Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Penjara tanpa tembok pertama di Singapura dalam 1960-an: Bagaimana ia berakhir dengan kemusnahan

Petempatan di Pulau Senang bermula dengan idea untuk menyediakan ‘penjara sederhana’ tetapi berakhir dengan keganasan dan rusuhan berdarah pada Julai 1963.

Penjara tanpa tembok pertama di Singapura dalam 1960-an: Bagaimana ia berakhir dengan kemusnahan

Para pemimpin termasuk Perdana Menteri ketika itu, Lee Kuan Yew (tiga dari kiri), melawat kawasan  penjara Pulau Senang. (Foto: Koleksi Yusof Ishak, ihsan Arkib Negara Singapura)

SINGAPURA: Ia adalah satu percubaan dalam mendirikan sebuah penjara tanpa tembok pertama di salah sebuah pulau di Singapura, yang mendapat perhatian dunia ketika itu. 

Ia bagi menempatkan pesalah-pesalah kumpulan kongsi gelap, sebagai tempat pemulihan yang melibatkan banduan-banduan itu melakukan kerja-kerja semasa dalam tahanan. 

Namun, dalam tempoh tiga tahun sahaja, penjara percubaan itu berubah menjadi abu dengan kawasan petempatan tersebut musnah akibat api. Pegawai superintendannya pula dijumpai mati ditetak. 

Di mana silapnya? 

Sebuah dokumentari dua bahagian - Riot Island memaparkan sejarah pembukaan dan kemudian berakhirnya penjara terbuka Singapura di Pulau Senang, dan bagaimana ia mengubah kehidupan mereka yang terlibat. 

Bagaimana ia bermula? 

Gagasan membuka petempatan Pulau Senang tercetus daripada idea menyediakan penjara yang lain daripada lain di tengah-tengah keadaan di mana penjara di tanah besar Singapura sendiri sudah penuh sesak. 

Kumpulan-kumpulan kongsi gelap berleluasa pada tahun-tahun 1950-an dengan anggota-anggota samseng berkeliaran dan menakutkan orang ramai. Mereka terlibat dalam pelbagai jenayah seperti perjudian, pelacuran dan penjualan dadah.

Dapatkah kerja kerah memulihkan seseorang samseng tegar? (Foto: Kementerian Kebudayaan, ihsan Arkib Negara Singapura)

“Mangsa tidak berani pergi ke balai polis kerana takut menjadi mangsa balas dendam pula,” demikian ingatan  pegawai polis bersara Sukhdev Singh, yang dibesarkan pada era itu. Rasuah dalam pasukan polis juga pada tahap tinggi ketika itu, kata beliau. 

“Dari atas sehinggalah ke bawah, semua (anggota polis) boleh disogok.”

Untuk menangani samseng-samseng, kerajaan British meluluskan Akta Undang-undang Jenayah (Peruntukan Sementara) 1955, yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk menahan mereka tanpa bicara.

Inilah yang menyebabkan penjara-penjara menjadi terlalu sesak, kata ahli sejarah Donna Brunero dari Universiti Nasional Singapura (NUS), "kerana (pihak berkuasa) menahan ramai penjenayah yang disyaki, tetapi ia tidak dapat mengendalikan kes mereka menerusi proses undang-undang keseluruhannya".

C V Devan Nair, salah seorang pemimpin gerakan anti-penjajah pada masa itu, merupakan penyokong bagi penjara terbuka di Pulau Senang. Setelah beliau sendiri menamatkan tahanan sebanyak dua kali di situ pada 1950-an, beliau "mula berminat supaya dibina penjara untuk pemulihan", kata anaknya Janadas Devan.

C V Devan Nair pernah dua kali menjadi tahanan politik. (Foto: Koleksi Kementerian Kebudayaan, ihsan Arkib Negara Singapura)

Selepas dibebaskan pada kali kedua pada Jun 1959, Devan Nair mendesak pihak berkuasa ketika itu supaya menubuhkan suruhanjaya penjara, kata Janadas. 

