haiwan yang marah mendisiplinkan haiwan peliharaannya dengan keras, kekejaman itu mungkin berpunca daripada tindakan balas dendam atau pun kerana isu psikiatri yang lebih rumit.

Terdapat juga pelbagai motivasi yang tidak dikaitkan dengan isu psikiatri. Kekurangan kesedaran tentang penjagaan yang betul untuk haiwan, sikap budaya dan sosio-persekitaran tertentu, atau emosi terpendam yang dicetuskan oleh peristiwa lain boleh menyumbang kepada tingkah laku suka mendera,  kata ahli psikologi klinikal Annabelle Chow.

Apabila dikaitkan dengan keadaan kesihatan mental yang lebih mendasar, pakar-pakar berkata sikap bertindak tergesa-gesa atau impulsif, kurangnya kemampuan mengawal emosi dan kurangnya empati adalah antara pemacu utama tingkah laku kejam terhadap haiwan.

Ciri-ciri ini selalunya boleh terpapar pada mereka yang mempunyai keadaan psikiatri, seperti gangguan personaliti antisosial dalam kalangan orang dewasa.

Mereka yang mengalami gangguan ini adalah agresif terhadap orang lain dan terdedah kepada tindakan keganasan, sama ada fizikal atau lisan, kata pakar psikiatri Adrian Wang.

“Masalah utama adalah kesilapan pada teras sistem nilai mereka. Jadi mereka tidak boleh berkecimpung dalam dalam masyarakat kerana mereka hanya memikirkan diri mereka sendiri. Mereka sering mendapat keseronokan daripada melihat orang lain menderita,” Dr Wang.

“Walaupun ia diklasifikasikan sebagai gangguan psikiatri, ia tidak bermakna perbuatan mereka dibolehkan. Ia mencerminkan kecacatan pada perwatakan mereka di mana teras nilai mereka adalah kurang sifat empati dan tiada sikap mudah kesal.” 

Pakar psikiatri Lim Boon Leng bersetuju bahawa orang yang mempunyai ciri antisosial atau psikopat mempunyai sedikit empati terhadap haiwan.

Mereka ini lebih bersedia untuk menganiaya haiwan kerana mereka tahu tindakan itu  tidak menjejas mereka. Adanya haiwan (dalam linkungan) dan kelemahannya untuk pertahankan diri menjadikan haiwan itu sasaran mudah orang sedemikian, kata Dr Lim.

“Tidak seperti manusia, haiwan tidak boleh mendedahkan siapa yang menganiayanya. Haiwan itu tidak boleh mendedahkan siapa pelakunya. Ini menjadikan haiwan tersebut sebagai mangsa yang sangat 'berisiko rendah'. Saya fikir itulah sebabnya pelaku-pelaku penderaan itu akan terus bertindak kekam ke atas haiwan,” tambahnya.

Dr Wang juga mengaitkan seseorang yang kawalan impuls rendah dengan mereka yang mempunayi IQ yang rendah atau mereka yang  kurang daya intelek.

Mereka ini boleh gagal memahami konteks tingkah laku mereka, kata Dr Wang. "Kita memerlukan beberapa fungsi otak yang lebih tinggi untuk mengawal, untuk menguruskan emosi kita, jadi mereka yang mempunyai IQ rendah, mereka mudah mengalami perasaan marah.” 

Dr Jacob Rajesh, perunding kanan pakar psikiatri di Promises Healthcare, berkata individu yang mempunyai IQ rendah mungkin mempunyai paras toleransi yang rendah untuk menangani perasaan kecewa. 

 “Mereka lebih impulsif. Saya telah melihat satu atau dua kes di mana mereka telah menyakiti kucing dengan teruk. Ia mungkin kurang kerap berlaku, tetapi ia tetap boleh berlaku,” katanya.

