Petani Malaysia berdepan impak ketara fenomena El Nino dan jerebu terhadap hasil tanaman
Corak cuaca yang melampau akibat perubahan iklim boleh menyebabkan kenaikan harga barangan makanan, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia Nik Nazmi Nik Ahmad kepada CNA.

JOHOR BAHRU: Pekebun Naviin Thiagaran dan bapanya telah mengusahakan tanaman kacang panjang, bendi dan timun selama hampir lima tahun di sebidang tanah kecil di Kota Tinggi, Johor. Kedua-duanya agak lali bekerja dibawah panas terik kerana mereka biasanya menjaga tanaman pada waktu pagi hingga tengah hari.
Bagaimanapun, hanya bulan lepas - di tengah-tengah gelombang haba yang melanda kebanyakan negara - Encik Thiagaran mula menyedari potensi bahaya bekerja dalam keadaan sebegitu.
Pada suatu pagi ketika menjaga tanamannya, lelaki berusia 29 tahun itu berasa tidak sihat dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan.
"Panas dalam tempoh itu tidak tertanggung, tidak seperti kami alami sebelum ini," kata Encik Thiagaran.
"(Badan) saya menunjukkan pelbagai jenis gejala sekaligus. Saya demam, (mengalami) sakit sendi, loya dan rasa seperti sakit gastrik. Saya hampir tidak boleh berjalan dan hanya perlu berbaring,” tambahnya.
Dia dirawat kerana kelesuan haba di hospital berhampiran dan dibenarkan keluar selepas tiga jam pemantauan. Walaupun dia tidak mengalami sebarang kesan jangka panjang, Encik Thiagaran dan bapanya kini mengambil langkah berjaga-jaga.

“Ya, hasil tanaman kami lebih sedikit kerana terpaksa mengurangkan waktu bekerja berikutan (cuaca) panas. Kami mengambil lebih banyak rehat dan meletakkan masa untuk minum setiap 10 minit,” kata Encik Thiagaran.
"Tetapi ia tidak berbaloi jika kami sakit," tambahnya.
Encik Thiagaran adalah antara beberapa petani sayur-sayuran di seluruh Malaysia yang merasai kesan cuaca panas yang melanda negara sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Susulan fenomena El Nino yang melanda, keadaan cuaca panas dan kering dijangka berterusan di kebanyakan negara sehingga November ini. Ia mungkin bertambah buruk dengan kehadiran jerebu rentas sempadan yang dijangka berlaku.
Sedang corak cuaca ekstrem ini, pemain industri memberitahu CNA bahawa mereka percaya keadaan itu mungkin memberi kesan kepada hasil tanaman yang lebih rendah dalam jangka masa pendek, yang boleh menyebabkan kenaikan harga.
El NINO, JEREBU JEJASKAN HASIL TANAMAN: MENTERI ALAM SEKITAR
Bercakap di parlimen pada 7 Jun, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata negara dijangka mengalami El Nino yang lemah mulai Jun dan seterusnya, mencapai intensiti sederhana pada November.
Fenomena El Nino, yang merupakan corak iklim di Lautan Pasifik, berpotensi menyebabkan cuaca lebih panas dan kering di negara seperti Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Bagaimanapun, Encik Nik Nazmi menegaskan bahawa suhu panas melampau melebihi 38 darjah Celsius diramalkan tidak berlaku antara Jun dan Disember.
Tambahan pula, negara-negara di Asia Tenggara juga sedang bersiap sedia untuk menghadapi risiko jerebu rentas sempadan yang lebih tinggi dalam beberapa bulan akan datang. Ia telah pun hampir menjadi urusan tahunan di rantau ini.
Dalam wawancara bersama CNA baru-baru ini, Encik Nik Nazmi berkata keadaan cuaca panas serta jerebu merentas sempadan yang akan berlaku, boleh membawa kepada "tahap yang agak membimbangkan" terhadap hasil tanaman untuk para petani di Malaysia.
“Saya rasa kita cenderung untuk memandang rendah (terhadap impak cuaca panas). Mungkin dengan cara kita berfikir, oh, kita rakyat Malaysia …. Dan kita sudah biasa dengan panas. Tetapi sekarang kita semua sedar bahawa haba itu adalah luar biasa. Hari panas yang lebih panjang, dan suhu semakin meningkat,” kata Ahli Parlimen Setiawangsa itu.
Tambah beliau, impak terhadap hasil tanaman mungkin boleh memberi kesan kepada rantaian bekalan dan peningkatan harga makanan.
“Bagi sektor pertanian … hasil telah merosot. Cuaca yang lebih kering dengan suhu yang lebih tinggi telah memberi kesan (bekalan makanan) pada skala global. Kita baru saja melihat kenaikan harga makanan yang teruk apabila negara-negara keluar daripada COVID-19 dan kerana Perang (Ukraine). Sekarang kita melihat (masalah yang sama) berikutan kesan perubahan iklim pula,” kata Encik Nik Nazmi.
“Jadi itulah sebabnya apabila orang suka mengatakan perubahan iklim atau isu alam sekitar tidak ada kaitan dengan sumber pendapatan, saya membetulkannya dan mengatakan bahawa semuanya berkaitan,” tambahnya.
Ahli meteorologi Dr Azizan Abu Samah dari Universiti Malaya memberitahu CNA bahawa fenomena El Nino termasuk jerebu rentas sempadan berkemungkinan mengakibatkan "cuaca panas dan kering berpanjangan" sehingga Oktober.
“Met Malaysia telah mengesahkan terdapat kemungkinan besar kita memasuki fasa El Nino bulan ini. Apabila ini berlaku, taburan hujan akan berkurangan dan panas berlebihan menyebabkan banyak tanaman rosak,” kata Dr Azizan.
Seorang lagi pekebun Jerome Ragavan, yang mengusahakan sebuah ladang sayur di Mantin, Negeri Sembilan, memberitahu CNA bahawa jerebu dan fenomena El Nino akan menjadi "tamparan berganda" kepada para petani.
Encik Ragavan mengendalikan sebidang tanah seluas 6-ekar dan menanam choy sum, limau purut dan cili melalui kaedah hidroponik. Dia menjual sayur-sayuran itu ke pasar tempatan di kawasannya itu.

