Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Pendirian tegas, soal hubungan luar bakal mencorak kepimpinan Sultan Johor sebagai Agong baharu: Penganalisis

Para pemerhati berkata bakal Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang baharu mempunyai reputasi tegas dalam  menyuarakan pandangannya mengenai isu-isu dan dasar-dasar kerajaan. 

Pendirian tegas, soal hubungan luar bakal mencorak kepimpinan Sultan Johor sebagai Agong baharu: Penganalisis
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersama perdana menteri Malaysia Anwar Ibrahim. (Foto: Facebook/Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)

KUALA LUMPUR: Pendirian Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi Johor yang tegas menyuarakan pendapatnya secara terbuka mengenai isu-isu dan dasar-dasar kerajaan bakal mencorak dinamika antara pihak Istana Negara dengan kerajaan persekutuan apabila beliau menjadi Yang Di-Pertuan Agong Malaysia yang baharu, demikian menurut para penganalisis yang diwawancara CNA.

Para pemerhati politik memberitahu CNA bahawa salah satu ciri utama Sultan Ibrahim ialah kesediaannya untuk meluahkan fikirannya mengenai isu-isu yang dekat dengan hati rakyat Malaysia. Istana Negara pada hari Jumaat (27 Okt) mengumumkan bahawa Sultan Ibrahim telah dipilih oleh Majlis Raja-Raja sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu mulai 31 Jan tahun depan.   
 
Mereka memetik bagaimana beliau baru-baru ini mengkritik mutu piawaian perumahan kos rendah di Johor, yang membandingkannya dengan reban ayam.

Sultan Ibrahim juga bersuara mengenai kadar vaksinasi COVID-19 yang perlahan di Johor, syarat ketat bagi warga asing untuk membeli rumah di bawah program Malaysia My Second Home (MM2H) serta memberi amaran kepada para penggubal undang-undang supaya tidak melakukan gerakan politik yang boleh mencetuskan ketidakstabilan politik.

Penganalisis Azmi Hassan dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara memberitahu CNA bahawa adalah "menarik" untuk melihat nanti bagaimana Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaannya memberi respons terhadap kritikan-kritikan yang sama sekiranya timbul kelak, selepas Sultan Ibrahim menaiki takhta tahun depan.

Dr Azmi juga memetik bagaimana dalam satu temu bual media baru-baru ini, Sultan Ibrahim telah memuji usaha pembaharuan anti-rasuah Encik Anwar dan juga bagaimana beliau menyuarakan secara positif tentang hubungannya dengan pemimpin Pakatan Harapan itu.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi tumpang kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk ke lapangan terbang Senai selepas pertemuan mereka di Johor Bahru. (Foto: Facebook/Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)

Menurut laporan the Star, Sultan Ibrahim dilaporkan sebagai berkata:“Kami telah bekerjasama dengan baik. Saya boleh katakan ia lebih baik daripada mana-mana perdana menteri sebelum ini."
 
Dr Azmi berkata ini adalah petunjuk bahawa Sultan Ibrahim mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan Anwar dalam kerajaan persekutuan.

"Saya rasa beliau (PM Anwar) adalah perdana menteri yang Tuanku (Sultan Ibrahim) mahu bekerjasama," kata Dr Azmi.

"Saya fikir ia akan menjadi hubungan yang sangat menarik dan saya fikir ia adalah baik untuk negara kerana kita mempunyai seorang raja yang benar-benar menyuarakan pandangannya tetapi pada masa yang sama bersedia untuk bekerja bersama dengan perdana menteri ini," kata Dr Azmi.

Beliau menjelaskan bahawa mempunyai seorang raja yang sedia bersuara untuk rakyat, dan seorang pemimpin seperti Encik Anwar yang telah menunjukkan bahawa "beliau berminat untuk mendengar", adalah tanda-tanda bakal adanya "perkongsian yang kuat".

Penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya menyuarakan sentimen yang sama, dan berkata adalah “menarik" untuk melihat bagaimana reaksi kerajaan persekutuan apabila menerima maklum balas mengenai sesuatu perkara dari Sultan Ibrahim selepas beliau menjadi Yang di-Pertuan Agong. 