Berdasarkan kajian yang  menunjukkan kaitan antara keganasan rumah tangga dan penderaan haiwan, pakar juga menunjukkan bahawa seseorang pendera itu mungkin juga mangsa penderaan. 

"Si pendera haiwan sering berkongsi beberapa ciri dan pengalaman. Ia termasuklah pengalaman traumatik awal seperti penderaan, pengabaian, atau penyalahgunaan bahan, serta sejarah keganasan rumah tangga atau pernah dibuli," kata Dr Chow.
 
Jika dibiarkan, tingkah laku kejam mungkin meningkat dengan lebih kerap dan lebih teruk. Mungkin juga mereka akan lepaskan kekajaman itu  ke atas manusia lain, kata pakar.

"Jika anda boleh berlaku kejam terhadap haiwan, ia menunjukkan kekurangan empati. Jadi apabila kita mempunyai tidak sifat empati, ini juga boleh ditunjukkan dalam sikap kita melayani manusia lain," kata Dr Lim.

"Apabila anda mempunyai tahap empati yang lebih rendah, anda tidak merasakan kesakitan yang mungkin dirasai orang lain dan oleh itu lebih mudah bagi kita untuk menimbulkan kesakitan kepada mereka."

Mereka ini mungkin menyasarkan tindakan mereka ke atas mangsa-mangsa yang lebih lemah dalam rumah, iaitu mereka yang tidak mudah mengadu, seperti kanak-kanak, tambahnya.

Seorang guru prasekolah menuang air panas mendidih ke atas seekor ular pokok sehingga mati. (Foto: ACRES)

KURANG PENDEDAHAN PUNCA SIKAP TAK TOLERAN 

Sesetengah orang juga mahu bertindak mengikut cara mereka sendiri dan ini termasuklah dalam menangani haiwan-haiwan yang menceroboh ruang hidup mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Penyelidikan dan Pendidikan Keprihatinan Haiwan (ACRES) Anbarasi Boopal berkata beliau pernah menghadapi situasi sedemikian.

Badan amal kebajikan haiwan menyaksikan 69 kes kekejaman berkaitan hidupan liar pada 2019, 49 pada 2020, 86 pada 2021 dan 56 pada tahun lepas.

Dalam keadaan di mana orang ramai menemui haiwan liar di tempat yang tidak dijangka, sesetengah yang cuba menangkap haiwan itu kerap kali cuba mencederakannya juga, kata Cik Anbarasi.

Memetik kejadian beberapa bulan lepas di mana seorang guru menuang air mendidih ke atas seekor ular pokok di sebuah tadika prasekolah, lantas mengakibatkan kematian haiwan itu. 

Kes-kes lain yang ditangani ACRES dalam tempoh tiga tahun lalu termasuklah penemuan seekor biawak yang diikat dengan pita pelekat, burung merpati yang tertanam dengan dart, serta seekor iguana dengan anggota badannya diikat.

"Entah bagaimana setiap kali yang disebut itu haiwan-haiwan seperti ular dan biawak, orang ramai lebih mengutamakan perasaan takut mereka dan mengizinkan tindakan kejam terhadap binatang sedemikian,” kata Cik Anbarasi.

"Itulah kebimbangan terbesar kami - kami mendapati bahawa pencegahan tidak mencukupi. Kita perlu tingkatkan lebih banyakan kesedaran, kita perlu tanamkan lebih banyak toleransi, dan memahami bahawa jika kita sangat takut dengan ular, kita tidak sepatutnya mendekatinya awal-awal lagi.” 

Haiwan-haiwan ini disalah anggap dalam masyarakat di mana pengalaman manusia dengan alam semula jadi "dikawal" dan "diurus", atau di mana satu-satunya pendedahan mereka kepada haiwan adalah melalui media, kata Cik Anbarasi.