Penubuhan “penjara sederhana” katanya, merupakan sebahagian daripada idea pemulihan dalam penjara. 

Pulau Senang - yang merupakan salah sebuah pulau paling selatan di Singapura, yang terletak 13 kilometer dari tanah besar - adalah tapak yang dipilih untuk penjara tersebut. 

Seperti namanya, Pulau Senang, dianggap pulau yang selamat digunakan sebagai kawasan tahanan jenayah. Ini memandangkan ia dikelilingi perairan yang dipenuhi dengan ikan jerung dan arus deras.

Ini semua menyukarkan sebarang percubaan untuk melarikan diri, kata Kevin Tan dari Fakulti Undang-Undang NUS.

'PEMIMPIN SEMULA JADI' DIPILIH SEBAGAI PENTADBIR 

Orang yang dipilih untuk mengendalikan penjara terbuka itu ialah seorang warga Britain: Daniel Stanley Dutton. Beliau dipandang tinggi, boleh bertutur banyak bahasa tempatan termasuk Melayu dan Hokkien dan pernah bekerja dalam perkhidmatan penjara, kata Brunero.

“Dia berkahwin dengan seorang wanita Melayu, jadi dia seorang yang mempunyai hubungan dalam masyarakat. Beliau adalah seorang yang benar-benar mempunyai kepentingan untuk melihat Pulau Senang berjaya,” tambahnya.

Dutton disebut sebagai seorang yang boleh "membina apa sahaja dengan tangannya", kata Tan. “Beliau adalah jenis orang (yang faham tentang keadaan) di bawah. Pegawai atasannya pula menyifatkan beliau sebagai pemimpin berbakat semula jadi." 

Daniel Dutton (keempat dari kiri) menunjukkan para menteri dan pegawai lain sekitar Pulau Senang pada tahun 1962. (Foto: Kementerian Penerangan dan Koleksi Seni, ihsan Arkib Negara Singapura)

Sebagai penguasa, Dutton diberi kebebasan untuk memilih mana-mana tahanan yang hendak di bawa ke pulau yang diselubungi hutan itu. Dia tiba di Pulau Senang pada Mei 1960 dengan 51 tahanan. 

Pada tahun pertama, bilangan tahanan meningkat kepada kira-kira 120. Mereka membina "sejumlah besar infrastruktur" di pulau itu, kata Brunero, yang pakar dalam sejarah empayar British di Asia.

Sejarawan Donna Brunero dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

Semasa mentadbir kawasan tahanan Dutton pada mulanya dihormati tahanan-tahanan, dengan beliau bekerja sekeras orang-orang tahanan. Pada awalnya sebelum dormitori tahanan dibina, Dutton turut “tidur berdekatan dengan tahanan", sebagai tanda bahawa hubungannya dengan orang tahanan bertambah rapat, tambah Brunero.

Dan walaupun tidak mempunyai "banyak" pengawal di pulau itu, Dutton dan kakitangan penjara tidak membawa senjata api, kata Hamzah Muzaini dari Jabatan Pengajian Asia Tenggara NUS.

Menurut laporan berita, kemudahan yang dibina termasuk hospital, kawasan rekreasi dan pejabat. Orang-orang tahanan juga terlibat dalam pertanian.

Kemajuan yang dicatatkan dalam membina pusat tahanan itu dikatakan "sangat menakjubkan" sehingga mendapat perhatian PBB, dengan sebuah filem diterbitkan mengenainya, kata Tan. Ini membuatkan ramai pakar kaji jenayah dan juga penggubal dasar di seluruh dunia merasa kagum. 

"Mereka berfikir, 'Wah, jika Dutton boleh mencapai  begitu banyak dengan kumpulan (samseng) ini yang diklasifikasikan sebagai penjenayah tegar, bayangkan apa lagi yang boleh dilakukannya," kata Tan.

