Sejauh mana kita terdedah kepada Alzheimer jika ada anggota keluarga yang menghidap demensia?
Hari Alzheimer Sedunia yang jatuh pada 21 Sep mengimbau kita untuk meninjau sejauh mana faktor keturunan dan gaya hidup boleh melindungi otak kita daripada penyakit-penyakit degeneratif.

SINGAPURA; Sebagai seorang yang kedua-dua neneknya (baik di sebelah ayah atau ibu) mengalami demensia pada usia lanjut mereka, dan mempunyai ibu bapa yang berada pada tahap kemerosotan fungsi otak (tetapi ini masih belum didiagnosis), saya bimbang tentang kesihatan mental saya sendiri.
Soalannya, "adakah saya mengalami demensia?", muncul dalam fikiran setiap kali saya masuk ke bilik, tetapi lupa apa yang saya sedang cari. Saya menjadi merah muka setiap kali saya terpinga-pinga untuk mencari sesuatu perkataan yang sesuai dalam perbualan. Begitu juga setiap kali saya terima bil-bil rumah, saya tidak dapat membuat perkiraan yang tepat untuk membahagi-bahagikan pembayaran yang perlu dibuat.
Demensia ialah istilah umum yang merangkumi pelbagai simptom, termasuk kemerosotan ingatan, perubahan dalam kemahiran berfikir, bahasa dan tingkah laku, penilaian yang lemah dan penurunan tumpuan yang menjejas keupayaan seseorang untuk melakukan tugas harian secara bebas.
Penyakit Alzheimer, sebaliknya, adalah penyakit otak tertentu dan merupakan jenis demensia yang paling biasa. Ia dikesan dengan adanya protein abnormal yang kusut atau bergumpal menjadi plak di dalam dan di antara neuron. Apabila neuron mati, otak mengecut, bermula di bahagian hippocampus, yang bertanggungjawab untuk pembelajaran dan ingatan.

Jenis demensia biasa yang lain, menurut persatuan antarabangsa bagi penyakit Alzheimer, termasuk demensia vaskular, demensia Lewy dan demensia fronto-temporal (sejenis demensia biasa yang menyebabkan masalah ingatan dan tingkah laku).
Berdasarkan perangkaan yang ada hari ini, keadaannya tidak begitu menggalakkan. Penyakit neurologi seperti demensia adalah penyebab utama kelima kehilangan daya upaya di Singapura.
Satu daripada 10 orang berumur 60 tahun ke atas menghidap demensia, menurut kajian 2015 oleh Institut Kesihatan Mental. Kini sekitar 100,000 orang menghidap demensia di Singapura dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 152,000 menjelang 2030.
Tetapi kita mungkin boleh menjangkakan perubahan pada masa hadapan. "Sejumlah bukti yang semakin meningkat menunjukkan 12 faktor risiko yang menyumbang kira-kira 40 peratus penyakit demensia di seluruh dunia, secara teorinya boleh dicegah atau ditangguhkan," kata Profesor Madya Ng Kok Pin, perunding kanan Jabatan Neurologi, Institut Neurosains Kebangsaan (NNI).
Prof Madya Ng menyenaraikan faktor-faktor itu, tidak mengikut susunan.
1. Kencing manis
2. Hipertensi
3. Kemurungan
4. Merokok
5. Obesiti
6. Kecederaan otak trauma
7. Masalah pendengaran
8. Pengambilan alkohol berlebihan
9. Kurang aktif fizikal
10. Hubungan sosial yang rendah
11. Kurang pendidikan
12. Pencemaran udara

