Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Suara hati seorang ibu asuhan: 'Tak pentinglah anak itu dari badan saya atau pun tidak'

Pamela Chen memilih tidak mempunyai anak sendiri untuk menjadi ibu kepada anak-anak yang memerlukan tempat perlindungan yang selamat. Chen berkongsi dengan CNA suka duka menjadi seorang ibu asuhan kepada anak berusia dua tahun. 

Suara hati seorang ibu asuhan: 'Tak pentinglah anak itu dari badan saya atau pun tidak'
Ada wanita yang memang sentiasa mahu menjadi ibu. Sebaliknya bagi Pamela Chen beliau jelas bahawa beliau akan sentiasa menjadi ibu asuhan. (Foto: Simon Chua)

SINGAPURA:  Bagi kebanyakan ibu mereka akan mengingati keseronokan menyiapkan bilik bayi - mencari katil, meja, almari pakaian dan cadar yang sesuai, dan membayangkan tidak lama lagi seorang anak kecil akan memenuhi bilik itu dengan tawa dan jeritan.

Pada September 2021, Pamela Chen juga melalui pengalaman sedemikian. Dan tiga bulan kemudian, dia mengalu-alukan anaknya Joey (bukan nama sebenar) ke dalam hidupnya.

Namun tidak seperti kebanyakan ibu, Chen tidak membawa pulang bayi yang baru lahir dari hospital.

Anak kecil yang di bawa ke rumahnya adalah seorang kanak-kanak comel berusia dua tahun dengan mata berwarna coklat dan beg kertas kecil berisi tiga helai pakaian.

“Dia dihantar oleh pegawai perlindungan kanak-kanak dan sangat pendiam. Saya dapat melihat bahawa dia sangat gementar,” ingat Chen yang  berusia 36 tahun itu.

 “Selepas perbualan senyap selama setengah jam, pegawai itu memberitahu saya saya boleh menggendongnya. Sebaik sahaja saya menggendongnya, dia mula menangis dan meringkuk seperti janin. Dia melingkarkan tangannya dan memegang  lengan saya. Secara naluri, saya mula mengayunkan dan menghiburkannya,” kata Chen.

Joey akhirnya tertidur dalam kedudukan itu, dan pegawai perlindungan kanak-kanak meninggalkan Chen dan suaminya bersama anak itu.

ANAK YANG TIDAK DIKANDUNG DALAM RAHIMNYA

Begitulah perjalanan keibuan Chen bermula - bukan dengan kehamilan sembilan bulan atau bayi yang menyusu pada payudaranya.

"Daripada menjadi pasangan suami isteri tanpa anak, kami tiba-tiba melompat banyak fasa untuk mula menjaga anak kecil," kata Chen.

Kebanyakan ibu menyifatkan pertemuan pertama dengan anak mereka sebagai benar-benar ajaib. Ada segelintir yang akan menggambarkan pengalaman mereka seperti yang dilalui Chen.

“Selepas dia tertidur, saya perlahan-lahan meletakkannya di atas sofa, menyelubunginya  dengan selimut dan mengelilinginya dengan barang-barang lembut. Dia tidur hampir sejam.

“Selama itu,  saya dan suami hanya berjalan-jalan dan terus memeriksa sama ada dia terjaga. Akhirnya, dia membuka matanya dan menyedari dia berada di rumah baru ini. Mukanya jatuh dan dia kelihatan seperti akan menangis,” ingat Chen.

Chen tahu bahawa reaksi Joey itu  adalah respons semula jadi. Sebagai seorang guru prasekolah, dia memang menyaksikan banyak perasaan cemas anak-anak yang berpisah dengan ibu bapa mereka. 

Chen juga tahu bahawa Joey telah ditempatkan di bawah jagaan ibu bapa asuhan kerana masalah keluarga dan kebimbangan keselamatan. Ini semua menambah tekanan kepada seseorang kanak-kanak itu.

“Apabila saya bertanya kepadanya apa yang dia mahu lakukan, dia (Joey) menunjuk ke luar rumah. Jadi kami membawanya keluar dengan segera. Kami pergi membeli-belah untuk mendapatkan pakaian baharunya dan barangan lain,” kata Chen.

Itu baru hari pertama, dan Chen dan suami tahu bahawa mereka menghadapi perjalanan yang mencabar.

