Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Penyakit Altitud Tinggi: Bagaimana boleh berlaku, mengapa boleh membawa maut?

Apakah langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko diserang penyakit altitud (ketinggian) tinggi. Apakah tanda-tanda yang perlu diberikan perhatian? 

Penyakit Altitud Tinggi: Bagaimana boleh berlaku, mengapa boleh membawa maut?
Pemandangan Gunung Everest, puncak tertinggi di dunia, dan beberapa puncak lain banjaran Himalaya dari tingkap pesawat semasa penerbangan merentas gunung dari Kathmandu, Nepal. (Foto fail: Reuters/Monika Deupala)

SINGAPURA: Percubaan mendaki sehingga mencapai puncak tertinggi dunia sudah menjadi cabaran yang menarik ramai pendaki ke negara-negara seperti Nepal dan Tanzania setiap tahun.

Namun, persekitarannya yang amat melampau juga meningkatkan risiko kepada tubuh manusia.

Tekanan barometik - atau tekanan udara - jatuh apabila ketinggian meningkat. Keadaan ini menyebabkan kejatuhan yang sepadan dalam tekanan oksigen, mengakibatkan hipoksia hipobarik, atau kekurangan oksigen di udara.

Sebagai contoh, udara pada ketinggian 3,000m mengandungi hanya kira-kira 69 peratus lebih banyak oksigen berbanding di paras laut, dan ia semakin berkurangan apabila kita mendaki lebih tinggi. 

Di puncak Everest, iaitu puncak gunung tertinggi di dunia, terdapat hanya kira-kira 33 peratus oksigen di udara. Sebuah kawasan yang dikenali sebagai 
"Zon kematian" gunung itu, terletak di ketinggian  8,000m, juga terkenal dengan rupa buminya yang sukar.

Selain daripada penyakit ketinggian, pendaki juga terdedah kepada berbagai keadaan seperti radang dingin dan kerosakan mata.

Menurut satu laporan baru-baru ini, seorang lelaki warga Singapura meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan akibat penyakit ketinggian atau altitud tinggi, ketika cuba mendaki Gunung Kilimanjaro di Tanzania.
Dia meninggal dunia akibat asfiksia, keadaan yang berlaku apabila badan kekurangan oksigen, dan edema paru-paru ketinggian tinggi (HAPE), penyakit ketinggian yang boleh membawa maut.

Pada bulan Mei, seorang lagi pendaki dari Singapura dilaporkan hilang selepas sampai ke puncak Everest. Menurut isterinya, dia mengalami edema serebral ketinggian tinggi (HACE) yang menghalang “keupayaannya untuk turun semula”. 

APA ITU SAKIT ALTITUD TINGGI?

Penyakit altitud tinggi berlaku apabila seseorang mendaki ke kawasan-kawasan altitud tinggi tanpa memberi tubuh mereka masa yang cukup untuk menyesuaikan diri. Ia biasanya menjejas mereka yang mendaki sehingga kepada ketinggian sekurang-kurangnya 2,500m di atas paras laut. Namun, penyakit itu juga boleh menyerang pendaki di kawasan-kawasan yang lebih rendah. 

Terdapat tiga jenis penyakit ketinggian: Penyakit Gunung Akut (AMS), HACE dan HAPE.

Daripada ketiga-tiganya, penyakit gunung akut adalah yang paling biasa, dan selalunya tidak berbahaya. Bagaimanapun, jika ia tidak didiagnosis, serangan itu boleh membawa kepada dua penyakit lainnya, HACE dan HAPE, yang lebih serius dan berpotensi mengancam nyawa.

HACE berlaku apabila tekanan di dalam otak semakin meningkat, mengakibatkan cecair pecah dan bengkak. HAPE pula menjejaskan paru-paru – di mana cecair mengumpul dan mengganggu pengaliran oksigen yang berkesan dalam darah.

Seberapa teruk seseorang itu terjejas akibat kekurangan oksigen bergantung pada ketinggian mereka, kadar pendakian mereka dan tempoh mereka berada di altitud tinggi.

GEJALA ATAU SIMPTOM YANG PERLU DIPERHATIKAN 

AMS atau Penyakit Gunung Akut bermula dengan gejala ringan seperti sakit kepala dan loya.

Gejala lain termasuk pening, muntah, keletihan dan kehilangan tenaga, sesak nafas, masalah tidur dan hilang selera makan.

Menurut laman web pelancongan kembara SGTrek, gejala biasanya berlaku dalam masa 12 hingga 24 jam selepas mencapai ketinggian yang lebih tinggi, dan kemudian menjadi lebih baik dalam satu atau dua hari apabila badan menyesuaikan diri dengan perubahan ketinggian.