“Jerebu menghalang cahaya matahari dan mengganggu proses fotosintesis. Pada masa sama, cuaca panas daripada El Nino akan meningkatkan kealkalian air dan ini menyebabkan lebih banyak alga tidak sihat tumbuh dalam sistem akar,” kata lelaki berusia 60 tahun itu.
Dia menganggarkan hasil tanaman akan menurun kira-kira 30 peratus tahun ini berikutan keadaan cuaca yang luar biasa itu.
“Ketika saya memulakan perniagaan sembilan tahun lalu, setiap bidang (tanah) yang saya kerjakan, biasanya saya menjangka dapat memperoleh kira-kira 70 kilo hasil tanaman. Tetapi sekarang apabila cuaca lebih panas dan berjerebu, saya berkemungkinan hanya mendapat kira-kira 40-50 kilo,” kata Encik Ragavan.

"Jadi itu mungkin kira-kira 30 peratus pengurangan (dalam hasil)," tambahnya.
Encik Thiagaran, yang mengusahakan ladang di Kota Tinggi, berkata: “Oleh kerana cuaca panas dan jerebu, tidak dapat dielakkan bahawa petani tidak boleh menjadi produktif. Tanda-tanda awal adalah penghasilan boleh menurun sebanyak 40 hingga 50 peratus di ladang kami.”
BAGAIMANA MENGURANGI KESAN CUACA MELAMPAU?
Dalam jangkaan cuaca panas dan kering dalam beberapa bulan akan datang, Encik Nik Nazmi memberitahu CNA bahawa kementeriannya berminat untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan yang berkaitan untuk menguatkuasakan garis panduan kepada segmen populasi yang berbeza.
Beliau berkata ini termasuk garis panduan ketat mengenai aktiviti luar apabila suhu terlalu tinggi atau indeks kualiti udara (AQI) - yang mengukur kepadatan bahan pencemar - memasuki tahap tidak sihat.
“Jadi sebenarnya ada garis panduan sedia ada. Jadi mungkin kita memerlukan pembaharuan dalam mengetahui apa perlu dibuat apabila ia berlaku,” kata Encik Nik Nazmi.
Menurut para petani yang ditemui CNA, mereka telah mengambil beberapa strategi untuk menangani kesan hasil tanaman yang lebih rendah.
Kata Encik Thiagaran, dia telah memasang kepingan plastik tahan UV di atas tanamannya untuk menangkis sebahagian daripada haba dan menyalurkan sedikit air dari sungai berhampiran untuk pengairan.
Bagaimanapun, tegasnya, kaedah itu mungkin tidak cukup untuk mengimbangi produktiviti yang lebih rendah daripada dirinya dan para pekerja beliau kerana cuaca panas dan berjerebu.
“Cuaca boleh menjadi sangat tidak menentu walaupun terdapat aplikasi untuk meramal cuaca. Kerja-kerja yang dapat dilakukan tidak sebanyak daripada biasa,” kata Encik Thiagaran.
Selain itu bagi Encik Ragavan, dia bercadang untuk menukar waktu bekerja di ladangnya untuk memastikan beliau dan pekerjanya tidak terdedah kepada panas terik.
“Apabila cuaca panas, saya memberitahu pekerja saya bahawa mereka tidak perlu bekerja. Tidak ada gunanya kerana anda tidak boleh buat banyak kerja. Kami akan bekerja selepas 4-5 petang dan kemudian bekerja sehingga 8 malam, waktu bekerja akan dianjak sedikit,” tambahnya.
Apabila ditanya bagaimana dia merancang untuk menangani kejatuhan 30 peratus dalam pengeluaran tanaman, Encik Ragavan berkata: “Itulah kehidupan, kita pasti terjejas. Tiga puluh peratus kurang tanaman bermakna 30 peratus kurang pendapatan."
“Anda buat simpanan dan anda cuba bertahan. Sebenarnya bercucuk tanam dalam skala seperti ini samalah seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” tambahnya.
Laporan tambahan disediakan oleh Aqil Haziq Mahmud.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai golongan muda yang menghidap penyakit autoimun yang gejalanya tidak sering kelihatan pada mata kasar umum.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.