Brunero menambah: "PBB sangat teruja dengan projek ini kerana terdapat eksperimen penjara terbuka di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Eropah, tetapi (di Pulau Senang) ia khususnya projek untuk memulihkan anggota-anggota samseng kongsi gelap."

Pencapaian Dutton membolehkannya dianugerahkan pingat Darjat Kebesaran Empayar British (OBE), demikian ingatan abang tirinya, Michael.

'Penjara tanpa tembok' Singapura yang pertama bermula sebagai kawasan berhutan. (Foto: Kementerian Kebudayaan, ihsan Arkib Negara Singapura).

Ahli-ahli politik termasuk Perdana Menteri ketika itu, Lee Kuan Yew, dan Menteri Dalam Negeri, Ong Pang Boon, melawat Pulau Senang. Begitu juga Devan Nair, yang turut membawa anaknya, Janadas, yang teringat bahawa di situlah dia belajar berenang buat kali pertamanya. 

Dalam artikel di The Straits Times pada September 1962, Devan Nair menyifatkan kawasan tahanan itu sebagai "bukti nyata nilai kerja bebas dan kreatif dalam persekitaran yang menyenangkan sebagai cara pemulihan pesalah-pesalah tegar".

Dalam tempoh 28 bulan, kira-kira 200 tahanan dapat pulang ke pangkuan masyarakat selepas menjalani “terapi sosial Pulau Senang”. Kadar residivisme (kecenderungan lakukan semula kesalahan) dalam kalangan mereka adalah 5 peratus, "sudah tentu antara paling rendah ... di dunia," tulis Devan Nair. 

“Bolehkah anda menerimanya itu sebagai satu kejayaan atau tidak? Saya akan katakan ya," kata Tan. Berdasarkan beberapa ukuran, apa yang Dutton cuba lakukan adalah berjaya, tambah Tan. 

TONTON: Bagaimana penjara konsep terbuka Singapura di Pulau Senang berakhir dengan tragedi (8:11)

TERUSKAN BINA ATAU SEBALIKNYA 

Tetapi semuanya tidak seindah itu, begitu juga dalam tingkah laku Dutton. Terdapat laporan adanya tahanan dipaksa kerja tanpa henti. Ada dikatakan diminta bekerja pada waktu malam "kerana ia lebih sesuai dengan jadual waktu," kata Brunero.

“Dormitori dibina, kantin telah dibina, jalan raya telah dibina. Mengapa Dutton masih memaksa waktu bekerja yang panjang dan sangat mendesak?”

Neivelle Tan, seorang bekas samseng yang menjadi paderi, menghabiskan masa yang singkat di Pulau Senang tetapi pernah mendengar cerita para tahanan yang semakin bertambah pahit dari masa ke semasa.

Sebahagian daripada mereka pada mulanya "agak teruja" untuk ke Pulau Senang dan melaporkan bahawa ia "sangat bagus" ketika pulang ke tanah besar untuk rawatan perubatan, kata Neivelle  dalam temu bual sejarah lisan dengan Arkib Negara Singapura.

"Kemudian timbul laporan berlakunya kekejaman,” katanya. “Dutton dikatakan membangunkan tahanan dari tidur dan memerintahkan mereka ke pantai untuk mengangkat batu-batu besar apabila paras air cukup rendah… dan membawanya ke tempat tertentu di mana ada projek sedang berjalan. 

“Boleh jadi projek itu untuk membina kolam ikan … taman (atau) hanya beberapa dinding hiasan.

"Dia akan berada di sana untuk mengawasi kerja, memekik, mengutuk. … Saya rasa dia contoh tipikal seorang pemaksa hamba. Anda sama ada melakukan (kerja) atau anda akan dihukum.”

