Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Pengganti gula seperti stevia dan sakarin – sejauh mana ia lebih baik daripada gula? 

Apakah kita berisiko menghidap kencing manis atau sakit jantung kerana mengambil pemanis bukan gula seperti stevia dan sakarin?  Berapa banyakkah bahan pengganti itu boleh dimakan? 

SINGAPURA: Adakah anda orang yang apabila membeli teh mutiara (bubble tea) yang dimaniskan dengan stevia, yakin bahawa pengganti gula itu dapat memberikan kelazatan yang sama seperti gula - tanpa rasa serba  salah memakannya? 

Selalunya dipasarkan sebagai pengganti kepada gula, bahan alternatif yang rendah atau tanpa kalori itu, biasanya dilihat sebagai cara baik untuk bantu menurunkan berat badan atau boleh mengekalkan berat badan yang sihat.

Namun tanggapan sebegini mungkin tidak lagi benar. 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini telah memberi amaran terhadap penggunaan pemanis bukan gula, seperti sakarin dan stevia, untuk mengawal berat badan.

Penggunaan pemanis bukan gula tidak memberi apa-apa faedah jangka panjang dalam mengurangkan lemak badan pada orang dewasa atau kanak-kanak, kata WHO dalam mengeluarkan syornya pada 15 Mei lalu. 

Ia juga menemui potensi kesan yang tidak diingini daripada penggunaan jangka panjang pemanis sedemikian dalam bentuk peningkatan risiko kencing manis atau diabetes jenis 2, penyakit jantung dan kematian pada orang dewasa.

Jadi, adakah pemanis bukan gula benar-benar alternatif yang lebih sihat daripada gula? Dan berapa banyakkah  pengganti gula ini boleh kita makan? CNA cuba mendapatkan jawapannya. 

APA ITU PEMANIS BUKAN GULA?

Pemanis bukan gula, atau pengganti gula, adalah bahan kimia dan ekstrak tumbuhan yang digunakan untuk memaniskan makanan dan minuman.

Pengganti gula biasa termasuk acesulfame K, aspartam, advantame, siklamat, neotame, sakarin, sucralose, stevia dan derivatif stevia.

Ia boleh didapati dalam makanan dan minuman sedia dimakan, termasuk minuman ringan, gula-gula, jus buah-buahan dan ais krim.

Sama seperti molekul gula, pemanis bukan gula mempunyai keupayaan untuk mengikat reseptor rasa manis. Namun, tidak seperti gula, pemanis ini tidak boleh dimetabolismekan oleh badan kita menjadi kalori.

Menurut Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA), pengganti gula dianggap "berintensiti tinggi" kerana ia berkali ganda lebih manis daripada gula tetapi menyumbang hanya sedikit atau tiada kalori apabila ditambah kepada makanan.

Pemanis tiruan ini boleh dikelaskan kepada alkohol bukan kalori dan gula, kata Cik Diane Seto, pakar diet kanan di Hospital Mount Elizabeth. Alkohol gula mengandungi lebih sedikit kalori daripada gula biasa.

Tiada nutrien lain yang bermanfaat seperti serat, vitamin, mineral atau antioksidan yang terdapat dalam pemanis tiruan, katanya.

"Walaupun pemanis semulajadi mungkin mengandungi sejumlah kecil antioksidan, vitamin dan mineral, kuantiti ini tidak mencukupi untuk membuat perubahan kepada kesihatan seseorang, terutamanya dalam jumlah yang biasanya dimakan."

MENGAPA PERLU PENGGANTI GULA? 

Dalam laman webnya, platform penjagaan kesihatan Singapura, HealthHub, berkata pemanis buatan boleh membantu dalam penjagaan  berat badan.

"Apabila kita menggantikan produk yang dimaniskan dengan gula dengan yang dimaniskan oleh pengganti gula, ia mengurangkan pengambilan tenaga dan membantu dalam menurunkan berat badan," katanya, dengan menukil kajian-kajian terbaru.

Menurut HealthHub, satu gram gula mempunyai empat kalori manakala kebanyakan pemanis bukan gula hampir tiada kalori.

