Ubat tamat tempoh: Pakar menasihatkan supaya berhati-hati sebelum memakannya
Anda di antara kita yang berani mengambil ubat yang telah tamat tempoh. Apakah ubat sedemikian masih berkesan, apakah ia boleh menimbulkan bahaya? Program CNA Talking Point meninjau sejauh mana ubat tamat tempoh masih berkesan dan bahaya memakannya.

SINGAPURA: Kadangkala apabila badannya terasa sakit-sakit, Humaira Sulaiman akan mengambil ubat penahan sakit yang disimpannya di dalam peti sejuk.
Antara ubat-ubatan itu, termasuklah untuk selesema dan batuk, telahpun melepasi tarikh luputnya sehingga dua tahun. Tetapi tarikh luput itu jarang sekali diperiksanya.
"Kadangkala saya katakan kepada diri saya, bahawa ubat-ubatan masih berkesan,” katanya. “Memanglah biasanya begitu … ubat-ubat itu masih berkesan nampaknya.”
Bagi Oskar Song, dia tahu bahawa dia telah mengambil ubat yang telah tamat tempoh. Beberapa kotak ubatnya sudahpun menguning, dan tarikh luputnya telah pudar. Tetapi dia "tidak benar-benar" bimbang tentang kesan sampingan. "Saya masih lagi hidup," katanya dengan bergurau.
Bukan hanya mereka berdua yang tidak ragu-ragu menyimpan ubat-ubatan melepasi tarikh luput.
Dalam tinjauan pendapat Talking Point di Instagram, 33 peratus daripada 708 responden berkata mereka telah mengambil ubat yang telah tamat tempoh. 19 peratus lagi berkata mereka tidak menyemak tarikh luput semasa mengambil ubat mereka.
Tetapi adakah ubat yang telah tamat tempoh masih berfungsi seperti yang dimaksudkan? Adakah ia selamat untuk dimakan? Berikut adalah enam perkara yang perlu anda ketahui setiap kali hidung anda berair, kepala rasa sakit atau mengalami gejala alahan.
TONTON: Adakah ubat yang tamat tempoh masih selamat untuk dimakan? (22:02)
1. BERAPA LAMAKAH TEMPOH UBAT YANG BOLEH DIMAKAN?
Lain ubat biasanya mempunyai tempoh pengambilan yang berbeza. Untuk tablet dan kapsul, "tempohnya mungkin sependek enam bulan" atau "selama lima tahun", menurut Priscilla Lim, ahli farmasi pengurusan The Pharmacy Inc.
Untuk cecair, puratanya adalah dua tahun dan satu hingga dua tahun untuk ubat titisan mata.
Ubat kompaun, yang dibuat khas untuk "keperluan unik" pesakit biasanya mempunyai jangka hayat yang lebih pendek - sehingga enam bulan - "kerana ia dibuat dari awal", kata Lim.
Sesetengah ubat mempunyai jangka hayat yang lebih lama "kerana ia secara kimia lebih stabil". Ia boleh menahan perubahan yang timbul daripada sentuhan dengan bahan kimia lain atau persekitaran - lebih daripada ubat-ubatan yang secara kimia tidak stabil, yang "mutunya mungkin merosot lebih cepat", katanya.

Tempoh kegunaan produk yang belum dibuka juga berbeza daripada produk yang sudah dibuka. Sebotol ubat titis mata, sebagai contoh, belum tercemar jika tidak dibuka, yang bermaksud "tiada kuman langsung dalam produk".
"Sebaik sahaja anda membukanya, ia tidak lagi steril atau bebas tercemar," kata Lim. Dan produk itu biasanya mesti dibuang dalam masa 30 hari, katanya.
2. SEJAUH MANA UBAT TAMAT TEMPOH MASIH BERKESAN?
Untuk mengetahui keberkesanan ubat-ubatan yang telah tamat tempoh, Talking Point menghantar beberapa sampel ke makmal untuk ujian: Dua jenis ubat penahan sakit, dua jenis antihistamin — yang digunakan untuk merawat alahan — dan ubat campuran untuk batuk.
Daripada lima, yang kesemuanya telah tamat tempoh sekurang-kurangnya setahun, empat lulus ujian. Ubat-ubatan tersebut mengekalkan tahap keberkesanan atau potensi 90 peratus. Sampel yang gagal, ubat penahan sakit dalam bentuk sirap, mempunyai potensi 51 peratus.

