Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Memanfaatkan sampah: Sisa makanan boleh dijadikan kompos dan makanan serangga

Sebuah kilang kitar semula makanan di Tuas, Envcares menerima secara purata 100 tan sisa makanan yang dibuang setiap hari.

Memanfaatkan sampah:  Sisa makanan boleh dijadikan kompos dan makanan serangga
Roti yang sedang diproses di kilang kitar semula makanan Envcares. (Gambar: CNA/Lynn Neo)

SINGAPURA: Beberapa buah syarikat yang menghasilkan sejumlah besar sisa makanan mula mengasingkan dan merawat sampah mereka, menjelang undang-undang yang memerlukan mereka berbuat demikian mulai tahun depan.

Resort bersepadu Marina Bay Sands (MBS), yang mempunyai hampir 20 dapur restoran, dewan majlis makan dari Sands Expo and Convention Centre serta dua bilik makan pekerja yang menyajikan kira-kira 15,000 hidangan sehari, tidak ketinggalan dalam memulakan inisiatif itu. 

Pengurus kemampanan syarikat itu, Yeh Wei Xuan berkata sisa makanan akan dikitar semula menggunakan lima mesin pengisar sisa makanan dan bukannya dibuang dalam tong sampah. Ia bertujuan untuk tidak membazirkan sisa makanan tersebut. 

Kata Cik Yeh, mesin pengisar itu, yang boleh mengisar sehingga enam tan sisa makanan sehari, akan menghasilkan air mentah yang kemudiannya akan dibuang dengan cara yang betul. Kapasiti pengisar ini telah dinaikkan secara berperingkat sejak ia diperkenalkan pada 2013, jelasnya. 

TUKAR SISA MAKANAN KEPADA BAHAN LAIN

Sejak 2013, MBS telah mengurangkan kira-kira 7.8 juta kg sisa makanan daripada dibuang ke tempat pelupusan sampah, kata Yeh.

"Kalau pengisar sampah ini tidak wujud, kita semestinya perlu mengupah kontraktor untuk mengangkut sisa ke lokasi luar untuk dibakar," katanya.

Kelima-lima mesin itu terletak di tengah pusat supaya ia boleh digunakan oleh hotel serta kedai-kedai berhampiran. 

Syarikat itu menggunakan teknologi pemprosesan "pusingan penuh" untuk memproses sisa makanan menjadi bahan berkalori tinggi yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan, tambah Cik Yeh.

Ia mengubah sisa makanan menjadi kompos kering, yang boleh digunakan sebagai baja atau makanan haiwan.

Bahan sisa dikitar semula dengan menggunakan lima pengisar di lokasi terbabit dan bukannya dibuang dalam tong sampah bagi menguruskan sisa makanan dengan lebih baik di Marina Bay Sands.

Resort bersepadu itu juga menggunakan teknologi pengesanan makanan untuk membantu para tukang masak mengurus, memantau dan mengurangkan pembaziran makanan, kata Cik Yeh.

Syarikat itu telah mula memainkan peranannya menjelang undang-undang yang akan berkuat kuasa pada tahun depan.

Undang-undang itu akan mewajibkan para pemilik dan pengusaha premis komersial dan perindustrian, di mana sejumlah besar sisa makanan dihasilkan, untuk mengasingkan sisa makanan mereka untuk dirawat. Premis-premis tersebut merangkumi hotel dan pusat beli-belah yang besar, serta pembangunan industri besar yang melibatkan pengeluar makanan atau pembekal makanan.

RAWATAN DI LUAR LOKASI

Kementerian Kemampanan dan Alam Sekitar juga membenarkan rawatan sisa di luar lokasi bagi memberi kelonggaran kepada syarikat untuk mencari kaedah yang berbeza dalam menguruskan sisa makanan mereka. 

Sebuah loji kitar semula makanan di Tuas, Envcares, menerima secara purata 100 tan sisa makanan yang dibuang setiap hari.

Ini termasuk makanan yang tidak terjual dan tamat tempoh seperti roti dan minuman dalam tin. 

"(Barang-barang) ini datang dari pengeluar makanan besar dan mereka semua adalah MNC (syarikat multinasional). Ini adalah produk sampingan daripada aliran perindustriannya,” kata pengarah pembangunan urusan firma itu, Ong Gin Keat.

Firma itu telah menyaksikan "peningkatan yang baik" sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan meramalkan akan berlaku kenaikan dari tahun ke tahun pada sekitar 5 hingga 10 peratus, katanya.

Envcares memproses sisa ke dalam pelbagai komponen.Sebagai contoh, syarikat itu akan menghancurkan tin dan mengeluarkan cecairnya. Cecair ini kemudian akan diadun untuk menghasilkan kompos, yang akan dijual kepada syarikat landskap, ladang sayur-sayuran dan nurseri.

Envcares menghancurkan tin dan mengeluarkan cecairnya yang kemudian akan diadun untuk menghasilkan kompos.

Aluminium juga boleh diekstrak dan dijual kepada pembeli barangan buangan yang kemudian akan menjualnya kepada syarikat kitar semula keluli, kata Encik Ong. 

Roti yang tamat tempoh juga tidak dibuang ke tempat pembuangan sampah begitu saja. Sebaliknya, ia akan dieksport sebagai makanan serangga. 

KEMAMPANAN UNTUK SEMUA

Kemampanan adalah untuk semua orang, kata Encik Ong, sambil menambah bahawa pengeluar makanan perlu memainkan peranan mereka.

“Pertama sekali adalah mengurangkan sampah. Kita mempunyai tanah yang sangat terhad, dan sudah tentu kita mahu memaksimumkan sumber yang ada di sini," katanya.

Sebagai sebahagian daripada usaha negara ke arah mencapai sasaran sifar sisa, kerajaan telah membina sebuah loji rawatan cecair dan pepejal bersepadu di Tuas, yang boleh merawat sehingga 400 tan sisa makanan setiap hari.

Pelan Induk Sifar Sisa Singapura bertujuan mengurangkan pembuangan sisa ke tapak pelupusan sampah sebanyak 30 peratus per kapita sehari menjelang 2030, dengan pengurangan sisa pembuangan ke tapak pelupusan sampah sebanyak 20 peratus per kapita sehari menjelang 2026 di bawah Pelan Hijau Singapura 2030.

Sasaran telah ditetapkan dengan perancangan untuk melanjutkan jangka hayat satu-satunya tapak pelupusan sampah di Singapura menjangkau 2035.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris. 

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai sarang lebah yang disaran dipindahkan daripada dihapuskan. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/nm(ih)

Advertisement

Also worth reading

Advertisement