Kembali ke pangkal jalan: Bagaimana dua belia radikal dapat menyingkirkan fahaman pelampau
"Bila saya sedar ada orang di luar sana mengambil berat tentang saya, ini sememangnya memainkan peranan penting," kata seorang bekas tahanan.
- Dua pemuda yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri selepas menjadi penyokong ISIS memberitahu CNA tentang perjalanan mereka menjalani pemulihan.
- Seorang mentor dan kaunselor agama dari Kumpulan Pemulihan Keagamaan menjelaskan bagaimana mereka meraih kepercayaan pemuda-pemuda ini dan mencabar fahaman radikal mereka.
- Pendidikan, menetapkan matlamat peribadi dan mengukuhkan hubungan keluarga adalah sebahagian daripada usaha pemulihan.
SINGAPURA: Hamzah masih belajar di sekolah menengah sewaktu pihak media mula melaporkan berita tentang ISIS. Terdorong dengan sifat ingin tahu tentang kumpulan yang mendakwa ia berjuang atas nama agama, remaja itu mula melayari internet untuk mencari maklumat lanjut tentang kumpulan itu.
Dia membaca seberapa banyak maklumat yang termampu - dalam tempoh kurang setahun, dia menonton lebih 500 video tentang pendakwah fahaman pelampau dan pembunuhan ganas oleh kumpulan militan, kadangkala sehingga lima jam sehari.
Remaja itu berniat pergi ke Syria dan menyertai kumpulan tersebut. Selepas menyelidik lokasi kem-kem tentera dan laluan perjalanan ke sana, dia merancang untuk membeli tiket kapal terbang ke Turkey menggunakan wang daripada dermasiswa sekolahnya.
Dia ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 2015.
"Saya bukan seorang yang bersifat ganas, tetapi saya cuba menonton video pemenggalan kepala seberapa banyak yang saya mampu supaya saya (boleh menjadi) lali terhadap perasaan itu.
"Saya rasa seakan-akan ini satu kewajipan (orang Islam) untuk menyertai mereka dan berjuang bersama mereka, dan jika anda tidak menganggap mereka sebagai sebuah negara khalifah, anda berdosa," kata Hamzah mengenai kepercayaannya terhadap ISIS pada masa itu.
Masyarakat mengenalinya sebagai fahaman radikal, tetapi bagi pemuda-pemuda ini, ia adalah satu "perjalanan rohani" untuk mencari apa yang mereka boleh lakukan untuk agama, jelas Ustaz Ahmad Saiful Rijal Hassan, yang menyumbang tenaga relawan sebagai kaunselor agama dalam Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) sejak tahun 2011.
“Saya rasa kita perlu mengiktiraf bahawa mereka bermula dengan niat yang mulia, tujuan yang mulia. Mereka mempunyai niat murni, dan bukanlah mereka sekadar mahu menyebarkan kekacauan atau membuat onar,” kata beliau.
“Hakikatnya, ini adalah isu keyakinan, bukan? Jadi mereka percaya bahawa dengan melakukan perkara sebegini, ia menjadikan (mereka) Muslim sejati.”
CNA bertemu dua belia yang sebelum ini berfahaman radikal – Hamzah dan Daniel – dan orang-orang yang terlibat dalam pemulihan mereka untuk memahami apa yang diperlukan untuk mengubah minda fahaman pelampau. Nama-nama pemuda telah diubah untuk melindungi identiti mereka.
MENONTON VIDEO “BERULANG KALI”
Hamzah berkata dia rasa apa yang dilakukannya bertentangan dengan sifat semulajadinya, dan dia berulang kali menonton video-video pembunuhan ganas untuk melalikan dirinya bagi tindakan-tindakan yang dia percaya dia perlu lakukan.
"Saya masih ingat saya asyik menonton video-video berulang kali, di mana manusia dibakar hidup-hidup dan orang ditembak di medan peperangan. Jadi saya memaksa diri saya menontonnya supaya saya bersedia dari segi mental.
"Saya berasa agak loya kerana saya tidak biasa dengan perkara seperti ini. Tetapi saya paksa diri saya.”
Daniel pula terlepas satu peluang awal untuk kembali ke pangkal jalan apabila dia terus menyokong ISIS walaupun dia telah disiasat Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) dan diberi kaunseling agama.
Pada tahun 2017, sewaktu dia berusia 15 tahun, Daniel disiasat selepas merosakkan gambar Presiden Halimah Yacob dan menyeru agar ISIS memenggal kepala beliau. Dia terus menyokong kumpulan militan itu dan akhirnya ditahan pada 2020.