“Bayangkan seorang kanak-kanak diambil dari keluarga asal dan dibawa ke persekitaran baharu untuk tinggal bersama orang asing sebagai bu bapa mereka? Emosi yang mereka alami tidak dapat dibayangkan. Bagi saya, anak angkat sangat berani,” kata Chen. (Foto: Simon Chua)

Kadangkala, ada ibu bapa yang tidak dapat menjaga anak-anak  kerana  pelbagai sebab. Ini semua boleh menjejaskan perkembangan anak-anak itu, kata Chen.

Dalam kes Joey, ia telah menjejas  perkembangannya dari segi penguasaan bahasa. Walaupun dia berusia hampir tiga tahun, dia hanya boleh bercakap dua perkataan - "tidak" dan "ya". Kerana dia tidak dapat meluahkan perasaan dan mengawal emosinya, dia cepat melepaskan geram setiap hari.

Joey juga merasa sangat tidak aman. “Pada mulanya, apabila dia bersama saya, dan suami saya mahu mengambilnya, dia akan menangis. Apabila dia bersama suami saya dan saya cuba membawanya, dia juga akan menangis. Ia seperti dia melayan kami seperti sebuah pulau dan hanya mahu berpegang pada sesiapa yang memegangnya,” kata Chen.

“Dia juga mahu mengikut kami ke mana-mana di sekitar rumah. Dia mahu saya tidur dengannya dan akan bangun menangis.”

KEKUATAN KUASA CINTA

Tetapi Chen dan suaminya cukup sedar tentang keputusan yang mereka ambil. Dan mereka tidak goyah. Mereka menumpukan waktu selepas kerja untuk Joey, demi membuatkan dia berasa selamat dan terjamin.

“Untuk membantu perkembangan bahasa, saya menyatakan secara lisan apa yang dia lakukan, menerangkan segala-galanya kepadanya dan membacakan cerita kepadanya. Akhirnya, dia kini dapat menguasai bahasa itu dan dapat bercakap dengan baik, jauh lebih mahir dibandingkan anak sebayanya,” kata Chen.

Ketika saat-saat Joey tidak dapat mengawal perasaannya, Chen akan tegaskan bahawa anak itu dalam tempat yang selamat untuk meluahkan perasaannya. 

Chen akan juga menyatakan bahawa dia mengerti perasaan Joey tetapi tetap tegas perlunya peraturan dipatuhi. Dan lama-kelamaan, Joey dapat mengurangkan rasa geramnya dan lebih mampu mengawal emosinya.

Namun, ada juga kalanya apa yang boleh dilakukan oleh Chen adalah dengan menunjukkan rasa kasih sayang dan bersabar. 

“Kita, orang dewasa pun, ada kalanya tidak rasa aman, dengan yang perasaan yang berolak. Ada harinya kita berasa sangat selamat dan ada harinya kita berasa sangat tidak selamat. Tapi tiada sebab untuk begitu,” kata Chen.

“Pada ketika itu, kami hanya perlu menerima bahawa perasaan Joey kena tempatnya dan kita perlu melayaninya sahaja. Jika dia memerlukan kami berjalan bersamanya di sekitar rumah sepanjang hari, kami melakukannya walaupun pada mulanya sangat sukar.”

Pengalaman yang dilalui memang melibatkan kerja keras. Tetapi sepanjang satu setengah tahun Joey tinggal bersama Chen dan suaminya, mereka telah menjadi sebuah keluarga. Joey kini berusia tiga setengah tahun.

"Biasanya sebelum tidur, kami berbaring di atas katil dan bercakap tentang apa yang berlaku pada hari itu. Pada hari yang lain, kami bercakap tentang perkara yang kami suka dan Joey berkata, 'Saya sayang mama, papa, mimi (saya), dada (suami saya), kor kor (abangnya), jie jie (adiknya) dan por por ( ibu mertua saya)'. Ia benar-benar mengembirakan saya bahawa dia melihat kami sebagai satu keluarga besar,” kata Chen.

KEIBUAN DARI SUDUT YANG BERBEZA 

Walaupun Chen melihat Joey sebagai anak perempuannya, dia tahu Joey hanya akan bersamanya selama semusim.

“Ramai orang mengelirukan (peranan ibu) asuhan dengan (peranan sebagai ibu ) angkat. Apabila anda mengambil anak angkat, anak itu adalah milik anda secara sah. Apabila anda mengasuh, matlamat akhirnya adalah untuk menyatukan semula kanak-kanak itu dengan keluarga kandung mereka apabila semuanya selamat dan stabil,” kata Chen.