Keberkesanan ubat melepasi tarikh luputnya mungkin terjejas, dengan keadaan seperti bagaimana ia disimpan, yang dikatakan sebagai faktor pengubah yang penting,” kata Lita Chew, yang mengetuai jabatan farmasi Pusat Barah Nasional Singapura.
Ujian yang dilakukan Pentadbiran Makanan dan Ubat Amerika Syarikat untuk memanjangkan jangka tempoh produk ubat yang disimpan oleh tentera AS, menunjukkan bahawa kestabilan sesetengah ubat boleh dilanjutkan melebihi tarikh luput yang tertera dilabel.
Kira-kira 88 peratus daripada ubat yang telah tamat tempoh, yang mewakili 122 produk ubat, dianggap cukup mujarab untuk disimpan sekurang-kurangnya setahun melebihi tarikh luput asalnya.

Bagaimanapun, ubat-ubatan itu telah disimpan dalam pembungkusan tertutup asalnya sebelum ujian - dan dalam "persekitaran yang sangat terkawal", kata Chew, yang memberi amaran agar kita tidak membuat kesimpulan terlalu jauh daripada program ujian AS ini (untuk menyatakan bahawa banyak ubat-ubatan tamat tempoh adalah selamat).
"Namun, kita sebenarnya tidak menyimpan ubat kita dalam keadaan seperti itu," katanya. “Itulah sebabnya mengapa pihak kawal selia di AS masih mengesyorkan supaya … (pengguna) membuang ubat yang telah tamat tempoh.
Ubat akan mula merosot mutunya sebaik sahaja ia meninggalkan kilang pembuatan. (Persoalannya) berapa cepat ia merosot. Jadi saya masih menasihatkan orang ramai untuk mematuhi … tarikh luput untuk memastikan keberkesanan optimum.”
3. ADAKAH MENYIMPAN DI TEMPAT SEJUK BERKESAN?
Sesetengah orang menyimpan ubat mereka di dalam peti sejuk. Tetapi apa yang lebih baik dilakukan adalah dengan memeriksa label mengenai arahan penyimpanan. Sesetengah ubat mungkin rosak kerana sejuk dan lebih baik disimpan pada suhu antara 15 hingga 25 darjah Celsius.
Ini bermakna mengelakkan tempat yang mengumpul haba, seperti di sebelah ketuhar atau peti sejuk, dan mencari tempat yang sejuk dan kering, seperti laci atau rak.
Dalam cuaca panas seperti di Singapura, ini mungkin sukar dilakukan, kata pakar farmasi utama Hospital Besar Singapura, Ong Kheng Yong.
"Kami telah melakukan percubaan kecil, dan suhu di rumah boleh berjulat (sehingga) setinggi 30 hingga 31 darjah C," katanya. "Di bawah keadaan yang kurang ideal ini, ada kemungkinan ubat itu merosot lebih cepat daripada yang sepatutnya.
"Suhu sedemikian mengurangkan jangka hayatnya, dan ia mungkin tidak kekal sehingga tarikh luputnya."

4. APAKAH RISIKO APABILA UBAT MULA ROSAK?
Ubat-ubatan yang biasa disimpan orang di rumah termasuk sirap batuk, semburan hidung, krim antikulat dan steroid serta ubat titis mata.
Ubat-ubatan ini juga berisiko dicemari bakteria, jadi Talking Point menghantar tujuh sampel ke makmal lain untuk diuji keselamatannya.
Sampel telah dibuka selama lebih daripada 30 hari, kebanyakannya sekurang-kurangnya setahun melepasi tarikh luputnya, tetapi ujian menunjukkan bahawa jumlah platnya, yang merangkumi kebanyakan bakteria, adalah kurang daripada 10 setiap satu.
Ini bermakna tiada pertumbuhan bakteria, walaupun dalam dua sampel yang telah tamat tempoh pada 2018 dan pada 2019. Sebabnya ialah "semua produk ini akan mempunyai bahan pengawet", kata Chew.
"Pengawet mencipta persekitaran yang sangat tidak sesuai untuk mikro-organisma, seperti bakteria ... dan kulat untuk tumbuh."

Meskipun demikian, Chew tidak mengesyorkan, sebagai contoh, supaya ubat titisan mata digunakan selepas tamat tarikh luput. Jika botol kerap dibuka dan ditutup, "kemungkinan pencemaran adalah sangat tinggi".
"Apabila anda mempunyai terlalu banyak pencemaran, bahan pengawet tidak akan dapat mengatasinya," dia memberi amaran. "Anda tentunya tidak mahu bermain dengan mata anda, bukan?"
Keselamatan ubat-ubatan lain yang telah tamat tempoh "juga dipersoalkan". Dia mengambil contoh ubat antibiotik biasa, tetrasiklin. Apabila ia merosot, satu produk sampingannya adalah anhydrotetracycline.
Walaupun ini tidak mungkin terbentuk sebelum tarikh tamat tempoh di bawah syarat penyimpanan yang disyorkan, "jika anda mengambil tetracycline yang telah tamat tempoh, produk sampingannya ... adalah toksik kepada buah pinggang", katanya. "Ia boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang."