"Malah, semasa saya pertama kali disiasat, saya percaya ia adalah ujian terhadap keimanan dan kesetiaan saya kepada ISIS," katanya.
Ustaz Rijal memberitahu CNA bahawa kerja-kerja pemulihan ibarat satu usaha kesenian, bukan satu usaha saintifik di mana kejayaannya boleh diukur. Setiap kes adalah unik, dan tiada profil yang tetap.
"Satu-satunya persamaan di antara mereka yang saya boleh lihat ialah mereka mahu melakukan sesuatu untuk agama. Mereka percaya bahawa inilah suruhan agama, dan inilah kewajipan mereka sebagai seorang Muslim," jelas beliau.
Tugas beliau, bersama-sama para ahli psikologi, mentor dan pekerja kes dalam perjalanan pemulihan ini, adalah untuk membawa individu-individu radikal ini kembali dari kancah keganasan dan membimbing mereka agar menjauhi fahaman pelampau.
DUA LALUAN BERBEZA
Kali pertama Encik Salim Mohamed Nasir menemui Hamzah di sebuah pusat tahanan ISD, beliau rasa seakan-akan beliau pernah berada dalam situasi yang sama.
Pendidik berusia 62 tahun itu berkata: "Saya rasa seperti saya boleh memahami dirinya, seolah-olah dia anak saya... bezanya, anak saya (memilih) jalan yang begini dan dia pula (memilih) jalan yang lagi satu... Jadi bagi saya, pemilihan perjalanan hidup sangat penting sekali."
Encik Salim telah berkhidmat secara sukarela dengan RRG sejak penubuhannya pada tahun 2003, ekoran penemuan dan penangkapan sel pengganas Jemaah Islamiyah (JI) di Singapura.
RRG dan Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi, kedua-duanya kumpulan sukarelawan, bekerjasama dengan ISD dalam usaha pemulihan dan integrasi semula ke atas individu-individu yang ditahan atau dikenakan perintah sekatan.
Apabila Hamzah menjadi radikal, dia tidak mempunyai sesiapa untuk membimbingnya agar memilih jalan yang benar, kata Encik Salim. Sukarelawan ini, yang peramah dan mudah mesra dengan orang lain, mula membimbing Hamzah pada tahun 2015.
"Mereka adalah individu-individu yang telah terpesong kerana berada dalam situasi di mana mereka fikir mereka benar, tetapi sebenarnya mereka salah," katanya.
Hamzah menyifatkan keluarganya sebagai "agak tegas" dalam hal-hal agama semasa dia membesar. Setiap hari selepas sekolah rendah, dia menghadiri kelas agama di sebuah madrasah selama tiga jam tetapi ini dihentikan apabila dia masuk sekolah menengah.
Bercakap kepada CNA, ibu Hamzah mengingatinya sebagai anak lelaki riang dan bersifat penyayang yang menjaga tiga adik lelakinya serta amat disukai oleh rakan-rakan sekolahnya.
Namun, setelah dia terdedah kepada kandungan ekstremis dan ganas, dia benar-beanr menjadi radikal.
Ibunya hanya menyedari apa yang berlaku apabila Hamzah memberitahu beliau tentang rancangannya untuk menyertai ISIS di Syria. Wanita itu terkejut dan kecewa, lalu cuba memujuk anaknya agar tidak meneruskan niat itu dan sebaliknya memberi tumpuan kepada pelajaran dan mendapatkan pekerjaan, tetapi ini tidak diendahkan Hamzah.
Memandangkan Hamzah diajar dari kecil bahawa agama Islam menganjurkan keamanan dan bukan keganasan, pada mulanya dia ragu-ragu dengan dalil ISIS untuk melakukan keganasan dan pembunuhan.
Tetapi syarahan-syarahan oleh pelbagai pendakwah radikal mengubah fikirannya, dan dia merasakan satu tarikan emosi daripada kumpulan militan itu. Apabila saya mendengar tentang orang Islam lain yang dibunuh atau diseksa, ini juga "bermain dengan perasaan saya", kata Hamzah.
PERJALANAN PEMULIHAN: PENAHANAN
Hamzah ditahan pada tahun 2015 semasa membuat rancangan perjalanan ke Syria. Menurutnya, dia menjalani pemulihan dengan "fikiran terbuka", tetapi Encik Salim masih ingat perasaan marah remaja itu.