Tetapi jika gejala itu tidak dirawat, AMS boleh menjadi lebih teruk kepada HAPE dan HACE.

Gejala HAPE termasuk dada terasa sesak, keletihan yang melampau, sesak nafas walaupun dalam keadaan rehat, batuk yang mungkin mengeluarkan cecair berbuih putih atau merah jambu dan demam. Mereka menghadapi gejala itu juga mungkin mengalami sianosis, keadaan di mana kulit, kuku atau putih mata mereka mula bertukar menjadi biru.

Gejala HACE termasuk sakit kepala, kehilangan koordinasi, kelemahan, kekeliruan, kehilangan ingatan dan halusinasi. Ia juga boleh menyebabkan perubahan dalam tingkah laku normal dan keupayaan untuk berfikir. Ada juga yang mengakibatkan koma dalam kes-kes yang lebih teruk. 

Sebuah artikel di laman web Harvard Health menyatakan bahawa gejala HACE mungkin tidak dapat disedari dengan segera kerana penyakit itu boleh bermula pada waktu malam.

"Mereka yang mengalami kecederaan rendah oksigen ini menjejas otak dan proses pemikiran. Namun mereka yang mengalami HACE mungkin tidak memahami bahawa simptom mereka telah menjadi lebih teruk sehinggalah rakan-rakan pengembara lain menyedari tingkah laku luar biasa," jelas rencana tersebut. 

Dr Peter Yan, pakar kardiologi swasta di Gleneagles, berkata walaupun HACE mempunyai insiden yang lebih rendah, keadaan perubahan kepada HAPE lebih cepat membawa maut.

Beliau juga menyatakan bahawa kira-kira 14 peratus daripada kes HAPE juga boleh melibatkan HACE. 

SIAPA YANG MUDAH TERJEJAS? 

Penyakit altitud tinggi boleh menjejas sesiapa sahaja, tanpa mengira tahap kecergasan, umur dan jantina.

Namun, telah diperhatikan bahawa ia lebih berkemungkinan berlaku pada orang yang mempunyai sejarah penyakit ketinggian sebelum ini, mereka yang mendaki dengan cepat dan mereka yang telah tinggal di ketinggian rendah sebelum melakukan pendakian.

Mereka yang mempunyai masalah perubatan yang melibatkan jantung, sistem saraf atau paru-paru juga berisiko lebih tinggi. Menurut Harvard Health, mereka yang ada masalah obesiti juga nampaknya mempunyai risiko tinggi. 

BAGAIMANA IA DIRAWAT?

AMS bersifat sementara dan biasanya hilang dengan sendirinya apabila badan diberi masa yang cukup untuk menyesuaikan diri dengan ketinggian yang lebih tinggi.

Bagi para pendaki, mereka haruslah berhenti mendaki  serta-merta dan turun ke altitud yang lebih rendah apabila mereka merasakan adanya tanda-tanda bergejala. Lakukanlah rehat yang betul dan serta mengambil ubat untuk melegakan gejala seperti sakit kepala.

Kebanyakan orang berasa pulih selepas turun 500m hingga 1km, menurut laman web farmasi National Healthcare Group (NHG). Jika perlu, oksigen yang disedut boleh mengurangkan gejala penyakit. Walau bagaimanapun, ia hanya boleh digunakan oleh  seseorang yang bergejala atau semasa tidur.

Mereka yang keadaannya meningkat kepada HAPE atau HACE harus mendapatkan bantuan perubatan segera. Dalam kes-kes lewat dirawat, seseorang pesakit boleh diletakkan dalam ruang hiperbarik (tekanan) mudah alih, sekiranya ada. Alat ini mensimulasikan keadaan turun ke paras ketinggian yang lebih rendah dan boleh membantu sedang persiapan dibuat untuk menurunkan pesakit. 

Ubat, seperti acetazolamide dan dexamethasone, juga boleh diberikan.

Acetazolamide - atau Diamox - ialah perangsang pernafasan dan meningkatkan pengoksigenan. Ia juga boleh mempercepatkan penyesuaian tubuh kepada persekitaran. Namun, ubat ini berkaitan dengan sulfonamide, dan harus dielakkan oleh individu yang mempunyai sejarah alahan teruk kepada sulfa.

Dexamethasone ialah steroid kuat yang boleh mengurangkan atau mencegah gejala AMS, serta mengurangkan pembengkakan otak dalam kes HACE.

Menurut Dr Yan, kesan-kesan jangka panjang semua gejalan itu akan bergantung kepada sejauh mana keparahan yang dialami oleh pesakit. 

