Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu
Advertisement
Advertisement

Malaysia

'Diambang krisis': Bagaimana penyakit buah pinggang boleh sampai ke peringkat membimbangkan, apa yang boleh dilakukan?

Ramai pesakit hanya mengetahui keadaan sebenar mereka apabila mula mengalami kegagalan buah pinggang. Dengan enam orang di Singapura didiagnosis setiap hari, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) memberi amaran tentang kekurangan tempat dialisis untuk pesakit baru.

'Diambang krisis': Bagaimana penyakit buah pinggang boleh sampai ke peringkat membimbangkan,  apa yang boleh dilakukan?
Hampir setiap ruang rawatan penuh di pusat dialisis terbesar Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF), iaitu Pusat Renal Bersepadu. 
  • Lebih daripada 300,000 orang mengidap penyakit buah pinggang kronik, tetapi 200,000 lagi mungkin belum dikesan.
  • Mungkin tidak ada tempat dialisis yang mencukupi untuk pesakit baharu jika tiada perubahan, kata NKF.
  • Pemeriksaan kesihatan adalah satu penyelesaian, tetapi sesetengah doktor meminta perlindungan yang lebih meluas, termasuk menyertakan program Pemeriksaan Kesihatan Demi Kehidupan.
  • Pengesanan peringkat awal akan membawa kualiti hidup yang lebih baik dan kos yang lebih terkawal.

Dengan kerjasama Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF)

SINGAPURA: Setiap hari pada pukul 11 pagi, pusat renal bersepadu terbesar di Singapura menjadi riuh rendah seolah-olah, seperti yang dinyatakan Shanthini Durga, "Perang Dunia Ketiga" telah berlaku. 

Jururawat itu dan pasukannya akan menguruskan pesakit demi pesakit dengan cepat dengan membantu mengeluarkan mereka dari mesin dialisis. Di luar, kumpulan seterusnya seramai 40 pesakit telah mula beratur untuk giliran mereka menggunakan mesin itu.

Dengan kemahirannya menarik jarum dari urat dan membasmi kuman pada alat demi alat, Shanthini berkata: "Inilah betapa cepat kita perlu bergerak."

Apa yang penting adalah untuk memastikan hari berjalan dengan lancar seperti jam, dengan tiga kitaran dialisis setiap hari.

Namun, keadaan tidaklah begitu sibuk seperti ini. Empat tahun yang lalu, ketika Shanthini memulakan tugas ini, pusat tersebut "hanya separuh penuh". Kini, hampir setiap ruang di pusat dialisis Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) dipenuhi.

Waktu puncak sebelum setiap kitaran dialisis bermula.

Sememangnya, di seluruh 41 pusatnya, NKF menerima kira-kira 100 permohonan baru untuk tempat dialisis setiap bulan, hampir dua kali ganda dari angka lima tahun yang lalu, kata pengarah perubatannya, Jason Choo.

Namun, dengan 9,000 atau lebih pesakit di Singapura yang mengalami kegagalan buah pinggang – ia hanya merupakan segelintir daripada jumlah sebenarnya – terdapat lebih daripada 300,000 orang yang menghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD), petanda berbahaya kepada kegagalan buah pinggang.

Ini hanyalah kes yang dapat dikesan: Bagi setiap 10 diagnosis, dianggarkan lima hingga tujuh orang yang tidak mengetahui langsung bahawa mereka mempunyai penyakit tersebut, kata Yeo See Cheng, ketua perubatan buah pinggang di Hospital Tan Tock Seng (TTSH).

Ini bermakna lagi 200,000 orang mungkin sedang menjalankan aktiviti harian mereka tanpa menyedari bahawa buah pinggang mereka mengalami masalah. Jika dibiarkan begitu sahaja, CKD akan berkembang sehingga kegagalan buah pinggang berlaku.

TONTON: Usaha Singapura melawan kegagalan buah pinggang – suatu krisis dialisis yang membimbangkan?

Implikasinya adalah "dalam beberapa tahun akan datang", jika tiada perubahan berlaku, pusat dialisis tidak akan mempunyai cukup tempat untuk pesakit baharu, kata Choo.

"Kami kini berada di ambang ... dari segi jumlah pesakit," katanya. “Dengan kadar perkembangan sekarang, kita perlu mendirikan pusat dialisis di setiap blok (kawasan perumahan) HDB."