APA KAITANNYA DENGAN KETURUNAN?
Selain daripada faktor luaran disebutkan Prof Madya Ng, perlukah saya bimbang, memandangkan sejarah keluarga saya serta kelemahan saya dalam ingatan, tumpuan dan keupayaan untuk melakukan kiraan mental?
Kita lihat dahulu dari segi penyakit Alzheimer, sejenis demensia yang paling biasa. Apakah risiko saya menghidapinya?
"Jika ibu bapa anda didiagnosis dengan Alzheimer pada usia melebihi 65 tahun, terdapat kemungkinan rendah warisan genetik (kurang daripada 5 peratus peluang). Dan anda harus mengekalkan kesihatan fizikal, emosi dan kognitif anda untuk mengelakkan demensia,” kata Dr Noorhazlina Binte Ali, pakar geriatrik dan perunding kanan di Jabatan Perubatan Geriatrik Hospital Tan Tock Seng.
Pemeriksaan saya dalam talian menemukan saya dengan laman Persatuan Alzheimer UK: "Jika salah seorang ibu bapa mempunyai baka atau gen keluarga, anak mereka akan mempunyai satu daripada dua peluang untuk mewarisinya dan mengalami demensia - biasanya apabila mereka berumur 50-an dan 60-an". Laman web ini mengesahkan bahawa gen keluarga sangat jarang berlaku untuk kebanyakan jenis demensia.
"Bagaimanapun, gen ini mungkin menjadi punca sekitar satu daripada tiga kes demensia fronto-temporal," kata laman web itu.
Terdapat juga demensia permulaan bagi orang muda yang perlu dibimbangkan. Ia merujuk kepada sebarang jenis demensia yang berlaku pada mereka yang berumur di bawah 65 tahun. "Kami telah melihat peningkatan dalam orang yang didiagnosis dengan demensia permulaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini," kata Dr Noorhazlina, yang juga ahli lembaga pengarah persatuan Demensia Singapura. "Lebih daripada 100 individu didiagnosis dengan demensia permulaan golongan muda di NNI setiap tahun."
Sekali lagi, gen terlibat dalam pembentukan demensia ini, khususnya akibat mutasi gen tertentu, kata Dr Noorhazlina, dan ia boleh "diwarisi dalam keluarga". Satu gen tersebut ialah apolipoprotein E (APOE), menurut Persatuan Alzheimer.
Varian tertentu gen ini boleh meningkatkan risiko seseorang menghidap penyakit Alzheimer sehingga empat kali ganda – dan ia boleh bermula seawal usia 30 tahun. Kelebihannya ialah, ia jarang berlaku dan menyumbang kurang daripada 5 peratus kes Alzheimer, kata Dr Noorhazlina.

USIA DAN DEMENTIA
Perlu diberikan perhatian penting bahawa demensia bukanlah keadaan biasa proses penuaan - walaupun dengan usia semakin tua boleh meningkatkan risiko anda.
Ia boleh dikaitkan dengan usia kerana hakikat bahawa penyakit-penyakit yang merosakkan otak, seperti Alzheimer dan penyakit vaskular, boleh mengambil masa yang lama untuk berkembang, menurut Persatuan Alzheimer. Secara purata, kita menggandakan risiko kita setiap lima tahun, kata laman persatuan itu.
Sebagai contoh, kira-kira setiap dua daripada 100 orang mengalami demensia bagi mereka yang berumur antara 65 hingnga 69. Tetapi di kalangan mereka yang berumur lebih dari 90 tahun, sekitar 33 dalam setiap 100 orang mengalami demensia.
Adalah juga tidak membantu apabila kita semakin tua, maka semakin besar kemungkinan kita menghadapi masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi dan risiko strok yang lebih tinggi, antara faktor perubatan lain, yang boleh meningkatkan risiko kita mengalami demensia.
RISIKO YANG BOLEH DIUBAHSUAI
Selain daripada 12 faktor risiko yang disebutkan di atas, apakah ada faktor-faktor gaya hidup lain yang berpotensi menjejaskan otak golongan pertengahan usia?
Sebagai contoh, bolehkah kehilangan tidur dan menggunakan pil tidur menjejaskan profil risiko kita? Patutkah kita melakukan aktiviti atau permainan seperti mahjong? Apakah senanam bercangkung sebagai satu gerakan yang merangsang otak? Kemudian saya juga terbaca satu artikel bahawa ubat mengatasi refluks asid juga boleh meningkatkan risiko demensia.
Apakah kita perlu memberikan perhatian ke atas semua ini?
Baca:

