Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu
Advertisement
Advertisement

Malaysia

Pengalaman sebagai anggota minoriti dorong belia Malaysia ini tubuhkan NGO bela komuniti terpinggir

Aziza Aznizan, seorang pelajar PhD, 27, mengasaskan Paint The World bersama rakan-rakan sekelasnya untuk membantu golongan belia dari komuniti pelarian dan mereka yang kurang bernasib baik.

Pengalaman sebagai anggota minoriti dorong belia Malaysia ini tubuhkan NGO bela komuniti terpinggir
Aziza Aznizan bekerja sebagai tenaga pengajar selain memperkasakan komuniti terpinggir di Malaysia melalui inisiatif organisasi bukan kerajaan, Paint The World. (Gambar: Aziza Aznizan)

Aziza Aznizan adalah seorang pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) dan pengasas bersama sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO), Paint The World, di Malaysia, yang diilhamkan oleh minatnya yang mendalam untuk mengetahui cara hidup orang lain dan kisah disebaliknya. 

Minatnya terhadap kepelbagaian telah mendorong rasa ingin tahu dalam dirinya serta menjadi motivasi bagi beliau untuk mengambil langkah seterusnya.

Dilahir dan dibesarkan di Sarawak, Malaysia, Aziza berkata dia adalah sebahagian daripada minoriti di sekolahnya. Dia belajar di sekolah menengah swasta aliran Cina di mana kebanyakan rakan sekolahnya adalah kaum Cina. Kemudian, dia menyambung pengajian di United World College of the Atlantic (UWC Atlantic), sebuah sekolah berasrama penuh di United Kingdom. Hanya dia dan beberapa orang Muslim sahaja yang menyambung pengajian di situ. 

Tidak gentar dengan berdepan persekitaran minoriti itu, Aziza berkata pengalamannya di kedua-dua sekolah dan kolej itu membolehkan dia bergaul dengan mereka yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan etnik.

Menyingkap semula zamannya di asrama UWC Atlantic dari 2014 hingga 2016, Aziza berkata: "Ia penuh dengan kepelbagaian, termasuk ramai pelajar dari begitu banyak negara, begitu banyak latar belakang, saya berasa sangat gembira kerana dapat belajar begitu banyak daripada individu-individu ini selain meningkatkan pengetahuan saya tentang budaya dan masyarakat lain."

Aziza bersama rakan sekolahnya yang berbilang negara di University for Peace (UPEACE) di Costa Rica, di mana dia mengikuti pengajian ijazah sarjana dalam Undang-undang dan Diplomasi Antarabangsa. (Gambar: Aziza Aznizan)

Namun, penonjolan diri bukan selalunya perkara yang baik. Ketika tahun pertamanya di UK, dia menyaksikan sendiri bagaimana rakannya yang beragama Islam telah ditarik hijab dari kepalanya ketika berada dalam khalayak ramai. Kemudian, pada 2017, semasa di Amerika Syarikat sebagai pelajar di bawah program Model Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, beberapa orang yang tidak dikenali melontarkan kata-kata kesat kepadanya kerana memakai tudung dalam khalayak ramai.

Ini berlaku pada masa serangan anti Islam semakin meningkat di UK dan Amerika Syarikat, dan kebetulan dirinya menjadi salah seorang mangsanya, kata Aziza.

Oleh kerana tidak mahu membiarkan pengalaman pahit itu memberi kesan kepadanya, dia lebih tekad mahu meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap budaya dan agamanya. Bagi Aziza, memahami perbezaan akan membantu individu mengatasi sifat stereotaip yang boleh mendatangkan bahaya.

"Apabila lebih ramai orang diberi kesedaran, maka lebih ramai akan pelajari tentang kaum, agama, latar belakang dan nilai-nilai kaum yang lain. Ini membawa kepada pemahaman yang lebih baik," katanya.

PERJUANGKAN KEPELBAGAIAN

Pada 2015, Aziza dan 12 rakan sekelasnya dari UWC Atlantic menubuhkan Paint The World, di mana mereka berkongsi visi yang sama iaitu menyokong keterangkuman dan pemerkasaan belia yang lebih mendalam.

Setiap daripada 13 orang rakan-rakannya itu menubuhkan sebuah cawangan Paint The World di negara asal atau bandar masing-masing. Aziza memulakan cawangan Paint The World di Malaysia. 

Aziza (kiri) dengan lapan daripada 12 rakan UWC Atlantic yang bersama-sama mengasaskan Paint The World pada 2015. (Gambar: Aziza Aznizan)

Setiap cawangan Paint The World adalah berbeza dan beroperasi secara bebas. Cawangan-cawangan lain termasuk di Tbilisi di Georgia, Lobamba di Eswatini dan Beirut di Lubnan.

“Nama NGO ini berasal daripada idea bahawa saya dan rakan-rakan mempunyai ‘warna’ kami tersendiri, dan kami mesti mewarnai dunia dengannya,” kata Aziza. “Nama itu mungkin dianggap seperti tidak serius, tetapi saya tahu kami mampu menterjemahkan aspirasi itu dalam pelaksanaan, tanpa mengira tahap kesukarannya.”

Bagi Paint The World Malaysia, Aziza memutuskan untuk memberi tumpuan kepada mewujudkan komuniti yang inklusif dan menyokong golongan belia yang kurang bernasib baik. Bagi merealisasikan visi itu, dia telah berbincang dengan pemimpin masyarakat di Sarawak dan meminta bantuan sepupunya untuk menyelesaikan isu-isu operasi dan logistik.