Sebagai contoh, insulin, yang digunakan dalam rawatan diabetes, ia rosak dengan cepat selepas tarikh luput. Jika insulin gagal merawat atau mencegah lonjakan gula darah dengan berkesan, komplikasi boleh berlaku.
5. BAGAIMANA KITA TAHU UBAT MANA YANG HARUS DIBUANG?
Terdapat cara, selain menyemak tarikh luput, untuk menentukan sama ada ubat tidak lagi selamat untuk dimakan.
"Bau memang memberi kita petunjuk," kata Chew, dengan mengambil ubat aspirin sebagai contoh. “Salah satu hasil sampingannya akibat aspirin yang sudah rosak, adalah asid asetik. Asid ini adalah cuka, jadi ia akan berbau masam."Amoxicillin, antibiotik yang digunakan untuk merawat jangkitan bakteria, juga mempunyai bau - "bau seperti sulfur" - apabila sudah mula rosak. Pemeriksaan fizikal boleh mendedahkan satu lagi perbezaan: Pembungkusan akan menjadi kembung jika antibiotik sudah tidak lagi baik.

Apabila pil kelihatan seperti serbuk, itu juga “menunjukkan bahawa ubat berkenaan sudah tidak selamat", tambah Chew.
6. BOLEHKAH KITA MAKAN UBAT BUKAN UNTUK KITA?
Kadangkala ada orang yang memberi atau menjual ubat-ubatan mereka pada harga di bawah harga rendah dalam pasaran-pasaran online. Banyak ubat-ubat sedemikian disenaraikan sebagai baru dengan tarikh luputnya belum berakhir.
Ini adalah satu kesalahan undang-undang untuk mengedar ubat-ubat preskripsi dengan cara demikian, kata Ong, yang memetik Akta Ubat dan Peraturan Produk Kesihatan (Produk Terapeutik).
Bagi pembeli dalam talian, mereka "tidak digalakkan" untuk mengambil ubat tersebut, katanya.
"Apa yang anda lakukan adalah bertindak di luar langkah sepatutnya iaitu dengan berjumpa profesional jagaan kesihatan anda, yang akan mendiagnosis dengan betul dan memberi anda nasihat individu sama ada ubat itu sesuai ataupun tidak (dan) sama ada terdapat sebarang kesan sampingan."

Mungkin dalam sesebuah keluarga itu para anggotanya berkongsi ubat sesama sendiri, tetapi ini juga menimbulkan "kebimbangan keselamatan yang sama".
“Untuk ubat-ubatan farmasi sahaja, kami akan bertanya soalan-soalan untuk menilai (sama ada keadaan kesihatannya) tidak serius (dan) sama ada anda boleh merawat diri sendiri. Atau adakah anda mungkin mempunyai penyakit tertentu?” kata Ong.
Jika jawapannya adalah ya, kepada soal terakhir, maka diagnosis doktor diperlukan. Jika tidak, ubat yang diambil itu boleh "menyembunyikan" masalah sebenar yang anda hadapi, tambahnya lagi.
Dia mengambil contoh seorang yang mengalami ketidakselesaan gastrik yang membeli ubat di luar preskripsi farmasi untuk merawat gejala.
"Bagaimanapun, tanpa diagnosis, gejala yang dihidapinya mungkin disebabkan masalah lebih asas, seperti penyakit barah perut atau ulser perut," katanya.

Dengan melakukan rawatan sendiri, terutamanya dengan mengambil ubat untuk orang lain, seseorang mesti berhati-hati kerana sesuatu pil itu mungkin sama, tetapi dos memakannya berbeza, katakan, antara 20 hingga 40 miligram.
Misalnya, ubat penahan sakit termasuk parasetamol — yang terdapat dalam pelbagai bentuk — mungkin mengandungi jumlah bahan aktif yang berbeza di dalamnya.
“Jika anda hanya mengingati nama ubat, tetapi tiidak menyemak arahan dos sebenar, anda mungkin mengambil jumlah pil yang betul, tetapi dengan dos yang lebih tinggi daripada sepatutnya,” kata Ong.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.