PEMBUNUH SENYAP

Kira-kira satu pertiga daripada pesakit yang dirawati Yeo tidak menyedari akan keadaan buah pinggang mereka sehinggalah ia sudah terlambat. Mereka biasanya akan "muncul mendadak" di jabatan kecemasan dan kemalangan TTSH, sama ada dengan kaki yang terlalu bengkak atau kegatalan perut yang tidak terkawal. 

Pada masa itu, buah pinggang pesakit biasanya berada di ambang kegagalan, kerosakannya tidak akan dapat dipulihkan. Pesakit perlu segera memulakan rawatan dialisis, yang akan menjadi terapi sepanjang hayat kecuali jika pembedahan pemindahan organ dapat dilakukan.

"Ia seperti pembunuh senyap," kata Yeo. “Sebab pada peringkat awal (CKD), pesakit tidak mempunyai sebarang gejala. Mereka berasa normal, mereka berasa sihat, walaupun fungsi buah pinggang mereka telah merosot. 

"Ramai pesakit tidak menyedari sehingga mereka berada di tahap lima, yang dikenali sebagai kegagalan buah pinggang."

Dr Yeo See Cheng merasa “sangat sukar” setiap kali dia mendiagnosis pesakit dengan kegagalan buah pinggang. “Beban kesihatan dan juga sokongan emosi yang diperlukan oleh pesakit tersebut sangat besar.” (Gambar: Christy Yip/CNA)

Pada masa itu, hampir 85 peratus daripada buah pinggang telah merosot. “Sayang sekali,” katanya. “Cuba bayangkan bagaimana kehidupan golongan pesakit ini akan berbeza sekali sekiranya penyakit mereka dikenal pasti lebih awal lagi.”

Apa yang pasti, kehidupan mereka tidak akan terikat dengan mesin tiga kali seminggu.

"Saya telah menjalani kehidupan yang sama ini selama sembilan tahun," kata Radheana Zamri, yang berusia 21 tahun ketika dia mengetahui bahawa dia mengalami kegagalan buah pinggang dan, pada usia 30 sekarang, adalah pesakit termuda di pusatnya. 

Pada hari-hari dialisis, dia sudah keluar dari pintu rumah pada pukul 6.50 pagi, siap dengan beg makanan ringan untuk menjalani terapi selama empat jam.

Dia adalah penghidap kencing manis Jenis 1, salah satu penyakit autoimun di mana badan tidak dapat mengawal kandungan gula darah, sejak dia berusia lapan tahun tetapi menyangka dia hanya akan mengalami CKD di kemudian hari.

Mengapa CKD begitu berbahaya

Penyakit buah pinggang kronik (CKD) disebabkan oleh keadaan seperti kencing manis, darah tinggi dan keradangan atau faktor genetik. Ia boleh menyebabkan sel-sel buah pinggang mati, dan sel-sel ini tidak akan tumbuh semula. 

Walaupun mengalami kerosakan, buah pinggang terus menjalankan fungsinya: untuk membuang toksin dan cecair berlebihan dari badan.

Dari segi luar, pesakit mungkin merasa normal selama bertahun-tahun sebelum CKD berkembang ke tahap di mana lebih banyak sel mati, kata penasihat kanan Tan Chieh Suai, ketua jabatan perubatan buah pinggang Hospital Besar Singapura.

Apabila buah pinggang menjadi semakin lemah dari masa ke masa, toksin menjadi lebih sukar untuk ditapis dan akan terkumpul dalam tubuh. Hanya pada masa itu gejala-gejala yang jelas akan muncul. Pada  masa itu, pesakit mungkin sudah sampai ke peringkat lima CKD.

Collapse

Kencing manis Jenis 1 dan Jenis 2 adalah penyebab CKD yang paling ketara di Singapura. Punca lain termasuk darah tinggi, keradangan dan faktor genetik. 

Pesakit kegagalan buah pinggang seperti Radheana hanya boleh minum antara 500 mililiter dan satu liter air sehari serta mempunyai senarai makanan yang panjang untuk dielakkan, kerana buah pinggang tidak lagi dapat menapis toksin dan cecair berlebihan, atau mengawal tekanan darah dengan cekap.