"Bagi AMS ... biasanya tidak ada kesan jangka panjang," katanya. "Semua gejala akan hilang selepas turun ke ketinggian lebih rendah dan pulih dalam beberapa hari."

Namun, lain pula bagi mereka yang mengalami HAPE atau HACE.

Bagi HACE, individu kadangkala mungkin mengalami kesan jangka panjang atau disfungsi otak, bergantung kepada keterukan dan tindak balas terhadap rawatan awal, kata Dr Yan.

Jika dirawat lebih awal, simptom HAPE biasanya akan hilang, sambil menambah bahawa kes-kes yang teruk boleh mengambil masa beberapa minggu untuk pulih.

"HAPE ialah edema pulmonari bukan kardiogenik dan oleh itu harus membuat pemulihan yang baik apabila dirawat dengan sewajarnya, seperti mengesan atau diagnosis lebih awal, turun ke ketinggian yang lebih rendah, pemberian oksigen dan jika perlu, diuretik," katanya.

Gejala jangka panjang lain boleh juga termasuk keletihan, sesak nafas dan sakit-sakit pada tubuh. 

Jika tidak dirawat, kedua-dua HACE dan HAPE boleh menyebabkan kematian.

BAGAIMANA BOLEH MENCEGAHNYA?

Penyesuaian diri pada ketinggian, atau menyesuaikan diri akibat penurunan paras oksigen pada ketinggian tinggi, adalah penting dalam mencegah penyakit altitud tinggi.

Para pendaki harus bergerak perlahan-lahan untuk membolehkan badan membiasakan diri dengan perubahan ketinggian dan mengelakkan terus mendaki ke paras ketinggian melebihi 3,000m.

Mereka yang tinggal di kawasan kurang daripada 1,500m di atas paras laut tidak seharusnya naik terlalu cepat, kata NHG.

"Bagi pendaki altitud tinggi, peraturan biasa penyesuaian diri termasuklah tinggal beberapa hari di kem pangkalan, mendaki ke kem yang lebih tinggi (perlahan-lahan), dan kemudian kembali ke kem pangkalan," kata Dr Yan.

"Pendakian berikutnya ke kem yang lebih tinggi termasuk penginapan semalaman. Proses ini kemudian diulang beberapa kali, setiap kali memanjangkan masa yang dihabiskan di ketinggian yang lebih tinggi untuk membolehkan badan menyesuaikan diri dengan paras oksigen di sana. Ia adalah satu proses yang melibatkan pengeluaran sel darah merah tambahan."

Laman SGTrek pula mengesyorkan supaya pendaki mengambil masa dua hingga tiga hari untuk membiasakan diri dengan altitud tinggi sebelum mendaki melebihi 3,000m.

NHG menambah mereka yang merancang untuk mendaki lebih 3,000m di atas paras laut harus menghadkan pendakian mereka kepada kurang daripada 500m sehari, dan merancang hari rehat untuk setiap 1km. "Naik tinggi dan tidur rendah" juga dinasihatkan - iaitu, mendaki ke altitud yang lebih tinggi pada waktu siang dan kembali ke ketinggian lebih rendah untuk tidur pada waktu malam.

"Panduan umum adalah supaya tidak mendaki lebih daripada 300m sehari untuk tidur," kata Dr Yan.

"Proses ini tidak boleh dilakukan dengan gopoh-gapah  dengan selamat, dan inilah sebabnya pendaki perlu menghabiskan masa berhari-hari (atau bahkan berminggu-minggu) untuk menyesuaikan diri sebelum cuba mendaki puncak yang tinggi."

Mereka juga harus pastikan minum air yang mencukupi dan mengelakkan alkohol dan pil tidur, terutamanya dalam dua hari pertama, kata NHG. Makanan yang mengandungi banyak berkanji disyorkan apabila berada di altitud tinggi.

Ia menambah bahawa mereka yang minum kafein secara kerap tidak boleh berhenti meminumnya sebelum atau semasa perjalanan mereka. Ia kerana berhenti secara tiba-tiba boleh menyebabkan gejala yang serupa dengan penyakit altitud tinggi. Kafein selamat di altitud tinggi, katanya.

Akhir sekali, mereka yang merancang untuk bermain ski atau mendaki, tidak harus membebankan badan mereka untuk beberapa hari pertama semasa berada di altitud tinggi.
 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.  

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai bagaimana para jururawat Malaysia yang bekerja di Singapura menghuraikan masalah pengangkutan harian mereka.  

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/ih

Advertisement

Also worth reading

Advertisement