Mengapa dolar Singapura boleh cecah paras tertinggi dibandingkan ringgit Malaysia?
Ringgit Malaysia merosot ke paras terendah 3.41 berbanding dolar Singapura pada 24 Mei.

KUALA LUMPUR: Dolar Singapura pada Rabu lalu (24 Mei), dilaporkan memecahkan rekodnya berbanding ringgit Malaysia apabila ia mencecah 3.4102 menurut data Bloomberg.
Nilai itu naik 6.16 peratus daripada kira-kira 3.20 setahun lalu, dan naik 4.15 peratus sejak permulaan 2023.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, bank pusat Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata kelemahan ringgit baru-baru ini boleh dikaitkan dengan perkembangan luar negara seperti kebuntuan rundingan menaikkan batas hutang Amerika Syarikat (AS) dan "episod tekanan" yang dialami sektor perbankan AS dan Eropah.
Ringgit, yang telah susut sebanyak 4.3 peratus setakat tahun ini berbanding dolar AS, pada Jumaat mencecah paras terendahnya berbanding dolar AS sejak November lalu sebelum berbalik arah lebih tinggi iaitu sebanyak 0.6 peratus.
CNA bercakap dengan para penganalisis mengenai faktor-faktor di sebalik penyusutan nilai ringgit terhadap dolar Singapura dan apa yang mungkin menanti untuk nilai kedua-dua mata wang itu.
DASAR KADAR FAEDAH BERBEZA
Ketua strategi forex Maybank, Saktiandi Supaat memberitahu CNA bahawa faktor utama mengapa dolar Singapura "lebih berdaya tahan" daripada ringgit Malaysia dalam pertarungan pengukuhan dolar AS baru-baru ini adalah kerana kedua-dua negara itu mempunyai pendekatan yang berbeza dalam dasar kadar faedah.
Momentum dolar AS baru-baru ini telah didorong oleh peningkatan jangkaan bahawa Federal Reserve (bank pusat Amerika) perlu mengekalkan kadar faedah lebih tinggi untuk tempoh yang lebih lama untuk mengatasi inflasi.
“Memandangkan tiada dasar kadar faedah yang jelas di Singapura, kadar faedah bergantung kepada pasaran dan sangat berhubung kait dengan kadar faedah AS. Akibatnya, terdapat kurang tekanan dari segi pembezaan kadar hasil pada dolar Singapura,” kata Encik Saktiandi.
Pembezaan kadar hasil adalah sebaran antara kadar hasil pada instrumen hutang yang berbeza dengan kematangan yang berbeza-beza, taraf kredit, penerbit atau tahap risiko. Secara amnya, apabila pembezaan kadar hasil melebar memihak kepada mata wang tertentu, mata wang itu akan meningkat berbanding mata wang lain.
Jelas Encik Saktiandi, Malaysia mempunyai "dasar kadar faedah yang jelas" yang ditetapkan oleh BNM. Maka, katanya, terdapat lebih banyak tekanan ke atas ringgit daripada "perspektif pembezaan kadar hasil yang semakin meluas".
Bagi Singapura, beliau menjelaskan kerangka dasar monetari Penguasa Kewangan Singapura (MAS) adalah berasaskan kadar tukaran asing yang semakin menunjukkan arah peningkatan (bagi mata wang Singapura) dibandingkan dengan mata wang-mata wang lain.
"Kami berpendapat bahawa rangka kerja ini secara semula jadi menyediakan dolar Singapura dengan sedikit perlindungan daripada serangan pengukuhan dolar AS yang sedang berlaku sekarang," kata Encik Saktiandi.
Encik Afiq Asyraf Syazwan Abdul Rahim, seorang pakar ekonomi di Kenanga Investment Bank, menyuarakan sentimen yang sama.
Beliau berkata asas yang lebih kukuh dalam ekonomi Singapura telah menyebabkan ringgit melemah berbanding dolar Singapura.
“(Dolar Singapura yang lebih kukuh berbanding ringgit) boleh dikaitkan dengan keyakinan para pelabur terhadap ekonomi Singapura, yang disokong oleh penarafan kredit AAAnya, rizab pertukaran asing yang besar dan lebihan akaun semasa yang kukuh,” tambah Encik Afiq Asyraf.
Laporan terbaharu yang dikeluarkan oleh agensi penarafan kredit Fitch menyatakan bahawa Singapura diberi penarafan AAA manakala Malaysia diberi penarafan BBB+.
FAKTOR RINGGIT JATUH
Penganalisis menegaskan bahawa kejatuhan ringgit berbanding dolar Singapura boleh dikaitkan dengan faktor luaran serta faktor domestik yang berkaitan dengan ekonomi Malaysia.
Afiq Asyraf dari Kenanga menceritakan bagaimana ringgit melonjak berbanding dolar AS pada November 2022 selepas Encik Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri Malaysia ke-10.
Mata wang itu melonjak sebanyak 1.8 peratus pada hari pelantikan Encik Anwar pada 24 Nov - peningkatan dalam tempoh sehari yang terbesar sejak Mac 2016.
Beliau berkata dengan jangkaan, ringgit tidak mengalami kenaikan yang sama sejak itu.