Pada 2016, Aziza bertemu dua orang menteri Malaysia yang berasal dari Sarawak: Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dan Menteri Pelancongan, Seni, Budaya, Belia dan Sukan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah. Sejak itu, mereka telah menyokong Paint The World Malaysia dengan pembiayaan, nasihat pengurusan projek serta tenaga kerja bagi tujuan perkhidmatan sokongan.

Aziza bersama Timbalan Perdana Menteri Malaysia Fadillah Yusof semasa pertemuan mengenai program Paint The World pada awal 2023. (Gambar: Aziza Aznizan)

Sejak lapan tahun lalu, Paint The World Malaysia telah menjalankan pelbagai projek. Ini termasuk menyediakan kursus bahasa Inggeris dan Melayu untuk para pelarian Rohingya, bagi melengkapkan mereka dengan kemahiran profesional yang asas dan membantu menyepadukan mereka ke dalam masyarakat Malaysia.

Pada 2022, NGO itu juga menubuhkan United World Academy, sebuah platform pendidikan yang menawarkan program perkembangan diri kepada pelarian dan para belia di Malaysia yang kurang bernasib baik dari segi ekonomi.

Buat masa ini, Paint The World Malaysia beroperasi di dua buah pusat. Pertama, yang ditubuhkan pada 2015, terletak di Sarawak dan dikendalikan oleh sepupu Aziza, Nazreen Hussain. Yang kedua, dibuka pada 2020 di Kuala Lumpur dan diuruskan oleh rakan kongsi Aziza, Rahman Imam.

Sepasukan sukarelawan sepenuh masa membantu di kedua-dua pusat itu, dengan setiap daripadanya boleh menempatkan kira-kira 40 orang pelajar yang telah mendaftar menerusi usaha-usaha mendampingi yang dilakukan oleh Paint The World Malaysia.

“Tidak ramai yang tahu apa yang dilalui oleh pelarian Rohingya dan komuniti ‘halimunan’ lain di negara ini, tetapi melalui Paint The World, masyarakat mendapat gambaran yang lebih baik,” kata Aziza. "Jadi, saya bersyukur (kerana) mereka yang sebelum ini tidak mendapat perhatian kini berasa lebih selesa apabila diterima masuk ke dalam komuniti kita melalui program kami – itu yang membuatkan saya terus berusaha walaupun ia sukar."

Aziza bersama kanak-kanak di sebuah sekolah untuk pelarian di Pulau Pinang di mana dia mengajar bahasa Inggeris pada 2020 sebagai sebahagian daripada usaha mengembangkkan inisiatif Paint The World Malaysia. (Gambar: Aziza Aznizan)

DEMI PELUANG LEBIH CERAH

Demi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada ahli Paint The World Malaysia, Aziza merasakan dia memerlukan ilmu undang-undang. Hasil dorongan dan sokongan ibu bapanya, dia berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda dalam Perhubungan Antarabangsa dari EU Business School pada 2020. 

Ia diikuti dengan ijazah sarjana dalam Undang-undang Antarabangsa dan Diplomasi dari University for Peace di Costa Rica pada tahun lepas.

Aziza kini sedang menghabiskan pengajian jarak jauh untuk PhD dalam Diplomasi dan Ehwal Antarabangsa dari Universiti Euclid di Bangui, Republik Afrika Tengah dan dijangka akan menamatkan pengajian pada 2026. 

Aziza menghargai manfaat daripada pendidikannya yang telah membantunya menjalankan program-program di Paint The World Malaysia kerana pengetahuan yang dipelajari semasa belajar telah membuka idea terhadap suatu perspektif yang lebih mendalam mengenai konflik dan situasi yang dihadapi oleh pelarian.

“Saya menulis kertas cadangan kepada para menteri dan organisasi lain dengan menyatakan tujuan yang lebih jelas sekarang,” katanya. “Mempelajari (ilmu) politik dan undang-undang antarabangsa memang susah, tetapi sekarang saya dapat membantu para pelarian dengan lebih baik. Saya mendapat gambaran yang lebih baik tentang bagaimana undang-undang antarabangsa berfungsi."

Paint The World Malaysia bekerjasama dengan Kolej Teknologi Sarawak untuk membantu pelarian di Sarawak dan bahagian-bahagian lain di Malaysia Timur. (Gambar: Aziza Aznizan)

Dia berasa terharu dengan perjalanannya memperjuangkan nasib komuniti yang kurang bernasib baik. “Pelibatan saya  dalam sebuah NGO menjadikan saya lebih berendah diri," kata Aziza.

"Saya telah berkhidmat dengan kanak-kanak di kawasan setinggan, kanak-kanak yang tidak mempunyai keluarga, kanak-kanak yang tidak boleh membaca sama sekali – mereka mungkin kelihatan seperti mereka tidak boleh berbuat banyak tetapi mereka begitu berdedikasi untuk memperbaiki kehidupan mereka. Ia amat menyentuh hati.”

Aziza merancang untuk terus mengembangkan Paint The World Malaysia dan sedang berusaha untuk menubuhkan sebuah yayasan bagi meneruskan sokongan kepada organisasi itu. Dia juga berhasrat mewujudkan lebih banyak program dengan lebih kerap di bawah United World Academy agar lebih ramai kanak-kanak boleh mendapat manfaat daripada usaha mereka.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai perkara asas perlu diketahui sebelum menjadi penderma darah.

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/nm(ih)
Advertisement

Also worth reading

Advertisement