Skip to main content
Advertisement
Advertisement

Malaysia

Apabila cuaca mencapai 40°C: Bagaimana ini boleh menjejas kehidupan seharian kita

Singapura dijangka mengalami suhu tertinggi harian sehingga 40°C menjelang tahun 2045. Pakar-pakar memberitahu CNA bagaimana kenaikan suhu akan mengubah cara kita hidup, bekerja, belajar dan bermain.

Apabila cuaca mencapai 40°C: Bagaimana ini boleh menjejas kehidupan seharian kita
Berulang alik ke tempat kerja dan beraktiviti di luar di bawah sinaran panas terik. (Gambar hiasan: CNA/Clara Ho)

SINGAPURA: Anda bangun pada waktu pagi dan memeriksa suhu di luar - ia adalah 40 darjah Celsius. Anda memakai baju lengan pendek, seluar pendek serta sandal, dan pergi ke pejabat. 

Ia bukanlah hari Jumaat kasual tetapi inilah pakaian biasa untuk bekerja sejak syarikat anda menukar kod pakaian di pejabat sebagai reaksi kepada peningkatan suhu.

Semasa berjalan kaki selama 15 minit ke stesen MRT, laluan tersebut terlindung daripada matahari dengan bumbung dan pokok-pokok hujan. Anda berhenti untuk mengisi botol air anda di salah sebuah alat penyejuk air di sepanjang jalan. 

Di pejabat anda, penghawa dingin ditetapkan pada suhu 25 darjah Celsius atau ke atas, seperti yang ditetapkan oleh undang-undang. Bangunan pejabat, yang diperbuat daripada kayu, disambungkan ke sistem penyejukan utama.

Setelah pulang dari kerja, anda menyemak aplikasi mudah alih anda di rumah untuk garis panduan haba - yang disesuaikan dengan umur, kaum dan jantina anda – bagi mengetahui sama ada ia selamat untuk bersenam di luar dalam sinaran matahari yang terik.

Di zon senaman di tingkat bawah, sistem penyemburan kabus memastikan kedinginan anda semasa anda bersenam. Memasuki pusat pendinginan kejiranan untuk berehat seketika, ia dipenuhi dengan penduduk warga tua yang datang untuk menikmati keselesaan penghawa dingin.

Sebelum tidur, notifikasi berbunyi dengan peringatan kepanasan harian, memberitahu anda jika sekolah atau pejabat akan dibuka pada keesokan harinya. Mungkin suhu sekali lagi bakal mencatat 40 darjah Celsius. Inilah kebiasaan yang boleh dijangkakan setiap hari.

Ini mungkin kelihatan seperti masa depan yang menggerunkan, tetapi Singapura dijangka mengalami hari-hari dengan suhu kemuncak 40 darjah Celsius seawal 2045, kata Menteri Kemampanan dan Alam Sekitar Grace Fu di Parlimen tahun lalu.

Sebenarnya, Singapura telah menyamai rekod suhu 40 tahun pada bulan Mei apabila suhu maksimum harian mencecah 37 darjah Celsius di Ang Mo Kio.

Di tempat lain di rantau ini, gelombang haba telah menyebabkan kematian berpuluh-puluh orang di India, di mana suhu melonjak melebihi 45 darjah Celsius bulan lalu. Beberapa kawasan di China, Filipina, Thailand dan Vietnam turut juga mengalami suhu yang melepasi atau hampir mencapai rekod 40 darjah Celsius tahun ini.

Pemanasan di Singapura didorong oleh perubahan iklim di seluruh dunia dan oleh kesan ‘pulau haba bandar tempatan’ - apabila litupan tanah semula jadi digantikan dengan permukaan bandar yang menyerap dan menyimpan haba.

Dua wanita warga emas berkongsi payung di bawah cuaca panas di Singapura. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Profesor Benjamin Horton, pengarah pusat Observatori Bumi Singapura di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), menjangkakan had suhu 37 darjah akan dipecahkan pada 2024, dengan keadaan El Nino dijangka berkembang akhir tahun ini.

"Kadang-kadang kita mengabaikan persepuluh darjah kerana kita sudah biasa dengan perubahan antara waktu malam dan siang, di mana ia boleh beralih sebanyak 10 darjah Celsius," katanya.

Tetapi setiap peningkatan sebanyak persepuluh darjah sebenarnya mewakili kenaikan suhu yang "luar biasa".