TONTON: Episod penuh (Bahagian 1) — Rahsia di sebalik rusuhan penjara pulau Singapura (47:42)

Mereka yang berkelakuan buruk boleh dihantar semula ke Penjara Changi untuk menghadapi keadaan hidup yang lebih teruk.

Bekas pegawai penjara Jimmy Chew mengesahkan sebahagian rasa tidak puas hati orang tahanan. "Sebilangan daripada mereka telah dilayan dengan teruk atau dipukul oleh (Dutton)," katanya dalam temu bual sejarah lisan, sambil menggambarkan Dutton sebagai "sangat tegap" dan "sangat tegas" dengan tahanan.

Dutton mungkin orang paling utama di penjara itu tetapi dia bukannya  satu-satu orang yang tidak disukai banduan. Ada satu banduan dengan gelaran "Ah Chia", ingat bekas tahanan Tan Sar Bee, merujuk kepada pegawai pemulihan Chia Teck Whee.

"Dia kelihatan baik, tetapi dia selalu salah menuduh orang. Dialah yang mengenakan kurungan isolasi.  Orang kata dia mempunyai hati yang jahat. Dia seorang pembuli.”

Chia yang merupakan bekas tahanan, pernah berkhidmat dalam Rejimen Infantri Singapura dan berlatih dengan pasukan simpanan polis. Selepas dia didapati mencederakan seorang dan dituduh menjadi anggota samseng, Chia telah ditahan. Dia meninggal pada Januari lalu. 

Mendiang Tan Sar Bee. Beliau menandatangani perjanjian pada 3 Mei 1963, untuk berkhidmat di Pulau Senang.

Beliau berada di Pulau Senang pada tahun 1963 selama kurang daripada tiga bulan. Tetapi selain daripada apa yang terlihatnya, Tan akan terdengar “khabar-khabar angin” tentang rasuah, kata Brunero.

Tahanan-tahanan di Pulau Senang mengharap dapat dibebaskan jika berkelakuan baik, tetapi jika mereka ternampak ada yang dibebaskan lebih awal, ini akan menimbulkan tanda tanya apa yang sebenarnya yang berlaku, kata saintis politik NUS Bilveer Singh.

TANDA-TANDA AMARAN

Antara mereka yang lantang menentang eksperimen Pulau Senang ialah bekas Ketua Menteri David Marshall, walaupun dia "tidak mencabar segala-galanya", kata Singh. “Dia fikir usaha pendidikan semula memang bagus. Bagaimanapun, dia masih percaya bahawa (tahanan) telah dilayan dengan sangat teruk.”

Marshall telah ke pulau itu pada 1963 dan "tidak berpuas hati dengan apa yang dilihatnya," kata  profesor undang-undang Dr Tan. "Dia menyangka bahawa terdapat aura ketakutan yang menyelubungi pulau itu ... (dan) menganggap keadaan di situ tidak jauh daripada perhambaan."

Selain menjadi Ketua Menteri pertama Singapura, David Marshall adalah seorang peguam jenayah yang terkenal. (Foto: Ihsan Sara Marshall)

Cuaca "amat panas" pada hari beliau lakukan lawatan, tetapi ramai tahanan melakukan "kerja fizikal yang sangat berat", kata Brunero.

Sebagai ahli dewan undangan Singapura pada masa itu, Marshall cuba mengemukakan kebimbangannya dalam dewan, "tetapi nampaknya tiada siapa yang memberi perhatian", tambah Brunero.

Ini menjadikan ada yang tertanya-tanya, sekiranya  kebimbangan David Marshall telah diberikan perhaatian yang teliti, mungkin apa yang berlaku dapat dielakkan. 

Apa yang berlaku adalah kejadian rusuhan ganas dan kebakaran yang membawa maut.

