Klinik baharu di Singapura ini mahu pastikan pesakit panjang umur dengan sihat
Pasukan pelbagai disiplin memeriksa data pesakit, yang boleh mendedahkan sejauh mana tubuh mengalami penuaan, demi membangunkan pelan kesihatan yang sesuai.

SINGAPURA: Sebuah klinik yang bermatlamat untuk meningkatkan usia sihat rakyat telah membuka pintunya di Hospital Alexandra.
Klinik Panjang Usia ini adalah yang pertama seumpamanya di dunia yang melibatkan sebuah hospital awam. Ia juga terlibat dalam mengkaji dan membangunkan ubat-ubatan yang boleh melambatkan proses demensia.
BAGAIMANA IA BERFUNGSI?
Para doktor di klinik ini menemu bual seorang individu dan menjalankan pelbagai penyiasatan khusus yang disesuaikan dengan ujian-ujian seperti ujian darah, epigenetik dan mikrobiota usus.
Pasukan jagaan kesihatan kemudian memeriksa data kesihatan pesakit, yang boleh mendedahkan tahap penuaan badan seseorang, untuk membangunkan pelan kesihatan yang sesuai baginya.
"Pasukan pelbagai disiplin yang terdiri daripada bukan sahaja pakar perubatan, tetapi juga ahli fisiologi senaman, pakar diet, jurulatih kesihatan dan penyelidik akan bertemu untuk menghasilkan pelan jagaan kesihatan yang khusus untuk setiap pesakit," kata Dr Grace Chiang, seorang doktor panjang usia di klinik tersebut.
"(Tumpuan kajian) boleh sampai ke tahap amat khusus sehingga kepada otot mana yang harus ditumpukan oleh seseorang individu, jenis senaman yang bagaimana perlu dilakukan dan untuk berapa lama," kata Dr Chiang kepada CNA938 pada hari Isnin (4 Sep).
Penilaian akan dilakukan antara enam hingga 12 bulan, dan boleh meningkat sehingga dua tahun. Khidmat penilaian ini adalah untuk para pesakit berumur antara 35 hingga 70 tahun, yang mempunyai tidak lebih daripada satu penyakit kronik.
"Kita semua tahu bahawa proses penuaan bermula sangat awal dari usia 20 atau 25 tahun. Kita boleh melihat diri kita mula merosot dari segi fungsi dan juga penampilan kita," kata Prof Andrea B. Maier, pengarah Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS), Pusat Panjang Usia.
“Pada usia 35 tahun, kita benar-benar boleh mengukur berapa umur seseorang itu. Jadi inilah sebabnya mengapa kita memberi fokus kepada kumpulan umur pertengahan ini untuk benar-benar mencegah timbulnya penyakit berkaitan usia.”
Semua konsultasi, ujian dan pelan jagaan kesihatan boleh mencecah kira-kira S$1,500 hingga S$4,000 (RM5,000 – RM14,000).

JAGAAN PENCEGAHAN UNTUK PENDUDUK MENUA
Inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha untuk memberi tumpuan kepada jagaan pencegahan sedang penduduk Singapura semakin meningkat usia.
“Singapura mempunyai antara jangka hayat terpanjang di dunia. Jangka hayat kita yang berkaitan dengan kesihatan telah meningkat dan jangka usia serta jangka hayat sihat juga meningkat, tetapi jurangnya tetap sama,” kata Profesor Kenneth Mak, Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan (MOH).
Beliau merujuk kepada jurang antara jangka usia dan jangka hayat sihat. Jangka usia ialah bilangan tahun kita boleh hidup, manakala jangka hayat sihat ialah bilangan tahun sihat tanpa sebarang penyakit kronik atau menenatkan.
Pada masa ini, jurang bagi rakyat Singapura adalah sekitar 10 hingga 11 tahun, yang bermaksud satu dekad hidup dalam keadaan tidak sihat, kata Prof Mak.
“Ini yang kita mahu laraskan dan ubah. Ia bukan sahaja menambah bilangan tahun kita hidup, tetapi juga bilangan tahun kita boleh hidup dengan sihat. Kami mahu mengecilkan jurang itu dengan mengurangkan jumlah tahun kita hidup dengan berpenyakit.
Klinik Panjang Usia ini berharap dapat meningkatkan bilangan tahun sihat bagi seseorang individu sehingga sebanyak tiga tahun.
Setiausaha Parlimen Kanan Kebudayaan, Masyarakat dan Belia serta Pembangunan Sosial dan Keluarga, Eric Chua berkata klinik tersebut mahu menawarkan pendekatan peribadi untuk panjang umur. Ini boleh dilakukannya dengan menerima kemajuan dalam sains perubatan, diagnostik dan kerjasama antara disiplin.
HURAIAN SEHENTI
Lokasi klinik di sebuah hospital awam boleh membantu dalam menyediakan jagaan kesihatan yang lancar dan berterusan kepada pesakit.
“(Lokasi) adalah penting apabila kita berada di hospital awam. Sekiranya ada seseorang individu yang ke sini untuk penyiasatan dan ujian, kita mungkin menemui penyakit atau komorbiditi. Kami boleh berbincang dengan rakan-rakan pakar di hospital yang sama, jadi semuanya di bawah satu bumbung,” kata Dr Chiang.
Satu lagi manfaat adalah klinik itu juga berkongsi tapak yang sama dengan unit penyelidikan pusat kesihatan panjang umur Universiti Nasional (NUHS Centre for Healthy Longevity).
Dilancarkan pada September lalu, unit ini membangunkan rawatan baharu untuk jangka hayat. Ia berharap dapat memastikan ubat-ubat mudah diakses dan pada harga berpatutan untuk semua.
“Usaha mendapatkan pembiayaan untuk mengurangkan kos (memanglah) akan menjadi satu cabaran. Kami akan bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi advokasi kami dan pihak berkepentingan (mengenai perkara ini),” kata Dr Laureen Wong, pengarah klinik itu.
“Kami akan melakukan banyak penilaian dan penyelidikan program kesihatan, mendapatkan geran, membuktikan keberkesanan kos kami dan sudah tentu, keberkesanan dari segi klinikal. Kemudian kami akan ke kementerian (kesihatan) untuk melihat sama ada kami boleh mendapatkan subsidi untuk semua rakyat Singapura.”
Ujian-ujian klinikal yang disediakan di pusat ini melibatkan pemberian suplemen pemakanan yang dimulakan tahun lepas. Pasukan kajian juga sedang meninjau bagaimana untuk menguji ubat-ubat yang ada sekarang bagi keadaan kesihatan lain.
Ini adalah sebahagian daripada rancangan lebih besar bukan sahaja untuk memastikan rakyat boleh hidup lebih lama, tetapi juga hidup dengan lebih bermakna.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai penggunaan teknologi inovasi di rumah-rumah jagaan warga tua Singapura.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.