Adalah suatu yang tidak benar bahawa penduduk Singapura yang berada di kawasan Khatulistiwa secara fisiologi boleh menyesuaikan diri dengan cuaca panas, kata pakar-pakar kepada CNA.

"Ia amat tidak benar kerana data menunjukkan kebanyakan rakyat Singapura menghabiskan masa mereka di dalam rumah," kata Profesor Madya Jason Lee, pengarah Pusat Ketahanan dan Prestasi Haba di Sekolah Perubatan Yong Loo Lin, Universiti Nasional Singapura (NUS).

"Secara fisiologi, kita sebenarnya tidak terbiasa, tetapi secara tingkah laku, kita sangat terbiasa," katanya. "Dari segi tingkah laku, kita sangat cekap dalam menghindari haba."

Apabila planet ini menjadi panas, menghindarkan diri daripada haba mungkin bukan jalan penyelesaiannya. Sebaliknya, langkah seterusnya adalah belajar macam mana untuk menyesuaikan diri dengan kepanasan – dengan menggunakan penyelesaian berasaskan alam serta menyesuaikan cara kita hidup, bekerja dan bermain di Singapura. 

MENYESUAIKAN DIRI DALAM DUNIA YANG PANAS

Empat puluh darjah Celsius bukan hanya had psikologi, tetapi juga mendekati had fisiologi. 

Suhu basah 35 darjah Celsius biasanya dianggap sebagai had untuk keselamatan manusia. Satu kajian baru-baru ini mendapati bahawa 31 darjah Celsius adalah had tekanan haba maksimum untuk lelaki dan wanita muda yang sihat - ini sepadan dengan suhu udara 38 darjah Celsius pada kelembapan 60 peratus.

Purata kelembapan relatif tahunan Singapura ialah kira-kira 84 peratus. Mekanisme utama badan untuk menyingkirkan haba adalah melalui penyejatan peluh, yang menjadi lebih sukar apabila kelembapan relatif lebih tinggi. 

Tekanan haba berlaku apabila badan tidak dapat menghilangkan haba yang berlebihan. Tanpa perhatian perubatan yang sesuai, ini boleh menyebabkan strok haba, dan mungkin menyebabkan kegagalan organ-organ serta kematian.

Tetapi sebelum tahap itu, tekanan haba boleh menjejas keupayaan seseorang berfikir di tempat kerja dan membawa kepada lebih banyak kemalangan di tempat kerja, kata Prof Madya Lee. 

Satu kajian pada tahun 2017 oleh penyelidik di Universiti Michigan dan Universiti Florida Selatan mendapati bahawa pendedahan kepada haba menyebabkan pekerja menganggap aktiviti yang sama sebagai kurang berisiko, dan meningkatkan sifat berani mengambil risiko. 

"Jika mesin memerlukan 10 langkah dan anda seorang pekerja yang sangat berpengalaman, apabila anda berasa sangat tidak selesa - dalam kes ini sangat panas - terdapat kecenderungan yang memberitahu kita: saya mahu keluar dari sini secepat mungkin. Oleh itu, saya mungkin mengabaikan beberapa langkah, dan oleh itu kemalangan mungkin berlaku," kata Prof Madya Lee. 

Persekitaran yang panas juga boleh mempengaruhi perangai seseorang dan menjejaskan proses membuat keputusan. Data epidemiologi mengenai perkara ini sangat jelas, tambah beliau.

"Apabila cuaca panas, orang menjadi muram, lebih murung, serta menjadi marah. (Dalam) kes yang dahsyat - membunuh diri. Jadi kesihatan mental juga secara tidak langsung terjejas akibat cuaca." 

Bayi, orang tua dan orang kurang upaya lebih mudah terjejas akibat haba. Tetapi tekanan haba juga boleh timbul apabila orang dewasa yang sihat membebankan diri mereka di tempat kerja.

Bagi kebanyakan orang apabila panas mereka akan melambatkan kerja dan tidak bekerja terlalu keras, kata Prof Madya Lee. Tetapi perkiraan risiko begini berbeza mengikut keadaan sosio-ekonomi seseorang. 

