Membantu golongan pendapatan rendah berdikari dengan niaga menerusi mesin layan diri
Sebagai sebahagian daripada program yang dipanggil Inisiatif Pendapatan Rakyat, keluarga berpendapatan rendah di Malaysia dapat menjual makanan dan minuman menerusi mesin layan diri. Bayaran sewa menggunakan mesin itu ditanggung kerajaan.

KUALA LUMPUR: Setiap pagi sebelum waktu sibuk di hab transit Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral), Amiruddin Ahmad Abdul Jalil meletakkan kotak makanan seperti karipap, kueh lapis dan ketayap - sejenis juadah krep berperisa pandan – ke dalam mesin layan diri merah beberapa meter dari restoran McDonald's.
Beliau yang berusia 28 tahun itu dan tinggal di Kuala Lumpur, telah melakukan ini setiap hari selama hampir tiga bulan sebelum dia memulakan pekerjaan tetapnya di sebuah firma swasta.
Setiap kotak juadah dijual pada harga RM2 (AS$0.43), dengan jualan puncak berlaku apabila hab KL Sentral dipenuhi penumpang dalam perjalanan ke tempat kerja.
Pada sebelah malam, Amiruddin pulang ke hab pengangkutan itu untuk mengisi mesin dengan kotak nasi campur dan roti sosej yang dijual pada harga RM5 dan RM3 setiap satu.
Atas usahanya, Amiruddin - yang menyediakan makanan bersama isterinya – meraih pendapatan tambahan RM4,000 sebulan menerusi program yang dinamakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
Ia diterajui oleh unit perancangan ekonomi Kementerian Ekonomi.
"Peluang ini telah mengurangkan beban kewangan rumah tangga saya," katanya kepada CNA baru-baru ini.
Dilancarkan awal Februari lalu, inisiatif itu adalah usaha kerajaan Malaysia untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan sekurang-kurangnya sebanyak RM2,000 setiap bulan.
Sebanyak RM750 juta telah diperuntukkan untuk program di bawah bajet 2023.
Ia adalah sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan keupayaan kewangan keluarga berpendapatan rendah di Malaysia dan sejauh ini program itu berjaya mendapat sambutan yang meningkat dari orang ramai.

SEWA MESIN LAYANAN DIBIAYA KERAJAAN
Semasa pelancaran projek IPR pada bulan Februari, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Rafizi Ramli telah menyebutnya sebagai "joran memancing" untuk membantu golongan miskin lebih mandiri dari segi kewangan.
Terdapat tiga teras di bawah IPR - iaitu Inisiatif Usahawan Makanan (Insan), Inisiatif Usahawan Tani (Intan), dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (Ikhsan).
Amiruddin merupakan peserta inisiatif Insan – program di mana mesin layan diri disediakan kepada usahawan makanan untuk menjual makanan dan minuman di lokasi strategik di seluruh negara seperti hab pengangkutan dan hospital.
Amiruddin memberitahu CNA bahawa beliau telah memohon untuk menyertai inisiatif itu menerusi talian selepas program itu dilancarkan.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, kerajaan membayar sewa bulanan mesin layan diri selama dua tahun, dengan usahawan memperoleh keuntungan daripada jualan mereka. Untuk memastikan harganya dimampui oleh pembeli, setiap pek makanan yang dijual mempunyai penutup RM5 sekotak.
Amiruddin menganggarkan hampir 90 peratus makanan habis dijual setiap hari, dengan selebihnya diberikan kepada gelandangan atau untuk dimakan sendiri.
Terdapat aplikasi mudah alih untuk memantau dan menjejaki inventori dan jualan makanan, dengan peserta boleh menambah sendiri jumlah kotak makanan untuk mesin layan diri itu apabila stoknya berkurangan.
Amiruddin dan isteri menghabiskan kira-kira dua hingga tiga jam setiap hari untuk menyediakan makanan. Amiruddin mengakui bahawa mereka mendapatinya sukar pada mula-mulanya. Dia dan isteri, bagaimanapun, telah dapat membiasakan diri dengan rutin untuk menyiapkan makanan yang hendak dijual.
“Terdapat lebih banyak kesinambungan dan kemampanan di bawah program ini dibandingkan dengan bantuan tunai secara langsung. Banyak faedahnya kepada masyarakat kerana peniaga boleh menambah pendapatan manakala orang ramai boleh membeli makanan murah,” katanya sambil menambah dia menjual kira-kira 100 kotak makanan sehari.
Sehingga Jun, lebih 10,000 orang telah mendaftar untuk menyertai program Insan.
Sebanyak 100 mesin beroperasi, dengan kerajaan menyasarkan 5,000 mesin layan diri itu akan beroperasi akhir tahun ini.