Beliau mengambil contoh komen Sultan Ibrahim mengenai perumahan kos rendah di Johor serta MM2H baru-baru ini telah mendorong kerajaan persekutuan untuk mengambil tindakan.

Dalam jawapannya kepada Sultan Ibrahim, Menteri Kemajuan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming telah berikrar bahawa kementeriannya bertekad untuk menangani soal keadaan kediaman perumahan  tersebut dan berikrar untuk menyelesaikan isu pelupusan sampah dalam masa dua hari.

Dalam ucapannya ketika membentangkan Belanjawan baru-baru ini, Encik Anwar juga mengumumkan bahawa kerajaan bersedia untuk melonggarkan sekatan ke atas MM2H supaya lebih ramai warga asing boleh membeli rumah di Malaysia, yang berpotensi meningkatkan pelaburan ke negara ini.

“Ini adalah petanda kerajaan Anwar memandang serius maklum balas Tuanku,” kata Prof Madya Awang Azman.“Tuanku berkepentingan dalam perkara ini dan apabila beliau menjadi Agong, kemungkinan besar pengaruhnya akan diperkuatkan lagi dan beliau akan bersuara dalam isu-isu yang memberi kesan bukan sahaja kepada Johor tetapi kepada seluruh negara,” tambahnya.

AGONG BERKECUALI DALAM POLITIK 

Sultan Ibrahim dipilih semasa Persidangan Majlis Raja-Raja pada Jumaat, di mana kesemua sembilan raja Melayu Malaysia mengundi siapa yang akan menjadi ketua negara yang juga dikenali sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Di bawah pemilihan mengikut giliran di kalangan raja-raja Melayu itu, setiap Yang di-Pertuan Agong di pilih untuk tempoh selama lima tahun. 

Perlembagaan Malaysia juga menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong mesti kekal berkecuali dalam politik. Peranan Agong juga adalah lebih simbolik dan bersifat istiadat. Dan dalam soal melibatkan keputusan utama politik beliau bertindak atas nasihat perdana menteri.

Tujuh daripada sembilan sultan di Malaysia bergambar semasa Persidangan Majlis Raja-Raja pada 27 Okt 2023. (Foto: Facebook/Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)

Peguam perlembagaan Lim Wei Jiet memberitahu CNA bahawa walaupun Yang di-Pertuan Agong perlu mengekalkan hubungan mesra dengan kerajaan agar pentadbiran berjalan lancar, beliau menegaskan Sultan Ibrahim mesti kekal berkecuali dan mengatasi politik, selaras dengan peranannya sebagai raja berlembagaan. 

Bagaimanapun, seperti yang dilihat semasa pemerintahan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekarang, Yang di-Pertuan Agong mungkin terpanggil untuk campur tangan semasa tempoh ketidakstabilan politik.

Semasa tempohnya sebagai Agong, Sultan Abdullah telah bekerja bersama empat perdana menteri yang berlainan, tiga daripadanya dilantik untuk menyelesaikan kebuntuan politik.

Dalam ucapan terakhirnya di parlimen pada Februari, Sultan Abdullah menggariskan bahawa baginda telah tercatat dalam sejarah negara sebagai satu-satunya Agong yang berkhidmat bersama “empat perdana menteri dan empat Kabinet berlainan”. Beliau menambah bahawa empat tahun pergolakan politik mungkin dapat dielakkan jika para ahli politik boleh mengetepikan perbezaan sesama mereka.

Sultan Ibrahim, atas kapasitinya sebagai ketua negeri Johor, juga telah menyatakan pendapatnya mengenai ketidakstabilan politik di peringkat persekutuan.

Pada April laporan mengenai satu percubaan pakatan pembangkang Perikatan Nasional untuk menyingkirkan kerajaan Anwar, dengan memikat para ahli parlimen Barisan Nasional yang tidak menyokongnya, menerima teguran daripada Sultan Ibrahim. 

Beliau mengeluarkan kenyataan yang menegaskan  bahawa percubaan ini "tidak sihat untuk seluruh negara, sama ada dari segi sosial, ekonomi, malah dari segi kedudukan kita di peringkat antarabangsa.”