Terdapat dua pergolakan yang lebih kecil yang akhirnya membawa kepada kejadian besar itu. Pertama adalah kejadian tiga bulan sebelum itu, apabila 14 tahanan yang bekerja dalam cuaca panas menyerang seorang atendan selepas mereka tidak diberikan air. Mereka kemudian melarikan diri ke dalam hutan, dan satu unit simpanan terpaksa dipanggil untuk menenangkan keadaan, kata Brunero.

Yang kedua berlaku kira-kira seminggu sebelum rusuhan. Dutton sedang memeriksa sebuah jeti dan mendapati ia masih belum siap. Dia mendesak supaya 13 tahanan tukang kayu menyelesaikan kerja, tetapi mereka menolaknya, menurut Chia.

Hari itu hari Sabtu, hari rehat. Tetapi selepas mereka enggan, Dutton memberitahu seorang kerani untuk menyiapkan kertas pertuduhan dan menghantar mereka semua kembali ke Changi. Mereka telah diperintah turun ke jeti dan dimasukkan ke dalam bot pihak penjara.

Ini ternyata tindakan terakhir yang tidak lagi dapat menahan kemarahan tahanan-tahanan. 

"Ia memang perkara yang sangat menakutkan tahanan apabila mereka dibawa pulang ke Changi," kata Tan, yang juga bekas presiden Persatuan Warisan Singapura.

“Pertama, mereka kehilangan kiraan tempoh masa yang dihabiskan di Pulau Senang. Kedua, (Penjara) Changi bukanlah tempat yang sangat menarik untuk banduan."

Kevin Y L Tan ialah seorang profesor adjung di Fakulti Undang-Undang NUS.

Selepas kejadian rusuhan, timbul cakap-cakap dalam kalangan tahanan supaya semua kumpulan samseng di situ berganding bahu untuk membunuh Dutton. Salah seorang tahanan, Chong Sek Ling, bagaimanapun bertindak sebagai penyampai maklumat kepada Dutton, untuk memberinya amaran mengenai perkara itu.

Tetapi Dutton yang terlalu yakin diri hanya tertawakan amaran tersebut, samalah seperti dia tidak mengendahkan arahan daripada pengarah Penjara Singapura, Mejar Peter L James, supaya  waktu kerja tahanan dikurangkan.

James juga cuba memberi amaran kepada Dutton bahawa dia telah bertindak keterlaluan dengan menghantar tahanan kembali ke penjara Changi.

"(Dutton) benar-benar yakin bahawa majoriti banduan berdiri bersamanya," kata Tan. "Anda boleh katakan ia hanyalah khayalan Dutton semata-mata."

BERAKHIR DENGAN TRAGIK 

Perusuh menyerang selepas makan tengah hari pada 12 Jul 1963.

Mereka mengambil parang dan cangkul dan mengejar sasaran masing-masing. “Perusuh menjerit dan mengamuk,” kata Tan Sar Bee, yang menyaksikannya dari hospital pulau itu. "Pergaduhan berlaku dari ruang makan hinggalah ke pejabat."

Dutton berlari ke pejabatnya dan menutup pintu. Perusuh mengancam jika dia tidak keluar, mereka akan membakar bangunan itu. Dua daripada tahanan itu membuat lubang pada bumbung dan kemudian menuang minyak petrol melaluinya dan menyalakan mancis.

Tempat itu terbakar, dan Dutton melarikan diri. Banduan-banduan dengan parang dan kapak sedang menantikan Dutton. Mereka terus membelasah Dutton dengan cara yang cukup “memeranjatkan”, kata Brunero. Tubuh badan Dutton dicacatkan dan kemudian dibakar.

TONTON: Episod penuh (Bahagian 2) — Mengapa percubaan penjara pulau pertama di  Singapura gagal? (48:03)

Tiga pegawai penjara yang lain didapati mati dalam kejadian yang membawa kepada pengakhiran berdarah pusat tahanan di Pulau Senang. Pulau itu, bersama-sama dengan pulau-pulau lain yang berdekatan, kini menjadi sebahagian daripada Kawasan Latihan Menembak Pulau-Pulau Selatan, di mana latihan-latihan menembak dengan peluru betul dijalankan.