“Dia berkata ‘kenapa saya ada di sini?’… Dia mati-mati enggan memaafkan sesiapa. Jadi saya usahakan untuk menimbulkan rasa maaf itu, " kata mentor tersebut.
Di pusat tahanan, mereka bertemu setiap minggu sehingga dua jam setiap kali. Encik Salim menganggarkan bahawa kira-kira empat sesi dijalankan sebelum anak muda itu mahu berbual dengannya.
Encik Salim faham bahawa bagi seorang menti, beliau bukanlah sahabat atau wakil pihak berkuasa. "Saya mahu mereka melihat saya sebagai seorang yang mereka boleh dekati, jika mereka dalam kesusahan – baik untuk mendapatkan penjelasan ataupun nasihat," katanya.
Untuk menjalin hubungan, beliau biasanya datang sebagai seorang tutor pada mulanya, dan menawarkan bantuannya dalam kerja sekolah. Lama-kelamaan, hubungan itu dikembangkan untuk meliputi pembelajaran sosial dan emosi, pemikiran kritikal, penetapan matlamat dan hubungan kekeluargaan.
Usaha membina hubungan itu tidak selalunya lancar.
"Kadangkala kedua-dua pihak akan berputus asa dan menunjukkan sikap tidak hormat, dan saya rasa, jika anda tidak hormat, kita jangan teruskan.... Ada kalanya, saya terus angkat kaki. Namun, saya tahu bahawa saya lakukan itu sebagai satu strategi," katanya.
Selepas menjauhi satu sama lain untuk seketika, mereka akan bertemu semula.
Program pementoran ini memanfaatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan lain dalam usaha pemulihan itu, seperti pakar psikologi dan kaunselor agama. Selepas membincangkan sesuatu kes dengan mereka, Encik Salim akan melakarkan sendiri kaedahnya bagi sesi-sesi pementoran.
Ini biasanya melibatkan cara membantu mereka menangani rasa marah dan sesal, dan menggunakan tempoh penahanan mereka sebagai masa untuk memperbaiki diri sendiri.
Bagi Hamzah, ini bermakna Encik Salim perlu membuat anak muda itu 'sedar diri', bertungkus lumus dalam pelajaran dan membentuk matlamat-matlamar peribadi. Beliau pada mulanya agak terkejut dengan tentangan dari Hamzah.
"Saya kata kepadanya, awak kan sudah ada di sini, awak tidak boleh menguasai persekitaran awak. Jadi, apa lagi yang awak boleh kuasai? Awak cuma boleh menguasai diri sendiri," kata beliau.
Hamzah berkata "Beliaulah (Encik Salim) yang membantu saya pada masa saya bermasalah, terutama di dalam (tahanan). Beliau membantu saya dari segi kemahiran hidup peribadi saya.
'Dan juga pada ketika itu, saya sedang mengambil peperiksaan peringkat O saya... Itu mungkin kali pertama saya mengambil pendidikan secara serius, kerana sebelum ini saya tidak kisah langsung.
"Beliau ibarat seorang bapa kerana beliau juga mempunyai anak-anak sebaya usia saya."
BERUSAHA AGAR DIBEBASKAN
Perintah-perintah tahanan di bawah ISA disemak oleh sebuah lembaga penasihat sekurang-kurangnya sekali setiap 12 bulan. Mereka yang didapati tidak lagi menimbulkan ancaman ketara terhadap keselamatan Singapura akan dibebaskan, menurut ISD.
Sewaktu membuat penilaian sama ada seseorang tahanan sesuai untuk dibebaskan, salah satu faktornya ialah kemajuan yang ditunjukkan semasa menjalani pemulihan. Penilaian pihak berkepentingan dalam usaha pemulihan seperti pakar psikologi, pegawai kes ISD, warden pusat tahanan dan kaunselor agama RRG diambil kira.
Ustaz Rijal memberitahu CNA bahawa, ketika memberi penilaian, beliau menimbangkan tiga faktor, iaitu sikap tahanan terhadap sesi kaunseling, pemahaman tentang konsep-konsep agama dan rancangan mereka untuk masa hadapan.
Kaunseling agama dijalankan sekurang-kurangnya sekali setiap bulan sepanjang tempoh tahanan. Berdasarkan pengalaman Ustaz Rijal, komunikasi yang jujur dan terbuka diperlukan untuk membina hubungan yang baik. Jarak usia juga penting untuk memastikan kedua-dua pihak serasi, kata kaunselor agama berusia 37 tahun itu.