"Penggunaan gula kita seharusnya tidak lebih daripada 10 peratus daripada pengambilan tenaga harian kita," kata laman web itu. "Bagi kebanyakan orang dewasa, iaitu kira-kira 10 sudu teh (50g) gula berdasarkan pengambilan 2,000 kalori setiap hari."

Platform itu juga menyatakan bahawa pemanis "tidak menyebabkan peningkatan keinginan kepada makanan manis atau menyebabkan rasa lapar”. 

Oleh kerana pemanis tiruan tidak mengandungi atau mengandungi sedikit kalori, ia boleh digunakan untuk menggantikan makanan dan minuman manis yang mengandungi kalori sebagai sebahagian daripada strategi dalam mengurangkan pengambilan kalori secara keseluruhan, kata Cik Seto.

"Terdapat beberapa bukti daripada ujian jangka pendek yang menunjukkan penggunaan pemanis tiruan boleh menyebabkan pengurangan pengambilan gula (kira-kira 39g sehari dalam satu kajian), serta menurunkan berat badan dan menurunkan BMI(indeks jissim badan)," tambahnya.

Bagi pesakit kencing manis, pemanis yang tidak mengandungi glukosa boleh membantu mengawal gula dalam darah. Mereka biasanya tidak meningkatkan paras gula darah, menurut FDA.

Bagaimanapun, Rachel Cheang, pakar diet di Hospital Besar Ng Teng Fong memberi amaran agar tidak terlalu bergantung pada atau kerap mengambil pemanis tiruan kerana ia boleh menyebabkan pengambilan berlebihan.

"Orang itu mungkin berfikir bahawa makanan itu baik untuk diambil (lebih banyak) kerana ia bebas gula," katanya, sambil menambah bahawa beberapa makanan atau minuman tanpa gula mungkin tinggi lemak, nutrien yang "sering terlepas pandang  apabila seseorang itu terlalu fokus untuk mengurangkan pengambilan gula".

Pengambilan lemak yang berlebihan boleh menyebabkan atau menggalakkan lebih banyak penambahan berat badan, katanya.

"Daripada beralih kepada pemanis tiruan sebagai pembaikan cepat, seseorang harus belajar cara mengawal gula dan keinginan manis, dan menghargai kemanisan semula jadi makanan atau minuman."

Kedua-dua Cik Cheang dan Cik Seto juga berkata bahawa pengganti gula boleh membantu dalam penjagaan gigi, dengan Cik Cheang menyatakan bahawa ia tidak menyebabkan kerosakan gigi.

"Tidak seperti gula seperti glukosa, fruktosa dan sukrosa, pengganti gula seperti xylitol tidak difermentasikan  oleh bakteria mulut," kata Cik Seto.

"Ini menghalang bakteria daripada giat membiak dan membantu dalam mencegah pembentukan atau pertumbuahn plak, yang mengakibatkan kerosakan gigi."

Pelbagai pemanis tanpa kalori yang digunakan sebagai pengganti gula. (Foto: iStock)

ADAKAH PEMANIS TIRUAN SELAMAT?

FDA telah meluluskan enam pemanis tiruan sebagai bahan tambahan makanan: Acesulfame K, aspartam, advantame, neotame, sakarin, dan sucralose. Ia juga telah menerima dan tidak mempersoalkan notis "diiktiraf secara umumnya sebagai selamat" untuk tiga jenis pemanis berasaskan tumbuhan, termasuk stevia.

Pemanis dalam produk makanan adalah selamat untuk dimakan, menurut HealthHub.

“Mana-mana makanan yang mengandungi pemanis hanya boleh dijual jika ia memenuhi syarat-syarat peraturan dan diluluskan oleh Agensi Makanan Singapura (SFA),” kata HealthHub dalam laman webnya.

"Tiada bukti adanya risiko kesihatan kerana mengambil pemanis buatan apabila diambil dalam jumlah yang sederhana."

FDA telah menetapkan had khusus untuk penggunaan pemanis tiruan. Hadnya yang berkisar antara 0.3mg/kg berat badan hingga 50mg/kg sehari, bergantung pada jenis pemanis.

Sebagai contoh, ia mengesyorkan had 15mg/kg sehari untuk sakarin dan 50mg/kg sehari untuk aspartam.