“Cukup-cukuplah. Berapa lama lagi lebih 30 juta rakyat negara kita harus menanggung situasi ini? Ekonomi mesti dipulihkan dan kemakmuran Malaysia mesti diutamakan,” katanya.

Prof Madya Awang Azman berkata apabila ditabalkan sebagai Agong, Sultan Ibrahim berkemungkinan akan terus bersuara menentang cubaan untuk mengganggu kestabilan politik.

"Apabila baginda menjadi Agong, kita boleh menjangkakan Sultan Johor meneruskan mesej Sultan Abdullah, dan akan menegur mana-mana percubaan ahli-ahli politik untuk mencetuskan perbalahan politik," katanya.

Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) bersama Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. (Foto: Facebook/Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)

Penganalisis politik James Chin dari Universiti Tasmania memberitahu CNA bahawa Sultan Ibrahim menyatakan pandangan-pandangannya sedemikian sebagai mencerminkan kebimbangan rakyat.

Beliau menambah bahawa kestabilan politik pada akhirnya bergantung kepada prestasi kerajaan Encik Anwar, dengan pihak istana tidak berat sebelah dalam perkara itu.

“Jika Anwar boleh berkhidmat selama lima tahun penuh sebagai perdana menteri, maka kita tidak memerlukan budi bicara Agong untuk memilih perdana menteri lain.”

“Saya rasa kebanyakan rakyat Malaysia berharap Anwar akan kekal selama lima tahun penuh dan peranan Agong bersifat adat istiadat sahaja,” tambahnya.

Lima perkara untuk perhatian tentang Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar 

  1. Sultan Ibrahim berketurunan Melayu-British: Bapa Sultan Ibrahim ialah Sultan Iskandar Sultan Ismail, yang berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong antara 1984 dan 1989, dan ibunya ialah wanita Britain Josephine Ruby Trevorrow. Ibu bapanya mempunyai empat orang anak dan bercerai pada tahun 1962. Permaisuri Agong sekarang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ialah adik kepada Sultan Ibrahim.
  2. Sultan Ibrahim mempunyai enam orang anak: Sultan Ibrahim dan isteri, Raja Zarith Sofia, mempunyai enam orang anak - lima lelaki dan seorang perempuan. Anak keempat mereka Tunku Abdul Jalil meninggal dunia pada 2015 selepas bertarung dengan barah hati. Putera sulung mereka Tunku Ismail Idris ialah putera mahkota Johor. Anak perempuan tunggal mereka ialah Tunku Aminah Maimunah Iskandariah. Tiga lagi anak lelaki mereka ialah Tunku Idris Iskandar, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar.
  3. Menerima latihan tentera: Menurut laporan Bernama, Sultan Ibrahim mengikut jejak ayahandanya dan menerima latihan ketenteraan. Dia menjalani latihan tentera udara dan renjer untuk pegawai infantri termasuk dengan Pasukan Khas Amerika dan Pathfinder di mana dia melakukan 19 lompatan payung terjun, lapan daripadanya dilakukan pada waktu malam. Dia juga menjalani latihan juruterbang helikopter dengan tentera udara dan berkhidmat selama tiga bulan dengan tentera laut.
  4. Terlibat dalam pelbagai pelaburan: Media tempatan melaporkan Sultan Ibrahim mempunyai pelbagai pelaburan dan usaha niaga di Johor. Ini termasuk pembangunan hartanah seperti projek Country Garden di Danga Bay dan Forest City, hab minyak dan gas projek Gerbang Tenaga Maharani di luar pantai Muar serta mempunyai taruhan dalam firma telekomunikasi REDtone.
  5. Berminat memasak dan hobi kereta: Sultan Ibrahim baru-baru ini mempamerkan kemahiran masakannya apabila menyiarkan video di Facebook tentang dirinya menyediakan dua hidangan - kari Jepun dan udang galah briyani. Dia juga mempunyai koleksi kereta yang banyak dan dilaporkan memandu kereta-kereta seperti Rolls-Royce Cullinan, Hyundai IONIQ dan Proton Saga generasi pertama.
Collapse

TINGKATKAN HUBUNGAN DENGAN SINGAPURA, CHINA?