“Pokoknya adalah ia merupakan rasa takut yang diperolehi dalam masyarakat, baik menerusi filem atau media arus utama – di mana tanggapan-tanggapan seperti haiwan tersebut sebagai merbahaya, agresif, beracun dan sebagainya. Ini semua adalah istilah-istilah yang dikaitkan dengan sekumpulan haiwan tertentu. 

Tetapi apabila mereka terlihat kakitangan ACRES memegang ular, mereka mendapati ia tidaklah se-seram yang mereka sangkakan, katanya. Sambil menambah bahawa sebenarnya tiada haiwan di Singapura yang menjadikan manusia itu sebagai mangsanya. 

Sikap tidak bertoleransi terhadap haiwan yang dianggap berbahaya ini dilihat dalam satu kejadian baru-baru ini apabila seekor ular sawa retikulasi telah dikejam di luar Pasar Boon Lay Place.

Dalam video yang disiarkan di halaman Facebook ACRES pada April, sekumpulan lelaki dirakam menendang, menangkap ular sawa itu dengan ekornya dan memukulnya dengan peti dan baldi.

Lelaki itu ketawa sepanjang kejadian tersebut, yang berakhir dengan salah seorang daripada mereka menetak dan membunuh ular itu dengan sebilah pisau tetak. 

Apabila ditanya mengapa sesetengah orang suka haiwan tertentu tetapi membenci yang lain, pakar-pakar berkata haiwan-haiwan dilihat dengan tanggapan yang berbeza, dengan sesetengahnya dianggap berbahaya. 

“Ramai orang yang rasa jijik dengan ular dan mereka melihatnya sebagai sesuatu yang jahat dan buruk. Ular dalam cerita rakyat dilihat sebagai perkara binatang menjijikkan dan jahat, tetapi secara biologi ia hanyalah  haiwan yang berlainan,” kata Dr Wang.

Dalam kes di mana sekumpulan orang terlibat (dalam penganiayaan haiwan)  mereka yang dilihat mempunyai "personaliti yang kuat" mungkin mempengaruhi yang lain untuk mengikutnya  dalam mendera haiwan, kata Dr Wang, sambil menambah ini sering dilihat dalam pergaduhan kumpulan.

Dr Rajesh menegaskan bahawa mentaliti perusuh mungkin berlaku dalam kejadian penganiayaan ke atas ular sawa di Boon Lay Place. 

"Apabila seseorang menyerang, cuba membunuh ular, anda mungkin mendapati orang lain yang lalu lalang turut bersama mahu membunuh ular itu," katanya.

“Anda mempunyai empat atau lima lelaki besar yang menyerang ular sawa, jadi anda mempunyai kuasa mengawal sesuatu keadaan atau juga mereka mungkin merasa kepuasan dalam melakukan keganasan pada ular sawa, dan mereka tahu bahawa ular sawa itu tidak boleh berbuat apa-apa kepada mereka.

"Ia mungkin gabungan tekanan rakan sebaya, mentaliti perusuh, dan kemudian ... emosi mereka sendiri yang dialihkan kepada peristiwa penganiayaan itu.” 
 
Pakar psikologi forensik kanan di Promises Healthcare June Fong menambah bahawa terdapat juga apa yang disebut sebagai penyebaran tanggungjawab apabila seseorang individu secara berkumpulan.

“Jadi, walaupun mereka tahu bahawa membunuh haiwan adalah salah, mereka tidak berasa bertanggungjawab secara peribadi kerana yang lain juga melakukannya. Dan itu akan mengurangkan sebarang rasa terhalang untuk bertindak,” katanya.

Presiden Persatuan Kebajikan Kucing (CWS) Thenuga Vijakumar berkata kucing dahulunya dilihat sebagai perosak, sebahagiannya kerana terdapat terlalu banyaknya kucing jalanan. 

“Ketika saya mula menjadi sukarelawan, CWS melihat lebih banyak kucing komuniti di jalanan dan terdapat lebihan populasi dalam komuniti.