Sebagai contoh, kata profesor madya, seorang penghantar mungkin berfikir: "Anda memberitahu saya bahawa saya mungkin mati akibat kecederaan haba - itu adalah 'kemungkinan'. Tapi saya tahu jika saya tidak menghantar 10 bungkusan sehari, ia akan menjejaskan mata pencarian saya. Saya mempunyai anak-anak di rumah, (saya) akan mengambil risiko."

Ini boleh menyebabkan orang bekerja walaupun mengalami ketidakselesaan haba, mewujudkan "motivasi berlebihan" dan tekanan dari rakan-rakan sekerja menjadi faktor risiko ketara dalam mengalami strok haba. 

Kesan psikologi haba juga dirasai di sekolah, di mana tahap penumpuan dalam kelas mungkin akan menurun akibat suhu tinggi yang tidak selesa.

Terdapat hubungan yang sangat kuat antara keselesaan haba dan prestasi pelajar, kata Profesor Wong Nyuk Hien dari Kolej Reka Bentuk dan Kejuruteraan, NUS. 

Dalam satu kajian pada tahun 2022 yang diterbitkan dalam jurnal HSSE Online oleh Institut Pendidikan Kebangsaan, pelajar sekolah menengah didapati menjadi lebih gelisah dan banyak bercakap apabila cuaca lebih panas. Mereka akan berkhayal, merehatkan kepala di atas meja dan merasa tertekan, terutamanya pada waktu petang.

Guru-guru yang mengambil bahagian dalam kajian ini cuba mengubah rentak dan gaya pengajaran untuk memastikan pelajar terus terlibat dalam kelas. Sesetengah menggalakkan pergerakan dalam kelas atau memperkenalkan rehat pendek silang masa pembelajaran, sementara ada juga guru yang lebih suka pelajar berada di tempat duduk bagi mengelak mereka keluarkan lebih banyak haba badan.

Guru-guru juga mencadangkan bahawa hari "berpakaian santai" – dimana pelajar dibenarkan memakai baju pendidikan jasmani dengan bahagian bawah seragam biasa – dilaksanakan dengan lebih kerap, dan lebih banyak penyejuk air dipasang lebih dekat dengan bilik darjah.

TEMPAT PELINDUNG PENYEJUKAN AWAM

Dengan mengambil kira kesan daripada tekanan haba, adakah ini bermakna lebih banyak penghawa dingin udara diperlukan?

Menurut Jabatan Perangkaan kira-kira 80 peratus isi rumah di Singapura memiliki penghawa dingin. Bagi kebanyakan orang, ia adalah pilihan pertama mereka yang ingin berehat pada hari yang panas.

Tetapi penghawa dingin konvensional membuang haba di luar, menyebabkan suhu luar meningkat. Ini seterusnya menggalakkan penggunaan penghawa dingin yang lebih banyak dan ia mewujudkan kitaran yang tidak baik, kata Profesor Wong dari NUS.

Kira-kira 60 peratus daripada tenaga yang digunakan untuk mengendalikan sebuah bangunan digunakan untuk tujuan penyejukkan, tambah beliau. Ini bukanlah sesuatu yang berkemampanan, kata pakar-pakar.

Penghawa dingin harus menjadi “pilihan terakhir” untuk penyejukan, dan hanya bagi mereka yang memerlukannya, kata Profesor Madya NUS Lee.

"Mereka yang benar-benar memerlukan penghawa dingin tidak mempunyai penghawa dingin atau tidak menggunakan penghawa dingin," katanya, sambil merujuk kepada buruh kasar dan orang tua yang tidak mampu membelinya. Sebaliknya, "orang yang benar-benar tidak memerlukan penghawa dingin menyalahgunakannya".

Untuk menangani isu ini, Singapura boleh mewujudkan tempat pelindung penyejukan awam untuk individu yang terdedah, katanya. Tempat perlindungan sedemikian kini terdapat di Hanoi dan di seluruh AS semasa gelombang panas. 

Orang ramai menghabiskan masa petang di pusat penyejukan di The Portland Building, Portland, Oregon pada 14hb Ogos 2021, di tengah cuaca panas yang luar biasa. (Gambar: AFP/Michael Hanson)

Konsep ini menyerupai tempat perlindungan bom awam. Apabila suhu mencecah tahap tertentu, tempat perlindungan penyejukan boleh disediakan di blok-blok flat Lembaga Pembagunan dan Perumahan (HDB) dan kemudahan seperti di pusat masyarakat. Kaedah penyejukan lain juga boleh dipertimbangkan, seperti memberi minuman buburan ais.