Beliau bermula dengan bertanya tahanan itu tentang video atau tukilan yang mereka lihat dan membuat mereka mahu mengikuti seorang pemimpin radikal. Ustaz Rijal kemudian akan melihat sendiri video atau tukilan itu, dan seterusnya bercakap tentang apa yang beliau tidak setuju tentangnya, dan apakah yang dianggap sebagai betul oleh tahanan itu. Ini termasuk persoalan mengenai jihad dan undang-undang Syariah.
Ini menjadi asas perbincangan yang dapat diterima kedua-dua pihak dan ini membolehkan beliau meminta tahanan agar melihat kandungan bahan beliau pula. Ustaz Rijal juga memberi mereka bahan bacaan yang mereka bawa pulang ke bilik tahanan masing-masing.
Dalil amat penting dalam proses ini. Ustaz Rijal akan bertanya tahanan tentang dalil bagi fahaman radikal mereka. Apabila seseorang tahanan tidak boleh menunjukkan sebarang dalil daripada Al-Quran, ini menunjukkan bahawa dia ibarat seorang "pengikut buta" dan bukannya pengikut sesuatu ideologi.
Sesetengah tahanan mencabar beliau lebih banyak kali berbanding yang lain. Pada mulanya, sukar untuk meyakinkan mereka. "Tetapi selepas anda memberikan mereka dalil yang lengkap, mereka tidak dapat mempertikaikannya," katanya.
Hamzah bersetuju: "Kalau mereka dapat memberi dalil, saya memanglah jahil jika saya tidak menerimanya."
"Kita harus meregangkan minda mereka," kata Ustaz Rijal. "Kita harus membuat mereka sendiri sedar. Maksud saya, kita tidak boleh memberitahu mereka ‘awak salah'.
"Apabila kita mendedahkan mereka kepada bahan bacaan alternatif, apabila kita mendedahkan mereka tentang adanya tafsiran berbeza, barulah mereka faham... Mereka mempunyai satu pandangan tertentu sahaja, mereka berada dalam kamar gema, dan mereka terus terperangkap dalam pemikiran sempit itu kerana mereka membaca hanya satu sumber tertentu."
Selepas dibebaskan daripada tahanan, mereka dikenakan arahan sekatan. ISD berkata bahawa sebelum ini mereka yang dikenakan arahan sekatan tidak boleh menukar tempat tinggal atau pekerjaan, mahupun ke luar negara tanpa kebenaran.
Mereka juga tidak boleh mengakses internet atau media sosial, mengeluarkan kenyataan awam, berucap di pertemuan awam, mencetak, mengedar atau menyumbang kepada sebarang penerbitan, mahupun menjadi anggota mana-mana kumpulan tanpa kebenaran.
Apabila pihak berkuasa sedang menimbangkan untuk membenarkan sesuatu arahan sekatan menjadi luput, individu itu akan menjalani penilaian ketat yang sama seperti sebelumnya.
“Mereka yang didapati telah mencapai kemajuan besar dalam pemulihan dan proses integrasi semula ke dalam masyarakat, di mana mereka tidak lagi akan menimbulkan ancaman keselamatan, akan mendapati arahan sekatan mereka menjadi luput,” kata ISD.
KONSEP AGAMA
Jihad dan undang-undang Syariah adalah dua konsep agama yang biasanya disentuh apabila menjalankan kaunseling ke atas remaja radikal, kata Ustaz Rijal.
"Mereka percaya bahawa jihad bermakna mengangkat senjata kerana itulah yang berlaku pada zaman permulaan Islam," kata beliau. "Kita perlu faham bahawa perkara tertentu berlaku pada sesuatu masa tertentu atas sesuatu sebab atau tujuan tertentu. Oleh itu, anda tidak boleh melihatnya di luar konteks."
"Kita perlu kembali kepada pemahaman paling asas tentang jihad, iaitu perjuangan. Perjuangan menentang apa? Perjuangan menentang penindasan. Jadi penindasan datang dalam bentuk maksiat," tambah beliau.
"Jika anda susah hendak bangun pagi untuk pergi ke sekolah, maka itu merupakan perjuangan peribadi anda. Jadi, ia juga adalah satu bentuk jihad...Jihad sebenarnya mengubah sesuatu daripada keadaan buruk untuk menjadi baik, dan dari keadaan baik untuk menjadi lebih baik. Jadi anda terus memperbaiki kehidupan anda.”