PENIAGA BERSYUKUR MASA YANG DIJIMATKAN DAPAT BERSAMA KELUARGA
Nurul Fatimah Norani, yang diperuntukkan sebuah mesin di hab pengangkutan JB Sentral, memberitahu CNA bahawa dia telah mendapat manfaat daripada inisiatif itu.
Ibu tunggal kepada tiga anak itu mendapati pendapatannya meningkat lebih 30 peratus berbanding ketika dia bekerja sebagai tukang masak di sebuah kilang.
Ibu berusia 35 tahun itu pernah memperoleh pendapatan hampir RM3,000 sebulan sebelum ini, tetapi kini boleh memperoleh kira-kira RM4,000 sebulan dengan menyertai Insan.
Dia meletakkan jawatannya sebagai tukang masak untuk menumpukan perhatian pada perniagaan mesin layan diri.
“Inisiatif ini sangat bagus terutama untuk seseorang seperti saya. Pendapatan yang boleh diraih bergantung pada tahap ketekunan diri sendiri, ” kata ibu tiga orang anak yang bersekolah itu kepada CNA.
Pada waktu pagi, dia menjual juadah sarapan seperti nasi lemak dan mee. Dia kemudian mengisi mesin layan diri dengan kotak-kotak yang mengandungi nasi campur untuk orang ramai pada waktu makan tengah hari. Pada waktu malam, makanan ringan seperti nugget dan sosej pula dijual.
Nasi lemaknya dijual pada harga RM2 manakala nasi campur - yang mengandungi nasi putih, sepotong ayam goreng dan sayur - berharga RM5.
Dia memantau jumlah makanan dalam mesin layan diri melalui aplikasi telefon bimbitnya. Beliau akan menokok stok apabila jumlah kotak berkurangan.
Dengan inisiatif ini, Fatimah memberitahu CNA bahawa dia mempunyai lebih banyak masa bersama anak-anak kerana mengambil masa kira-kira dua jam untuk menyediakan makanan di rumah. Katanya, dia sebelum ini tidak mempunyai sebarang hari cuti ketika bekerja di kilang.
Tambahnya lagi, dia bersyukur kerana tidak perlu bergantung kepada kerajaan untuk sebarang bantuan.
"Saya tidak mahu bergantung kepada kerajaan atau sesiapa sahaja untuk sebarang bantuan," katanya.
Begitu juga bagi Normaladiana Mohd Yazal, 36, yang berkata bahawa inisiatif itu membantunya memperoleh tambahan RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.
Ibu kepada dua anak itu - yang mempunyai mesin layan diri di KL Sentral - berkata, kotak makanan yang diletakkannya setiap pagi selalunya habis dijual.
Dia antara lain menjual kek pisang, nasi lemak, dan sosej dengan telur dan kacang.
Normaladiana, yang tinggal di flat kos rendah di Pantai Dalam, Kuala Lumpur bersama suami dan dua anaknya yang bersekolah, berkata inisiatif itu mudah kerana dia tidak perlu berada di KL Sentral secara fizikal melainkan ada masalah dengan mesin.
“Ia tidak sukar. Kami hanya meletakkan makanan kami di sana dan menunggu untuk dijual,” kata Normaladiana yang juga menyediakan khidmat katering dari rumah jika ada tempahan.
Beliau menambah: "Program seperti ini harus diperluaskan untuk lebih ramai golongan berpendapatan rendah seperti kami."

USAHA MEMBANTU GOLONGAN MISKIN PERLU BERUBAH: MENTERI EKONOMI
Pada perhimpunan politik di Negeri Sembilan awal bulan ini, Encik Rafizi telah menyentuh topik mesin layan diri dengan berkata bahawa pembangkang telah menyerang idea tersebut.
Dalam ucapannya, beliau berkata bahawa pada tahun 70-an dan 80-an, kerajaan telah membina ruang, menyediakan gerai untuk orang ramai atau kedai untuk mereka sewa.
“Masalahnya sekarang adalah sewa kedai kini sudah menjadi mahal dan ruang untuk gerai pula terhad… Jadi dari satu dekad ke satu dekad, usaha mesti berubah. Golongan miskin memerlukan tempat untuk menjalankan perniagaan,” katanya.
Tambahnya, sebuah gerai mungkin menelan belanja RM20,000, sedangkan itulah yang diperlukan oleh mereka yang hendak berniaga.
"Atas sebab inilah kami (pihak kerajaan) menganggap kita tidak memerlukan mana-mana bangunan (untuk menjayakan Insan). Kami hanya memerlukan tempat untuk menjual asalkan tempat itu selesa untuk orang ramai.
“Yang penting, kami mahu memastikan mereka tidak perlu mengupah sesiapa, membayar bil api air dan menunggu di tempat jualan sepanjang hari. Dari segi ekonomi, cara terbaik ialah memberi mereka mesin layan diri,” katanya.
Menurut Encik Rafizi, jumlah pendapatan minimum yang diperoleh setiap peserta inisiatif itu adalah antara RM150 hingga RM200 sehari.
“Ada juga yang berpendapatan RM600, malah sehingga RM800 sehari,” kata beliau.
CNA telah menghubungi Encik Rafizi dan kementeriannya untuk mendapatkan ulasan mereka mengenai inisiatif itu.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai laluan berbeza dua syarikat penerbangan utama Malaysia dan Indonesia dalam mengharungi gelora pasca-pandemik.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.