"Ini menyebabkan keterbatasan sumber (untuk menjaga) haiwan, dan banyak rasa kurang senang terhadap kucing kerana jumlahnya yang banyak menimbulkan gangguan kepada orang ramai," jelasnya.

Perbuatan memberi makan kucing secara tidak bertanggungjawab juga menyumbang kepada imej kucing itu sebagai "kotor", kerana orang ramai akan membuang makanan untuk kucing.

Hari ini, orang ramai melihat kucing dijaga dengan cara yang bersih dan bertanggungjawab. Ini menimbulkan kaitan yang lebih positif terbentuk terhadap haiwan itu, katanya.

“Program pemandulan kucing telah juga mencapai kesannya, dan lebih ramai orang ke depan untuk menjaga kucing. Oleh itu kita melihat bahawa populasi kucing di lapangan adalah lebih terkawal.

"Jadi, kita dapati semakin kurang perbuatan menganiaya kucing berbanding jumlah kucing yang bertambah," kata Cik Thenuga, yang memiliki lima ekor kucing.

"Sebaliknya, apa yang kita lihat sekarang, ia kelihatan lebih seperti isu kesihatan mental dan hakikat bahawa kucing komuniti adalah sasaran yang sangat mudah."

KES PENANIAYAAN GOLONGAN MUDA MEMBIMBANGKAN

Kes melibatkan belia dan kanak-kanak jarang berlaku sebelum 2022. SPCA menerima tujuh laporan sedemikian tahun lepas, dan dua tahun ini setakat ini.

"Perkara yang menakutkan ialah sifat kes-kes sedemikian.   Lebih daripada hakikat bahawa ia melibatkan kanak-kanak di bawah umur, ia melibatkan perbuatan sengaja  mendatangkan bahaya dan kesakitan kepada haiwan," katanya, sambil menambah bahawa ia tidak sekadar rasa ingin tahu. 

"Mereka yang benar-benar ingin tahu, biasanya akan ke depan dengan menyentuh haiwan berkenaan, seperti anjing atau pun ular,” 

Sebaliknya Cik Thenuga menyebut penaniayaan sesetengah kanak-kanak  terhadap haiwan itu lebih berupa perbuatan sengaja mahu melakukan sesuatu yang baru kerana terikut-ikut. Ia merupakan gejala di mana mereka akan meniru apa yang mereka lihat di media sosial - seperti gurauan pada haiwan peliharaan - untuk keseronokan atau hiburan.

"Saya tidak boleh mengatakan rasa ingin tahu kerana saya melihatnya ... (mereka) memaksa kucing untuk makan  sebatang rokok. Itu bukan kerana sikap ingin tahu,” kata Cik Aarthi.
 
Pakar lain berkata bahawa kanak-kanak boleh melakukan sesuatu kerana jahil, kerana mereka tidak menyedari akibat daripada tingkah laku mereka.

“Jika ibu bapa mereka juga bersikap kejam dan suka menganiaya haiwan, (anak-anak) juga boleh berbuat demikian,” kata Dr Lim.
 
"Kadang-kadang mereka merasakan bahawa ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan kerana mereka mungkin melatih haiwan dan cuba menghalang haiwan itu daripada bertindak secara tertentu, dan dengan memukul haiwan itu mereka merasakan itu adalah cara yang betul untuk melatihnya."

Ketidakmatangan dalam kalangan kanak-kanak boleh mengakibatkan mereka gagal membezakan yang betul dan salah dan bertindak dengan cara yang tidak berperasaan, katanya.

"Terdapat juga situasi di mana ... mereka bersikap kejam dan mereka mempamerkan kemarahan mereka, mempamerkan kebimbangan mereka atau kadang-kadang, hanya mendapat keseronokan dengan menendang dan berlaku kejam terhadap haiwan," tambah Dr Lim.

Dalam kes yang lebih serius, kanak-kanak mungkin mengalami gangguan tingkah laku, kata pakar psikiatri.
 
