Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Sejauh mana mujarabnya: Para pakar menyingkap mitos disebalik khasiat air alkali

Bolehkah air alkali meningkatkan penghidratan, memerangi refluks asid dan mencegah barah? CNA meninjau pandangan para pakar dalam menyingkap mitos air alkali. 

Sejauh mana mujarabnya: Para pakar menyingkap mitos disebalik khasiat air alkali
Air alkali pada dasarnya adalah air yang mengandungi sebatian seperti kalsium, magnesium dan kalium. (Gambar: iStock/wakila)

SINGAPURA: Apabila bersembang dengan peminat air alkali dan anda mungkin mendapat gambaran bahawa ia adalah ubat mujarab untuk kesejahteraan bagi mereka – dari meningkatkan penghidratan sehinggalah pencegahan penyakit.

Bulan lalu, sebuah syarikat penapisan air tempatan telah diarahkan oleh mahkamah untuk berhenti membuat dakwaan palsu, termasuk bahawa air alkali dapat mencegah barah, kencing manis dan sakit belakang kronik. 

Hakikat bahawa tiada satu pun khasiat kesihatan itu telah terbukti secara saintifik, namun ia tetap tidak mematahkan semangat peminat.

Menurut laporan penyelidikan pasaran yang diterbitkan oleh Fortune Business Insights pada 2021, pasaran elektrolisis air alkali global dijangka mencecah AS$180 juta menjelang 2028, satu peningkatan daripada kira-kira AS$100 juta pada 2020.

CNA bercakap dengan beberapa orang pakar untuk memisahkan fakta dari fiksyen mengenai air alkali. 

Apakah itu air alkali? 

"Alkali" dalam air alkali merujuk kepada tahap pH. 

Skala pH mengukur keasidan atau kealkalian suatu larutan, dari pH 0 hingga 14. Bacaan pH 7 dianggap neutral manakala apa-apa bacaan yang kurang daripada itu adalah berasid, dan apa-apa yang lebih daripada 7, adalah beralkali.

Air alkali boleh terjadi secara semulajadi, contohnya, air daripada mata air boleh mengandungi mineral yang menjadikannya lebih beralkali. 

Ia juga boleh dihasilkan dengan menggunakan mesin pengionan, di mana air akan disalurkan melalui satu proses kimia yang dipanggil elektrolisis untuk meningkatkan pH menjadi antara 8.5 dan 10.0.

Semasa proses ini, elektrik digunakan untuk memisahkan molekul dalam air yang lebih berasid atau lebih beralkali, menurut syarikat-syarikat yang menghasilkan mesin pengion. Komponen berasid kemudian disalurkan keluar, meninggalkan air yang lebih beralkali.

Mitos: Air alkali memerangi refluks asid

Disebabkan pH yang lebih tinggi, sesetengah peminat air alkali percaya bahawa ia boleh meneutralkan "asid" dalam badan dan melegakan gejala saluran pencernaan seperti refluks.

Tanggapannya adalah bahawa pH yang lebih tinggi boleh mengurangkan keasidan saluran usus.

Akan tetapi, pakar-pakar melaporkan bahawa tiada bukti yang menunjukkan bahawa ia adalah lebih bagus untuk badan.

"Apabila kita minum air, ia memasuki perut kita sebelum sampai ke usus kecil," jelas Dr Liu Mei Hui, pensyarah kanan di jabatan teknologi dan sains makanan Universiti Nasional Singapura (NUS).

"Perut kita bersifat asid secara semula jadi dan sebarang pH dalam cecair yang ditelan akan diubah dalam proses itu. Oleh itu, kealkalian air akan berubah serta-merta semasa pemakanan apabila ia sampai ke perut.”

Profesor Wiliam Chen, pengarah Program Teknologi dan Sains Makanan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), berkata meminum sejumlah besar air beralkali juga boleh mengganggu keseimbangan dalaman badan – atau apa yang dikenali sebagai homeostasis.

Katanya, ini kerana asid diperlukan dalam perut untuk proses penghadaman dan untuk tujuan-tujuan lain. 

“Mungkin lebih membantu untuk mencari penyelesaian bagi menangani punca-punca keasidan, berbanding dengan hanya bergantung kepada minum air beralkali," katanya.

Mitos: Air alkali tingkatkan penghidratan

Para peminat mendakwa bahawa pertambahan hidrogen dalam air alkali memberikan lebih banyak penghidratan berbanding air biasa, terutamanya selepas aktiviti senaman.

Satu kajian (sampel) kecil pada 2016 yang dibuat terhadap 100 orang mendapati bahawa darah mengalir dengan lebih senang dengan air alkali berbanding dengan meminum air biasa selepas aktiviti senaman berat.

Tetapi kedua-duanya - Dr Liu dan Prof Chen - berkata lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk membuktikan kajian berkenaan.

Tambah Prof Chen, penghidratan lebih bergantung kepada jumlah dan bukannya jenis air yang diminum.

Mitos: Air alkali mencegah barah

Sesetengah pengeluar mesin pengion air juga mendakwa bahawa air alkali boleh membantu mengurangkan risiko barah. Teorinya adalah sesetengah sel barah tumbuh dengan lebih senang dalam persekitaran berasid.

Walaupun beberapa kajian telah dibuat mengenai kesan air alkali pada barah, namun tiada bukti yang menunjukkan bahawa meminum air alkali dapat mencegah atau merawat penyakit itu. 

Hanya satu kajian - yang secara khusus tumpu kepada golongan lelaki yang mengalami barah pundi kencing dan diet beralkali - menemui sedikit kaitan. Namun, kesannya dianggarkan rendah dan tidak "ketara secara statistik", menurut penyelidik yang menjalankan ulasan kajian itu. 

Air alkali berbanding air biasa

Secara muktamadnya, pakar-pakar memberitahu CNA bahawa tiada bukti yang menunjukkan bahawa air alkali membawa lebih kebaikan kepada tubuh berbanding dengan air minuman biasa.

Prof Chen menambah bahawa air paip biasanya sudah sedikit beralkali dengan pH sekitar 7.5.

Menurut satu laporan yang diterbitkan oleh agensi air nasional PUB, air paip di Singapura mempunyai pH purata 8.2 – bermakna ia lebih beralkali berbanding negara lain.

Tambahan pula, air paip negara itu adalah antara yang paling bersih di dunia, di mana PUB menjalankan ujian mendalam terhadap sampel yang diambil dari sumber ke paip untuk memastikan air kekal bersih. 

“Kami tahu bahawa terdapat juga mineral di dalam air paip, dan bukan hanya dalam air alkali," kata Prof Chen.

"Meminum air secara umumnya adalah salah satu cara untuk menambah kekurangan mineral dalam tubuh tetapi kita juga tahu bahawa mineral-mineral ini sudah ada dalam makanan kita, maka ini menjadikan alasan untuk minum air alkali kurang penting bagi tujuan menambah semula mineral.

“Dengan ketiadaan bukti yang kukuh, bermakna tiada keperluan yang jelas untuk minum air beralkali yang harganya lebih mahal berbanding air paip,” katanya. 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai penggunaan teknologi berhasil dalam penanaman strawberi di Singapura.

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/nm(ih)

Advertisement

Also worth reading

Advertisement