‘Saya bimbang meninggalkan anak-anak saya’: Ibu ini sanggup tinggalkan keluarga demi berbakti di luar negara
Doktor perubatan Tam Wai Jia memberitahu CNA Insider bagaimana beliau membuat pilihan antara memenuhi impiannya untuk menyumbang bakti di luar negara atau tidak perlu berjauhan dengan dua anak perempuannya yang masih kecil.

SINGAPURA: Tam Wai Jia sedang mengemas kini kiriman e-mel suatu petang Sabtu pada Oktober 2021 apabila tiba-tiba satu mesej baru masuk.
E-mel itu dihantar oleh mentornya, seorang profesor di Sekolah Perubatan Yong Loo Lin di Universiti Kebangsaan Singapura, di mana dia bekerja. Ia berupa panggilan untuk menyertai bantuan kemanusiaan bagi wabak COVID-19 di Afrika oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
"Mahu ke sana?" profesor itu menulis.
Bagi Tam, 35, ini adalah peluang untuk memenuhi impian masa kecilnya yang telah lama terkubur. Tetapi ketika dia menatap e-mel itu, jawapan pertamanya adalah, “tidak”.
"Ini bukan untuk saya," beliau memberitahu dirinya sendiri. "Ini adalah untuk mereka yang berkelapangan dan bujang serta tidak perlu menjadi ibu kepada dua orang anak kecil."
Tam adalah seorang doktor kemanusiaan dan penceramah yang juga pernah menulis dan menjadi pelukis ilustrasi beberapa buku kanak-kanak. Beliau juga menguruskan sebuah badan bukan untuk keuntungan antarabangsa, Kitesong Global, yang bertujuan memberi inspirasi kepada orang ramai untuk merealisasikan impian mereka melalui cara-cara seperti bercerita dan kerja sama dengan badan-badan akar umbi yang lain.
Namun menurut Tam, teras identitinya adalah tetap sebagai seorang ibu.
Tam, yang dua anak perempuannya Sarah-Faith dan Esther-Praise baru berusia empat dan dua tahun pada masa itu, mengetepikan e-mel tersebut. Tetapi selama berminggu-minggu, perkara itu terus mengganggunya.
"Saya berfikir secara mendalam... sebahagian daripada saya berasa kecewa sebab ini adalah impian saya," katanya.
Akhirnya, dia menceritakan kepada suaminya, Cliff, seorang bapa sepenuh masa. Dia tidak menyangka akan jawapannya. "Wai Jia, inilah yang anda telah berlatih untuk sepanjang hidup anda," katanya kepada Tam.
"Anda mesti pergi."
Dalam episod kelima podcast Imperfect oleh CNA Insider, Tam bercakap tentang bagaimana dia bergelut dengan rasa bersalah dan menyedari bahawa dia telah membuat keputusan yang tepat untuk menghabiskan tujuh minggu sebagai perunding komunikasi risiko dan penglibatan masyarakat di Eswatini, sebuah negara yang terkurung daratan yang juga merupakan salah satu negara terkecil di Afrika.
DENGAR: Adakah saya seorang ibu yang tidak baik ... jika saya meninggalkan anak-anak saya untuk melakukan kerja-kerja kemanusiaan?
MENJADIKAN KERJA KEMANUSIAAN SEBAGAI KEHIDUPAN
Sejak muda, Tam mempunyai minat dalam kerja kemanusiaan. Selepas menamatkan peperiksaan A Levels, beliau berpeluang menjadi sukarelawan di sebuah rumah kanak-kanak di Nepal.
Dalam tempoh enam minggu di sana, dia tinggal bersama beberapa anak perempuan di ruang bawah tanah tanpa pemanasan pada musim sejuk yang terlampau. Namun begitu, dia mendapati bahawa "anak-anak perempuan ini yang telah didera dan ditinggalkan, mereka masih dapat mengisi rumah dengan begitu banyak kemesraan".
Ia tidak berlanjutan. Pada suatu hari, anak-anak perempuan itu diusir dari rumah tersebut, dan Tam teringat "sebahagian daripada dirinya hancur sekali".
Kemudian dia sedar bahawa masih ada sesuatu yang dapat dia lakukan.
Beliau selalu menyukai seni dan, setelah kembali ke Singapura, dia menulis dan melukis sebuah buku bergambar kanak-kanak untuk mengumpul wang bagi anak-anak perempuan itu. Buku itu, Kitesong, akhirnya dapat mengumpul lebih daripada S$100,000 - cukup untuk mendapatkan sebuah rumah tetap bagi anak-anak perempuan itu.
Apabila teringat kembali, ini adalah saat yang meyakinkannya tentang "kekuatan yang muncul daripada impian kecil".
Tam menyedari bahawa dia mahu melakukan banyak lagi untuk membantu masyarakat yang kurang bernasib baik. "Saya mendapati bahawa saya tidak hanya mahu melakukan ini sebagai hobi lagi," katanya. "Saya benar-benar mahu ia menjadi sebahagian daripada hidup saya.
"Kemudian, apabila saya teruskan secara mendalam, saya menyedari bahawa saya mahu ia menjadi kehidupan saya."
Dalam tahun-tahun selepas itu, beliau telah melawat negara-negara seperti China, Myanmar, India, Kemboja dan Filipina atas sebab kerja kemanusiaan. Tam juga menghabiskan masa setahun di Uganda dengan suaminya.
Pada tahun 2019, beliau kembali ke Singapura untuk berkhidmat serta memenuhi ikatan bon beliau dengan sekolah perubatan. Namun, tidak lama kemudian COVID-19 menghentikan rancangan perjalanannya. Dia memutuskan untuk memulakan kehidupannya di sini, di samping mempersekolahkan kedua-dua anak perempuannya di rumah. Setahu dia, ini adalah masanya untuk menjadi seorang ibu.
Itulah sebab Tam mendapati dirinya dalam dilema apabila menerima e-mel daripada mentornya.
"Ini adalah impian saya sepanjang hidup saya, untuk melakukan sesuatu yang bermakna seperti itu," Tam teringat dia berfikir panjang tentang e-mel itu. Tetapi dia tertanya-tanya bagaimana anak-anak dan suaminya dapat bertahan tanpa kehadiran dirinya.
Cliff kemudian mengingatkannya: Membuat kerja kemanusiaan dan membantu orang miskin adalah sesuatu yang mereka memperjuangkan sebagai sebuah keluarga. Dan anak-anak perempuan mereka perlu melihat semua itu.
"Sebagai ibu bapa, untuk menyampaikan (nilai) kepada anak-anak kita melalui percakapan memang mudah," katanya. "Tetapi tiada yang lebih berkesan daripada menunjukkan dan menjadi contoh teladan kepada mereka, apabila anak-anak dapat melihat dengan sendiri (tindakan) ibu bapa mereka.
“Saya ingin menjadi seorang ibu yang anak-anak saya boleh mengagumi dan berkata, ‘Saya benar-benar mahu menjadi seperti ibu saya."
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai sejauh mana alat seperti 'alas berjalan' atau 'walking pad' berkesan untuk bekerja sambil bersenam.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.