Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu
Advertisement
Advertisement

Malaysia

Kecil-kecil cili padi: Mengapa lebih ramai anak muda Singapura bermain catur untuk bersaing

Didorong oleh cabaran daya fikir dan keseronokan permainan ini, lebih ramai anak muda di Singapura memilih bermain catur.

Kecil-kecil cili padi: Mengapa lebih ramai anak muda Singapura bermain catur untuk bersaing
Lucas John Wee yang berusia enam tahun adalah ahli termuda dalam program latihan kebangsaan untuk pemain catur muda. (Gambar: Jessica Wee)

SINGAPURA: Permainan catur mungkin kelihatan tenang dan penuh sepi dari luaran, tetapi apabila Alesa Wong yang berusia sembilan tahun bertarung dengan lawan untuk mengawal permainan, benak fikirannya bagai dipenuhi dengan pelbagai ‘ledakan warna’.

"Terdapat banyak bunyi dalam minda seorang pemain catur, tetapi tiada siapa yang boleh mendengarnya," kata pemain catur muda ini kepada CNA. “Ia sangat menarik, dan jantung saya berdegup pantas apabila saya tahu saya telah membuat satu langkah yang bijak.”

Alesa, yang mula bermain catur ketika berusia tujuh tahun, adalah sebahagian daripada program latihan kebangsaan yang baru ditubuhkan untuk melatih bintang catur muda.

Dalam beberapa bulan yang lalu, kemasukan minda muda ke komuniti catur Singapura telah menjadi lebih ketara.

Sebanyak 1,365 pemain telah bertanding dalam Kejohanan Catur Individu Sekolah Kebangsaan ke-74 pada bulan Mac lalu. Terdapat kemungkinan yang ramai lagi telah hadir, tetapi sebahagiannya terpaksa ditolak kerana tempat pertandingan tersebut tidak cukup besar.

Kemudian pada bulan April, Persekutuan Catur Singapura telah melancarkan program latihan kebangsaan untuk memupuk bakat catur generasi akan datang.

Program ini terdiri daripada skuad bawah 10 tahun dengan 14 ahli dan skuad bawah 14 tahun dengan 18 ahli. Yang paling muda ialah Lucas John Wee yang berusia 6 tahun.

Pemain muda Lucas yang biasanya gementar menjadi serius dan fokus apabila dia bermain catur – sebahagian daripada perwatakannya yang jarang dilihat oleh keluarganya, kata ibunya.

Ketika ditanya mengapa dia suka bermain catur, Lucas hanya berkata: "Saya dapat bersantai."

Kita mungkin terkejut dengan apa yang dikatakannya,memandangkan dia berlatih selama 10 jam seminggu. Anak muda lain dalam skuad boleh menghabiskan sehingga 16 jam seminggu untuk main catur, dengan sesi tiga kali seminggu di bawah program latihan kebangsaan, bimbingan peribadi jurulatih satu dengan satu dan pembelajaran sendiri.

Alesa Wong, 9 tahun, mula bermain catur pada usia tujuh tahun dan merupakan ahli program latihan kebangsaan untuk pemain catur muda. (Gambar: Ceres Chung)

Untuk menyertai program ini, para belia dipilih oleh sebuah jawatankuasa yang meninjau keputusan terbaru permainan catur mereka. Mereka dianggap sebagai pilihan pertama untuk mewakili negara di pentas pertandingan, dengan mendahului skuad persekutuan catur yang berprestasi tinggi itu. 

Bagi Mia Wang, dia memang tidak menjangkakan bahawa dia adalah cukup baik untuk dipilih menjadi sebahagian daripada pasukan negara. Menyertai skuad itu telah meningkatkan keyakinan pemain berusia sembilan tahun yang lemah lembut itu terhadap kebolehan dirinya sendiri. 

"Saya hanya berharap dapat menjadi pemain yang lebih baik daripada ketika saya masih muda dulu," katanya, ketika ditanya mengenai impian masa depannya dalam bermain catur.

KENAPA BERMAIN CATUR?

Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Catur Singapura Kevin Goh mengatakan bahawa jumlah orang yang menunjukkan minat dalam kursus dan kejohanan catur telah meningkat sekitar 50 peratus pada tahun lalu. 

Persekutuan ini adalah lembaga utama dalam semua acara catur di negara ini, dan anggota Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura dan Majlis Sukan Singapura.

Tetapi jumlah acara catur yang diadakan oleh penganjur bebas juga telah meningkat kira-kira lima kali ganda berbanding tahun sebelumnya, kata Encik Goh. 

Beliau mengaitkan kenaikan minat terhadap catur adalah disebabkan pandemik COVID-19, apabila ramai orang beralih ke catur sebagai hobi. Rintangan untuk menceburi permainan ini adalah “sangat rendah” kerana ia boleh dimainkan hampir di mana sahaja bahkan bersendirian, selagi ada sambungan internet.