Para penganalisis yang bercakap kepada CNA berkata hubungan mesra Sultan Ibrahim dengan para pemimpin Singapura serta kuasa besar ekonomi dunia China, boleh mengukuhkan hubungan Malaysia dengan negara-negara tersebut.

Walaupun Yang di-Pertuan Agong tidak boleh campur tangan dalam perjanjian dan rundingan diplomatik secara langsung, menurut para penganalisis, Sultan Ibrahim boleh, melalui pengaruh beliau dan hubungan peribadinya  dengan para pemimpin ini, memupuk sikap muhibah dan membuka pintu untuk hubungan antarabangsa yang lebih mesra.

Sultan Ibrahim telah beberapa kali bercakap tentang hubungan istimewa yang dikongsi antara Johor dan Singapura, dengan sentimen yang sama ditunjukkan oleh para pemimpin seberang Tambak.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan isteri Ho Ching menerima kunjungan Sultan Johor Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Zarith Sofiah di Istana Singapura. (Foto: Facebook/Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)

Awal bulan ini, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan isterinya Ho Ching menjamu Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor Zarith Sofiah untuk makan malam di Istana.

Encik Lee kemudiannya berkata bahawa hubungan antara Singapura dan Johor telah berkembang maju di bawah "kepimpinan bijak" Sultan Ibrahim Iskandar.

Dalam catatan Facebook selepas majlis makan malam itu, Sultan Ibrahim berkata bahawa kedua-dua Singapura dan Johor boleh bekerjasama untuk "menghasilkan hasil menang-menang dengan faedah yang ketara untuk rakyat dan perniagaan kedua-dua negara".

Mengenai China, Sultan Ibrahim dinukil dalam satu wawancara dengan Sin Chew pada Ogos, bahawa adalah penting bagi Malaysia mengekalkan hubungan mesra dengan kuasa besar Asia itu, sambil menyifatkannya sebagai rakan kongsi pelaburan yang "baik dan boleh dipercayai".

Dr Azmi berkata bahawa kerajaan Malaysia boleh memanfaatkan "hubungan mesra" Sultan Ibrahim dengan negara-negara ini untuk membantu mengukuhkan hubungan diplomatik.

"Saya yakin dengan Sultan Ibrahim sebagai Agong, hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura serta Malaysia dan China akan menjadi lebih baik pada masa akan datang," katanya.

Prof Madya Awang Azman berkata bahawa hubungan istimewa Sultan Ibrahim dengan Singapura dan China "akan mengukuhkan hubungan diplomatik" antara negara-negara ini dan Malaysia apabila beliau  menaiki takhta kelak.

Beliau juga menyatakan bahawa Sultan Johor mempunyai rakan kongsi pelaburan dengan firma-firma dari China dan Singapura.

“Beliau menjalin hubungan mesra dengan para pemimpin utama (di Singapura dan China), dan beliau mungkin menggunakan pengaruhnya untuk membina hubungan dengan rakan sejawatannya di luar negara. Ini berpotensi meringankan kerja kerajaan persekutuan,” tambah Prof Awang Azman.

Penganalisis politik James Chin, yang merupakan Profesor Pengajian Asia di Universiti Tasmania, berkata kemungkinan Sultan Ibrahim akan mendapat jemputan rasmi dari Singapura dan China untuk melawat negara-negara tersebut dan bertemu dengan para pemimpin mereka sejurus selepas beliau   dinobatkan.

Prof Chin menarik perhatian Sultan Ibrahim akan memahami sepenuhnya bahawa peranan raja berperlembagaan bukanlah untuk campur tangan dalam hubungan politik serta ehwal luar negara.

“Saya rasa dia tahu bahawa dia bukan lagi Sultan Johor sahaja, dia bukan bercakap hanya bagi pihak Johor. Dia mewakili (negara) dan lapan lagi saudara  Sultan. Ini semua memerlukan cara permainan yang berbeza,” tambah beliau. 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini.

Source: CNA/ih

Advertisement

Also worth reading

Advertisement