Daniel memberitahu CNA bagaimana pemikirannya mengenai jihad berubah selepas menjalani pemulihan: "Saya faham bahawa jihad bukan tentang keganasan atau pertempuran.
"Ia adalah tentang pergelutan untuk berbuat baik, misalnya meningkatkan diri, atau berjasa kepada orang lain. Saya sedar bahawa walaupun jihad sebegini kedengaran seperti satu perkara enteng, sebenarnya bukanlah mudah untuk menjadi orang yang lebih baik atau membuat perbezaan yang positif."
Ustaz Rijal berkata ISIS telah "memasarkan" idea palsu bahawa "jika anda tidak menjadikan Syariah sebagai undang-undang sesebuah negara, maka... anda mengkhianati agama anda sendiri, anda bukan seorang Muslim sejati”.
Tetapi beliau berkata Syariah adalah satu cara hidup dan bukannya memaksa orang lain mematuhi undang-undang anda, dan ia adalah cara anda "berkelakuan sebagai seorang Muslim", misalnya, menuruti hukum pemakanan agama Islam.
Tidak semua tahanan mahu menerima kaunseling agama. Daripada 57 anggota JI Singapura yang telah ditangkap oleh pihak berkuasa, lima masih lagi ditahan.
Ini termasuk empat individu yang "terus tegar dalam fahaman radikal mereka yang ganas meskipun terdapat usaha meluas oleh ISD dan pihak berkepentingan lain dalam usaha pemulihan, termasuk kaunselor agama mereka dan pakar psikologi," kata ISD.
"ISD akan terus mencari jalan untuk mendekati mereka," tambah agensi itu.
PENTINGNYA KELUARGA
Satu ciri yang dapat dilihat dalam usaha Ustaz Rijal dan juga Encik Salim adalah peri pentingnya keluarga.
Memperkukuh hubungan keluarga memang penting kerana keluarga adalah "lingkungan pengaruh terdekat" di sekeliling orang yang menjadi radikal itu, kata Encik Salim. Jika tahanan-tahanan menghadapi masalah keluarga, Ustaz Rijal akan memberikan nasihat agama, seperti betapa agama Islam menekankan peri pentingnya sifat menyayangi ibu bapa.
Tahanan-tahanan diberi izin untuk menerima lawatan mingguan dari kaum keluarga. Sepanjang tempoh penahanan Hamzah, keluarganya tidak pernah terlepas melakukan lawatan itu.
"Selepas ditahan, saya sedar bahawa saya juga agak mementingkan diri sendiri kerana saya juga sepatutnya lebih menghargai mereka dan bersyukur kerana (mereka) sentiasa bersedia membantu saya," katanya.
"Kini, keluarga adalah segala-galanya bagi saya, dan saya akan sentiasa bersedia membantu mereka dan mereka juga sentiasa bersedia membantu saya.”
Daniel menyifatkan hubungan dengan ibu bapanya sebagai "baik" sebelum penahanan, apabila mereka melawatnya secara tetap dan memberi motivasi kepadanya.
"Saya melihat mereka sebagai wira saya. Saya amat menghormati mereka dan memandang tinggi terhadap mereka," kata.
Pekerja-pekerja kes dari Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi ditugaskan untuk membantu pihak keluarga tahanan dari segi keperluan sosial dan kewangan mereka.
Ini penting kerana apabila tahanan tahu keluarga mereka akan dijaga, mereka boleh menumpukan perhatian kepada proses pemulihan mereka, kata Cik Zaleha Ahmad, seorang pekerja kes yang merupakan pengarah pusat di Hab Perkahwinan AMP Singapura, sebuah pertubuhan bukan mencari untung yang berkhidmat untuk masyarakat Islam.
Sokongan itu turut merangkumi subsidi bagi penjagaan kanak-kanak, yuran sekolah dan kelas pengayaan, serta pengangkutan ke sekolah dan madrasah, katanya.
Beliau juga telah melihat bagaimana anggota keluarga tampil untuk memenuhi keperluan keluarga, terutama sekali jika mereka ada anak kecil.
Kebanyakan mereka yang ditahan dalam serbuan ke atas JI Singapura adalah pencari nafkah tunggal dalam keluarga masing-masing, dan mungkin mempunyai sikap “paternalisme" dan "sangat tradisional", kata beliau.