Dengan ini, penggunaan penghawa dingin di tempat lain mungkin boleh dihadkan. Pakar-pakar yang  bercakap dengan CNA menyatakan bahawa satu had suhu perlu ditetapkan untuk penghawa dingin, dengan cadangan antara 22 hingga 25 darjah Celsius sebagai had minimum di mana paras suhu tidak dibenarkan turun lagi.

“Daripada berpandukan garis panduan, mungkin kuatkuasakannya dari segi undang-undang. Sertakannya dalam sistem keadilan. Anda tidak dibenarkan (menggunakan penghawa dingin) kecuali  anda diberi pengecualian perubatan,” kata Profesor Horton dari NTU. 

Untuk menggalakkan perubahan tabiat, langkah-langkah dasar yang lebih kuat mungkin boleh diwujudkan untuk menghukum organisasi yang tidak menyelaraskan diri dengan peningkatan pendedahan haba, kata Profesor Madya Universiti Pengurusan Singapura (SMU) Winston Chow, penyelidik utama projek penyelidikan Cooling Singapore.

Juga akan menjadi penting adalah usaha memastikan peraturan keselamatan dan kesihatan untuk melindungi pekerja daripada pendedahan haba. Bagi pekerja yang melakukan kerja luar, ini mungkin dasar yang memberi mereka hak untuk mendapatkan air dan tempat teduh, serta pilihan untuk berhenti kerja jika terlalu panas, katanya. 

Garis panduan haba perlu meliputi data daripada kumpulan individu yang pelbagai supaya ia dapat disesuaikan kepada setiap individui, kata Profesor Madya NUS Lee.

Bagi pekerja pejabat dan berpakaian seragam, peralihan daripada baju lengan panjang, seluar panjang dan kasut tertutup juga merupakan perubahan yang jelas ketika dunia semakin panas. Ini melibatkan perubahan perspektif tentang apa itu "berpakaian rapi", kata Profesor Madya Lee. 

"Sesuatu pakaian seragam itu mestilah mempunyai fungsinya terlebih dahulu (kepada seseorang pekerja), kemudian barulah soalpenampilannya," katanya sambil menunjuk kepada seluar pendek Bermuda dan baju polo yang dipakai oleh beberapa pegawai polis sebagai contoh positif.

MASA DEPAN ALAT PENYEJUKAN 

Pemandangan deretan unit pemeluwap penghawa dingin yang menghembus udara panas kembali ke jalan mungkin tidak akan kelihatan lagi pada masa akan datang, jika penyejukan rangkaian berkembang dari Marina Bay dan Tengah digunakan sebagai laras  piawaian di seluruh negara. 

Penyejukan rangkaian menggunakan air sejuk yang disejukkan di loji berpusat untuk menyejukkan bangunan melalui rangkaian paip. Ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan tenaga melalui skala ekonomi dan mengurangkan pelepasan karbon daripada bahan penyejuk. 

Apabila suhu luar meningkat, haruskah ruang terbuka seperti pusat-pusat penjaja dijadikan tertutup, supaya penyaman udara boleh dipasang? Profesor Wong berpendapat bahawa itu tidak perlu dilakukan.

Pusat penjaja adalah seperti "ruang persinggahan" berbanding dengan tempat di mana orang tinggal dan memberi tumpuan pada kerja, katanya.

Koridor dan atrium bangunan tergolong dalam kategori yang sama. Dalam suasana Singapura yang panas, penggunaan penghawa dingin sebenarnya dapat dikurangkan jika ia dikeluarkan dari ruang peralihan tersebut.
 

Deretan unit pemeluwap penghawa dingin yang memenuhi bahagian belakang sebuah bangunan di Singapura. (Gambar: CNA/Calvin Oh)

Sebuah sistem pengudaraan hibrid yang menggabungkan kipas dan penghawa dingin – pada suhu yang lebih tinggi sekitar 27 darjah Celsius – juga boleh menjadi norma. Sistem sedemikian sudah digunakan dalam Bangunan Tenaga Net-Zero di NUS @ SDE.

Bangunan boleh menjadi lebih sejuk jika syarikat pembinaan berhenti daripada menggunakan konkrit, yang menyimpan haba dengan baik dan mengeluarkan sejumlah besar gas rumah hijau semasa proses pengeluaran.