Jangkauan budaya catur juga berkembang dengan siri terkenal Netflix The Queen's Gambit, yang ditayangkan sekitar akhir tahun 2020. Siri itu memberi inspirasi dalam melonjakkan minat orang ramai terhadap catur. 

Alesa, Lucas dan Mia semuanya mula bermain catur ketika tempoh pandemik, dengan Mia khususnya mula bermain setelah ibu bapanya menonton The Queen's Gambit, kata ayahnya.

Mia Wang, 9 tahun, merupakan ahli program latihan kebangsaan untuk pemain catur muda. (Gambar: Wang Haiqing)

Ada ibu bapa yang tertarik dengan catur kerana faedah kognitif yang boleh diraih daripada permainan tersebut. Ibu Lucas, misalnya, yakin kepada "latihan otak", sementara ayah Mia berkata dia memang  mencari aktiviti daya fikir untuk disertai anak perempuannya itu. 

Tetapi untuk menjadikan permainan catur bertahan lama, anak-anak muda secara am mesti menggemarinya, terutama apabila kerja sekolah dan aktiviti kokurikulum lain juga bersaing bagi masa dan tenaga mereka.

“Adalah penting untuk memastikan bahawa pembelajaran catur adalah suatu proses yang menyeronokkan, jika tidak, ia akan jadi seperti sekolah. Kita tidak boleh menjadikan catur seperti buku teks,” kata Encik Goh.

Ayah Alesa pada mulanya menyangka anaknya akan berhenti bermain catur untuk memberi tumpuan kepada sekolah, tetapi terbukti salah. “Dia (Alesa) langsung beritahunya dia tidak mahu berhenti daripada bermain catur. Dia benar-benar menggemari catur dan dia tidak akan membiarkan kami menghentikannya,” katanya.

Gadis muda ini ingin menjadi seorang grandmaster pada masa depan. Apabila ditanya apakah bayangan masa depan di mana dia telah membesar dan sudah bosan bermain catur, dia menjawab dengan yakin: "Itu tidak akan pernah berlaku."

Lucas mempunyai cita-cita yang lebih besar untuk menjadi juara dunia, tetapi sedar yang dia masih mempunyai perjalanan yang jauh, ketika menceritakan kepada wartawan ini dengan perasaan teruja masa dia hampir seri dalam satu permainan dengan Encik Goh, seorang pemain grandmaster. 

Walaupun mempunyai bakat, anak-anak muda ini juga harus belajar bagaimana mengatasi kegagalan dan kekecewaan. Masing-masing mempunyai cara tersendiri – Alesa, misalnya, mengamalkan meditasi.

Mia akan berasa gementar apabila bermain kerana dia tidak mahu berprestasi buruk. Tetapi jika dia kalah, “Saya hanya akan bertenang, dan kemudian pergi buat benda lain”, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Catur Singapura Kevin Goh (kemeja biru) dan grandmaster Thomas Luther (kemeja kelabu) pada sesi latihan untuk skuad U-10. (Gambar: SCF)

Disebabkan manfaat kognitif dan pembinaan watak yang tercetus daripada bermain catur, popularitinya yang semakin meningkat telah menular ke sekolah, di mana ramai yang kini menaruh minat besar dalam menyertai kelab catur sehingga menyebabkan proses penerimaan ahli menjadi lebih ketat.

Kelab catur Sekolah Menengah Kent Ridge bermula sebagai sebuah kelab hobi tidak rasmi yang ditubuhkan oleh beberapa guru dan pelajar pada tahun 2021.

Tetapi apabila pelajar mula membawa mainan catur mereka ke kantin untuk bermain semasa waktu rehat, pihak sekolah memutuskan untuk memberi mereka satu tempat yang sesuai untuk bermain. Kelab catur itu telah menjadi sebahagian daripada aktiviti kokurikulum (CCA) sekolah awal tahun ini.

Maktab-maktab rendah Hwa Chong Institution dan Raffles Institution memberitahu CNA bahawa mereka mendapati permintaan yang semakin meningkat daripada pelajar untuk menyertai sukan minda atau catur sebagai CCA.

Cik Teri Chua, guru penyelia bagi kelab sukan minda  Hwa Chong, berkata catur menggabungkan "paras kemahiran yang agak rendah" – yang membolehkan pelajar menganggapnya sebagai satu aktiviti masa lapang - dengan "paras kemahiran tinggi" di mana pemain berpengalaman boleh memahirkan diri.

PENGAJARAN BERMAIN CATUR

Satu pengajaran penting daripada catur adalah kita  belajar menanggung akibat daripada tindakan kita  sendiri, kata Encik Goh.

"Jika anda cuai, anda membuat langkah yang cuai dan anda kalah permainan, anda tidak boleh menyalahkan jurulatih anda, anda tidak boleh menyalahkan ibu bapa anda. Anda tidak boleh bersembunyi, anda harus menghadapi akibatnya sendiri.”