SENAMAN BERCANGKUNG
Menurut pakar seperti Dr Silky Singh Pahlajani, seorang profesor klinikal neurologi tingkah laku dan neuropsikiatri di Weill Cornell Medicine, bercangkung pada asasnya dipanggil senaman penampan otak untuk demensia. Di laman web CNBC, Dr Pahlajani berkata "saya sentiasa memberitahu pesakit saya, apa yang baik untuk jantung adalah baik untuk otak".
Tetapi berbanding latihan jenis kardio biasa yang membuatkan jantung anda berdegup kencang (berlari, berbasikal atau berenang), bercangkung merupakan senaman yang semakin mendapat perhatian kumpulan-kumpulan sembang. Sekurang-kurangnya dalam podcast Dr Michael Mosley Just One Thing. Jadi, mengapa kita perlu bercangkung?
Menurut Damian Bailey, seorang profesor fisiologi dan biokimia di Unit Penyelidikan Neurovaskular Universiti South Wales, bercangkung adalah satu bentuk senaman yang "pintar" kerana anda "sekali-kali mencabar otak dengan peningkatan aliran darah dan penurunan aliran darah. ” Pergerakan "pergi ke sana ke mari dari aliran tinggi ke aliran rendah mencabar lapisan dalaman arteri yang membekalkan darah ke otak."
Dan anda pastinya memerlukan rangsangan dalam aliran darah kerana apabila usia anda meningkat, bahagian otak hippocampus cenderung mengecut dan menerima aliran darah yang kurang, kata Prof Bailey, yang menurutnya keadaan yang dikaitkan dengan penurunan kognitif dan neurodegenerasi yang berkaitan dengan Alzheimer.
Untuk mencerdaskan otak (dan punggung) kita – serta tidak terlalu berat untuk dilakukan - Prof Bailey mengesyorkan tiga hingga lima minit bercangkung tiga kali seminggu.

UBAT REFLUKS ASID
Bagi mereka yang mengambil perencat pam proton untuk mengurangkan aktiviti asid perut yang sebaliknya menyebabkan banyak isu seperti pedih ulu hati, ulser atau penyakit refluks gastroesophageal, anda mungkin mahu pertimbangkannya semula.
Satu kajian yang diterbitkan dalam Neurology edisi Ogos 2023, mendapati bahawa individu yang mengambil perencat pam proton selama 4.5 tahun atau lebih mungkin mempunyai risiko demensia 33 peratus lebih tinggi berbanding orang yang tidak mengambil ubat.
Kajian itu meninjau lebih 5,700 orang berumur 45 tahun ke atas, yang tidak mengalami demensia pada permulaan kajian, selama lebih lima tahun. Mereka dibahagikan kepada empat kumpulan: Mereka yang tidak mengambil ubat; dan mereka yang mengambil ubat selama 2.8 tahun, 2.8 hingga 4.4 tahun, dan lebih daripada 4.4 tahun.
"Walaupun kami tidak menemui kaitan dengan penggunaan jangka pendek, kami mendapati risiko demensia yang lebih tinggi dikaitkan dengan penggunaan jangka panjang ubat-ubat ini," kata pengarang kajian Profesor Kamakshi Lakshminarayan dari Sekolah Kesihatan Awam Universiti Minnesota di Minneapolis, AS.
"Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengesahkan penemuan kami dan meneroka sebab kemungkinan kaitan antara penggunaan perencat pam proton jangka panjang dan risiko demensia yang lebih tinggi," kata Prof Kamakshi.
Jika anda mempunyai kebimbangan tentang ubat untuk merawat keadaan pedih ulu hati, berbincanglah dengan doktor anda. Atau lakukan apa yang dicadangkan oleh Prof Lakshminarayan: Ambil ubat antasid, kekalkan berat badan yang sihat dan elakkan makan lewat dan makanan yang menyebabkan aktiviti asid anda bertindak.