Secara am, keperluan diet mereka menunjukkan bahawa pesakit mesti mengelak daripada makanan yang tinggi fosfat, yang merangkumi makanan yang diproses (mi segera, kerepek kentang, dan sebagainya), produk tenusu (susu, yogurt dan keju, dll) dan produk kering (rumpai laut, keropok ikan/udang, ikan bilis, dll).

Pesakit juga harus mengelak makanan yang tinggi kalium, yang merangkumi bijirin penuh, kacang, biji-bijian, kelapa dan produk berkaitan, minuman ubat herba, serta mengurangkan pengambilan garam mereka. 

Tetapi apa yang paling sukar bagi Radheana adalah kehilangan kebebasan.

Ibu bapa Radheana juga menghidapi kegagalan buah pinggang. Mereka meninggal dunia sepuluh tahun yang lalu. (Gambar: Eileen Chew/CNA)

"Satu perkara (yang saya terlepas) adalah melancong," katanya. "(Sebagai) orang muda, kami suka melancong. Keluarga saya juga selalu suka melancong, jadi kadang-kadang saya tidak dapat mengikuti mereka. Atau apabila mereka mahu tinggal lebih lama, saya hanya boleh pergi untuk masa yang lebih pendek."

Malah mencari masa untuk bertemu rakan-rakan juga sukar, terutamanya pada hari dialisis. “Ia seperti kehidupan saya memang di sini (di pusat). Ini talian hayat saya. Jika saya (tidak) pergi, maka begitulah nyawa saya,” katanya. 

Ia adalah sesuatu yang "sangat memusnahkan" apabila pesakit berdepan dengan kegagalan buah pinggang, kata ketua perkhidmatan kejururawatan NKF Pauline Tan, yang telah menghabiskan lebih daripada 30 tahun dalam kerjayanya bersama-sama dengan pesakit sedemikian.

"Ramai di antara mereka hidup dalam penafian ... Mereka melalui peringkat yang amat marah: 'Mengapa ini berlaku pada saya?'" katanya. "Ia mendatangkan banyak beban bukan hanya kepada diri sendiri tetapi juga ...amat melelahkan bagi pihak penjaga."

Menurut laporan Pendaftaran Buah Pinggang Singapura 2021, enam pesakit baru didiagnosis dengan kegagalan buah pinggang setiap hari.

Kos dialisis di Singapura pada 2021 dianggarkan kira-kira S$300 juta (RM1 bilion), menurut satu artikel tahun lalu dalam Annals, jurnal Akademi Perubatan, Singapura. 

“Kos akan meningkat secara mendadak ... jika kita tidak melakukan apa-apa untuk mengurangkan jumlah pesakit ini," kata Choo dari NKF.

Menjelang 2035, hampir satu perempat penduduk Singapura berusia 21 tahun ke atas mungkin menghidap CKD, di mana lebih daripada separuh — kira-kira 500,000 kes — tidak akan didiagnosis, menurut satu ramalan kajian pada 2018 yang diterbitkan dalam Jurnal Antarabangsa Nefrologi. 

Apa yang masih diperlukan adalah kakitangan yang mengendalikan pusat-pusat dialisis iaitu jururawat. "Saya sentiasa melatih para jururawat baru dalam bidang buah pinggang tanpa henti-henti," kata Pauline Tan.

Keadaan ini bertambah buruk dengan pemergian jururawat ke negara lain semasa pandemik.

“Ia memerlukan enam bulan untuk seorang jururawat menjadi mahir dalam menguruskan mesin dialisis, menguruskan pesakit,” katanya. “ Saya kehilangan banyak jururawat ... yang sudah terlatih dengan baik. Dan saya perlu bermula sekali lagi.”

Beliau menyimpulkan kebimbangan utama NKF selain daripada kos adalah: “Jika kita tidak mempunyai unit dialisis yang mencukupi, jika kita tidak mempunyai jururawat yang mencukupi, apa yang akan berlaku kepada pesakit?”

Kakitangan jururawat Shanthini Durga. (Gambar: CNA/Christy Yip)

PEMERIKSAAN BOLEH MERUBAH NASIB

"Satu-satunya cara" untuk mengesan pembunuh senyap itu, kata penasihat kanan Hospital Besar Singapura (SGH) Tan Chieh Suai, adalah melalui pemeriksaan yang melibatkan ujian darah dan ujian saringan air kencing.