“Pada November, ringgit mengukuh terutamanya disebabkan oleh kestabilan politik selepas pilihan raya. Bagaimanapun, nilainya telahpun menyusut berikutan faktor luaran seperti (bank pusat Amerika) menaikkan kadar faedah yang sangat agresif, krisis perbankan AS dan ketidaktentuan geopolitik,” kata Encik Afiq Asyraf.
Encik Hafidzi Razali, seorang penganalisis kanan dengan firma penasihat strategik Bower Group Asia, menambah bahawa ringgit yang lebih lemah baru-baru ini boleh dikaitkan dengan pemulihan ekonomi China yang berterusan.
“Memandangkan China adalah salah satu rakan dagangan terbesar Malaysia, pemulihan ekonomi China adalah penting untuk nilai (ringgit) itu,” kata Encik Hafidzi.
Beliau berkata eksport Malaysia telah menguncup sebanyak 1.8 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2023, dan ini sebahagian besarnya boleh dikaitkan dengan penurunan eksport ke China.
Di peringkat domestik, Encik Hafidzi berkata peluang pelaburan Malaysia yang agak lemah dan pembaharuan sturktur yang bakal dilakukannya menjadi penghalang bagi kenaikan ringgit.
“Peluang pelaburan swasta kekal terhad; berbanding dengan ekonomi maju seperti AS dan Singapura,” kata Encik Hafidzi.
“Pasaran masih menjangkakan sama ada pembaharuan struktur yang akan berlaku akan dilaksanakan (oleh kerajaan Malaysia); terutamanya berkaitan bil subsidi yang besar, asas cukai yang rendah dan keupayaan untuk menarik pelaburan langsung asing nilai tambah,” tambahnya.
KE MANA SETERUSNYA BAGI DOLAR SG, RM?
Menurut penganalisis, nilai dolar Singapura kepada ringgit Malaysia boleh melonjak ke paras tertinggi yang baharu dalam tempoh terdekat terutamanya jika dolar AS terus meningkat.
Namun, ada penganalisis menegaskan bahawa nilai dolar Singapura kepada ringgit Malaysia akan stabil memandangkan kerajaan AS telah bersetuju untuk menaikkan batas hutang negara dan Kongres akan mengundi untuk meluluskan perjanjian itu pada Rabu.
Selepas perjanjian itu diumumkan pada Sabtu, Presiden AS Joe Biden berkata perjanjian itu adalah "berita baik untuk rakyat Amerika, kerana ia menghalang apa yang boleh menjadi kegagalan yang besar dan akan membawa kepada kemelesetan ekonomi, akaun persaraan musnah, dan berjuta-juta orang "hilang pekerjaan".
Perjanjian untuk menaikkan batas hutang melebihi paras AS$31.4 trilion itu kini perlu melalui Dewan Perwakilan yang dikuasai parti Republikan dan Senat yang diterajui Demokrat sebelum 5 Jun. Ia bertujuan mengelakkan Amerika daripada gagal membayar hutangnya, satu langkah yang boleh melumpuhkan ekonominya.
Encik Saktiandi berkata ringgit boleh menembusi paras terendah baharu pada RM3.45 berbanding dolar Singapura jika "USD terus mengukuh".
“Dalam tempoh terdekat, kami tidak menolak kemungkinan nilai dolar AS kepada ringgit Malaysia masih boleh bergerak lebih tinggi, memandangkan sentimen global boleh diperlahankan buat sementara waktu,” katanya kepada CNA.
“Bagaimanapun, kami percaya keadaan akan beransur-ansur berubah, dan kami melihat prospek jangka sederhana untuk ringgit Malaysia masih positif,” tambah Encik Saktiandi.
Jelas beliau, dalam beberapa bulan akan datang, Federal Reserve ((bank negara Amerika) boleh menggunakan dasar monetari agresif (hawkish) jika inflasi jatuh dan ini boleh menyebabkan dolar AS tidak terkesan.
"Selain itu, ekonomi China boleh menunjukkan pemulihan yang lebih ketara menjelang suku keempat, mungkin meningkatkan selera untuk aset pasaran pesat membangun di serantau," katanya.
"Ini merujuk kepada ringgit Malaysia yang melihat kenaikan lebih besar apabila situasi global berubah," tambah Encik Saktiandi.
Afiq Asyraf dari Kenanga juga menyatakan bahawa ringgit boleh melemah berbanding dolar Singapura kepada 3.45, tetapi beliau berpendirian bahawa asas bagi ringgit Malaysia kekal kukuh dan sebarang lonjakan “sepatutnya bersifat sementara”.
Tambah beliau, pengumuman pada Ahad bahawa AS telah mencapai perjanjian untuk menaikkan batas hutangnya mungkin akan membawa kepada "pemulihan untuk ringgit Malaysia".
“Selain itu, jika Federal Reserve memberhentikan seketika mesyuaratnya pada Jun lalu dan menunjukkan pendirian yang lebih (kepada) ‘dovish’ (dasar monetari berdiplomasi), ia boleh mengukuhkan lagi ringgit,” kata Encik Afiq Asyraf kepada CNA.
“Kekukuhan ringgit akan disokong oleh asas ekonomi Malaysia yang teguh dan persekitaran politik yang agak stabil,” tambah beliau.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai warga asing yang dilaporkan lebih ramai memilih hospital swasta di Johor untuk mendapatkan rawatan.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.