Siapa mudah terdedah kepada gejala trombosis vena: Apa tanda-tandanya?
Gumpalan darah yang dikaitkan dengan trombosis vena dalam (DVT) tidak hanya terjadi pada kaki seperti yang dialami sesetengah orang. Jika ia tidak hanya boleh berlaku di kaki sahaja, di mana lagi tempat ia boleh menjadi masalah?

SINGAPURA: Trombosis vena dalam atau DVT sering dianggap sebagai keadaan yang berkaitan dengan menaiki kapal terbang. Anda duduk terlalu lama dalam posisi tetap di dalam pesawat dan bekuan darah berlaku dalam urat yang jauh di dalam kaki anda.
Pelakon Singapura Rui En baru-baru ini mendedahkan bahawa dia mengalami DVT dalam urat di belakang klavikel atau tulang selangkanya, yang menyebabkan lengan kanannya membengkak dan lebam. Ia sekali gus menidakkan tanggapan bahawa masalah gumpalan darah ini hanya terjadi pada bahagian bawah anggota badan kita.
Berikut adalah gambaran mengenai apa itu DVT dan sama ada ia boleh terjadi kepada anda.
DI MANA BEKUAN DARAH BERLAKU?
Sumbatan bahaya ini kemungkinan besar akan berlaku di bahagian bawah kaki, paha atau pelvis, di mana urat telah tercedera, walaupun gumpalan juga boleh berlaku di lengan, otak, usus, hati atau buah pinggang, menurut Cleveland Clinic.
Bagi Rui En, DVT telah berkembang dalam urat di belakang klavikel atau tulang selangka beliau, menyebabkan bekalan darah ke lengan kanannya terputus. Tanda-tanda awal kecemasannya, seperti yang dikongsi beliau di Instagram, adalah pembengkakan, lebam, dan corak kulit tidak sekata pada lengannya.
APA SIMPTOM-SIMPTOMNYA?
Tidak semua kes DVT akan menunjukkan gejala, menurut Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK. Hanya kira-kira separuh daripada pesakit mempunyai tanda-tanda, yang sama dialami Rui En termasuk juga rasa sakit dan rasa kelembutan, dan rasa hangat di bahagian terjejas.
Sekiranya bekuan bergerak ke paru-paru dan mewujudkan keadaan yang berpotensi membawa maut yang dikenali sebagai embolisme pulmonari (PE), pesakit mungkin mengalami sakit dada apabila menarik nafas panjang, denyutan nadi yang cepat, pengsan, sesak nafas dan batuk darah.
Apabila DVT dan PE berlaku serentak, ia dikenali sebagai tromboembolisme vena atau VTE.
SEJAUH MANA IA BIASANYA BERLAKU?
DVT berlaku dalam 15.8 peratus bagi setiap 10,000 pesakit di Singapura, menurut satu kajian yang diterbitkan dalam Annals oleh Akademi Perubatan, Singapura. Ia dianggap biasa - sebanyak 14 peratus - pada pesakit tempatan yang telah menjalani penggantian lutut sepenuhnya.
ADAKAH VENA VARIKOS TINGKATKAN RISIKO DVT?
Satu kajian pada tahun 2018 yang diterbitkan dalam Journal Of The American Medical Association menunjukkan bahawa pesakit dengan vena varikos mempunyai risiko lima kali ganda untuk mengalami DVT, walaupun kedua-dua keadaan melibatkan jenis urat yang berbeza.
Urat varikos, misalnya, terletak betul-betul di bawah kulit. DVT menjejaskan urat yang terletak jauh di dalam otot. Penyelidik menyimpulkan bahawa lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk memahami hubungan antara kedua-dua isu atau sama ada mereka berkongsi punca yang sama.
BOLEHKAH IA TERJADI PADA ANDA?
DVT sering kali berlaku disebabkan urat yang cedera akibat patah tulang, kecederaan otot, pembedahan, beberapa penyakit kronik yang melibatkan jantung dan paru-paru, serta kanser dan penyakit radang.
Usia juga adalah satu lagi faktor penyumbang, menurut Persatuan Jantung Amerika. Sebagai contoh, kejadian DVT adalah kurang daripada 1 setiap 10,000 pada orang di bawah umur 40 tahun.
Tetapi kadar meningkat kepada 1 setiap 100 pada mereka yang berumur lebih 75 tahun. Ramai berpendapat bahawa usia menyebabkan penebalan injap dalam urat - yang mana tujuan mereka adalah untuk memastikan darah mengalir ke arah jantung - sekaligus menyebabkan darah terkumpul.
Tahap estrogen yang tinggi (seperti pengambilan pil pencegahan kehamilan dan terapi penggantian hormon untuk merawat menopaus) juga boleh membawa kepada tahap protein pembekuan darah yang lebih tinggi, yang seterusnya dapat meningkatkan kemungkinan pembentukan gumpalan darah.

BAGAIMANA MENGELAKKAN DVT
Jika anda duduk untuk jangka masa yang lama, adalah baik untuk memberi latihan kepada otot kaki dengan berdiri dan berjalan setiap 30 minit, menurut Cleveland Clinic. Atau keluar dari kereta setiap jam jika anda sedang memandu lama.
Malah mereka yang berehat di atas katil untuk pulih daripada pembedahan juga boleh mendapat manfaat daripada membuat sedikit pergerakan. Gunakan stoking mampatan dan ambil ubat pencair darah jika doktor anda menetapkannya untuk mengurangkan risiko DVT.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini.