Bagaimana membuang sampah tanpa beg plastik? CNA mencuba cara-caranya
Mengasingkan sisa basah daripada sisa kering boleh bantu mengurangkan jumlah pengumpulan sampah untuk dibuang, kata kumpulan alam sekitar.

SINGAPURA: Sejak pasar-pasar raya mengenakan bayaran bagi beg-beg plastik, orang ramai perlu memikirkan semula cara-cara lain untuk membuang sampah mereka.
Itulah pertanyaan yang dikemukakan oleh CNA kepada para pelanggan pasar raya pada 3 Jul, iaitu hari pertama bayaran wajib dikenakan bagi mereka yang meminta beg-beg plastik untuk mengisi barangan pembelian mereka.
Para pembeli memberitahu CNA bahawa mereka akan membeli beg plastik atau plastik alas tong sampah untuk mengisi sampah yang hendak dibuang. Mereka menyebut sebab-sebab kebersihan dan tiadanya alternatif lain untuk berbuat demikian. Ramai yang mengatakan sampah basah akan terpercik dan mengotorkan pelongsor buang sampah jika ia tidak diletakkan dalam beg plastik – lantas menarik serangga dan haiwan perosak seperti lipas dan tikus.
Namun, menurut beberapa kumpulan alam sekitar, apa yang diperlukan hanyalah kesediaan bagi orang ramai menukar penggunaan bahan-bahan pembungkus yang ada untuk dijadikan pembungkus sampah. Ia melibatkan perubahan tabiat untuk bersedia menggunakan pembungkus yang sedia ada dan bukannya untuk dibuang begitu sahaja.
Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Alam Sekitar Amy Khor telah membentangkan beberapa cadangan supaya pembungkus seperti beg-beg plastik beras sehinggalah kepada plastik pembungkus kertas gulungan tandas, dan juga pembungkus-pembungkus lain – boleh digunakan semula untuk membungkus sampah.
CNA meminta pakar alam sekitar memberikan beberapa petua dan saranan tentang cara membuang sisa tanpa menggunakan beg plastik. Ia juga telah mencuba petua-petua itu dalam memastikan sejauh mana ini boleh dilaksanakan.
MENGASINGKAN SAMPAH
Pertubuhan bukan pemerintah yang diwawancara CNA menasihatkan para pengguna supaya mengasingkan sampah mereka supaya ia dapat diuruskan dengan lebih baik.
Zero Waste SG mencadangkan pengasingan sisa basah dan kering untuk mengurangkan bilangan beg plastik yang diperlukan.
Walaupun membungkus sisa basah atau sampah perubatan mungkin perlu atas sebab kebersihan, mengasingkannya daripada sampah lain akan mengurangkan jumlah yang sebenarnya perlu dibungkus, kata pengarah eksekutif Zero Waste SG, Tan Huileng.
"Pada tahap yang lebih mikro, anda boleh cuba mengumpulkan sampah yang hendak dibuang selaras dengan kegiatan harian mereka. Misalnya, jika lebih banyak sisa basah yang hendak dibuang kumpulkannya selepas menyiapkan makanan dalam beg plastik, bungkusan atau beg yang tersedia sebelum semuanya dibuang selepas waktu makan,” kata Cik Tan.
Kedua-dua Cik Tan dan pengasas The Eco-Statement Sangeeta Nair berkata barangan yang boleh dikitar semula juga harus diasingkan, kerana ia boleh dimasukkan ke dalam tong kitar semula berwarna biru tanpa beg plastik.
Mengasingkan sampah basah dan kering memerlukan usaha lebih sedar seperti yang diketahui pihak wartawan. Misalnya, sisa basah perlu dimasukkan ke dalam pembungkusan guna semula dan sisa kering ke dalam pelbagai bekas lain. Sampah seperti pembungkus kecil untuk barangan bilik mandi dimasukkan ke dalam kotak tisu kosong dan kotak itu boleh dibuang apabila penuh.
Dengan berbuat demikian, pada akhirnya tidak banyak sampah terkumpul yang perlu dibuang dalam beg plastik setiap hari.

CARA LAIN MENGGUNAKAN SEMULA PEMBUNGKUSAN
Cik Sangeeta juga mencadangkan supaya digunakan beg pembungkus roti, bekas polimer dan tab ais krim besar atau yogurt untuk sisa basah.
Untuk sisa kering, beliau mencadangkan supaya digunakan surat khabar untuk menjadi alas dalaman bakul sampah. Ia juga mengongsi video tentang cara melipat surat khabar supaya ia dapat dimuatkan dalam bakul sampah bulat.
CNA mencuba kaedah yang dicadangkan selama beberapa hari, dengan mengumpulkan pembungkusan barangan lain dan juga dengan melipat surat khabar untuk mengalas bahagian dalam bakul sampah.

Apa yang ditemui wartawan selepas melakukan percubaan itu adalah walaupun surat khabar boleh dilipat untuk dimuatkan ke dalam bakul sampah, ini tidak semudah dilakukan untuk bakul sampah empat segi.
Akhbar juga tidak boleh digunakan untuk bakul sampah di dalam tandas, kerana ia mungkin basah dan hancur.
Adalah juga tidak mudah untuk mengikat atau membungkus sisa yang dikumpulkan dalam alas surat khabar untuk dibuang ke dalam pelongsor sampah. Apabila bercampur dengan sisa lain dalam pelongsor, bungkusan surat khabar itu mungkin hancur.
Bagi mereka yang tinggal di kediaman bertanah, mereka perlu membuang bungkusan surat khabar itu ke dalam tong yang diletakkan di luar rumah. Bagaimanapun ia boleh menjadi basah semasa hujan lebat. Pekerja pengumpul sisa juga akan mendapatinya sukar untuk menguruskan bungkusan sampah yang berasingan.
Mengenai cara lain dalam menggunakan semula pembungkus barangan, seperti pembungkus plastik untuk kertas tisu, pelitup muka pembedahan, malah pembungkus makanan kucing, wartawan mendapatinya berguna untuk mengumpulkan sisa makanan basah. Bagaimanapun kesukarannya adalah untuk mengikat pembungkusan itu. Gelang getah juga boleh digunakan, tetapi ia kehabisan dengan cepat.

NASIHAT KUMPULAN ALAM SEKITAR
Menurut para pakar alam sekitar, jika jumlah sampah yang kita hasilkan adalah terlalu banyak dibandingkan dengan mana-mana cadangan di atas, kita haruslah bertanyakan diri sendiri mengapa demikian.
"Adakah ini kerana kita banyak membazir sehinggakan beg yang ada di rumah langsung tidak mencukupi? Tanyalah diri kita sama ada, ada cara lain untuk mengurangkan pembaziran makanan?”, kata Cik Tan dari Zero Waste SG.
Menyuarakan sentimennya, Cik Sangeeta dari The Eco-Statement menekankan pentingnya untuk kita memikirkan bagaimana sesebuah keluarga boleh mengurangkan sisa yang dihasilkannya.
Cik Tan juga mencadangkan penggunaan semula bahan-bahan pengikat bungkusan untuk mengikat sesuatu bungkusan sisa. Sisa makanan juga boleh dimasukkan ke dalam kompos di rumah atau di kemudahan kompos berdekatan.
Beliau menambah semua ini bergantung kepada sejauh mana kita mahu mencuba sesuatu (yang baru) dan kemudian kita berpegang pada amalan yang baik itu.
"Pada asasnya jika kita ingin mengubah tabiat atau menjalani gaya hidup yang lebih bebas pembaziran, ia bukan sekadar soal kita menyesuaikan diri dengan membayar beg-beg angkat barang. Tetapi adalah penting untuk kita melihatnya secara holistik tentang bagaimana kita boleh membuat perubahan. Ia tentunya mengambil sedikit masa, dan mungkin cara baharu untuk melakukan sesuatu. Ia mungkin tidak selesa pada mulanya dan tentunya akan ada percubaan dan kesilapan,” kata Cik Tan.
"Ia adalah suatu perjalanan yang berbeza untuk semua orang."
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai cabaran yang dihadapi bekas penghuni selepas meninggalkan rumah jagaan kanak-kanak.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.