Beberapa isteri mereka tidak pernah bekerja sebelum ini. Tetapi selepas suami-suami mereka ditahan, ramai wanita ini menjalani latihan dan mendapatkan pekerjaan untuk terus menyara anak-anak mereka, kata Cik Zaleha.
SATU HIKMAH
Daniel, yang kini berusia awal 20-an tahun, dibebaskan di bawah arahan sekatan pada Januari tahun lalu. Dia tinggal bersama keluarganya dan sedang melanjutkan pelajaran dengan harapan akan dapat bekerja dalam sektor kewangan.
Dia kini melihat sokongannya terhadap ISIS sebelum ini sebagai satu kejahilan.
"Sekarang, sedang saya bercakap mengenainya, saya rasa bodoh kerana telah ditipu sehingga saya tidak dapat melihat bahawa ISIS mempergunakan kata-kata seperti itu," katanya.
Setelah kira-kira dua tahun dalam tahanan, Hamzah pula dibebaskan di bawah arahan sekatan pada tahun 2017. Dia masih menemui Encik Salim setiap bulan atau setiap tiga bulan, dan akan melaporkan dirinya melalui mesej teks.
Cabaran lain pula timbul semasa arahan sekatan, kata Encik Salim. Setelah ditahan selama dua tahun, Hamzah tidak tahu menyesuaikan diri kepada sekitarannya dan perlu belajar semula cara bekerjasama dengan orang lain, misalnya dengan rakan-rakan sekolahnya.
Untuk seketika waktu, Hamzah sering lewat pergi ke sekolah. Apabila Encik Salim menegurnya, dia terus berubah.
"Jika dia (kata) dia (berjanji), dia akan mengotakan janji itu. Itulah perkara yang saya suka tentang dirinya," kata Encik Salim.
Hamzah menjadi orang pertama dalam keluarganya yang meraih diploma politeknik.
Encik Salim memberitahu anak bimbingnya: "Nah, kalau awak boleh dapatkannya, adik-adik awak akan mahu mencontohi awak, bukan? Kerana awak adalah contoh yang baik bahawa seseorang itu boleh berubah, dan kemudiannya mendapat keputusan yang dia inginkan."
Pada tahun 2021, arahan sekatan Hamzah dibenarkan menjadi luput – dan anggota keluarganya menangis apabila mendengar berita itu.
Ibu rasa bangga kerana dia telah menjadi lebih matang. Beliau berkata: "Dia sangat menghormati orang lain dan memberitahu saya bahawa dia akan menjaga saya. Dia memberi saya wang perbelanjaan setiap bulan. Saya tahu dia sayang adik-adiknya.
"Hamzah telah memberitahu saya bahawa dia ingin mencari pekerjaan yang lebih baik pada masa hadapan supaya dia dapat menyara keluarga kami dengan lebih baik lagi."
Hamzah kini bekerja dalam bidang pemasaran. Beliau juga masih belum memenuhi hasratnya untuk belanja mentornya secangkir kopi selepas mendapat gaji pertamanya, seloroh Encik Salim sambil ketawa.
Sambil merenung kembali tempoh penahanannya selama bertahun-tahun, Hamzah berkata ia terasa seperti "satu perkara sia-sia sahaja" dan bahawa dia agak menyesal.
"Tetapi kalau saya fikirkan semula, sebenarnya ada hikmah. Saya dapat bertemu dengan individu-individu luar biasa semasa perjalanan saya. Dan saya juga memulakan semula apa yang saya abaikan, terutama sekali dari segi pendidikan saya," katanya.
“Meskipun saya mungkin (telah) mensia-siakan waktu sebelum ini, pada masa yang sama, saya juga memperolehi manfaat daripadanya, dan bertemu individu-individu luar biasa dalam perjalanan itu. Dan (saya) hargai tali silaturrahim yang terjalin dengan sahabat-sahabat dan sanak saudara saya.
"Saya tidak mahu kembali kepada cara hidup lama saya."
Walaupun Hamzah bimbang orang lain akan mengenalinya dan dia mungkin menghadapi stigma sosial, dia bersetuju untuk diwawancara kerana dia berharap belia lain yang membaca kisah hidupnya tidak akan mengikuti jalan sama yang dia hampir-hampir laluinya.
"Mereka tidak akan mahu keluarga mereka sengsara seperti ini, dan saya yakin mereka sendiri tidak mahu menempuhi segala keperitan itu," katanya.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai usaha di Singapura untuk mengubah sisa makanan kepada kompos dan makanan serangga.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.