BERMAIN MAHJONG
Kemerosotan kognitif ringan (masalah dengan ingatan, tumpuan dan pembelajaran) menjejas 10 peratus hingga 20 peratus daripada mereka yang berumur di atas 65 tahun - dan kira-kira 10 peratus daripada mereka berkembang menjadi penyakit Alzheimer setiap tahun, menurut kajian ini.
Tetapi perkara yang berpotensi mengubah keadaan pada peringkat ringan ini ialah, saya gembira untuk menyatakannya adalah dengan bermain mahjong. Kajian yang sama merekrut 56 peserta - berumur 65 tahun dan ke atas dan semua yang mengalami gangguan kognitif ringan yang menghuni rumah jagaan di Sichuan, China. Mereka bermain mahjong tiga kali seminggu selama satu jam setiap kali selama 12 minggu. Warga emas itu kemudiannya menjalani ujian menyambungkan nombor dan soal selidik untuk menilai kebebasan mereka dalam aktiviti harian.
Malah seawal minggu keenam, kumpulan mahjong sudah menunjukkan peningkatan yang kecil tetapi stabil dalam markah mereka berbanding kumpulan kawalan. Menjelang akhir 12 minggu, markah pemain mahjong "meningkat dengan ketara".
“Dalam mahjong, pemain dikehendaki mengekalkan perhatian yang tajam, ingatan yang mantap dan pengiraan mental yang tajam. Keseronokan memenangi permainan meningkatkan lagi kemahiran ini dengan cara yang positif,” kata pakar psikiatri Dr Lim Boon Leng dari Pusat Kesejahteraan Psikologi Dr BL Lim di Hospital Gleneagles. "Ini mencerminkan prinsip latihan mental, menyumbang kepada pengukuhan dan pemantapan kebolehan kognitif."

Aspek sosial bermain dengan tiga pemain lain adalah satu lagi dorongan kuat untuk otak kita. "Adalah dipercayai bahawa aktiviti mental dan sosialisasi melindungi daripada penurunan kognitif dan demensia melalui meningkatkan daya tahan otak," kata Profesor Madya Christopher Chen, seorang perunding pelawat dengan Jabatan Perubatan Psikologi Hospital Universiti Nasional.
"Dari masa ke masa, melalui proses yang dipanggil neuroplastisitas, otak anda boleh berubah untuk mengukuhkan kemahiran yang dipelajari dan menghadapi perubahan yang dibawa oleh penyakit," katanya. “Secara amnya, saya menasihati orang ramai untuk mengambil bahagian dalam permainan mental yang menarik dan mencabar. Aktiviti pasif (seperti menonton TV) mungkin tidak memberikan manfaat otak yang sama.”
Dan ia bukan sahaja mahjong. Dr Lim juga mengesyorkan catur, permainan kad dan juga bingo. Jika anda tidak dapat mengumpulkan rakan yang mencukupi untuk "membuka meja" dalam pertuturan mahjong, permainan mental solo seperti Sudoku dan teka silang kata juga bagus - walaupun anda akan terlepas pergaulan yang anda perolehi daripada bermain dengan rakan-rakan.
DAPATKAN TIDUR YANG MENCUKUPI