"Selalunya, kebanyakan orang tahu pemeriksaan rutin  adalah ... untuk kolesterol, untuk kencing manis," kata Tan, ketua perubatan buah pinggang SGH. "Tetapi mempunyai tahap gula darah yang normal atau tahap kolesterol yang normal tidak bermakna buah pinggang anda sihat."

Tan berkata ujian saringan air kencing dapat menjejak mikroskopik darah atau protein yang akan menunjukkan bahawa fungsi penapisan buah pinggang telah terjejas. Ujian darah untuk menentukan kehadiran kreatinin iaitu penunjuk toksin dalam tubuh juga akan memberitahu jika buah pinggang berfungsi dengan baik.

Ujian-ujian inilah yang membuat perbezaan besar kepada Fuad Aliman. Dia dirujuk ke pakar buah pinggang ketika berusia 37 tahun, selepas dia mendapat rawatan di poliklinik untuk penyakit gout yang berkaitan dengan kencing manisnya.

Selepas enam belas tahun, dia menganggap dirinya "sangat bertuah": Keputusan ujiannya menunjukkan kebocoran protein dalam air kencingnya, satu indikasi penyakit CKD peringkat awal.

Sejak itu, dia hanya perlu bergantung kepada ubatan oral untuk menjaga kesihatan buah pinggangnya. Dia juga telah mengurangkan berat badannya sebanyak 70 kilogram - separuh daripada berat badannya - dengan senaman selama bertahun-tahun, termasuk berlari maraton dan mendaki gunung, yang telah membantu mengurangkan tekanan pada buah pinggangnya, kata Dr Tan yang merawatnya. 

Apa yang paling penting, kata Fuad, "Saya tidak perlu melalui keperitan dialisis".

Siapa yang patut menjalani pemeriksaan buah pinggang

Dengan kemungkinan lebih daripada 200,000 orang yang menjalani kehidupan harian tanpa mengetahui bahawa mereka mungkin mengalami CKD - disebabkan oleh gejala senyap penyakit tersebut - adalah penting bagi setiap individu menjalani pemeriksaan buah pinggang.

Pemeriksaan buah pinggang melibatkan ujian darah dan air kencing yang mudah dan merupakan kunci untuk mengesan CKD. Bincang dengan doktor keluarga anda untuk maklumat lanjut.

Jika tempat kerja anda menawarkan pemeriksaan kesihatan asas, pilihlah pakej yang merangkumi ujian fungsi buah pinggang, yang berharga kira-kira S$50, bergantung kepada tempat pemeriksaan.

Bagi individu yang berisiko tinggi menghidap CKD, pemeriksaan buah pinggang tahunan amat penting. Faktor-faktor risiko termasuk:

  • Sedang menghidap penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, obesiti dan/atau penyakit jantung. 
  • Sejarah keluarga yang menghidap penyakit buah pinggang, kencing manis dan/atau darah tinggi.

Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan menjalankan klinik intervensi CKD, yang menyediakan pemeriksaan buah pinggang percuma untuk kumpulan berisiko dan berisiko tinggi. Untuk maklumat lebih lanjut, layari: https://nkfs.org/kidney-failure/ckd-clinic-overview/

Collapse

Jika peringkat awal CKD dikenal pasti, rawatan perubatan boleh membantu menguatkan buah pinggang, kata Thomas M Coffman, dekan Sekolah Perubatan Duke-NUS dan pengerusi jawatankuasa penasihat perubatan NKF. 

Ujian klinikal menunjukkan bahawa ubat dapat membantu melambatkan perkembangan penyakit dan mengelak keperluan untuk dialisis dengan purata tiga hingga empat tahun — dan dalam beberapa kes berasingan selama 10 tahun atau lebih, kata Prof Coffman. 

"Oleh itu, adalah penting untuk mengenal pasti orang yang perlu mengambil ubat-ubatan ini, dan memastikan mereka mengambilnya," kata Prof Coffman, yang juga seorang pakar nefrolog. "Anda akan memberi peluang kepada diri anda untuk menjalani kehidupan normal."

Penjimatan kos juga sangat besar, tambah beliau. Kos ubatan boleh berharga sekitar S$50 sebulan, manakala hemodialisis biasanya bermula dari S$2,500 sebulan. Dialisis peritoneal – suatu rawatan di rumah, yang dibuat sendiri tanpa penggunaan jarum - boleh berharga antara S$1,300 dan S$2,000.