Pada November 1963, 59 orang tahanan telah dibicarakan kerana merusuh dan membunuh. Sebuah kandang khas perlu dibina untuk tertuduh, dan mereka memakai nombor supaya pihak juri dapat mengingati siapa yang sedang dibicarakan, kata Tan dari NUS.

Selepas 64 hari — perbicaraan paling lama dan terbesar yang pernah dilihat di Singapura ketika itu — 18 orang didapati bersalah membunuh dan dijatuhkan hukuman gantung; 29 dipenjarakan kerana merusuh atau merusuh dengan senjata maut; dan selebihnya dibebaskan.

Ia adalah "bab yang sangat tragik - bahawa suatu yang (pada mulanya) mempunyai harapan yang besar ... boleh merubah begitu ganas dan membawa maut", kata Brunero.

Isteri Dutton, Vickie, amat terjejas dengan kematian “seorang yang dicintainya”, kata cucu mereka Ferlynna Muhalib. Pasangan itu sentiasa bersama di acara masyarakat, dan Vickie - seorang pereka, model dan penulis – sentiasa menjadi perhatian pihak akhbar, kata ahli sejarah seni dan fesyen Nadya Wang dari Kolej Seni Lasalle.

Daniel dan Vickie Dutton. (Foto: Ihsan Mohaniz Mohariff)

Mengenai hukuman yang dijatuhkan ke atas 18 orang  itu, Ferlynna berkata: "Atas apa yang mereka lakukan terhadap Danny, patutlah mereka dikenakan hukuman mati."

Michael Dutton, yang baru-baru ini melawat kubur abang tirinya untuk kali pertama, menyampaikan mesej ini untuknya: "Anda membuktikan bahawa penebusan diri boleh dicapai dengan kerja keras. Tapi anda sebenarnya berdepan dengan mereka (banduan-banduan) yang bukan mudah untuk berubah. 

"Namun, pada saya anda tetap seorang pemenang, kerana anda membuktikan bahawa sistem (anda) itu boleh berjaya.” 

18 orang yang dikenakan hukuman mati diberi layanan dengan bimbingan agama oleh paderi penjara Khoo Siaw Hua, yang pergi ke sel mereka setiap hari sehingga hukuman mati, kata cucunya Timothy Khoo. "Jadi jalinan beliau dengan mereka sangat, sangat peribadi, hampir intim dalam beberapa perkara."

Salah seorang lelaki itu, Tan Kheng Ann yang berpendidikan Inggeris, menulis surat perpisahan kepada paderi penjara yang ditandatangani semua yang didapati bersalah. Dia mengucapkan "penghargaan setinggi-tingginya kepada beliau setelah apa yang telah dilakukan untuk tahanan-tahanan itu.” 

Tan Kheng Ann, salah seorang daripada 18 tahanan Pulau Senang yang didapati bersalah. (Foto: Ihsan Grace Tan)

“Dengan berat hati kami sekarang mesti mengucapkan selamat tinggal kepada anda, tetapi kami tahu bahawa kami akan berjumpa anda lagi suatu hari nanti — di tempat yang lebih baik, masa yang lebih baik, hari yang lebih baik,” Tan mengakhiri surat itu.

Untuk meredakan kegelisahan dalam menghadapi saat-saat akhir sebelum menjalani hukuman mati, kesemua 18 orang itu bernyanyi ketika menuju ke tali gantung pada 29 Okt 1965.

Surat perpisahan 18 tahanan kepada paderi penjara. (Imej: Shoes Too Big oleh Henry Khoo (2007))

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris. 

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai bagaimana seorang 'livestreamer' cacat pendengaran boleh catat jualan dalam talian puluhan ribu dolar.

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/ih

Advertisement

Also worth reading

Advertisement