Dr Rajesh berkata bahawa mereka adalah kanak-kanak yang berkelakuan buruk, berbohong atau ponteng sekolah dan cenderung agresif atau ganas terhadap kanak-kanak dan harta benda lain.

"Jadi sebagai sebahagian daripada gangguan tingkah laku, mereka juga mungkin menyakiti haiwan. Gangguan tingkah laku boleh berubah menjadi gangguan personaliti antisosial (pada masa dewasa) di mana mereka mungkin meneruskan jenayah mereka," kata pakar psikiatri itu, sambil menambah bahawa orang seperti ini mungkin tidak mempunyai perasaan kesal dan empati.
 
Ditanya bagaimana sifat sedemikian boleh berlaku, pakar psikiatri berkata ia boleh berpunca daripada gabungan genetik dan faktor lain, seperti membesar dalam keluarga yang tidak berfungsi di mana keganasan menjadi satu kebiasaan.

"Pengaruh sekitaran ke atas  keganasan atau tindakan agresif boleh berlaku, malah berleluasa pada hari hari ini, tidak semata-mata kerana mereka memangnya seorang pembuli, mempunyai rakan sebaya atau ahli keluarga serta  penjaga, yang agresif," kata Dr Chow.

"Tidak juga mustahil bagi seorang kanak-kanak atau remaja terdedah kepada keganasan atau tingkah laku agresif menerusi internet, memandangkan capaian dan kandungannya mengenai  tingkah laku sedemikian yang tersebar."
 

Seekor tiong dengan penyepit diikat pada kukunya (kiri) dan seekor burung merpati dengan anak panah tertanam dalam badannya. (Foto: ACRES)

APAKAH SIKAP MENDERA BOLEH DIUBATI? 

Seseorang mungkin menunjukkan tanda-tanda jika mereka merancang untuk mendera haiwan, kata Cik Fong dari Promises Healthcare.

"Sebagai contoh, mereka mungkin mencari (dalam talian) cara untuk membahayakan haiwan atau cara membuang bangkai haiwan," tambahnya.

"Jika kanak-kanak dan remaja menyiarkan di media sosial, atau menyukai video di mana haiwan diseksa dan menyokong kekejaman haiwan, itu juga akan menjadi beberapa petunjuk."

Kebanyakan tindakan adalah bersifat oportunistik dan impulsif, dengan intervensi  hanya boleh dilakukan selepas tindakan penderaan telah dilakukan.
 
Dr Chow berkata pelaku membentangkan sejarah, keadaan dan motivasi yang kompleks, dengan campur tangan bergantung pada punca penderaan.

Campur tangan psikologi akan bermula dengan penilaian sejarah pesalah.

Sebagai contoh, Dr Chow berkata beliau mempunyai pesakit yang mengalami trauma zaman kanak-kanak yang suka mencekik dan memukul kucing peliharaannya kerana marah dan kecewa. 

Sebahagian daripada rawatan Dr Chow termasuk membantu pesakit memahami emosinya, memaafkan masa lalunya dan meneroka cara yang sihat untuk melepaskan emosinya.

Dari segi psikiatri, tiada penyelesaian yang sesuai untuk semua, kata Dr Wang, sambil menambah bahawa kaunseling dan terapi membentuk sebahagian besar rawatan.
 
“Kaunseling jangka panjang diperlukan kerana kita perlu membantu mereka memahami bahawa tingkah laku mereka mendatangkan kecederaan kepada orang lain,” tambahnya.
  
Bagi kanak-kanak yang disyaki mengalami gangguan tingkah laku, campur tangan keluarga didapati berguna, kata Dr Lim.

Kanak-kanak mungkin dapat mengurangkan tingkah laku yang menyimpang melalui terapi dengan ibu bapa mereka, katanya, sambil menambah bahawa personaliti kanak-kanak masih belum "terbentuk sepenuhnya” pada usia mereka.