Ini adalah salah satu sebab utama ramai orang, termasuk ibu mertua Chen, menggesanya untuk mempunyai anak sendiri dan bukannya sebagai ibu asuhan sahaja. 

Tetapi Chen mengambil pandangan yang sangat berbeza tentang keibuan. "Adakah penting untuk mempunyai anak saya sendiri?" dia bertanya. "Tidak penting jika anak itu dari badan saya atau pun tidak."

“Saya tidak melihat anak-anak itu sebagai pelaburan dan saya tidak bimbang tiada siapa yang akan menjaga saya pada usia tua. Saya bimbang menjadi beban kepada orang lain apabila sudah tua,” jelasnya.

"(Peranan sebagai ibu pengasuh)  sepadan dengan apa yang saya mahu kerana apabila saya menjadi tua dan tidak dapat mengasuh, saya tidak perlu risau tentang anak-anak yang perlu menjaga saya, atau dibebani dari segi kewangan atau dengan cara lain, disebabkan keperluan saya."

Saya berasa selesa kerana apa yang saya boleh lakukan untuk anak-anak angkat dan mengasuh mereka pada ketika mereka sangat memerlukannya. 

Mungkin zaman kanak-kanak Chen telah menanam benih untuk perjalanan keibuannya yang luar biasa. “Ketika saya kecil, ibu bapa saya cuba menyelesaikan perselisihan mereka. Ibu saya juga bekerja dan bergelut untuk mencapai keseimbangan antara kerja dan keluarga. Disebabkan itu, ibu bapa saya hadapi kesulitan untuk membesarkan saya. Lantas  saya membesar bersama nenek saya,” katanya.

“Nenek saya mengambil peranan sebagai ibu dan menjaga saya. Jika dia memasak, nenek akan memberikan saya peralatan dapur seperti periuk dan kuali, dan sekeping makanan supaya saya boleh berpura-pura memasak juga. Setiap kali dia pergi ke pasar, dia akan memperkenalkan sesuatu kepada saya dan membiarkan saya mencuba buah-buahan, seolah-oleh kami sedang melakukan kunjungan sambil belajar.” 

“Kerana dia, saya mempunyai zaman kanak-kanak yang bahagia. Dan itu benar-benar membantu saya melihat kepentingan mempunyai pengasuh yang konsisten, seorang yang sentiasa ada untuk anak-anak dan mengasuh mereka – kesannya  berpanjangan,” katanya.

"Saya berasa selesa kerana saya boleh melakukan sesuatu untuk anak asuhan dan memelihara mereka pada ketika mereka sangat memerlukannya," kata Chen. (Foto: Simon Chua)

Itulah salah satu sebab Chen memutuskan untuk mengasuh kanak-kanak melalui Perkhidmatan Asuhan Boys' Town – dia mahu memberikan kanak-kanak lain yang memerlukan masa kanak-kanak yang bahagia juga.

Walaupun Joey akhirnya akan meninggalkan Chen, dia tidak melihat ini sebagai satu kerugian. Dia berhasrat untuk terus mengasuh anak-anak lain selepas Joey.

“Saya akan merinduinya tetapi saya tidak akan rasa seperti kehilangan dia kerana dalam benak hati saya, dia akan selamanya menjadi anak saya. Saya juga akan berasa gembira untuk dirinya kerana itu bermakna dia dapat bersatu semula dengan keluarga kandungnya,” kata Chen.

“Saya hanya bersyukur kerana diberi peluang untuk melakukan sesuatu untuknya. Dapat melihat kemajuannya sedikit demi sedikit dan meraikan langkah kecil dan pencapaiannya memberi saya banyak kepuasan. Ia seperti mengalami kehidupan sekali lagi,” tambahnya.

“Suatu hari nanti, jika saya terserempak dengan Joey atau (pada masa depan saya) anak-anak asuhan lain saya, saya akan sangat terharu dan terhibur melihat mereka melakukannya dengan baik. Tidak kira sama ada mereka akan ingat saya atau tidak,” katanya.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.  

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai usaha di Malaysia untuk menghasilkan daging buatan makmal.  

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/ih

Advertisement

Also worth reading

Advertisement