Walau bagaimanapun, HealthHub memberi amaran bahawa mereka yang menghidap Phenylketonuria (PKU) tidak boleh mengambil aspartam kerana pemanis ini akan terurai menjadi fenilalanin - asid amino penting - semasa penghadaman.

PKU adalah keadaan yang jarang berlaku di mana badan tidak dapat memecahkan fenilalanin, yang menyebabkan ia terkumpul dan menjadi toksik.

RISIKO KESIHATAN

Beberapa kebimbangan kesihatan telah diketengahkan oleh kajian sistematik baru-baru ini yang diterbitkan oleh WHO mengenai pemanis tiruan, kata Cik Seto.

Tambah beliau, kajian pemerhatian jangka panjang mendedahkan bahawa pengambilan pemanis tiruan yang lebih tinggi dikaitkan dengan catatan BMI yang lebih tinggi dan meningkatnya risiko obesiti, diabetes jenis 2, penyakit jantung, semua penyebab kematian, dan barah pundi kencing (akibat  sakarin). 

"Terdapat beberapa bukti yang menunjukkan penggunaan pemanis tiruan yang lebih tinggi, cenderung menaikkan selera makan dan rasa mengidam yang lebih tinggi, berbanding penggunaannya yang lebih sedikit,” kata pakar diet itu.

Satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2020 di Perpustakaan Perubatan Negara mendapati bahawa pemanis tiruan boleh mencetuskan pembebasan insulin daripada pankreas kerana ia disalah anggap sebagai glukosa kerana rasa manisnya. Ini boleh meningkatkan tahap insulin dalam darah, yang berpotensi menyumbang kepada pengurangan aktiviti reseptor dan rintangan insulin.

Adanya penolakan terhadap insulin dalam badan boleh meningkatkan risiko diabetes jenis 2.

Satu lagi kajian yang diterbitkan pada bulan Februari tahun ini dalam jurnal Nature Medicine dan dibiayai sebahagiannya oleh Institut Jantung, Paru-paru, dan Darah Kebangsaan AS, melaporkan bahawa erythritol, sejenis pemanis tiruan biasa, dikaitkan dengan peningkatan risiko serangan jantung dan strok. 

Para penyelidik mengkaji lebih 4,000 orang di Amerika Syarikat dan Eropah dan mendapati mereka yang mempunyai paras erythritol darah yang lebih tinggi berada pada risiko yang tinggi untuk mengalami penyakit  kardiovaskular yang buruk seperti serangan jantung, strok, atau kematian.

Kedua-dua kajian menyatakan bahawa penyelidikan lanjut diperlukan untuk memastikan kaitan langsung antara pemanis tiruan dan meningkatnya  risiko diabetes dan penyakit kardiovaskular.

"(Adalah) penting untuk memahami bahawa penyelidikan semasa tentang pemanis tiruan diperoleh daripada kajian pemerhatian, yang membandingkan pengguna pemanis tiruan yang lebih tinggi - yang sudah cenderung mempunyai kualiti diet yang buruk dan risiko penyakit yang lebih tinggi - dengan mereka yang kurang pengambilan pemanis tiruan, " kata Cikgu Seto.

"Oleh itu, kajian ini boleh juga membesar-besarkan kaitan negatif antara pemanis tiruan dengan  penyakit kronik, dan mesti ditafsirkan dengan berhati-hati berdasarkan bukti lain."

Menurut WHO syornya mengenai pemanis bukan gula adalah "bersyarat", memandangkan kaitan yang diperhatikan dalam bukti antara pemanis dan akibat penyakit "mungkin dikelirukan oleh ciri asas peserta kajian dan corak rumit" penggunaan pemanis.

"Pendirian semasa WHO adalah  pemanis tiruan tidak boleh digunakan sebagai cara untuk mencapai kawalan berat badan. Ini kerana dapatan kajian sejauh ini tidak dapat memberikan kesimpulan jelas hasil ujian-ujian jangka pendek (yang menunjukkan adanya manfaat  dengan kajian jangka panjang (yang menunjukkan adanya bahaya)," kata Cik Seto.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris. 

Baca juga artikel  Bahasa Melayu ini mengenai sejauh mana mujarabnya air alkali seperti yang didakwa sesetengah orang. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/ih

Advertisement

Also worth reading

Advertisement