"Campur tangan yang diperlukan termasuk terapi berstruktur, yang menggariskan sempadan dan menetapkan peraturan," kata Dr Rajesh, sambil menambah bahawa mereka yang kurang upaya intelek boleh diajar kemahiran untuk meningkatkan komunikasi.

Cik Fong dan Dr Rajesh berkata bahawa memberikan  terapi membaiki kelakuan boleh membantu kanak-kanak itu meningkatkan empati dan keupayaan menilai buruk baik tingkah lakunya. 

Pakar-pakar umumnya bersetuju bahawa langkah memenjarakan mereka mungkin satu-satunya penyelesaian dalam kes di mana terdapat tingkah laku berulang dan kegagalan proses kaunseling. Hukuman penjara boleh memberikan mesej jelas kepada mereka yang mungkin mahu melakukan kesalahan itu, bahawa tingkah laku sedemikian tidak akan diterima.
 
SPCA dan ACRES menekankan bahawa sikap betul terhadap haiwan harus dibentuk dari usia muda, melalui pendidikan dan interaksi positif dengan haiwan.

MENYIASAT KES PENDERAAN HAIWAN

Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS), di bawah Lembaga Taman Negara, telah menyiasat purata kira-kira 1,250 kes yang dsyaki  kekejaman terhadap haiwan setahun sejak 2019.

Kira-kira 5 peratus daripada kes ini, termasuk kes pengabaian, pengabaian dan penderaan, membawa kepada tindakan penguatkuasaan seperti denda, surat amaran atau pendakwaan di mahkamah.

Baki kebanyakan kes terdiri daripada pertikaian kejiranan, haiwan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya atau kes-kes seperti pergelutan dengan haiwan terbiar, jelas  pengarah penyiasatan AVS Joshua Teoh kepada CNA.

Setelah menerima laporan, pegawai penyiasat AVS menemu bual saksi dan bekerjasama dengan kumpulan kebajikan haiwan, klinik dan agensi pemerintah  yang lain. Mereka juga boleh melakukan serbuan, bergantung kepada kes.

Beberapa kes yang biasa dilihat Encik Teoh adalah kes di mana pemilik haiwan peliharaan mengabaikan haiwan mereka, sehingga kepada kes tidak menyediakan sekitaran kehidupan yang baik untuk haiwan. 

“Berdasarkan apa yang kami kumpul dan pemerhatikan daripada kes-kes lepas, saya rasa apa yang boleh kami katakan ialah kebanyakan pemilik kurang pengetahuan dan kesedaran tentang apa yang boleh mereka lakukan untuk menjaga haiwan dengan betul,” tambahnya.

"Dalam semua kes tersebut, kami menggunakan kaedah pendidikan, seperti memastikan mereka diajar dengan betul dan memberitahu mereka bagaimana untuk menjadi pemilik haiwan peliharaan yang bertanggungjawab, apakah perkara yang mereka,  patut dan tidak patut lakukan. Kebanyakan mereka boleh menerima jalan tersebut dan menjadi pemilik yang lebih baik."

Antara cabaran yang dihadapi AVS semasa siasatan termasuk kekurangan bukti atau saksi. Kadangkala, pegawai terpaksa bergantung pada bukti mengikut keadaan, seperti senjata yang digunakan untuk melakukan perbuatan itu, atau laporan bedah siasat haiwan. 

SPCA kini mempunyai empat pegawai penyelamat dan seorang pemeriksa yang mengendalikan kes-kesnya. Selain menyelamat, badan kebajikan haiwan juga meneliti laporan pengabaian, penderaan dan pengabaian, dengan kes mengambil masa antara seminggu atau  sehingga dua tahun untuk diselesaikan.

Apabila pegawai SPCA campur tangan, orang yang dituduh melakukan penderaan kadangkala menjadi "sangat defensif".
 