Sebagai alternatif, Profesor Wong merujuk kepada  penggunaan kayu – seperti dalam pembinaan bangunan enam tingkat bertaraf sifar tenaga yang baru dibuka di NTU, yang juga dikatakan sebagai bangunan kayu terbesar di Asia. 

Berbanding dengan konkrit, kayu mempunyai jisim haba yang rendah, bermakna keupayaannya untuk menyerap dan menyimpan haba adalah rendah. Ini lebih kerap menjadi pilihan di tempat beriklim panas dan lembap. Sebaliknya, bahan dengan jisim haba yang tinggi seperti konkrit, jika dibiarkan terdedah, boleh menyerap tenaga suria sepanjang hari dan melepaskannya ke dalam bangunan pada waktu malam.

Selain menggunakan kayu, bangunan NTU – yang dipanggil Gaia – menggunakan pelindung matahari pada muka bangunan dan kawasan terbuka, dengan teres dan ruang udara dibina untuk meningkatkan pengudaraan. 

Untuk menjadikan bangunan lebih selesa dalam keadaan panas, pereka dan pemaju perlu kembali kepada ciri reka bentuk tradisional seperti haluan yang berkaitan dengan cahaya matahari, teduhan dan pengudaraan semula jadi, sambil mengurangkan penggunaan tingkap kaca, kata Profesor Wong.

Inovasi seperti "cat sejuk", sejenis cat yang mengandungi bahan tambahan yang memantulkan haba dari matahari, juga dapat membuat perbezaan. Sebuah projek percubaan cat sejuk dengan flat HDB di Tampines bertujuan untuk mengurangkan suhu persekitaran sebanyak 2 darjah Celsius.

HARUSKAH MASA MULA BEKERJA DILEWATKAN? 

Dengan segala usaha dan tenaga yang diperlukan untuk mengekalkan kesejukan pada siang hari, adakah Singapura akan sampai ke tahap di mana waktu kerja dan aktiviti penting lain dilewatkan bermula dan berakhir jauh pada sebelah malam?

Menurut Profesor Madya Lee dari NUS, itu bukan sesuatu yang wajar kerana bekerja pada malam hari mempunyai kelemahannya sendiri. Syif malam mengganggu kitaran badan serta kehidupan sosial, dan pekerja mungkin memulakan kerja tanpa cukup rehat yang memadai, yang boleh membahayakan keselamatan mereka. Keperluan pencahayaan juga akan memberi tekanan tambahan pada grid kuasa.

Tetapi walaupun waktu kerja biasa dikekalkan, corak masa lapang, termasuk sukan rekreasi, mungkin berubah. Pada cuaca panas, orang ramai lebih cenderung untuk berada di rumah sebanyak yang mungkin, dan hanya memilih untuk keluar pada waktu petang.

Ini diperkuatkan dengan garis panduan rasmi. Sebagai contoh, Kementerian Pendidikan menggalakkan sekolah untuk meminimumkan aktiviti fizikal luar darjah antara 10.30 pagi dan 3.30 petang pada hari-hari yang lebih panas.

Apabila suhu meningkat, tempoh larangan ini boleh dilanjutkan. Tetapi mengelak daripada berada di luar pada hari-hari panas boleh membawa kepada pengurangan aktiviti fizikal luar dan seterusnya, menjejaskan kesihatan mental, jelas Profesor Madya Lee. 

Daripada memperketat batasan bagi orang ramai tidak boleh bersenam di luar rumah, mungkin satu pendekatan lain adalah dengan menerima sahaja kepanasan ini dan kita mennyesuaikan diri dengannya. 

“Kami merasakan kepanasan sebagai satu keperitan. Kepanasan sebenarnya adalah sejenis tekanan ... Semua jenis tekanan, jika anda tahu bagaimana untuk menggunakannya secara kreatif, boleh menjadi eustress", atau satu bentuk tekanan yang bermanfaat, kata Profesor Madya Lee. 

Senaman boleh dibuat pada waktu yang paling panas untuk meletakkan tekanan tambahan pada badan dan memaksimumkan hasil latihan, kata Profesor Madya Lee. Untuk mengimbangi senario ini, senaman lebih ringan atau lebih pendek boleh dilakukan sebaliknya.