Tidur yang cukup bukan sahaja menghalang anda daripada mengantuk pada siang hari, tetapi juga seperti "membilas" toksin yang menyebabkan demensia dari otak anda, kata pihak penyelidik. Malah, jika anda mengalami insomnia atau masalah berkaitan tidur seperti tempoh tidur yang berubah dan tidur yang setara, anda mungkin menghadapi risiko penyakit Alzheimer yang lebih tinggi, kata Prof Madya Ng.
Dalam satu laporan kajian, kira-kira dua pertiga daripada pesakit penyakit Alzheimer mempunyai "masalah yang berkaitan dengan tidur seperti kerap tidur siang, terjaga pada waktu malam dan pada matahari terbenam (kegelisahan dan tingkah laku yang mengganggu yang berlaku pada waktu petang atau malam)", kata beliau.
Jadi, kita mungkin boleh menggunakan bantuan tidur seperti mesin yang mengeluarkan bunyi pelelap mata, permainan menjejak tidur dan mengambil suplemen melatonin. Mereka yang memerlukan bahan yang lebih kuat boleh mengambil pil tidur preskriptif seperti benzodiazepin (kita mungkin boleh mengenalinya sebagai Clobazam, Clonazepam, Diazepam, Lorazepam, Nitrazepam atau Xanax).
Namun, "terdapat kaitan antara pil tidur dan demensia", "walaupun hubungan sebab musababnya yang pasti belum dapat dibuktikan," kata Dr Lim, memetik rencana pengarang yang diterbitkan dalam The American Journal Of Psychiatry.
Daripada bergantung kepada pil tidur, Dr Lim menasihatkan supaya kita menghuraikan punca insomnia kita terlebih dahulu. “Seringkali, insomnia berpunca daripada ketakutan tidak dapat tidur dan juga boleh disebabkan oleh pelbagai keadaan psikiatri atau masalah perubatan lain. Terapi tingkah laku kognitif yang boleh disesuaikan untuk insomnia mungkin dapat menjadi cara yang berkesan untuk meningkatkan kualiti tidur."
Terdapat "lebih banyak bukti yang muncul" menunjukkan bahawa bakteria yang menyebabkan plak gigi dan penyakit periodontal (seperti gingivitis dan periodontitis) boleh memainkan peranan dalam "perkembangan dan perkembangan demensia, khususnya, penyakit Alzheimer", kata Dr Jacinta Lu, ketua klinikal dan perunding dengan Jabatan Periodontik, Pusat Kesihatan Pergigian Universiti Nasional, Singapura.

BERUS DAN FLOS GIGI
Kesihatan pergigian yang baik bukan sahaja menjimatkan wang anda semasa lawatan pergigian dua kali setahun. Malah nampaknya, ia juga boleh mengurangkan risiko penyakit Alzheimer.
Terdapat "lebih banyak bukti yang muncul" yang menunjukkan bahawa bakteria yang menyebabkan plak gigi dan penyakit periodontal (seperti gingivitis dan periodontitis) boleh memainkan peranan dalam "menjadi penyebab dan memperkembangkan demensia, khususnya, penyakit Alzheimer", kata Dr Jacinta Lu, ketua klinikal dan perunding dengan Jabatan Periodontik, Pusat Kesihatan Pergigian Universiti Nasional, Singapura.
"Bukti daripada kajian in-vitro, model haiwan dan manusia menyokong peranan bakteria dari tahap biofilm periodontal dan toksin serta enzimnya sebagai pemula punca sebagai penyebab dan perkembangan penyakit Alzheimer," kata Dr Lu.
Bakteria mulut ini boleh menembusi penghalang darah-otak dan selepas itu, "ia boleh sama ada secara langsung atau tidak langsung membantu menggalakkan pecahan tisu otak yang sihat atau mengganggu fungsi neuron individu yang terdedah", kata Dr Lu.

Jika anda masih tidak yakin untuk memberus dan flos dua kali sehari, penyelidik telah menemui "peningkatan kelaziman periodontitis di kalangan penghidap demensia", kata Dr Yang Jingrong, ketua Klinik Pergigian Penjagaan Khas Geriatrik, Jabatan Pergigian Restoratif di Pergigian Kebangsaan Pusat Singapura (NDCS).
"Bagaimanapun, terdapat banyak perdebatan mengenai sama ada kaitan itu adalah penyebab atau kaitan yang longgar," kata Dr Yang, yang juga perunding dengan Unit Periodontik, Jabatan Pergigian Restoratif di NDCS. "Kebanyakan kajian jangka panjang adalah kurang daripada 10 tahun dan mengambil masa 10 tahun atau lebih untuk mengukur sebarang penurunan kognitif sebagai sesuatu hasil kesan.”
"Bagaimanapun, kajian telah mentunjukkan bahawa penyakit periodontal wujud dengan peningkatan tahap penyakit radang yang membawa kepada kemerosotan demensia, khususnya, demensia vaskular. Dalam konteks ini, penyakit periodontal boleh menjejas individu yang terdedah kepada demensia dan menyumbang kepada permulaann penyakit tersebut," katanya.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.