Encik Goh, 40 tahun, menjadi grandmaster pada tahun 2020. Pada masa itu, beliau merupakan rakyat Singapura ketiga yang berjaya meraih gelaran tertinggi yang boleh dicapai seseorang pemain catur. Gelaran sedemikian dianugerahkan oleh Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE) dan dipegang seumur hidup.

Singapura mempunyai empat grandmaster, dengan Encik Tin Jingyao menjadi pemain terbaru menyertai senarai pada usia 22 tahun tahun lepas.

Penyertaan terbesar di Kejohanan Kebangsaan Catur Individu peringkat sekolah ke-74, yang diadakan di Overseas Family School dari 11hb hingga 12hb Mac 2023. (Gambar: Persekutuan Catur Singapura)

Sebagai seorang bekas ketua pegawai kewangan dalam syarikat pemula bioteknologi, Encik Goh meninggalkan pekerjaannya pada akhir tahun 2022 untuk menumpukan perhatian sepenuh masa pada persekutuan ini. 

Catur cukup dekat dengan hatinya kerana semasa kecil, dia pilih untuk bermainnya sedangkan “dengan mudah dia boleh bergaul dengan jenis kawan yang salah” dan terlibat dalam kumpulan geng. 

“Catur menjauhi saya daripada terjebak dalam masalah,” katanya. “Jika anda begitu fokus dalam pembelajaran catur, dan anda mendapati permainan itu sangat menyeronokkan, anda tidak akan terjebak dalam tabiat buruk yang lain."

Encik Tan Weiliang mula bermain catur dengan ayahnya ketika berusia tujuh atau lapan tahun, dan meneruskan aktiviti itu ke zaman remajanya sampai mencapai taraf calon master.  

Kini berusia 30 tahun, calon PhD dalam bidang ekonomi terapan di Universiti Cornell ini mengatakan bahawa dia tidak lagi mempunyai masa untuk bermain catur, tetapi memberi penghargaan kepada sukan ini kerana mendapat manfaat yang telah membantunya dalam aspek kehidupan yang lain.

"Catur mendorong dan memberi ganjaran kepada mereka yang bekerja keras," katanya. Dalam satu permainan catur biasa, ia masih memerlukan penumpuan selama tiga hingga empat jam tanpa rehat - satu kemahiran yang Encik Tan kata telah membantunya ketika mengulang kaji untuk peperiksaan.

Pemain catur yang serius akan menghafal urutan pergerakan, seperti langkah pembukaan. Namun catur juga merupakan satu seni yang menggalakkan kreativiti dan pemikiran tersendiri, katanya.

SUKAN UNTUK SEMUA

Walaupun Persekutuan Catur Singapura memfokuskan  lebih banyak sumber kepada pemain muda yang menunjukkan bakat yang tinggi, ia juga bertujuan meluaskan jangkauan sukan itu.

Encik Goh berasa teruja kerana lebih separuh ahli skuad bawah usia 10 tahun (U-10) adalah anak-anak perempuan. "Gadis-gadis muda ini adalah masa depan kita," katanya. Catur tetap didominasi kaum lelaki – setakat bulan Mei tahun ini, belum ada pemain perempuan yang berada dalam senarai 100 pemain teratas di dunia yang diterbitkan oleh FIDE.

Persekutuan itu juga telah membawa masuk grandmaster dari Jerman, Thomas Luther, yang juga pengerusi Suruhanjaya Pemain Kurang Upaya FIDE, untuk membantu mendorong penglibatan orang kurang upaya dalam sukan ini. 

“Tidak seperti sukan-sukan lain, peraturan permainan catur adalah sama sahaja - tidak kira anda seorang penuh sifat atau seorang yang mempunyai kecacatan,” kata Encik Goh.

Persekutuan itu menyasar untuk menambah bilangan peserta kurang upaya yang bermain catur di Singapura, dan mewujudkan persekitaran yang lebih selesa untuk mereka menyertai kejohanan tempatan.

Dari segi tahap kehebatan permainan catur, 
Encik Goh meletakkan Singapura di tempat keempat di rantau ini, dengan Vietnam, Filipina dan Indonesia sebagai pesaing utama. Tetapi dia tidak mahu terlalu fokus dalam melahirkan grandmaster daripada kalangan pemain-pemain muda. 

“Kami tidak akan mengatakan perkara seperti: ‘Oh, saya rasa anda mempunyai bakat untuk menjadi grandmaster atau juara dunia suatu hari nanti.’ Saya rasa itu bukan pendekatan yang betul,” katanya.

"Tugas saya adalah untuk memastikan bahawa catur sentiasa – sekurang-kurangnya semasa latihan – akan menjadi proses yang menyeronokkan. Dan untuk pemain menyedari akan keindahan permainan catur. Masih terdapat banyak perkara lagi yang belum mereka ketahui (tentang catur).” 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.   

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai panduan membeli-belah barangan harga murah di Johor Bahru. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/ih
Advertisement

Also worth reading

Advertisement