“Latihan senaman boleh menghasilkan ketegangan supaya badan kita boleh bertindak balas … Dengan adanya haba, dalam masa 30 minit anda akan mencapai degupan jantung ke tahap yang sama berbanding dengan keadaan sebelumnya (di mana) anda terpaksa melakukannya dalam masa 45 minit,” katanya. 

“Anda mahu melatih 45 minit pada pukul 8 pagi, atau 30 minit pada pukul 12 tengah hari? Anda sebenarnya boleh menjimatkan masa dengan mencapai titik akhir yang sama dengan lebih cepat. Itu, bagi saya, adalah kecekapan latihan."

Dalam kegiatan yoga panas, mereka yang mengamalkannya sengaja menggunakan haba untuk meningkatkan aktiviti fizikal. Daripada berlatih di bilik yang dipanaskan secara buatan, misalnya, kelas sedemikian boleh diadakan di luar rumah di kawasan yang tidak berteduh ketika matahari sedang memancar pada suhu 40 darjah.

Untuk mengurus risiko kepanasan, sistem kabus awam yang menyembur titisan air halus ke arah orang boleh didirikan di lebih banyak taman, tempat senaman dan juga taman permainan, kata Profesor Wong.

Pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, apabila haba dan kelembapan melonjak semasa musim panas Jepun, penganjur Sukan dan pasukan-pasukan kebangsaan menggunakan kipas kabus untuk menyejukkan atlet dan juga kuda.

Seorang gadis menyejukkan dirinya di stesen kabus yang dipasang di Shiokaze Park semasa acara ujian bola tampar pantai untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Tokyo pada 25hb Julai 2019. (Gambar: AFP/Behrouz Mehri)

Sebuah sistem amaran haba akan menjadi penting untuk mempersiapkan orang ramai menghadapi cuaca yang lebih panas, dan juga untuk memastikan bahawa perkhidmatan kesihatan dan kecemasan bersiap sedia dalam menghadapi lebih banyak kecederaan akibat haba, tambah Profesor Madya Chow dari SMU. 

Selain itu, terdapat juga aktiviti luar yang tidak dapat dielakkan, seperti berjalan kaki dari tempat pengangkutan awam ke destinasi seseorang.

Di Singapura yang semakin panas, Walk2Ride – sebuah program Penguasa Pengangkutan Darat untuk membina laluan pejalan kaki berbumbung bagi penduduk yang berjarak 400m dari semua stesen MRT dan LRT serta terminal pertukaran bas – boleh diperluaskan ke lebih banyak lokasi. 

Penyelesaian berasaskan alam semula jadi, iaitu dengan menanam pokok jenis kanopi luas, juga boleh dilaksanakan secara lebih luas untuk tujuan teduhan, kata Profesor Madya Chow.

PERUBAHAN YANG SUKAR

Menyesuaikan diri dengan suhu yang lebih panas akan memerlukan perubahan kepada persekitaran fizikal Singapura. Namun pada akhir-akhirnya ia juga akan melibatkan perubahan pada keputusan harian yang harus dibuat setiap orang.  

Ini bermakna kita tidak boleh mengambil mudah isu iklim begitu sahaja dan pentingya alam sekitar dalam membuat sesuatu pilihan, kata Profesor Madya Chow.

"Jika kita membuat keputusan untuk membeli rumah baru, untuk membeli kereta baru, atau pergi bercuti – sebelum ini kita mungkin menganggap soal pelepasan karbon yang dihasilkan dalam perjalanan sebagai sesuatu yang  biasa. Ini kerana kita tidak mengambilnya dalam pertimbangan semasa membuat keputusan sebagai seorang individu."

"Saya rasa kita sudah memasuki zaman di mana perubahan seperti ini, yang sebelumnya kita anggap biasa berhubung dengan alam sekitar, sudah semakin jelas dan semakin nyata (tidak boleh dipandang ringan lagi)," katanya.

"Soal bagaimana kita perlu bertolak ansur dalam menangani perubahan alam sekitar, akan menimbulkan banyak ketidakselesaan bagi ramai daripada kita, termasuk saya sendiri. Bagaimana kita dapat menanganinya sebagai individu atau masyarakat adalah sesuatu yang masih lagi belum jelas.”
 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai bagaimana kekeliruan identiti berlaku apabila seorang ayah meninggal dunia di Singapura.  

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/ih
Advertisement

Also worth reading

Advertisement