Cik Aarthi mengambil contoh kes di mana dua budak lelaki yang mengiring anjing mereka bersiar-siar, dengan salah seorang daripada mereka kemudian menarik anjing dengan keras sehingga ia tergantung di udara seketika. 

“Kami menghubungi dan meminta pihak berkuasa untuk menyertai kami dalam kaunseling budak itu kerana kes ini terletak antara kes dia tidak tahu menjaga haiwan dengan betul atau dia sememangnya kejam dengan haiwan.”

“(Budak-budak itu) berjumpa kami bersama ayah mereka, dengan si ayah tidak senang anak mereka terlibat dalam kes sedemkian.

“Dia cuba memberi kewajaran mengenai (tindakan anak-anaknya) dengan meletakkan kami pada kedudukan yang amat sukar. Seperti dengan menyatakan bahawa anaknya tidak salah untuk mengangkat anjingnya dengan cara sedemikian?”

“Anda kemudian sedar bahawa si anak sebenarnya belajar cara tersebut menerusi bapanya.” 

Sesetengah kes pula tidak dapat diteruskan kerana kekurangan bukti, kata Cik Aarthi dan Encik Lee kepada CNA.

Terdapat juga pencinta haiwan yang menjadi emosi sehingga mereka membakar haiwan yang didera, lantas memusnahkan bukti terbesar bagi SPCA meneruskan kes, kata Encik Lee.

Dalam sesetengah kes, kekejaman tidak dikesan sehingga terlambat. Encik Lee teringat seekor anjing yang telah kebuluran selama berbulan-bulan, dengan apa yang tinggal pada anjing itu hanyalah "kulit dan tulang" sahaja ketika ia diserahkan kepada SPCA.

Seekor anjing yang tinggal  "kulit dan tulang" ketika diserahkan kepada SPCA. (Foto: SPCA Singapura)

Pada 2014, pemilik anjing itu telah dikenakan denda maksimum sebanyak S$10,000 (RM34,000) di bawah Akta Haiwan dan Burung.

SPCA telah menuntut supaya  pemiliknya dipenjarakan, sambil menyifatkan denda itu sebagai "tidak mencukupi untuk tindakan pengabaian dan kekejaman yang melampau dan menyeksakan terhadap haiwan yang tidak bersalah dan tidak berdaya", lapor TODAY.

Menyuarakan sentimen itu, Cik Aarthi menggesa hukuman yang lebih berat dan supaya pesalah dilarang memiliki haiwan peliharaan seumur hidup. Pada masa ini, pesalah boleh hilang kelayakan untuk memelihara haiwan peliharaan untuk tempoh sehingga setahun sahaja. 

Satu jawapan bertulis kepada parlimen oleh Kementerian Pembangunan Negara pada 11 Mac lalu, perintah hilang kelayakan telah dikeluarkan terhadap pesalah kekejaman haiwan pada 2022.

Pada masa ini di bawah Akta Haiwan dan Burung, mereka yang didapati bersalah melakukan kekejaman terhadap haiwan boleh dipenjara sehingga 18 bulan, didenda sehingga S$15,000, atau kedua-duanya sekali.

Pesalah berulang boleh berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga S$30,000, atau kedua-duanya sekali. Mereka mungkin menghadapi hukuman yang lebih berat jika pekerjaan mereka terlibat dalam perniagaan yang berkaitan dengan haiwan.

Dalam kes melibatkan anjing terrier dengan mulutnya yang diikat, sang pelaku kekejaman itu masih belum dikesan. 

“Mujur anjing tersebut telah dapat dipulihkan dan kemudian diambil pelihara beberapa bulan kemudian,” kata Encik Lee sambil tersenyum. 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai usaha sebuah sekolah rendah Singapura memupuk pembelajaran dalam kemampanan makanan. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.
 

Source: CNA/ih

Advertisement

Also worth reading

Advertisement