"(Dialisis) tidak pernah bercuti. Anda boleh menyelamatkan diri anda dan keluarga daripada beban kewangan yang besar (dan) kualiti hidup yang buruk," kata Prof Coffman.

Walaupun pesakit seperti Fuad masih mempunyai risiko "sepanjang hayat" kegagalan buah pinggang, menurut Dr Tan, beliau memberitahu mereka "setiap tahun yang anda tidak menjalani dialisis, anda adalah seorang pemenang".

Mengenai sistem kesihatan, beliau berkata: “Jika setiap tahun kita dapat melambatkan atau mengelak seorang pesakit daripada menjalani dialisis, kita boleh menjimatkan sistem (kesihatan) ini dengan sekurang-kurangnya S$40,000.”

KEPERLUAN ATASI INERSIA

Kehidupan Fuad mungkin berlainan sekiranya dia mengambil keputusan yang berbeza pada masa dulu. Dia hampir menolak rujukan kepada pakar buah pinggang pada tahun-tahun sebelum ini.

“Saya berfikir, ‘Mengapa kita perlu melalui semua kesulitan ini? Dapatkan sahaja ubat penahan sakit, legakan (gout itu), kemudian kita boleh kembali bekerja,’” ceritanya.

Sekarang, dia tidak akan mengambil risiko. Dia akan menjalani ujian buah pinggang setiap enam bulan dan kesihatan buah pinggangnya kekal stabil sehingga hari ini. 

Doktor keluarga Elly Sabrina Ismail sangat memahami akan inersia manusia dalam hal pemeriksaan kesihatan — dan kesedihan yang melanda mereka apabila sudah terlambat bahawa mereka kini menghidap penyakit buah pinggang.

"Ramai orang mempunyai minda: Ssaya tidak mahu tahu hasil ujian (kerana) seluruh hidup saya (mungkin perlu) berubah," kata doktor keluarga berusia 53 tahun yang menguruskan Klinik Banyan di Woodlands.

Lebih-lebih lagi, apabila pesakit tidak merasa sakit, pemeriksaan kesihatan adalah jauh daripada pemikiran mereka, tambahnya. Inilah sebabnya mengapa CKD begitu  berbahaya.

Dua ujian utama diperlukan untuk memeriksa kesihatan buah pinggang.

Lagipun, sesetengah pesakit yang sudah mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi mungkin berada dalam "penafian". Apabila pertama kali didiagnosis, "kebanyakan" daripada mereka tidak semestinya mahu menerima rawatan dan ujian selanjutnya. 

“(Mereka akan berkata), ‘Biar saya fikir dulu; beri saya satu bulan, kemudian periksa semula sama ada tahap gula dalam darah saya akan bertambah baik,’” kata Dr Elly. Tetapi biasanya, pada masa doktor mengetahui tanda-tanda kencing manis, pesakit mungkin sudah menghidapnya selama beberapa tahun, katanya.

Bagi beliau, ia "sangat menyedihkan" apabila rawatan susulan menjadi tidak menentu, terutamanya apabila pesakit kembali kemudian, dan telah pun didiagnosis dengan kegagalan buah pinggang. "Sekurang-kurangnya ia boleh ditangguhkan dahulu," katanya. 

“Ia sangat menyedihkan kerana saya berjaya mengesan (tanda-tanda) tetapi saya tidak berjaya memastikan agar pesakit terus membuat rawatan susulan untuk memastikan dia terus bermotivasi dalam meneruskan perjalanan hidup yang lebih sihat. 

“Saya juga berasa bersalah kerana saya tidak dapat membuat perubahan itu.”

'SAMA SEPERTI INSURANS'

Satu perkara yang telah membantu dalam mendapatkan lebih ramai orang menjalani pemeriksaan adalah program kebangsaan Pemeriksaan Kesihatan Demi Kehidupan. Ia menawarkan pemeriksaan bersubsidi kepada rakyat tempatan yang layak dan penduduk tetap berdasarkan usia dan jantina mereka.

Pemeriksaan kesihatan asas, bahkan lumuran pap (pap smear) untuk memeriksa barah serviks, boleh berharga S$5 atau kurang.

