Skip to main content
Advertisement
Advertisement

Malaysia

Robot, peranti teknologi tinggi di hospital Singapura untuk tingkatkan mutu jagaan pesakit

Robot di Hospital Besar Changi boleh melakukan tugas khusus, seperti melayani pesakit di ruang menunggu jabatan kecemasan dengan menyediakan keperluan seperti selimut.

Robot, peranti teknologi tinggi di hospital Singapura untuk tingkatkan mutu jagaan pesakit
Salah satu robot di Hospital Besar Changi membuat 16 pusingan penghantaran ubat setiap hari, menjimatkan masa sehingga sebanyak dua jam bagi jururawat di sini.

SINGAPURA: Robot yang boleh menghantar ubat di jabatan kecemasan dan katil yang boleh membalikkan pesakit dengan hanya menekan butang. Hospital di sini memanfaatkan teknologi untuk mengurangkan beban bilangan pesakit yang tinggi dan keterbatasan kakitangan. 

Antaranya, robot di Hospital Besar Changi (CGH) yang boleh membuat 16 pusingan penghantaran ubat setiap hari, menjimatkan masa berharga sehingga dua jam bagi seseorang jururawat. 

Dengan beban kerja yang lebih ringan, jururawat boleh menghabiskan lebih banyak masa pesakit mereka.

"Ia menjimatkan banyak masa kami berjalan berulang-alik dari kawasan penjagaan pesakit ke farmasi, dan ini menjimatkan sekurang-kurangnya perjalanan pergi balik selama tujuh minit," kata Cik Adora Cheong, penolong jururawat klinik di jabatan kecemasan hospital.

Beliau menambah bahawa masa itu kemudiannya boleh diluangkan untuk para pesakit termasuklah menguruskan pembalut luka dan menjaga keperluan jagaan asas mereka.

Sebuah lagi robot membantu pesakit ke beberapa bahagian di jabatan kecemasan, melegakan jururawat daripada tugas mengiringi pesakit secara peribadi. 

Bilik konsultasi "agak jauh" dari kawasan rawatan awal (triage), kata Cik Cheong dan robot yang digunakan, katanya, boleh bertutur dalam empat bahasa rasmi:  Inggeris, Mandarin, Melayu dan Tamil.

Robot ketiga boleh melakukan tugas khusus, seperti menyediakan kepada pesakit di ruang menunggu dengan keperluan seperti selimut. Sesebuah robot sahaja boleh mengurangkan beban kerja sehingga sebanyak hampir separuh dalam kerja-kerja memperoleh keperluan pesakit. 

Ini bermakna kakitangan perkhidmatan boleh menumpukan pada tugas lain seperti membantu pesakit dengan pertanyaan pembayaran atau mengenai aturan keluar hospital. 

Percubaan penggunaan robot di CGH dijangka berakhir pada bulan Ogos. CGH sedang meninjau kemungkinan menggunakan robot-robot untuk lebih banyak lagi atau menempatkannya di bahagian-bahagian lain. 

WAD BIJAK DI HOSPITAL TAN TOCK SENG 

Di Wad Bijak Hospital Tan Tock Seng (TTSH), beberapa peranti telah diperkenalkan untuk menjadikan penjagaan kesihatan lebih cekap lagi.

Salah satu peranti membolehkan jururawat dan doktor mengemas kini satu sama lain dengan cepat tanpa penggunaan tangan, tanpa menggunakan telefon.

Dengan peranti yang diaktifkan suara sepenuhnya (voice-activated device) jururawat boleh menyebut nama doktor yang dicari, dan peranti akan menyambungkannya.

“Biasanya, kami perlu mengambil telefon, mencari nombor telefon doktor dan kemudian mendail dan berhubung dengan doktor dan menunggu doktor tiba untuk ke wad,” kata ketua dan pengurus kanan jururawat Wad Bijak Lim Mei Ling.

Mereka juga boleh menggunakan kamera peranti untuk mengimbas keperluan seperti ubat atau pembalut untuk doktor menilai keadaan dan membuat panggilan tentang perkara yang perlu dilakukan seterusnya untuk pesaki. Ini semua boleh  menjimatkan masa, tambah Cik Lim.

Peranti ini merupakan satu daripada 20 inovasi yang telah diuji di Wad Bijak TTSH sejak 2022. Satu lagi teknologi baharu di wad itu ialah katil yang membalikkan pesakit di katil dengan hanya menekan butang. Ia dapat mengurangkan penggunaan tenaga manusia untuk tugas sedemikian. 

Ada pesakit-pesakit yang perlu dibalikkan setiap dua jam untuk mengelakkan kecederaan tekanan yang disebabkan oleh baring terlalu lama pada satu-satu sisi sahaja. Tugas itu biasanya memerlukan jururawat menggunakan kekuatan fizikal yang intensif dan kadangkala boleh menyebabkan mereka cedera.

Teknologi baharu itu juga mengelakkan pesakit lain diganggu.

“Jika kami memerlukan jururawat untuk melakukannya, kami akan menghidupkan lampu pada tengah malam, melabuhkan tirai. Jadi saya bukan sahaja mengganggu pesakit terbabit tetapi juga pesakit di sebelahnya,” kata Cik Lim.

Sistem pemantauan pesakit yang kini dipasang di semua katil dan di wad pengasingan di TTSH juga akan memaklumkan kepada jururawat sekiranya seseorang itu cuba meninggalkan katil mereka.

Ia telah mengurangkan kadar jatuh dari katil sebanyak 34 peratus dan menjimatkan 67 peratus jam tenaga kerja berbanding sistem pengesanan menggunakan tikar pengesan sebelum ini.

Satu teknologi baharu di Wad Bijak TTSH adalah katil yang dapat membalikkan pesakit di katil dengan hanya menekan butang, lantas mengurangkan penggunaan tenaga kerja intensif.

CABARAN UNTUK DIATASI

“Kita maklum bahawa (dengan) penduduk yang semakin menua, para pesakit kita juga semakin kompleks. Kakitangan hospital juga semakin banyak bekerja dan (terdapat) lebih banyak isu yang perlu kami hadapi. Jadi dengan penggunaan teknologi dan kecerdasan tiruan AI kami cuba menggunakannya untuk meneliti di mana ia boleh membantu kita  meningkatkan penjagaan pesakit,” kata ketua bersama Wad Bijak Dr Keefe Tan.

Hospital akan menskalakan 14 inisiatif ke wad lain dan menguji 20 lagi dengan pantas dalam tempoh dua tahun akan datang. Cik Lim dari TTSH berkata para kakitangan biasanya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan teknologi baharu. 

“Kita kena faham kenapa perlu ada perubahan. Dan kemudian kita perlu belajar dan belajar semula teknologi baharu. Jadi ia mungkin mengambil sedikit masa,” katanya sambil menambah jururawat berdaya tahan. Di CGH, harapannya ialah robot itu dapat meringankan beban kerja, kerana kita terus menyaksikan pertambahan pesakit ke hospital di sini. 

Buat masa ini, masa menunggunya antara lima hingga  lapan jam di jabatan kecemasan CGH.

"Kami mahu memanfaatkan penggunaan robot untuk mencari penyelesaian yang lebih inovatif bagi  mengoptimumkan tenaga kerja dan sumber kita, dan juga untuk menyelaraskan proses kami di ED (jabatan kecemasan)," kata pengurus jururawat kanan di Jabatan Kecemasan CGH Elaine Leong.
 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris. 

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai usaha membantu golongan berpendapatan rendah di Malaysia dengan perniagaan menerusi mesin layan diri.

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/ih
Advertisement

Also worth reading

Advertisement