Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Bagaimana rasanya tinggal dalam rumah comel yang mesra alam di sebuah pulau selatan Singapura 

Sehingga Rabu (8 Mac), lebih 600 orang telah mendaftar dalam talian untuk mendapatkan diskaun awal.

Bagaimana rasanya tinggal dalam rumah comel yang mesra alam di sebuah pulau selatan Singapura 

Tiny Away Escape @Lazarus Island akan mempunyai lima unit yang dilengkapi dengan ciri-ciri kemampanan untuk mengurangkan jejak karbon pengunjung. (Foto: Sentosa Development Corporation)

SINGAPURA: Mereka yang menantikan penginapan di "rumah kecil" mesra alam baharu di Pulau Lazarus atau Pulau Sekijang Pelepah boleh membuat tempahan mulai Mei tahun ini. 

Kadar penginapan untuk lima unit yang disediakan – setiap satu berukuran antara 150 hingga 170 kaki persegi - akan diumumkan menjelang akhir bulan depan, kata pengendalinya Big Tiny, syarikat Australia yang menyediakan penginapan serupa di negara itu. 

Sehingga Rabu (8 Mac), lebih 600 orang telah mendaftar dalam talian untuk mendapatkan diskaun awal.

Kadar promosi itu lebih kurang selaras dengan apa yang ditawarkan oleh Big Tiny bagi rumah-rumah kecil eko yang dikendalikannya di Australia. 

Menurut pengasas bersama Big Tiny Jeff Yeo bayaran yang dikenakan di Australia bermula daripada 199 dolar Australia (kira-kira RM 595) untuk satu malam. 

Syarikat itu berkata ia kini dalam "peringkat akhir" penyediaan dengan penginapan boleh dibuat  menjelang April, seperti yang diumumkan sebelum ini.

Pada permulaannya Big Tiny akan menyediakan tempat itu untuk rakan-rakan kongsi korporat, para pelanggan dan kakitangannya serta pihak media, sebelum dibuka kepada orang ramai pada Mei. 

Sebelum ini telah diumumkan bahawa Pulau Lazarus yang mempunyai keluasan 47 hektar dan terletak di selatan Singapura, akan mempunyai kemudahan penginapannya yang pertama sebagai kawasan tarikan pengunjung mesra alam. 

Dipanggil Tiny Away Escape @Lazarus Island, lima unit itu akan dipasang dengan beberapa ciri mesra alam,  seperti panel solar dan biodigester yang boleh menukar sisa makanan menjadi kompos dalam masa 24 jam.

Encik Yeo berkata salah satu daripada unit ini adalah rumah eko Big Tiny yang pertama dikendalikannya sejak perniagaan itu dimulakannya pada 2017. 

Unit seluas 150 kaki persegi ini akan dilengkapi dengan katil bersaiz sederhana (queen) untuk dua orang, sebuah dapur yang serba lengkap, penghawa dingin dan pancuran mandian air panas.

Baki empat unit akan menjadi model "baru" yang direka oleh syarikat. Dengan ruang dalaman yang lebih besar sedikit kira-kira 170 kaki persegi, unit-unit itu akan mempunyai katil sofa tambahan untuk dua kanak-kanak dan tingkap-tingkap besar yang menawarkan pemandangan luas 180 darjah ke arah laut. 

Dua daripada lima unit akan juga dijadikan mesra haiwan peliharaan.

Setiap unit akan mempunyai hiasan dalaman yang berbeza-beza, dari desain retro hinggalah kepada hiasan ala penjajahan British, sejajar dengan zaman-zaman yang pernah dilalui Singapura. 

'RUMAH KECIL'

Big Tiny merupakan syarikat pertama di Singapura yang mengintegrasikan eko-pelancongan dengan konsep "rumah kecil" – iaitu sebagai sebuah gerakan antarabangsa yang menyokong kehidupan sederhana di rumah-rumah kecil yang mesra alam.

Firma itu terlibat dalam mereka rumah-rumah kompak atas roda dan menempatkannya dalam persekitaran luar bandar yang indah di lapan negara, termasuk Australia dan Itali.

Unit-unit yang ditempatkan di Pulau Lazarus menandakan penampilan firma itu yang pertama di Singapura dan sambutan "positif" yang diterimanya sejauh ini agak mengejutkan, kata Encik Yeo.

“Kami berharap dapat menggalakkan lebih ramai penduduk bandar untuk mengambil langkah pertama mereka dalam menjelajah dan mengenali semula alam semula jadi, tanpa perlu kita mengorbankan keselesaan menerusi lima ruang penginapan rumah kecil kami yang unik,” katanya kepada CNA.

Penginapan itu adalah yang pertama dalam siri inisiatif baharu Perbadanan Pembangunan Sentosa untuk pembangunan Lazarus dan pulau-pulau Selatan yang lain.

Rancangan itu termasuk mengubah Lazarus menjadi destinasi tarikan ringan untuk tempoh tiga tahun akan datang, kata Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan  Alvin Tan ketika mengumumkannya di Parlimen minggu lepas.

Selain daripada "rumah kecil", Lazarus boleh menjangkakan kemudahan dan tarikan baharu yang lain seperti kedai serbaneka, penginapan ‘glamping’ semalaman dan aktiviti air tidak bermotor yang akan dilancarkan secara berperingkat sekitar Jun.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.  

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai rintihan mangsa-mangsa di Johor menantikan air surut selepas banjir besar. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/sk(ih)

Advertisement

Also worth reading

Advertisement