Klinik Dr Elly menawarkan pemeriksaan kesihatan, termasuk program Pemeriksaan Kesihatan Demi Kehidupan. Walaupun usaha itu telah mengurangkan kos, apa yang "mengecewakan" baginya adalah ujian fungsi buah pinggang - yang merupakan ujian seterusnya selepas ujian untuk kencing manis - tidak termasuk dalam program itu. 

"Ia (sudah) begitu sukar untuk mengajak seseorang agar datang menjalani pemeriksaan kesihatan. Jadi apabila anda berjaya membuat mereka datang, anda (mesti) menggunakan peluang ini secukupnya," katanya.

"Ujian tambahan yang kita lakukan untuk menguji fungsi buah pinggang tidaklah begitu banyak berbanding dengan beban kos yang akan kita pikul jika pesakit berdepan dengan kegagalan buah pinggang dan memerlukan mesin dialisis." 

Pada masa ini, pemeriksaan tahunan untuk penyakit buah pinggang disyorkan untuk pesakit yang mempunyai faktor risiko seperti kencing manis, darah tinggi, obesiti atau sejarah keluarga berkaitan penyakit buah pinggang.

"Tetapi jika saya yang melaksanakannya, saya akan melakukan pemeriksaan meluas ke atas seluruh populasi orang dewasa di Singapura," kata Prof Coffman, yang percaya cara ini akan mengurangkan orang yang perlu "berjumpa dengan pakar nefrologi atau mendapatkan rawatan bagi kegagalan buah pinggang mereka". 

"Saya tahu apa yang akan berlaku apabila anda menghidap penyakit buah pinggang. Saya tahu apakah kesannya.

Walaupun pemeriksaan boleh menjadi sesuatu yang menakutkan, Dr Elly ingin berkongsi bahawa "sebanyak 80 peratus dari setiap masa, keputusan akan menunjukkan semuanya dalam keadaan baik".

"Itu memberikan anda kebebasan untuk meneruskan kehidupan anda. Tetapi jika anda mengesan sesuatu masalah, sekurang-kurangnya anda akan tahu apa yang perlu dilakukan," katanya. "Ia sama seperti insurans."

PERTALIAN YANG HILANG?

Namun, kesedaran mengenai penyakit buah pinggang masih kurang, sesuatu yang dipersetujui oleh para doktor dan jururawat. “Sejak sekian lama, kami telah mengetahui perkara seperti barah," kata Dr Choo dari NKF. "Tetapi penyakit buah pinggang juga sama buruknya."

Jangka hayat bagi mereka yang mengalami kegagalan buah pinggang juga sama buruk atau mungkin lebih teruk daripada beberapa jenis barah yang lebih terkenal, kata Prof Coffman.

Kadar hidup lima tahun bagi kegagalan buah pinggang, barah kolorektal dan barah payudara masing-masing.

Dalam satu kajian di Jurnal Amerika Mengenai Penyakit Buah Pinggang, kadar hidup selama lima tahun bagi pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang adalah 51 peratus, lebih teruk daripada pesakit barah kolorektal dan payudara (masing-masing 56 dan 82 peratus).

Ramai menyedari bahawa punca utama kematian di Singapura seperti barah dan penyakit jantung. Namun, menurut Dr Tan dari SGH, pesakit dengan penyakit buah pinggang juga berisiko tinggi mendapat penyakit jantung. Kebanyakan mereka meninggal akibat penyakit jantung komorbid berbanding dengan kegagalan buah pinggang itu sendiri.

Bagi Shanthini, ia memang menyedihkan apabila melihat jumlah pesakit yang memerlukan penjagaan di Pusat Renal Bersepadu NKF. "Jika seorang pesakit meninggal dunia, dalam masa dua hingga tiga hari, ... seorang pesakit baru akan datang (untuk mengisi tempat tersebut)," katanya.

"Kami tidak mahu melihat lebih banyak pesakit."

Kedua-dua Dr Yeo dan Dr Tan juga berasa begitu. Walaupun itu mungkin bermakna mereka tidak lagi ada pekerjaan, "ia adalah masalah yang sangat menggembirakan", kata Dr Yeo. 

"Jika kami begitu berjaya membantu pesakit mengesan CKD dan mengelak kegagalan buah pinggang, saya rasa itu benar-benar akan menjadi antara perkara yang menggembirakan dalam kerjaya saya."

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai apakah peranan utama Singapura dalam menangani perubahan iklim.

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/nm(ih)
Advertisement

Also worth reading

Advertisement